RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Eksklusif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Eksklusif. Papar semua catatan

Khamis, 10 November 2016

Penulis dan Undang-undang


PENULIS DAN UNDANG-UNDANG

MENULIS bukannya mudah. Seseorang penulis perlu memiliki kesabaran, ketekunan dan minat yang mendalam untuk menghasilkan tulisan atau karya-karya yang bermutu.

Keadaan ini memang disedari bahawa kebanyakan penerbit media massa tanah air hanya memerlukan karya-karya yang bermutu semata-mata dan menepati hal ehwal semasa untuk disiarkan. Paling penting ialah segala tulisan itu boleh mengajak masyarakat pembaca memperolehi pengetahuan darinya.

Banyak perkara yang perlu diketahui dan boleh dijadikan asas oleh setiap penulis di dalam menghasilkan sesuatu bentuk karya itu. Di antaranya penulis perlu banyak membaca, belajar dan bergaul dengan masyarakat.

Sememangnya, membaca banyak manfaatnya, boleh meluas dan mematangkan minda. Kalau kita tidak mengetahui tentang sesuatu tempat menarik yang belum pernah kita kunjungi atau untuk mendapatkan maklumat tentang keadaan sosio-ekonomi rakyat di sesebuah negara, membacalah yang boleh memberikan jawapannya.

Begitu juga kalau kita ingin mendapatkan sesuatu maklumat berhubung dengan kesihatan, sains, alam sekitar dan sebagainya, dengan kaedah pembelajaran, seminar dan perbincangan, dengan membaca juga kita memperolehi maklumat itu.

Di samping itu, berhubung dengan hal kemasyarakatan, penulis perlu belajar walaupun golongan ini telah terdidik atau telah banyak menimba ilmu pengetahuan. Dalam konteks belajar, budaya bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung boleh dijadikan amalan untuk mendapatkan segala maklumat yang diperlukan. Penulis tidak perlu angkuh bahawa mereka telah terdidik dan banyak pengetahuan tentangnya.

Berikutan penulis diumpamakan “penyampai maklumat” kepada masyarakat, mereka juga berhak mendapat ganjaran atau honorarium yang adil sesuai dengan pengorbanan mereka. Tanpa penulis yang mencoretkan ilham, berkemungkinan segala maklumat dan perkara yang penting tidak dapat diketahui umum.

Tetapi benarkah penulis boleh hidup mewah dengan sekadar menulis semata-mata? Memang ada di kalangan segelintir penulis yang boleh hidup mewah dengan menulis genre seperti artikel, skrip drama radio, televisyen dan filem, cerpen, puisi dan novel. Penulis yang memperolehi ganjaran lumayan adalah penulis yang telah mencipta nama dan telah dikenali di dada akhbar dan majalah serta penerbit media cetak dan elektronik. Bagaimana pula dengan penulis-penulis muda?

Mungkin masyarakat pembaca telah sedia maklum bahawa ramai di kalangan penulis muda yang masih berjuang dengan penanya.

Kebanyakan ganjaran dan honorarium yang diberikan oleh kebanyakan akhbar dan majalah tidak begitu memberangsangkan penulis itu sendiri. Paling menyedihkan lagi ialah, segala ganjaran itu lambat diterima. Kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun. Itupun penulis hanya dibayar RM10 hingga RM80 saja.

Kadang-kadang terdapat penerbit media cetak yang langsung tidak mempedulikan ganjaran kepada penulis sedangkan bahan (majalah) dijual amat laris di pasaran. Malah terdapat penerbit yang memberikan ganjaran setelah menerima surat tuntutan dan selepas itu karya-karya dari penulis berkenaan digam. Hal yang paling teruk, didapati syarikat penerbitan yang menerbitkan karya penulis itu telah muflis dan gulung tikar sedangkan hutang mereka tidak juga dijelaskan kepada penulis.

Inilah perkara dan beberapa kelemahan yang melibatkan media cetak di negara ini. Penulis dianaktirikan asalkan mereka mendapat untung dari penat dan kesusahan penulis.

Penulis bukan sahaja perlu menulis tetapi turut berfikir, apakah bahan yang akan ditulisnya dan apakah mesej yang akan disampaikan nanti. Selain itu, penulis perlu dan wajib mematuhi beberapa akta, undang-undang atau peraturan berhubung dengan penulisan dan penerbitan karya di negara ini seperti Akta Hak Cipta 1987, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Kontrak 1950, Akta Rahsia Rasmi 1972, Undang-undang Penghinaan Mahkamah, Akta Keselamatan Dalam Negara 1960, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) dan lain-lain lagi.

Kelalaian penulis sama ada secara sengaja melanggari undang-undang, mungkin boleh menjejaskan pelaksanaan tugas seseorang penulis dan mereka boleh diambil tindakan sewajarnya.

Kesemua akta tersebut hanyalah peraturan tertentu tetapi penulis tidak dibela oleh undang-undang untuk mendapatkan haknya secara adil dari segi ganjaran terhadap karya-karya yang diterbitkan. Dengan itu, penerbit bebas menilai sesuatu karya itu dan jumlah ganjaran yang patut diberikan kepada penulis menurut kemahuannya.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya pihak persatuan-persatuan penulis, kerajaan serta badan-badan yang terlibat dengan media supaya menggubal satu undang-undang khusus untuk membela penulis dari setiap sudut yang boleh dinamakan “Akta Karyawan”.

Diharapkan, pada suatu masa nanti Akta Karyawan dan seumpamanya menjadi tiang peneguh kepada penulis supaya setiap penulis dapat menghasil dan menyumbangkan tulisan-tulisan yang bermutu di samping memperolehi ganjaran serta pengiktirafan yang adil.

Ini kerana, suatu masa penulis-penulis veteran akan “gugur” seorang demi seorang. Hanya yang tinggal adalah penulis-penulis muda sebagai penyambung warisan khazanah kesusasteraan tanah air.

Tercetaknya buku kerana lahirnya penulis.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 1 Mac 2016

Kemarau dan Banjir


KEMARAU DAN BANJIR

KELANTAN: KEMARAU dan panas terik tidak semestinya berkeadaan seperti itu selamanya. Kadang-kadang dalam keadaan kemarau yang panjang, boleh jadi air naik dengan tidak disangka-sangka. Kejadian banjir tahun 1975 umpamanya, walaupun keadaan cuaca di sebelah siangnya agak panas dan kadang-kadang hujan renyai-renyai di sebelah malamnya, tiba-tiba banjir boleh berlaku tanpa diduga.

Kita lihatlah dalam keadaan sekarang, walaupun awal tahun 2016 ini kelihatannya agak terjamin apabila tiada lagi hujan turun. Di sebelah siangnya dalam keadaan panas terik manakala di sebelah malamnya tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Itu semua tidak menjamin keadaan kemarau akan berterusan, kerana jika Allah S.W.T  mengkehendaki, banjir pasti boleh berlaku. Seperti yang berlaku di Sarawak tahun ini (2016) apabila dalam keadaan cuaca panas pun banjir boleh berlaku.

Kadang-kadang kejadian banjir boleh berlaku jika alam ini dirosakkan. Istilah alam yang dimaksudkan adalah seperti air, tanah dan tumbuh-tumbuhan. Ketiga-ketiga juzuk ini adalah rakan yang paling akrab dan kadang-kadang boleh diistilahkan sebagai adik-beradik. Jika salah satunya dirosakkan, yang dua lagi akan menerima nasib yang sama. Ini menunjukkan ketiga-tiga unsur dan juzuk ini saling bantu-membantu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka tidak berdendam, tetapi mereka akan tunjukkan kekuatan masing-masing dengan izin Allah.

Misalnya, jika tanah yang meliputi tanah daratan, bukit-bukau dan gunung-ganang ditarah atau dibotakkan untuk pelbagai tujuan seperti pengambilan tanah dan pembinaan kawasan kediaman tentunya akan berlakunya gangguan dalam sistem yang lain. Apabila tumbuh-tumbuhan ditebang dan ditebas untuk dijadikan kawasan pertanian dan perumahan, kerosakan akan turut dialami dua unsur yang lain pula. Sebab itulah sistem ekologi ini perlu dijaga atau dikawal ke tahap yang paling minimum, tidak diabai dan dirosakkan dengan sewenang-wenangnya.

Kejadian banjir besar yang dikenali “bah kuning” atau “banjir lumpur kuning” sebagaimana yang berlaku dan dialami mangsa di Kelantan pada bulan Disember 2014 lalu menggambarkan situasi seumpama itu. Apabila tumbuh-tumbuhan ditebang, tanah dikerjakan, bukit dan gunung ditarah sesuka hati akan berlakulah gangguan sistem ekologi itu. Akhirnya, sistem bekalan air dalam bumi tidak terarah dan meletus sehingga memuntahkan dengan banyaknya apabila kawasan yang tinggi pun dinaiki air.

Apatah lagi, dengan adanya gejala sosial berlaku dalam negeri seperti membuang bayi, bunuh diri, persetubuhan haram (penzinaan), membunuh jiwa yang diharamkan membunuh, menafikan peranan tempat ibadat (masjid) yang seharusnya tidak dilalaikan oleh orang-orang Islam, longgarnya hubungan umat-umat Islam dan tamak haloba dengan harta benda (mendakwa harta sendiri sedangkan harta orang lain) dan mengumpul harta yang tidak diagihkan kepada orang-orang yang memerlukannya tentunya akan menjurus ke arah kejadian itu.

Apabila berlakunya kejadian banjir, kita tentunya memerlukan tempat yang selamat untuk mengelakkan dihanyutkan banjir itu. Sememangnya, apabila berlakunya banjir, pastinya banyak berlaku kehilangan nyawa (lemas), rumah dihanyut dan roboh, harta-benda dan dokumen yang penting tidak dapat diselamatkan kerana nyawa yang perlu diutamakan terlebih dahulu.

Banyak kes apabila berlakunya kejadian banjir, kita mencari tempat yang selamat untuk berpindah. Lazimnya, di tempat-tempat tertentu mangsa-mangsa banjir akan ditunjukkan oleh pihak berkuasa keselamatan untuk berpindah seperti di bangunan-bangunan tinggi yang diyakini bebas dinaiki air atau di lokasi tertentu pula, pentingnya bukit dan tanah tinggi boleh dijadikan sebagai tempat selamat untuk berpindah.

Banjir Disember 2014 yang dikenali “bah kuning” memberikan petunjuk kepada orang ramai supaya sentiasa beringat dan berjaga-jaga. Ini kerana, kalau banjir 2014 yang boleh menenggelamkan kawasan tinggi, kejadian banjir yang seterusnya kita tidak tahu lagi. Mungkin lebih besar lagi atau sebaliknya, tetapi setiap penduduk perlu sentiasa berwaspada bahawa “langit tidak selalunya cerah”. Kejadian banjir besar yang lebih besar dari tahun 2014 itu mungkin akan berlaku apatah lagi alam ini adalah sudah tiba tahap “akhir zaman”.

Apabila datangnya banjir lebih besar dari banjir 2014 itu, tentunya bangunan-bangunan yang lazimnya tempat kita berpindah sebagai tempat selamat akan dianggap tidak lagi selamat. Cuma, jika di kawasan-kawasan pedalaman penduduk lebih beruntung kerana mereka boleh berpindah ke bukit, gunung dan gua-gua yang agak tinggi. Misalnya di daerah Dabong, Kuala Krai, banyak tempat tinggi seperti Gua Seto, Gua Keris dan Gua Pagar boleh dijadikan tempat selamat apabila banjir besar berlaku.

Bagaimana pula di kawasan-kawasan hilir seperti Kota Bharu, Wakaf Baharu, Tumpat dan Pasir Mas yang tidak mempunyai bukit, gunung dan gua? Apabila banjir besar berlaku, ketika itu kita memerlukan bantuan dan khidmat tempat-tempat tinggi itu untuk berpindah apabila bangunan-bangunan tinggi sebelum ini tidak lagi selamat diduduki kerana telah dinaiki dan ditenggelamkan banjir.

Dalam konteks ini, sempatkah kita memandu ke kawasan bukit tinggi andaikata banjir telah sampai kepada peringkat nazak? Tentunya tidak. Jadi, jika kawasan selamat sebelum ini telah ditenggelamkan banjir, kita yang menghuni dan menetap di kawasan dataran tanah rata ini akan berpindah ke mana? Inilah yang pihak berkuasa keselamatan perlu fikirkan bukan saja berfikir untuk memindahkan mangsa-mangsa dan menghantar makanan kepada mangsa-mangsa banjir.

Air deras dan laju dengan wajah menggerunkan seperti kepala air tidak akan memaafkan sesiapa apabila banjir itu melanda. Air itu pastinya akan sapu bersih segala kekotoran, rumah dan manusia tidak kira orang tua, remaja, kanak-kanak mahupun bayi. Jika bersikap cuai, akan jadilah mangsa lemas dan menemui maut.

Justeru, berhati-hati dan berwaspada di musim kemarau kerana kita tidak pasti akan apa lagi yang akan berlaku sama ada kebakaran mahupun banjir. Banjir tetap dan pasti berlaku jika banyaknya keburukan dan maksiat di dalam negeri itu. Contoh jelas, kejadian banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s  menggambarkan hakikat ini. Jika banyak maksiat yang tidak dibanteras, tunggulah saat air itu yang akan sapu kesemuanya.















Kawasan Kota Bharu, Wakaf Baharu, Tumpat dan Pasir Mas adalah tanah datar, rata dan rendah yang mudah ditenggelamkan banjir. Ketiadaan kawasan tanah tinggi seperti gunung, bukit dan gua sebagai tempat perpindahan yang selamat akan menyukarkan penduduk di kawasan terlibat apabila banjir besar yang tidak diduga melanda.

Sumber Foto:
ARKIB FOTO RELATIF

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH