RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Bantu Kami. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bantu Kami. Papar semua catatan

Ahad, 30 Oktober 2016

Tolonglah Makcik


TOLONGLAH MAKCIK

PASIR MAS, KELANTAN: Kesedihan disebabkan kematian orang yang tersayang tidak dapat dihitung dengan kata-kata. Tidak mungkin dapat dileraikan dengan tangisan kerana apabila diingatkan kembali, air mata pastinya bercucuran. Begitulah yang terpaksa dihadapi oleh Tuan Zainab Tuan Deraman atau Makcik Nab, 80, dari Kampung Apa-apa, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.

Katanya, beliau berasal dari Kampung Perol, Pasir Mas. Beliau berpindah ke Kampung Apa-apa itu setelah mendirikan rumahtangga dengan arwah suaminya. Suaminya yang berasal dari kampung berkenaan kembali menemui Illahi kira-kira 30 tahun lalu ketika berusia 50 tahun dan kini dia menetap di rumah pusaka arwah suaminya sehingga sekarang.

Tambahnya, ketika melayari bahtera hidup berumahtangga, beliau hanya dikurniakan seorang anak sahaja. Namun, beberapa ketika kemudian, anaknya pula dijemput Illahi yang ketika itu berusia 50 tahun dan kini hanya dia seorang saja yang masih menghuni di rumah arwah suaminya. Walaupun telah mempunyai cucu, namun cucunya tinggal di rumah sendiri.

Ditanya tentang makanan harian, beliau hanya berharap kepada pemberian orang ramai untuk sesuap makanan. Beliau ada menerima bantuan dari pihak kerajaan sebanyak RM100 sebulan. Sementara sumbangan dan bantuan zakat hanya dihulurkan oleh kebanyakan orang-orang kampung itu yang bersimpati dengan dirinya yang hidup seorang diri. Dia juga tidak pernah menerima bantuan dalam bentuk makanan seperti beras, gula dan sebagainya dari mana-mana pihak walaupun dari jiran-jirannya sendiri sedangkan itulah barangan keperluan yang amat diperlukannya.

Katanya lagi, selama tiga bulan dia tidak menuntut wang pemberian pihak kerajaan berjumlah RM100 itu, kalau diikutkan memanglah tidak mencukupi. Namun, dia tidak berbuat demikian bukan kerana bantuan itu terlalu rendah dan dianggap “kedekut”, namun hakikatnya dia sebenarnya berharapkan kepada cucunya untuk menuntut wang tersebut, tetapi cucunya tidak berbuat demikian. Sehingga hari ini, dia tidak pernah menikmati wang bantuan berkenaan itu dan beliau hanya bergantung kepada pemberian orang ramai semata-mata.

Ditanya tentang bantuan zakat dari pihak majlis agama Islam negeri, setakat ini tiada bantuan seumpama itu. Dia sememangnya berasa agak sedih juga berikutan dengan keadaannya itu, tiada pihak yang berkemampuan untuk cuba membantunya.

“Makcik hanya dapat bantuan dari orang-orang kampung, bantuan wang zakat makcik tak pernah terima. Sedih juga, apabila makcik dalam keadaan ini, tiada pihak yang ambil peduli”, katanya dengan nada sedih.

Apabila ditanya tentang bekalan elektrik ke rumahnya itu menurutnya, pada asalnya bekalan elektrik memang disalurkan ke rumah pusakanya itu dan dia sebelum ini pernah menikmati kemudahan itu. Tetapi disebabkan tidak mampu membayar bil elektrik selama tiga bulan, bekalan tersebut kemudiannya dipotong.

Beliau juga menyingkap dirinya yang bertemu jodoh semasa hayat suaminya. Katanya, suatu ketika suaminya hanya sekadar santai-santai di Kampung Perol. Sejak pertemuan itu katanya, terbitlah rasa cinta sehingga membawa mereka ke jinjang pelamin. Setelah mendirikan rumahtangga, beliau kemudiannya dibawa oleh arwah suaminya menetap di rumah pusaka yang didudukinya sekarang.

Ditanya tentang perasaannya dalam keadaan yang dihadapinya sekarang. Menurutnya, beliau memang sedih kerana bukan sahaja disebabkan kematian suami dan anaknya yang seorang itu. Tetapi bantuan dan sumbangan pihak-pihak tertentu juga tidak diperolehi sebagaimana yang sepatutnya, jadi, bagaimana beliau akan menjalani kehidupan sebagaimana orang lain?

Kadang-kadang katanya, apabila malam menjelang dia sentiasa berfikir tentang keadaan dirinya yang seperti disisihkan oleh masyarakat dan kerajaan kerana membiarkan insan sepertinya berkeadaan begitu tanpa diberikan perhatian, pertolongan dan bantuan.  Mungkin menurutnya, itu semua adalah dugaan hidup dan sebagai takdir Illahi terhadapnya.

“Makcik tidak pasti bagaimana akan menghabiskan hayat jika berkeadaan begini. Cuma makcik masih beruntung berikutan ada juga penduduk kampung yang sering bertandang, bertanya khabar dan menghulurkan bantuan sekadar termampu”, ujar Makcik Nab lagi.

Katanya, pada ketikanya kesedihan yang mencengkam jiwanya kadang-kadang terubat juga apabila tibanya hari raya. Ini kerana, ada juga kanak-kanak yang datang menjenguknya sambil beraya dengan beliau. Malah ketika itu, beliau banyak menerima buah tangan yang disedekah dan disumbangkan oleh penduduk-penduduk kampung itu.

Justeru, beliau bersyukur apabila tiada gangguan penyakit yang dialaminya walaupun usianya kini telah separuh abad. Sesuatu yang menjadi masalahnya adalah beliau tidak begitu berselera untuk menjamah makanan, itulah yang merunsingkannya ketika ini. Kadang-kadang cucunya sendiri menghulurkan makanan, namun disebabkan dia tidak berselera, apabila cukup tiga hari makanan itu terpaksa dibuang kerana makanan itu tidak lagi boleh dimakan.

Tuan Zainab Tuan Deraman atau Makcik Nab.

Makcik Nab ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Merenung masa depan yang belum menentu.

Inilah rumah pusaka arwah suami yang masih didudukinya sehingga kini.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Selasa, 20 September 2016

Beginilah Akhirnya


BEGINILAH AKHIRNYA

PASIR MAS, KELANTAN: Memang sedih juga apabila melihat kaki yang digunakan untuk berjalan terpaksa dipotong berikutan ditimpa penyakit. Keadaan bertambah sedih apabila dia kematian isteri, isteri yang sentiasa menjaga makan dan minumnya selama ini. Walau bagaimanapun, kedua-dua kejadian itu adalah takdir Illahi yang harus diterimanya dan dia redha dengan kejadian itu.

Itulah yang terjadi kepada salah seorang warga emas, Ariffin Mat Akid atau Pak Pin, 80, dari Kampung Pangkal Gerap, Kubang Gadong, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.

Dia kini berkeadaan cacat setelah kakinya dipotong. Apabila ditanya sebab kakinya dipotong, adakah bersabit dengan kencing manis. Pada mulanya, dia menafikannya dan apa yang diketahuinya ialah kakinya “berair”.

Seingatnya, setelah mengetahui keadaan kakinya, dia kemudiannya menerima rawatan di sebuah klinik swasta di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Katanya, doktor memberitahunya dia terkena penyakit saraf. Dia berada di klinik itu selama empat hari untuk tujuan menerima rawatan dan suntikan.

Menceritakan detik-detik dia terkena penyakit itu, pada awalnya dia dapat berjalan seperti biasa. Tanda-tanda dia mula terkena penyakit itu apabila dirasakan tubuhnya semakin berat. Dia cuba duduk apabila ketika berdiri dia berasa tidak selesa. Tetapi setelah dia dapat duduk, ketika itulah dia terlalu sukar dan berasakan badannya seperti beban untuk bangun.

“Ketika pakcik mengalami masalah kaki, kaki tidak berasa sakit, tetapi tidak selesa kerana berasa seperti ada cairan yang melekat apabila terpijak ke lantai. Dari hari ke sehari kaki pakcik semakin banyak keluar air”, katanya ketika menceritakan detik-detik masalah kakinya.

Menurutnya, disebabkan menerima rawatan di klinik swasta, beliau dikenakan bayaran berjumlah RM60 (rawatan pertama) dan diikuti rawatan kedua (RM50) dan rawatan ketiga RM50. Melihat keadaan kakinya tidak juga sembuh, beliau memberitahu anaknya supaya tidak lagi menerima rawatan di klinik itu kerana pastinya membazir wang ringgit. Selepas itu, dia tidak lagi menerima rawatan yang sepatutnya.

Apabila ditanya, kenapa tidak dirujuk kepada hospital kerajaan. Dia menjelaskan, pihak klinik memang ada bertanya tentang jarak dari rumahnya dengan pusat rawatan terdekat di kampung berkenaan. Jika ada, beliau disarankan supaya berulang-alik ke hospital berkenaan bagi memudah dan mempercepatkan rawatan susulan.

“Pakcik pernah meminum air kelapa muda, nasi berlaukkan ikan selayang, ayam, daging dan sayur kacang panjang.

“Cuma pakcik agak terkejut jika benar kata anak pakcik, masalah kaki pakcik disebabkan memakan kacang panjang yang agak tidak serasi dengan kesihatan pakcik”, ujarnya apabila ditanya tentang menu makanan yang menjadi penyebab kakinya berkeadaan begitu.

Ketika dia diserang penyakit itu, dia memang tidak mempunyai sumber kewangan kecuali atas inisiatif anak-anaknya. Disebabkan hal itulah, dia cuba mendapatkan bantuan kewangan dari pihak-pihak yang prihatin tentang masalah kesihatan yang dihadapinya. Kalau tidak sepenuhnya pun, dia bersyukur jika ada pihak yang sudi membantunya dalam keadaan dirinya seperti itu.

“Pakcik cuba mendapatkan bantuan dan sumbangan dari pihak ketua kampung. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas dimaklumkan tentang masalah pakcik ini. Tetapi pakcik gagal kerana pihak berkenaan tidak melayani permohonan pakcik”, ujarnya dalam keadaan hampa.

Selepas itu, dia cuba memohon bantuan pihak berkenaan di Pengkalan Pasir, Pasir Mas tetapi hampa walaupun sudah menunjukkan bukti, surat dan dokumen yang dikehendaki. Dia turut memohon bantuan dari seorang wakil rakyat, tetapi permohonannya seolah-olah menyusahkan.

“Tidak ada sikap prihatin dalam diri wakil rakyat”, kata Ariffin.

Katanya menambah, bukan sahaja tiada bantuan dari individu dan wakil rakyat, dia juga belum pernah menerima bantuan wang zakat. Disebabkan sering hampa kerana usaha sering gagal untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan, usaha seperti itu terpaksa dibatalkan kerana tiada pihak yang sudi melihat keadaannya. Hanya Penghulu Zaid saja yang bermurah hati menghulurkan sumbangan ala kadar.

Dia juga turut dirundung hiba apabila isteri yang sering menjaga makan, pakai dan keadaannya itu telah pulang ke rahmatullah. Setelah ditanya tentang keadaan yang menimpanya itu, dia kemudiannya menangis kerana sebelum ini dia pernah memberitahu kepada arwah isterinya tentang kehidupannya yang susah dan miskin.

Sementara itu, menurut adik iparnya, Roslina Hamzah berkata, di peringkat awal abang iparnya berasa sakit perut. Selama kira-kira tiga hari abang iparnya terpaksa menahan sakit itu. Melihat tiada tanda-tanda akan sembuh, beliau membawanya ke Klinik Perdana, Lemal, Pasir Mas. Pihak klinik berkenaan meminta beliau merujuk masalah abang iparnya itu ke Hospital Raja Zainab II, Kota Bharu apabila keadaannya agak kritikal.

Abang iparnya itu dimasukkan ke Wad ICU selama sebulan. Pada ketika dimasukkan ke wad berkenaan, abang iparnya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kira-kira selepas sebulan, abang iparnya dibawa pulang ke rumah dan didapati beliau tidak lagi dapat berjalan, seolah-olah urat dan sarafnya mengalami masalah.

Disebabkan abang iparnya tidak lagi dapat berjalan dan hanya mampu bergerak secara duduk dari satu tempat ke satu tempat dalam rumahnya itu. Lebih kurang tempoh antara dua hingga tiga tahun, tiba-tiba abang iparnya dijangkiti kudis di bahagian kaki. Beliau mengalami simptom seperti itu dalam tempoh enam bulan.

“Kesihatan tubuhnya baik, cuma masalah kakinya sahaja. Disebabkan keadaan itulah, terpaksalah abang ipar perlu dibawa ke hospital. Kemudian kakinya dipotong untuk mengelakkan jangkitan kuman”, katanya apabila ditanya tentang kesihatan abang iparnya ketika serangan simptom tersebut.

Ditanya tentang punca kejadian sehingga abang iparnya berkeadaan seperti itu, dia percaya kejadian itu berlaku disebabkan banjir kuning pada tahun 2014 apabila kulitnya yang sensitif terkena air banjir. Apabila terkena air banjir itu bermulanya episod masalah yang terpaksa dialami oleh abang iparnya. Apatah lagi kekotoran air banjir yang membawa pelbagai bahan kotor dan enap cemar memudahkan kuman berjangkit melalui kulit dan saluran darah secara diam.

Dia juga sedia maklum tentang dakwaan abang iparnya itu sebenarnya menghidap kencing manis, apabila melihat keadaan kudis itu yang perlu kakinya dipotong. Sebab-sebab lain, mungkin juga berpunca dari pemakanan sehingga kakinya menjadi bengkak.

Selepas kaki abang iparnya dipotong, keadaannya agak sempurna. Namun, beliau tidak pasti apakah yang akan berlaku seterusnya.

Membicarakan tentang bantuan untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh abang iparnya yang tidak mempunyai wang saraan sendiri, apatah pula terpaksa menanggung masalah kakinya dipotong. Katanya, beliau agak hairan kerana bantuan pernah dipohon dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut prosedur yang diminta.

Pihaknya telah dua kali ke JKM untuk memohon bantuan tersebut. Dia kurang mengerti di manakah silapnya, sehingga permohonan abang iparnya itu sama ada ditolak atau tidak, kerana berita tentang permohonan itu senyap begitu saja.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban beliau, hubungi telefonnya: 017-9529570

Ariffin Mat Akid atau Pak Pin.

Pak Pin ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Beginilah keadaan kakinya yang telah dipotong akibat penyakit itu.

Roslina Hamzah, adik ipar Pak Pin.

 Roslina Hamzah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediaman Pak Pin.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Jumaat, 1 Julai 2016

Menghuni Rumah Usang


MENGHUNI RUMAH USANG

PASIR MAS, KELANTAN: Tidak semua manusia yang meminta untuk menjadi miskin dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan, sumbangan dan simpati orang lain. Bahkan tidak semua bersifat malas untuk merubah keadaan hidupnya jika peluang dan kesempatan untuk berbuat demikian terbentang di depan mata. Tetapi disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi oleh individu berkenaan membantutkan harapan beliau ke arah itu sementelah pula sawah padi berkenaan tidak lagi dapat dikerjakan.

Hal inilah yang dialami oleh seorang penduduk, Mat Ail Awang, 78, atau dikenali Pak Wil dari Kampung Siram Kecil, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya yang usang itu.

Menceritakan masalah yang dihadapinya sekarang, Pak Wil sebenarnya menetap di kampungnya sekarang sejak tahun 1967 iaitu ketika banjir besar melanda Kelantan pada tahun itu.

Katanya,  tanah tapak rumah yang didudukinya sekarang adalah tanah yang dibeli oleh arwah isterinya (meninggal 20 tahun lalu) dari adik-beradiknya sendiri. Tetapi atas perkiraan, akhirnya tanah itu diberikan nama kepada beliau sebagai pemiliknya setelah beliau dapat membayarnya dengan jumlah keseluruhannya kira-kira RM4,000 lebih. Pada ketika itu, dia memperolehi anak kira-kira tiga orang dan kini anak-anaknya itu telah berkeluarga.

Ketika mula-mula menetap dan menghuni di tanahnya itu pada ketika itu dia adalah sebagai petani dengan mengerjakan sawah padi sebagai pekerjaan utamanya. Pada ketika itu, dia mengerjakan sawah padi atas “tanah pawah”(tanah orang lain yang dipawahkan) yang turut dibantu anak-anaknya dan arwah isterinya. Tanah sawah yang perlu diusahakan oleh beliau dan anak-anaknya itu berjumlah kira-kira 12 ekar dengan tenaga kerja seramai empat orang.  

Tetapi selepas tanahnya sekarang telah bertukar milik kepada namanya, dia tidak dapat lagi melakukan sebarang kerja sebagai petani atas dua sebab iaitu tiada lagi sawah padi yang dapat dikerjakannya dan dia kini mengalami masalah kesihatan iaitu serangan kencing manis yang membantutkan harapannya untuk mencari rezeki.

“Kini, apabila pakcik tidak lagi dapat mengerjakan sawah padi disebabkan masalah kesihatan, tanah itu kemudiannya dipawahkan kepada orang lain untuk diusahakan”, ujarnya sedih mengenangkan peristiwa ketika itu.

Menurutnya pendapatan bersih yang diperolehinya setelah tolak pawah, beliau memperolehi di antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan. Dalam jumlah yang diperolehinya itu, beliau terpaksa membahagikan pendapatannya kepada anak-anaknya pula kerana mereka sama-sama membantu meringankan kerja-kerjanya.

“Hasil padi yang diperolehi oleh pakcik dibeli oleh pihak Kada. Jika Kada tidak membelinya, terpaksalah pakcik mengupah orang lain untuk menjualnya”, katanya.

Katanya, sejak pagi iaitu kira-kira jam 8.00 pagi dia dan anak-anaknya akan turun ke sawah untuk tujuan itu. Manakala kira-kira jam 2.00 petang dia akan balik dari sawah.  Selepas itu, kira-kira jam 4.00 petang, dia akan kembali ke sawah padi untuk menyambung kerja-kerjanya itu sehingga jam 6.00 petang, dia akan pulang ke rumah.

Apabila ditanya tentang sistem pengairan dan saliran sawah padi yang diusahakan yang memerlukan penjagaan rapi untuk memastikan padi berkenaan dalam keadaan sempurna, dia tidak perlu bimbang tentang masalah sedemikian. Namun, sesuatu yang merunsingkannya ialah berhubung dengan masalah banjir yang akan memusnahkan kesemuanya.

Tambah Pak Wil lagi, disebabkan dia kini tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja sebagai petani di sawah padi sebagaimana di zaman mudanya, dia tidak lagi memperolehi pendapatan yang sepatutnya. Beliau juga pernah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung dengan masalahnya itu. Hasilnya, pihak berkenaan menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM300 (sebulan). Bahkan dia juga pernah menerima bantuan zakat berjumlah RM1,000 daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menjelang hari raya Aidilfitri pada tahun 2015 lalu.

Setakat ini katanya, hanya JKM dan MAIK saja yang prihatin membantu meringankan bebannya disebabkan beliau tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja sebagaimana yang sepatutnya. Menurutnya, wakil rakyat juga tidak boleh diharap kerana berat tangan untuk membantu untuk menyelesaikan masalah warga emas sepertinya apatah lagi datang menjenguknya juga tidak pernah. Dia terlalu segan untuk meminta daripada pihak berkenaan walaupun pada hakikatnya dia mengenali pihak tersebut.

“Setakat ini, tiada sumbangan dari badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menghulurkan bantuan” ujarnya.

Selain itu, Penggawa dan Ketua Kampungnya itu juga memang mengetahui tentang masalah yang dihadapinya, tetapi tiada tindakan diambil dalam usaha untuk membantu meringankan bebannya walaupun sedikit.

“Kalaulah pakcik tidak alami masalah kesihatan, tentunya pakcik akan teruskan kerja mengusahakan sawah padi seperti dulu”, ujarnya.

Kini, anak-anaknya sudah dewasa dan telah berumahtangga. Dia sebenarnya tidaklah begitu mengharapkan bantuan dari anak-anaknya apatah lagi melihat keadaan sumber kewangan anak-anaknya juga tidak menentu dan tidak begitu menggalakkan.

Katanya, kadang-kadang dia terfikir dan sering mengimbau keadaan zaman mudanya yang dapat melakukan apa saja khususnya sebagai petani di sawah padi. Tetapi mengenangkan keadaannya kini tidak sebagaimana zaman mudanya yang dapat melakukan segalanya, dia akur tentang itu. Dia tidak pernah jemu berdoa supaya diberi kesihatan yang baik supaya dapat menyambung kerja-kerjanya yang sebelum ini untuk tujuan mendapatkan rezeki untuk menampung keluarganya itu.

Ditanya tentang harta hasil dari usahanya mengerjakan sawah padi dan pusaka orang tuanya, dengan sedih dia menjelaskan, dia sebenarnya tidak mempunyai harta yang dimaksudkan. Orang tuanya yang berasal dari Bunut Susu, Pasir Mas bukanlah dari golongan berada, kerana itu dia tidak mewarisi atau mempusakai apa-apa harta kerana sememangnya orang tuanya memang tidak berharta apatah lagi memiliki tanah untuk dipusakakan kepadanya.

“Jika orang tua pakcik ada harta, tentulah pakcik akan mewarisinya, tetapi pakcik tidak ada harta itu.

“Hanya atas usaha pakcik sendiri untuk hidup. Tetapi disebabkan masalah yang pakcik hadapi ini, pakcik tidak dapat berbuat apa-apa”, katanya.

Menurutnya, orang lain terutama jiran-jiran dan penduduk kampung itu memang mengetahui tentang kesusahannya sejak dulu sehingga kini yang menduduki rumah yang agak uzur, tetapi mereka juga mempunyai masalah sepertinya. Anak sepupunya sendiri memang mengetahui tentang keadaannya itu malah sepatutnya boleh membantunya, tetapi mereka tiada usaha ke arah itu. Jadi, kalau kaum kerabatnya sendiri tidak cuba “ringan tangan” untuk menolong, apatah lagi dengan orang lain, katanya mengakhiri bicara.

Bagi individu dan dermawan yang ingin membantu dan menyumbang, boleh menghubungi beliau: 017-9062400

Mat Ail bin Awang atau Pak Wil.

Pak Wil ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya yang usang.

Beginilah keadaan kediamannya yang terkini (luar rumah).


Sebuah bilik tidak dapat digunakan akibat kayu reput dan berlubang (dalam rumah).



 Keadaan bahagian dapur rumahnya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 30 Jun 2016

Kasihanilah Daku


KASIHANILAH DAKU

PASIR MAS, KELANTAN: Siapa yang tidak berasa sedih apabila isteri yang dicintai dan anak yang dikasihi telah meninggal dan kini dia hanya mempunyai seorang anak saja. Bahkan, dia juga berasa sunyi apabila hidup seorang diri dalam sebuah rumah uzur, buruk dan hampir roboh, hanya menunggu masa dan ketikanya saja untuk ranap. Sementelah pula, dia tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja yang pernah dilakukan ketika zaman mudanya disebabkan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Dia kini sekadar dapat duduk dan baring saja, namun untuk bangun dan berjalan sebagaimana zaman mudanya, dia tidak lagi berdaya. Dia juga agak hairan, secara tiba-tiba dia diserang lumpuh yang menyebabkannya tidak mampu untuk bangun. Dia kini hanya memperolehi bantuan sumbangan serba sedikit dari seorang anaknya termasuk dari jiran-jiran dan orang-orang kampung berkenaan yang prihatin terhadapnya.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh, Awang bin Senik atau Abe Awang, 65, dari Kampung Bakong, Pasir Mas, Kelantan berkata, dia berpindah dari kediaman asalnya di kampung yang sama sejak tiga tahun lalu.

Semasa zaman mudanya, dia hanya bekerja kampung sebagai petani yang mengerjakan sawah padi. Pada ketika itu, dia sering memperolehi pendapatan yang agak baik iaitu kira-kira RM5,000 sebulan. Malah katanya, jika pasaran padi tidak begitu memberangsangkan, dia hanya kadang-kadang memperolehi pendapatan kira-kira RM4,000 atau kurang dari itu. Namun, lazimnya perolehan pendapatan yang diperolehinya hasil mengerjakan sawah padi adalah sebanyak RM4,000 sebulan.

Selain dari mengerjakan sawah padi, dia tidak melakukan kerja-kerja lain yang dianggap tidak sesuai dengannya apatah lagi dengan usianya itu, dia tidak mungkin dapat melakukan kerja selama-lamanya.

Katanya lagi, dalam masa mengerjakan sawah padi dia mempunyai beberapa ekor lembu. Namun, disebabkan masalah yang dihadapinya apatah lagi perlukan belanja, kesemua lembu-lembunya itu terpaksa dijual.

Dia hanya bekerja sebagai petani hanya dalam tempoh itu berikutan dia mengalami masalah kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk bekerja membanting tulang yang lebih teruk sebagai petani.

“Pakcik berhenti mengerjakan sawah padi ketika usia 20 tahun. Sejak tempoh itu, pakcik hanya mampu terlantar sebagaimana sekarang”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF.

Masalah kesihatan yang dialaminya ialah dia tidak dapat berjalan (lumpuh) seluruh tubuh. Akibat daripada penyakit berkenaan, dia tidak lagi dapat berjalan dan melakukan aktiviti lain sekalipun untuk membersihkan halaman rumahnya yang dipenuhi daun-daun kayu yang gugur setiap kali angin bertiup.

“Pakcik mempunyai dua anak saja, salah seorang telah meninggal. Pakcik sekarang hidup seorang diri. Isteri pula telah meninggal sejak setahun lalu”, katanya yang kini mempunyai seorang anak perempuan tetapi telah berkeluarga.

“Walaupun anak perempuan pakcik tidak tinggal bersama, namun anak pakcik itu tidak pernah mengabaikan pakcik yang ada di rumah ini”, ujarnya dengan nada sedikit sedih sambil menyapu wajahnya tanda beliau menangis ketika itu.

Berikutan mengalami masalah penyakit lumpuh itu, dia tidak lagi dapat mencari pendapatan sendiri dari dari kerjanya sebagai seorang sebagai pesawah padi seperti dulu. Beliau yang telah kematian isteri pada tahun lalu kini hanya berharap kepada bantuan dan sumbangan kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) semata-mata untuk meneruskan hidupnya.

Ditanya, adakah cukup dengan bantuan sebanyak itu dalam tempoh sebulan itu. Dia menjelaskan, tentunya bantuan BR1M akan diperolehi pada bulan yang berikutnya nanti.

Selain itu katanya, dia turut menerima bantuan serba sedikit dari anak dan cucunya dalam jumlah antara RM50 dan kadang-kadang RM100.

Membicarakan tentang hari raya pula, lazimnya setiap hari raya dia dapat sumbangan dari jiran-jirannya dan orang-orang datang berkunjung ke rumahnya. Dari sumbangan itulah dia berbelanja secara ala kadar dan berjimat-cermat.

Justeru, dari bicaranya, penduduk kampung berkenaan memang mengetahui dia mengalami penyakit tersebut dan tidak pernah menyisihkannya. Kerana itu, dia sering juga menerima tetamu yang datang menziarahinya semata-mata bertanya khabar tentangnya yang hidup seperti itu yang tidak lagi dapat melakukan kerja sebagaimana beliau di zaman remajanya.

Awang bin Senik atau Abe Awang.

Awang Senik ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.



Beginilah keadaan rumahnya yang uzur, sunyi dan menunggu masa untuk roboh.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 20 Jun 2016

Sekadar Yang Ada


SEKADAR YANG ADA

BACHOK, KELANTAN: Persoalan kemiskinan wujud di mana-mana, baik di negara maju mahupun di negara membangun. Hanya yang membezakannya, adalah bagaimana bentuk kemiskinan yang dialami oleh negara masing-masing itu ditangani. Begitu juga di negara kita, soal penduduk miskin itu tetap ada, cuma golongan miskin, daif dan golongan tidak berumah tidak memaklumkannya kepada pihak tertentu, jadi ada pihak yang menganggap negara kita adalah miskin sifar.

Apabila dibuat bancian dan kajian baharulah kita menyedari, masih lagi wujud golongan miskin yang memerlukan pembelaan, bantuan dan sumbangan yang sewajarnya sama ada dari pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat setempat mahupun golongan berada. Dalam konteks ini juga, kita melihat ada golongan miskin yang terus tersisih jika tiada bantuan mahupun sikap ambil peduli di kalangan masyarakat mahupun dari agensi kerajaan sendiri, apatah lagi wakil-wakil rakyat setempat yang tidak mempedulikan hal mereka.

Lazimnya, segelintir di kalangan penduduk miskin akan berasa malu untuk menyuarakan masalah mereka, walaupun hakikatnya mereka telah lama menanggung beban berkenaan. Jadi, adalah wajar wakil rakyat yang menetap di kawasan terlibat turut memainkan peranan untuk turun padang melihat masalah mereka. Jika tidak, si miskin akan terus berkeadaan seperti itu.

Dalam hubungan ini, Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh sempat meninjau masalah sebuah keluarga enam beranak yang hanya menumpang di atas tanah rizab kubur atas ihsan Ketua Kampung. Beliau yang dimaksudkan, Che Sepiah Che Soh atau Che Bunga, 58, dan suaminya, Ismail Abdullah, 90, bersama anak-anak dan cucunya yang menetap di Kampung Sador, Tawang, Bachok, Kelantan.

“Makcik sudah lama tinggal di kampung ini. Tanah ini adalah rizab kubur milik Tok Penghulu.

“Syukurlah Tok Penghulu tidak mengenakan sebarang sewa ke atas kami, jika tidak dengan apa yang harus makcik bayar”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF.

Katanya menambah, kalau bercakap soal harta, bukan setakat tidak memiliki tanah tetapi keluarganya tidak memiliki harta yang lain. Kediamannya kini dibina di atas keringat, lelah dan susah-payah keluargannya sendiri di situ. Itupun di atas jasa baik seorang Ketua Kampung yang sanggup memberikan kebenaran kepada dirinya dan keluarganya menetap di atas tanah itu. Jika tidak, dia dan keluarganya tidak lagi berada di kampung itu.

“Makcik tinggal di sini atas belas ihsan Tok Penghulu. Kalau suatu masa nanti, Tok Penghulu memerlukan tanah ini untuk sesuatu tujuan dan makcik diarahkan keluar, terpaksa makcik akan keluar dari tanah ini” ujarnya dengan nada sedih.

Menurut ceritanya, pada awalnya dia dan keluarganya itu patut tinggal di kampung lain, namun disebabkan terlalu jauh, beliau tidak berapa setuju. Katanya, tanah tempat dia menetap sekarang adalah tanah milik Tok Penghulu sejak tahun 1980-an lagi.

Apabila diminta menceritakan bantuan yang pernah diterimanya ketika menetap di kampung itu, setakat ini bantuan yang pernah diterima oleh beliau adalah dari pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istadat Melayu Kelantan (MAIK). Manakala pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan bantuan kira-kira RM120 sebulan, sementara suaminya memperolehi RM350. Katanya, disebabkan memperolehi sebanyak itu dia hanya sekadar menerimanya dan bersyukur dari tidak memperolehinya langsung.

“Dengan bantuan dan sumbangan itulah makcik dan keluarga menguruskan perbelanjaan harian secara berjimat-cermat”, ujarnya.

Ditanya tentang bantuan berkenaan, adakah cukup atau sebaliknya, beliau menjelaskan kalau diikutkan memanglah tidak memadai, tetapi disebabkan beliau hanya menerimanya dalam jumlah sebanyak itu, beliau redha terhadapnya. Apatah lagi, beliau yang sejak dulu hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan ternyata beliau amat malu untuk memintanya lagi.

Selain dari bantuan pihak MAIK dan JKM, beliau juga ada menerima sedikit bantuan dari penduduk kampung yang dianggap berada yang sanggup menghulurkan sumbangan apabila melihat keadaannya dan keluarganya.

Dia sehabis daya untuk berjimat-cermat dan tiada dalam kamus hatinya untuk berbelanja boros setelah menerima bantuan dan sumbangan berkenaan. Ini kerana, beliau ingin menikmati makanan sebagaimana orang lain, dia tidak mampu. Katanya, jika ada ulam dan misalnya pucuk ubi, dia akan rebus pucuk ubi dan makan dengan budu saja.

“Kalau nak ikutkan, makcik suka nikmati sebagaimana orang lain, tetapi disebabkan hanya ini yang mampu, makcik akur dengan ketentuan-Nya”, jelasnya.

Dalam konsep jimat-cermat yang diamalkan oleh beliau, jika ada lebihan wang belanja, dia akan membeli ikan secara berjimat yang biasanya RM2 atau RM3 (seekor atau dua ekor ikan) disebabkan ikan sekarang ini terlalu mahal. Jika tiada lebihan, dia tidak akan membelinya, sekadar nasi dengan ulam dan rebusan pucuk ubi itu saja.

Tambah Che Bunga, setakat ini dia tidak pernah merasa enaknya daging kalau digoreng, disinggan atau dibakar kerana kos terhadapnya agak mahal. Kalau tekak berasa ingin merasa hidangan itu, terpaksalah ditahannya saja, memandangkan wang yang ingin dibelanjakan tidak mencukupi.

Katanya, dia dan keluarganya hanya makan dua kali sehari saja untuk tujuan jimatkan beras yang kini hampir kehabisan. Dia tidak mampu membeli beras secara kampit sama ada 5 kg atau 10 kg, tetapi hanya mampu membeli beras timbang dalam jumlah 1 kg atau 2 kg saja setiap kali membelinya, beras itupun dijimatkan juga.

Manakala minum teh (air manis) hanya sekali sehari saja dan tidak lebih dari itu, malah kadang-kadang ia digantikan dengan air masak saja. Ditanya adakah pernah berasa ingin menikmati air milo, beliau menjelaskan, hal itu memang ada, namun melihatkan keadaan keluarganya dia tidak mampu berbuat demikian, malah terpaksa ditahan juga keinginannya itu.

Apabila ditanya tentang perasaannya yang bukan sahaja tidak memiliki harta, namun tidak mempunyai tanah sebagaimana orang lain yang begitu selesa memiliki harta, rumah dan tanah sendiri, dia menjelaskan, dia tidak dapat menggambarkan tentang hakikat itu. Mungkinkah dia hanya mampu menumpang semata-mata tidaklah beliau ketahui.

Menurutnya, disebabkan tinggal di atas tanah milik orang terpaksalah beliau bekerja sendiri untuk mencari pendapatan tambahan dengan mencari dan memetik pokok nipah untuk dijual di pasar. Dengan hasil jualan pokok nipah itulah dia memperolehi sedikit pendapatan tambahan yang tidak seberapa (lazimnya yang diperolehinya sekitar RM3 dari jualannya). Beliau terpaksa melakukan kerja-kerja tambahan berkenaan berikutan suaminya tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja disebabkan faktor usia dan kesihatan yang tidak menentu.

“Daripada duduk di rumah yang tentunya tidak dapat apa-apa, lebih baik makcuk usahakan kerja sekadar mampu. Takkan nak tunggu bantuan sebulan sekali, sebab dalam tempoh itu tentunya wang belanja akan habis”, ujarnya.

Membicarakan tentang suasana hari raya Aidilfitri pula, katanya dia tidak dapat menikmati suasana hari raya yang meriah sebagaimana keluarga-keluarga yang lain melihat kepada keadaan beliau dan keluarganya itu. Selepas menunaikan solat hari raya, dia dan keluarganya hanya tinggal di rumah itu sebagaimana di hari-hari yang lain juga kerana tidak berkemampuan seperti yang lain.

Apabila diminta menceritakan kehidupan penduduk Kampung Sador itu, menurutnya, kebanyakan penduduk di kampung berkenaan adalah pekerja kampung seperti buruh kasar (tukang rumah). Apabila ditanya tentang menyadat kelapa untuk diambil niranya dan memetik kelapa kerana melihatkan banyaknya kelapa di kampung itu, beliau menjelaskan, dewasa ini tiada lagi kerja menyadat dan memetik kelapa di kampung itu kerana upahnya tidak seberapa (agak kecil).

Katanya, jika suaminya menghadapi masalah kesihatan pihak hospital akan membawanya ke hospital. Pihak ambulan akan memberikan perhatian berkenaan dengan segera apabila dimaklumkan.

Dalam hal ini, dia tidak pernah ke hospital bersendirian kerana masalah tambang kenderan yang agak mahal membantutkan keluarganya untuk berbuat demikian. Justeru, dengan bantuan pihak ambulan akan memudahkan suaminya menerima rawatan yang sepatutnya.

Ditanya tentang tambang kenderaan persendirian, tambang seorang ke hospital di Bachok adalah RM10 (pergi/balik). Dengan jumlah wang tunai RM10 itu dia sudah jimat untuk membeli beras dari tambang kenderaan yang agak mahal.

Ditanya pula tentang pengwujudan Klinik 1Malaysia, beliau menjelaskan dia tidak pernah bertandang ke klinik berkenaan yang letaknya di Jalan Panji, Kota Bharu yang jaraknya agak jauh dari kediamannya sekarang. Sepatutnya, klinik ini diwujudkan hampir dengan kebanyakan penduduk di Kampung Sador itu.

Katanya, dia hanya berharapkan bantuan cucunya yang lelaki dalam melakukan kerja-kerja berat memandangkan kebanyakan anak dan cucunya yang lain adalah perempuan.

Jika ingin menyumbang, datang sendiri ke Kampung Sador, Tawang, Bachok, Kelantan atau menghubungi cucunya, Mohd. Khairul Azhar di talian: 012-9925132

Che Sepiah Che Soh atau Che Bunga.

Che Bunga ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Keluarga ini begitu teruja dan gembira dengan kehadiran kami. Kelihatan cucu lelaki, Mohd. Khairul Azhar yang menjadi harapannya.

Tentunya ada sesuatu yang difikirkan oleh mereka berdua.





Keadaan rumah Che Bunga (atas) dan kediaman anak dan cucunya (bawah).

Inilah daun nipah yang diusahakan oleh Che Bunga untuk menambah pendapatan beliau dan suaminya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 10 Januari 2016

Bukan Ini Yang Dipinta


BUKAN INI YANG DIPINTA

PASIR MAS, KELANTAN: Tiada sesiapa pun yang ingin hidup miskin, daif dan melarat tetapi itulah hakikatnya. Walau negara kaya mana sekalipun, tentu ada penduduk dan golongan miskin yang menetap dan meraih simpati di negara itu yang memerlukan bantuan. Begitu juga di Amerika Syarikat, negara berkenaan adalah negara maju, tetapi kemajuan dalam negara berkenaan tidak akan dapat lari apabila ada penduduknya yang miskin.

Begitu halnya di negara kita, walaupun telah dianggap negara membangun, penduduk miskin tidak dapat dipisahkan. Sementelah pula di Kelantan, jangan kata bebas miskin kerana penduduk yang miskin tetap ada. Cuma, kita akan berkata tiada miskin kerana kita tidak pernah melangkahkan kaki ke kampung-kampung dan bahagian pedalaman sehingga mulut kita berkata “miskin sifar”.

Dalam Islam telah mengatur sendiri hakikat berkenaan, sebab itulah diwujudkan sedekah dan zakat. Dua kaedah ini adalah untuk menyelesaikan masalah kemiskinan yang dihadapi oleh penduduk miskin dalam negara, negeri dan daerah itu. Justeru, jika semua umat Islam lembut hati untuk membantu golongan daif dan miskin, masalah kemiskinan yang ada di sesuatu tempat itu pastinya akan dapat diatasi.

Cuma, jangan bezakan di antara penduduk yang sememangnya miskin dengan golongan yang mengaku miskin semata-mata untuk meraih simpati sehingga bantuan, sedekah dan zakat diberikan kepada yang tidak berhak menerimanya. Jika hal ini berlaku, masalah kemiskinan akan terus bertambah dan golongan miskin tidak dapat pembelaan yang sewajarnya untuk menjalani kehidupan mereka sebagaimana golongan lain secara yang sempurna.

Membicarakan tentang hal berkenaan, Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh bersama Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin sempat menjejaki golongan yang dimaksudkan, Rohana binti Deraman atau Kak Na, 51, dari Kampung Candan, Chetok, Pasir Mas, Kelantan.

Menurut Rohana yang membahasakan dirinya sebagai Kak Na berkata, dia mula menetap di Kampung Candan itu mulai tahun 1997. Beliau yang mendirikan rumahtangga dengan arwah suaminya, Mohd. Jefri James yang kemudiannya meninggal akibat nahas jalan raya di Sibu, Sarawak pada 4 September, 2010 terpaksalah menyara anaknya, Mohamad Hafiz Daniell yang kini berusia 7 tahun.

Katanya, tanah tempat tinggalnya sekarang ini adalah milik bapanya dan apabila bapanya telah meninggal, tanah berkenaan diserahkan kepadanya tanpa ditukar hak milik. Walaupun begitu, dia terpaksa meneruskan kehidupannya yang seperti itu walaupun dia kini disahkan menghidap diabetes selama 20 tahun sejak 1995. Di samping itu, beliau juga menghidap kudis di bahagian belakangnya di mana kudis itu rapat dengan kulit dan tulang belakang malah jika tidak dirawat akan menyebabkan “kanser tulang” 

Ditanya, adakah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada memberikan bantuan kepadanya. Dia menjelaskan, pihak JKM  pernah berkata untuk memberikan bantuan tunai RM100 dengan meletakkan “tanpa notis”. Maksud tanpa notis itu menurutnya, sepatutnya pihak JKM menghubungi beliau sama ada melalui telefon ataupun surat. Apabila dia yakin pihak JKM bersedia membantunya, dia kemudiannya membuat semakan, tetapi amat dukacita apabila wang bantuan yang diharapkannya itu tidak dimasukkan ke dalam akaunnya.

Selepas itu, kebetulannya pihak JKM datang ke rumahnya untuk mewujudkan “komuniti” berhubung dengan pertanian dan menjaja kuih-muih, namun dia tidak pedulikan tentang hal itu kerana dia tidak berminat. Dia ke pejabat JKM sebenarnya adalah semata-mata untuk mengetahui tentang bantuan tersebut.

Dia diminta supaya mengemaskini maklumat di pejabat JKM di Pasir Mas. Lalu katanya, dia tidak dapat ke pejabat JKM di Pasir Mas sebab dia tidak ada tambang kenderaan untuk ke sana. Lantas beliau memberikan cadangan supaya menyelesaikannya cara mudah di rumahnya. Menurut Kak Na, beliau pernah ditanya oleh pihak JKM kerja yang mampu dilakukannya, dia menjawab hanya menanam serai sahaja.

Bercakap tentang tanaman serai ini menurutnya, tiada siapa yang sudi membeli serainya kecuali terdapat sebuah kedai runcit kecil yang sudi atas dasar pertolongan sesama manusia yang sanggup membelinya dengan harga seberkas RM2.

“Siapa pun tidak sudi membeli serai. Syukurlah ada sebuah kedai runcit yang sudi membeli untuk tujuan membantu saya”, katanya sambil menunjukkan jarinya ke arah kedai runcit yang dimaksudkan.

Katanya, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak pernah diperolehinya, dia juga belum pernah menerima mana-mana bantuan zakat. Menurutnya, dia hanya pernah menerima bantuan BR1M sahaja, bantuan lain belum pernah. Dia dapat merasai secebis makanan atas dasar bantuan kecil dari adiknya sendiri yang hanya bekerja kampung, namun untuk mengharapkan bantuan individu amat sukar sekali. Hanya bantuan berupa pakaian sekolah seperti baju, seluar, kasut dan beg sekolah telah diterimanya dari sebuah persatuan.

Rohana menambah, dia pernah tanya pihak Imam tentang borang bantuan zakat di mana golongan asnaf memperolehi bantuan zakat sebanyak RM500 setahun. Namun, jawapan pihak Imam agak menghampakan hatinya yang mendakwa tiada borang untuk tujuan itu.

Apabila ditanya tentang Wakil Rakyat pula, adakah pernah datang melihat kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh beliau. Beliau menjelaskan, setakat ini, Wakil Rakyat yang dimaksudkan itu tidak pernah datang ke rumahnya. Begitu juga dengan Penghulu begitu berat untuk datang melihat kesusahan yang ditanggungnya.

Katanya, golongan asnaf sepertinya seolah-olah patut menghubungi Penghulu yang dimaksudkan baharulah pihak berkenaan akan mengambil tindakan segera, jika tidak mana-mana si miskin dalam kampungnya itu akan tiada pembelaan sewajarnya. Maklumlah, golongan yang mempunyai jawatan dan ada kuasa pastinya tidak melihat kesusahan orang lain dengan meletakkan pada dirinya, sebab itulah mereka tidak memahaminya dan merasainya situasi sepertinya. Berhubung hal berkenaan, dia telah maklumkan kesemuanya, tentang masalah yang dihadapinya, namun tiada tindakan yang diambil. Jadi pada siapa yang beliau perlu harapkan lagi?

Katanya menambah, dia hanya dapat menjual serai yang ditanamnya itu dengan harga RM2, beli budu sebotol berharga RM1-20, baki lagi RM0-80 (wang baki itu disimpan). Pada hari esok pula, dia jual lagi serai yang dibawanya ke kedai itu, dapat RM2, duit itu untuk minyak motosikalnya pula untuk membawa anaknya ke sekolah dan untuk ke kedai.

Dia sememangnya banyak menanam serai untuk mengelakkan masalah bekalan itu, jika tiada bekalan dia tidak akan dapat lagi memperolehi pendapatan hasil jualan serai berkenaan. Cuma menurutnya, apabila kehadiran hujan yang lebat akan menyebabkan air bertakung di kawasan tanaman serainya itu. Apabila air bertakung, menyebabkan serainya mati. Kejadian banjir tahun 2014 menyebabkan tanaman serainya musnah seratus peratus, terpaksalah beliau menanamnya kembali.

“Kak Na berharap pihak berkenaan mempercepatkan bantuan yang diperlukan seperti keperluan persekolahan anak, perbelanjaan harian dan minyak motosikal”, katanya penuh mengharap.

Ditanya tentang makanan yang dimakannya setiap hari, beliau dengan agak kecewa memberitahu dia terpaksa catu makanan dan sanggup pula berlapar kerana tiada makanan yang perlu dimakannya. Namun, hanya bantuan kesihatan “Kurang Zat Makanan (KZM)” yang pernah diperolehi untuk anaknya yang telah berakhir pada bulan Disember 2015 baru-baru ini.

Beliau membuat permohonan mendapatkan makanan kesihatan itu ketika usia anaknya setahun 18 bulan. Dalam hal ini, pihak Kementerian Kesihatan menanggung kos itu. Menurut pegawai berkenaan memberitahunya, pihaknya tidak lagi menanggung kos berkenaan kerana apabila anaknya itu memasuki tahun satu, tentunya bantuan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan pula.

Katanya, apa yang telah dimaklumkan kepada beliau tentang RMT ini akan bermula pada bulan Februari 2016 nanti. Jadi bermakna, anaknya perlulah membawa wang tunai atau bekalan makanan sendiri dari rumah untuk tujuan berkenaan. Namun, jika sebut pasal duit, dia tiada apa-apa untuk berbelanja ketika ini kerana sememangnya dia tidak mempunyai duit untuk berbelanja.

Rohana menambah, setiap kali malam menjelang dia akan sentiasa berfikir tentang dirinya yang tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja yang sepatutnya berikutan dia kini menghidap “diabetes” selama 20 tahun sejak 1995 dan beliau juga menghidap kudis di bahagian belakangnya di mana kudis itu rapat dengan kulit dan tulang belakang dan jika tidak dirawat akan menyebabkan “kanser tulang”. Walaupun begitu menurutnya, jika ada mana-mana bantuan modal dia akan usahakan tanaman yang lebih lagi, di samping membuat pagar tanaman.

Baru-baru ini menurutnya, beliau telah memohon bantuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) supaya menyenaraikan namanya dalam talian “e-Kasih”. Dalam talian e-Kasih itu beliau ingin memohon bantuan “motosikal roda tiga”. Hasratnya apabila ada motosikal roda tiga akan ringanlah bebannya untuk membawa serai yang ditanamnya itu secara mudah malah lebih banyak lagi atau dia boleh mengusahakan jualan barangan basah seperti ikan dan sebagainya dengan adanya modal itu, sementara “kakinya boleh bergerak” dan “sementara mata boleh melihatnya” lagi.

Katanya, setakat ini dia menerima bantuan kecil dari sebuah badan NGO dari Machang berjumlah RM50, Penghulu Kampung Candan sendiri dan beliau juga pernah menerima bantuan makanan seperti beras 5 kg, gula, milo dan biskut dari beberapa individu. Tentang bantuan ini, beliau amat bersyukur kerana itulah rezeki pada hari tersebut kerana dapat makanan, namun tentang bantuan kewangan yang secukupnya buat menampung perbelanjaan lain, beliau masih belum menerimanya.

Pada masa ini dia amat berharap bantuan kewangan secara bulanan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya. Dia sekarang hanya “makan untuk hidup” dan bukannya “hidup untuk makan”.

Rohana binti Deraman atau Kak Na.

Kak Na ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Beginilah keadaan dalam rumah Kak Na yang kecil dan sempit.

Keadaan di luar kediaman Kak Na.

Wartawan RELATIF menjejak kediaman penduduk terbabit apabila mengetahui keadaan itu.

Beberapa individu menyusuri kediaman Kak Na.


Sebuah papan tanda naik taraf Jalan Kampung di Kampung Candan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN