RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Jumaat, 1 Julai 2016

Menghuni Rumah Usang


MENGHUNI RUMAH USANG

PASIR MAS, KELANTAN: Tidak semua manusia yang meminta untuk menjadi miskin dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan, sumbangan dan simpati orang lain. Bahkan tidak semua bersifat malas untuk merubah keadaan hidupnya jika peluang dan kesempatan untuk berbuat demikian terbentang di depan mata. Tetapi disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi oleh individu berkenaan membantutkan harapan beliau ke arah itu sementelah pula sawah padi berkenaan tidak lagi dapat dikerjakan.

Hal inilah yang dialami oleh seorang penduduk, Mat Ail Awang, 78, atau dikenali Pak Wil dari Kampung Siram Kecil, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya yang usang itu.

Menceritakan masalah yang dihadapinya sekarang, Pak Wil sebenarnya menetap di kampungnya sekarang sejak tahun 1967 iaitu ketika banjir besar melanda Kelantan pada tahun itu.

Katanya,  tanah tapak rumah yang didudukinya sekarang adalah tanah yang dibeli oleh arwah isterinya (meninggal 20 tahun lalu) dari adik-beradiknya sendiri. Tetapi atas perkiraan, akhirnya tanah itu diberikan nama kepada beliau sebagai pemiliknya setelah beliau dapat membayarnya dengan jumlah keseluruhannya kira-kira RM4,000 lebih. Pada ketika itu, dia memperolehi anak kira-kira tiga orang dan kini anak-anaknya itu telah berkeluarga.

Ketika mula-mula menetap dan menghuni di tanahnya itu pada ketika itu dia adalah sebagai petani dengan mengerjakan sawah padi sebagai pekerjaan utamanya. Pada ketika itu, dia mengerjakan sawah padi atas “tanah pawah”(tanah orang lain yang dipawahkan) yang turut dibantu anak-anaknya dan arwah isterinya. Tanah sawah yang perlu diusahakan oleh beliau dan anak-anaknya itu berjumlah kira-kira 12 ekar dengan tenaga kerja seramai empat orang.  

Tetapi selepas tanahnya sekarang telah bertukar milik kepada namanya, dia tidak dapat lagi melakukan sebarang kerja sebagai petani atas dua sebab iaitu tiada lagi sawah padi yang dapat dikerjakannya dan dia kini mengalami masalah kesihatan iaitu serangan kencing manis yang membantutkan harapannya untuk mencari rezeki.

“Kini, apabila pakcik tidak lagi dapat mengerjakan sawah padi disebabkan masalah kesihatan, tanah itu kemudiannya dipawahkan kepada orang lain untuk diusahakan”, ujarnya sedih mengenangkan peristiwa ketika itu.

Menurutnya pendapatan bersih yang diperolehinya setelah tolak pawah, beliau memperolehi di antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan. Dalam jumlah yang diperolehinya itu, beliau terpaksa membahagikan pendapatannya kepada anak-anaknya pula kerana mereka sama-sama membantu meringankan kerja-kerjanya.

“Hasil padi yang diperolehi oleh pakcik dibeli oleh pihak Kada. Jika Kada tidak membelinya, terpaksalah pakcik mengupah orang lain untuk menjualnya”, katanya.

Katanya, sejak pagi iaitu kira-kira jam 8.00 pagi dia dan anak-anaknya akan turun ke sawah untuk tujuan itu. Manakala kira-kira jam 2.00 petang dia akan balik dari sawah.  Selepas itu, kira-kira jam 4.00 petang, dia akan kembali ke sawah padi untuk menyambung kerja-kerjanya itu sehingga jam 6.00 petang, dia akan pulang ke rumah.

Apabila ditanya tentang sistem pengairan dan saliran sawah padi yang diusahakan yang memerlukan penjagaan rapi untuk memastikan padi berkenaan dalam keadaan sempurna, dia tidak perlu bimbang tentang masalah sedemikian. Namun, sesuatu yang merunsingkannya ialah berhubung dengan masalah banjir yang akan memusnahkan kesemuanya.

Tambah Pak Wil lagi, disebabkan dia kini tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja sebagai petani di sawah padi sebagaimana di zaman mudanya, dia tidak lagi memperolehi pendapatan yang sepatutnya. Beliau juga pernah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung dengan masalahnya itu. Hasilnya, pihak berkenaan menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM300 (sebulan). Bahkan dia juga pernah menerima bantuan zakat berjumlah RM1,000 daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menjelang hari raya Aidilfitri pada tahun 2015 lalu.

Setakat ini katanya, hanya JKM dan MAIK saja yang prihatin membantu meringankan bebannya disebabkan beliau tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja sebagaimana yang sepatutnya. Menurutnya, wakil rakyat juga tidak boleh diharap kerana berat tangan untuk membantu untuk menyelesaikan masalah warga emas sepertinya apatah lagi datang menjenguknya juga tidak pernah. Dia terlalu segan untuk meminta daripada pihak berkenaan walaupun pada hakikatnya dia mengenali pihak tersebut.

“Setakat ini, tiada sumbangan dari badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menghulurkan bantuan” ujarnya.

Selain itu, Penggawa dan Ketua Kampungnya itu juga memang mengetahui tentang masalah yang dihadapinya, tetapi tiada tindakan diambil dalam usaha untuk membantu meringankan bebannya walaupun sedikit.

“Kalaulah pakcik tidak alami masalah kesihatan, tentunya pakcik akan teruskan kerja mengusahakan sawah padi seperti dulu”, ujarnya.

Kini, anak-anaknya sudah dewasa dan telah berumahtangga. Dia sebenarnya tidaklah begitu mengharapkan bantuan dari anak-anaknya apatah lagi melihat keadaan sumber kewangan anak-anaknya juga tidak menentu dan tidak begitu menggalakkan.

Katanya, kadang-kadang dia terfikir dan sering mengimbau keadaan zaman mudanya yang dapat melakukan apa saja khususnya sebagai petani di sawah padi. Tetapi mengenangkan keadaannya kini tidak sebagaimana zaman mudanya yang dapat melakukan segalanya, dia akur tentang itu. Dia tidak pernah jemu berdoa supaya diberi kesihatan yang baik supaya dapat menyambung kerja-kerjanya yang sebelum ini untuk tujuan mendapatkan rezeki untuk menampung keluarganya itu.

Ditanya tentang harta hasil dari usahanya mengerjakan sawah padi dan pusaka orang tuanya, dengan sedih dia menjelaskan, dia sebenarnya tidak mempunyai harta yang dimaksudkan. Orang tuanya yang berasal dari Bunut Susu, Pasir Mas bukanlah dari golongan berada, kerana itu dia tidak mewarisi atau mempusakai apa-apa harta kerana sememangnya orang tuanya memang tidak berharta apatah lagi memiliki tanah untuk dipusakakan kepadanya.

“Jika orang tua pakcik ada harta, tentulah pakcik akan mewarisinya, tetapi pakcik tidak ada harta itu.

“Hanya atas usaha pakcik sendiri untuk hidup. Tetapi disebabkan masalah yang pakcik hadapi ini, pakcik tidak dapat berbuat apa-apa”, katanya.

Menurutnya, orang lain terutama jiran-jiran dan penduduk kampung itu memang mengetahui tentang kesusahannya sejak dulu sehingga kini yang menduduki rumah yang agak uzur, tetapi mereka juga mempunyai masalah sepertinya. Anak sepupunya sendiri memang mengetahui tentang keadaannya itu malah sepatutnya boleh membantunya, tetapi mereka tiada usaha ke arah itu. Jadi, kalau kaum kerabatnya sendiri tidak cuba “ringan tangan” untuk menolong, apatah lagi dengan orang lain, katanya mengakhiri bicara.

Bagi individu dan dermawan yang ingin membantu dan menyumbang, boleh menghubungi beliau: 017-9062400

Mat Ail bin Awang atau Pak Wil.

Pak Wil ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya yang usang.

Beginilah keadaan kediamannya yang terkini (luar rumah).


Sebuah bilik tidak dapat digunakan akibat kayu reput dan berlubang (dalam rumah).



 Keadaan bahagian dapur rumahnya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH