RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan

Khamis, 1 Disember 2016

Martabatkan Bahasa Melayu


MARTABATKAN BAHASA MELAYU

ADA pihak berasa jengkel menerima teguran daripada pencinta bahasa Melayu yang tidak senang dengan penggunaan bahasa Inggeris di beberapa sektor dalam negara yang begitu berleluasa. Kritikan daripada segelintir pejuang bahasa Melayu terhadap penggunaan bahasa Inggeris itu seolah-olah mencabar kewibawaan mereka.

Hal ini berlaku kerana mereka beranggapan bahawa golongan yang mengkritik usaha menaiktarafkan bahasa Inggeris sebagai golongan yang terpinggir daripada arus globalisasi.

Kesedaran perlu ada bahawa orang Melayu yang dilahirkan di bumi Malaysia semuanya bertutur dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu. Kita akan menjadi miskin jika kita terus mengagungkan bahasa sendiri kerana sepatutnya kitalah yang mendaulatkan bahasa kita sendiri.

Misalnya dalam konteks berdakwah dan menyebarkan agama Islam kepada bangsa asing, kita perlu mempromosikan bahawa agama Islam yang kita anuti adalah satu agama yang terbaik, dalam masa yang sama tidak menjatuhkan dan merendah-rendahkan agama lain.

Atau dalam konteks perniagaan pula, jika syarikat yang kita tubuhkan mengeluarkan produk sendiri, maka kita perlu mempromosikan kebaikan, kelebihan mahupun keistimewaan produk yang kita hasilkan itu supaya mendapat kepuasan dan kepercayaan pelanggan. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama kita tidak boleh menjatuhkan atau merendah-rendahkan produk daripada syarikat lain.

Begitu halnya dengan bahasa, kita perlu mempromosikan kehebatan bahasa Melayu yang di dalamnya terkandung tamadun berhemah, tutur yang sopan, jiwa yang murni dan saling menghormati antara satu sama lain ke seluruh dunia kerana inilah adab dalam bahasa kita.

Memang benar bahawa Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan negara yang perlu dihormati oleh semua pihak. Namun perlu disedari, jika kita tidak bekerja kuat untuk mendaulatkan bahasa Melayu, bagaimana pula kita boleh berjaya untuk mendaulatkannya? Ini bermakna, bahasa rasmi yang didaulatkan oleh undang-undang hanya laku di atas kertas semata-mata, sebaliknya amat miskin di mata umum. Malah, kemiskinan bahasa kita juga berpunca daripada segelintir dari bangsa kita sendiri.

Ibarat makanan yang terhidang di atas meja, perut tidak akan berasa kenyang selagi kita tidak menjamah makanan tersebut. Begitu halnya dengan prospek bahasa kita. Jika kita menganggap apa yang tercatat di atas kertas itu sudah dikatakan hebat, sebaliknya kita hanya berpeluk tubuh semata-mata, bagaimana pula dikatakan bahasa kita telah didaulatkan dan dimartabatkan, sedangkan kita sendiri malas untuk berbuat demikian.

Jika kita enggan mencanangkan tentang kehebatan bahasa kita sendiri kepada orang-orang asing, kita juga tidak akan mendapat taraf global pada peringkat antarabangsa. Dengan kata lain, kita sering dijadikan alat dan bahan kajian kerana sikap kita sendiri yang lebih memandang kehebatan orang lain daripada kehebatan diri sendiri. Hal ini tidak sepatutnya berlaku jika kita berfikiran rasional dan sentiasa berpijak di bumi nyata. Tetapi malangnya, kebanyakan daripada kita seolah-olah sudah menjadi ‘Melayu Mudah Lupa’.

Persoalan kosa kata Melayu yang banyak digantikan dengan bahasa Inggeris bukan bermakna kita telah mencemarkan dan merendahkan martabat bahasa sendiri, sebaliknya ia adalah satu proses untuk memperkayakan bahasa kita. Apa yang penting di sini ialah membudayakan dan mendaulatkan bahasa itu lebih penting.

Hari ini, mungkin pejuang bahasa Melayu, golongan pencinta bahasa Melayu atau masyarakat Melayu sendiri telah sedar dan merasakan perlu berganding bahu untuk mencari kaedah terbaik agar bahasa ibunda kita dimartabatkan dan akan menjadi salah satu bahasa utama dunia. Bahasa Melayu juga bukan sahaja menjadi bahan dalam pembelajaran, tetapi juga sebagai bahan kajian dan rujukan.

Berhubung dengan mempromosikan bahasa Melayu juga, tidak wajar jika kita hanya berserah kepada keadaan. Individu yang gemar berserah kepada keadaan, tunggu dan lihat atau lebih teruk lagi jika hanya mengikut arus, ke mana dibawa ombak, di situlah terdampar, boleh dianggap sebagai ‘sampah’.

Sebagai bangsa Melayu yang dilahirkan pandai bertutur dalam bahasa Melayu, kita perlu menjunjung bahasa sendiri supaya bahasa Melayu berada setaraf atau sebaris dengan bahasa utama dunia yang lain.

Kita sudah dapat melahirkan warga yang berjaya mencatat sejarah mendaki Gunung Everest, belayar ke lautan bebas, membuat penerbangan solo dan sebagainya. Kita juga telah berjaya melahirkan cendikiawan dan pakar-pakar bahasa Melayu yang berwibawa untuk menggerakkan dan memartabatkan bahasa Melayu, tetapi kenapa pula kita menyatakan mustahil untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang utama kelak.

Masalahnya di sini ialah masih wujud di kalangan orang-orang Melayu sendiri yang berasa rendah diri, gemar menjadi pak turut dan berfikiran sempit, sebagai penyebab bahasa Melayu tersadai dan hasrat untuk meneruskan perjuangan ke kemuncak seolah-olah mustahil dan tidak berkesampaian.

Sebagai anak Melayu, menjadi tanggungjawab kita untuk bangkit dan memberikan kerjasama dalam usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan menempatkannya setaraf dengan bahasa-bahasa utama dunia yang lain.

Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan bahasa Melayu hanyalah sebagai pegangan, titik tolak dan hala tuju supaya orang-orang Melayu tidak cuba mengasingkan diri dan mementingkan diri dengan mengambil sikap berkecuali.

Masih wujud penggunaan bahasa rojak kerana sikap di kalangan masyarakat itu yang tidak peka dengan bahasanya sendiri.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 20 November 2016

Bahasa Jiwa Bangsa


BAHASA JIWA BANGSA

BIDALAN ada menyebut bahawa, ‘bahasa jiwa bangsa’. Ini bermakna ketinggian, kehebatan dan martabat sesuatu bangsa adalah terletak kepada kekuatan dan penggunaan bahasa di negara masing-masing. Rakyat yang menghormati bahasanya sendiri adalah rakyat yang bertamadun.

Undang-undang Malaysia di bawah Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntuk bahawa, bahasa rasmi negara adalah bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh Parlimen.

Hakikat tersebut amat jelas dan setiap rakyat wajar mengakui bahawa bahasa Melayu telah diiktiraf dan hendaklah digunakan dalam apa juga urusan rasmi. Kita sebagai warganegara perlu mengiktiraf bahasa kita sendiri sebelum mengiktiraf dan menggunakan bahasa asing walaupun ada sesetengah pihak yang berpendapat bahasa asing adalah perlu dan wajar diperluaskan dalam konteks pembangunan dan pendidikan hari ini.

Melalui pembelajaran di peringkat pra-sekolah dan seterusnya sekolah rendah, bahasa Melayu telah diajar kepada pelajar-pelajar dari tahap satu. Penggunaan bahasa kebangsaan ini kemudian diteruskan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Namun, kita masih ragu-ragu adakah para pelajar benar-benar memahami kehebatan bahasa negara mereka sendiri?

Jika kita membaca hasil tulisan pelajar-pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah, kita dapati banyak kelemahan yang ketara khususnya kesalahan ejaan ataupun perbendaharaan kata (kosa kata). Jika hal ini tidak diselesaikan, dibimbangi mereka tidak akan mempedulikan bahasa sendiri apabila mereka telah menempuh alam pekerjaan. Jika hal ini berlaku, bahasa Melayu bukan sahaja terus terpinggir bahkan akan dipinggirkan oleh masyarakat Melayu di negara mereka sendiri.

Di negeri Kelantan umpamanya, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Haji Annuar Musa menyatakan, kelemahan bahasa dan komunikasi pelajar-pelajar di Kelantan berterusan apabila ada segelintir guru mengamalkan penggunaan bahasa daerah (loghat Kelantan). Budaya menggunakan bahasa daerah semasa mengajar akan turut melemahkan penggunaan bahasa Melayu itu sendiri dan secara tidak langsung turut mempengaruhi pelajar-pelajar berkenaan.

Sebelum ini, terdapat sesetengah sekolah yang mengadakan Minggu Bertutur Bahasa Inggeris kepada semua pelajarnya. Pelajar-pelajar yang bertutur selain dari bahasa Inggeris pada minggu berkenaan akan didenda. Jika dilihat kepada kesungguhan sekolah-sekolah berkenaan yang mampu mengadakan minggu bahasa asing, kenapa tidak turut menekankan Minggu Bertutur Bahasa Melayu supaya semua lapisan pelajar turut menghargai bahasa mereka sendiri?

Sementara itu, kita juga berasa gembira kerana bahasa kebangsaan turut diguna pakai dalam sektor korporat dan semasa perbicaraan di mahkamah. Langkah kerajaan untuk mendaulatkan bahasa Melayu di sektor perkhidmatan kewangan dan perbankan amat membanggakan.

Penggunaannya wajar ditekankan memandangkan ramai pelanggan di sektor perbankan sering merungut kerana kebanyakan borang, surat perjanjian serta dokumen penting menggunakan bahasa Inggeris yang tentunya kurang difahami oleh sesetengah pelanggan mereka.

Langkah kerajaan melalui Kementerian Kewangan serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini adalah wajar, sejajar dengan kepesatan industri perbankan negara. Jika bukan kakitangan bank yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu yang menggunakan bahasanya sendiri, siapa lagi? Sedangkan pelancong luar umpamanya dari Rusia dan Jepun amat meminati bahasa kebangsaan kerana mudah dituturkan dan difahami, kenapa pula kita rakyat Malaysia sengaja menyisihkan bahasa kita sendiri?

Sesuatu bahasa dalam sesebuah negara akan menjadi indah, dihormati dan dihargai apabila rakyatnya sendiri menggunakan dan mendaulatkan bahasanya. Kita perlu mencontohi rakyat Jepun dan Thailand yang mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing dalam apa juga urusan dalam negara mahupun ketika berbicara dengan pelancong asing.

Malahan dikatakan para pelancong asing tidak menghadapi masalah menggunakan bahasa kebangsaan di negara-negara berkenaan termasuk mengamalkan adat dan kebudayaan mereka kerana pelancong-pelancong berkenaan perlu mempelajari bahasa tersebut sebelum melancong ke negara itu.

Sehubungan itu, kita sebagai rakyat yang dilahirkan di bumi bertuah dan dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan perlu memainkan peranan utama supaya bahasa Melayu dapat disebarkan ke serata pelosok dunia agar masyarakat dunia akan lebih mengenali Malaysia melalui bahasanya.

Penghormatan bangsa yang tidak terhingga terhadap bahasanya sendiri akan menyebabkan pelancong-pelancong asing tidak jemu-jemu untuk bertandang ke negara ini. Ingatlah, jiwa sesuatu bangsa itu adalah terletak kepada bahasanya. Maka daulatkanlah bahasa Melayu kerana bahasa Melayu itu kaya dengan istilah daripada pelbagai bahasa di dunia.


Nota:
Foto sekadar hiasan artikel

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH