RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Jumaat, 30 Disember 2016

Watak Jahat Barat


WATAK JAHAT BARAT

WATAK-WATAK Barat sememangnya jahat dan tidak boleh dipercayai walaupun pada zahirnya wajah-wajah mereka nampak baik dan berbudi. Di sebalik kelihatan jujur dan berhasrat ingin menolong sesetengah negara yang tertindas dan ditindas, sebenarnya tersurat dengan segala niat yang dipendam.

Dalam hal ini, boleh jadi terdapat beberapa buah negara Islam yang terhutang budi kepada Barat. Maka Barat dengan kuasa yang ada di tangan ataupun ‘pucuk dicita ulam mendatang’ amat berterima kasih terhadap beberapa buah negara berkenaan yang memohon pertolongan dari mereka. Dengan itu, ibarat orang berbudi kita berbahasa dan orang memberi kita merasa. Begitulah juga dengan negara-negara Islam yang diberikan pertolongan oleh kuasa-kuasa Barat itu.

Telah menjadi lumrah politik Barat masa kini bahawa, apabila sesebuah negara itu meminta pertolongan mereka, negara-negara yang ditolong perlu menerima beberapa syarat. Syarat-syarat tersebut perlu dipatuhi. Jika enggan, kemungkinan bantuan kewangan, ketenteraan dan mungkin juga bantuan makanan terpaksa disekat. Kita boleh lihat negara-negara Islam yang menerima bantuan dari Barat seperti Sudan, Arab Saudi dan mungkin banyak lagi negara-negara Islam yang menerima bantuan berkenaan. Tetapi dengan syaratnya, segala penyebaran dakwah Islamiah hendaklah dikurangkan atau diharamkan.

Sekiranya syarat-syarat ini yang dikuatkuasakan, maka negara-negara Islam yang diberikan syarat itu patut berasa malu dan bersalah. Malah mungkin negara-negara lain turut merasa pedih dengan syarat itu. Kenapa tidak, apabila kegiatan penyebaran dakwah Islamiah dihalang, maka kegiatan-kegiatan dakwah Islamian tidak sampai kepada tahap yang dikehendaki dan seolah-olah dikongkong. Sampai bila Islam harus dikongkong atau seperti ‘katak di bawah tempurung?’

Para pemimpin di negara-negara Islam perlu sedar bahawa, apakah perlunya kita mengambil sistem Barat dimasukkan ke dalam sistem Islam? Apakah Islam tidak mempunyai sistemnya sendiri sehingga sanggup menerima ketuanan Barat dalam segala segi sama ada ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya. Apakah pendokong-pendokong Islam kini tidak lagi mampu untuk menyusun sistem Islam yang diwarisi sejak zaman Rasulullah S.A.W  dan sahabat-sahabat Baginda?

Oleh kerana Barat yang sememangnya tidak jujur terhadap Islam, dengan kekuatan yang ada pada mereka, mereka semakin berusaha dan merancang strategi dengan tujuan untuk memusnahkan Islam dan umat-umatnya. Sepanjang sejarah, seringkali umat-umat Islam ditindas malah dakwah dan pimpinan Islam diganggu-gugat. Banyak negara Islam yang menerima nasib kezaliman Barat seperti Andalusia, Habsyah, Baitul Maqdis, Libya, Somalia, Sudan, Bosnia dan Chechnya. Dan selepas ini, negara Islam manakah yang akan menjadi mangsa penindasan tersebut?

Berikutan pihak Barat memang petah mengatus rancangan, banyak dari kepentingan di beberapa buah negara Islam telah dikuasai dan dimusnahkan. Masjid-masjid yang didirikan dengan utuh dan cantik telah diubah, dirosakkan dan dirobohkan. Malahan sesetengah masjid itu telah diubah menjadi gereja. Perpustakaan Islam turut dibakar. Di samping umat Islam yang terdiri daripada orang-orang awam dilakukan sesuka hati tanpa belas kasihan. Golongan ulama diperkotak-katikkan. Sesetengahnya dibunuh, dibakar dan golongan wanita diperkosa dengan rakus.

Dalam pada itu, kepedihan masih lagi terasa sehingga kini apabila daerah Quds (Maqdis) yang telah dikuasai golongan Yahudi dan Kristian sejak tahun 1967. Berdasarkan kepada kenyataan Randolf yang dipetik dari  Harbu Al-Aiyami As-Sittah, halaman 29 menyatakan bahawa:

“Usaha untuk membebaskan Maqdis dari kekuasaan kaum muslimin adalah cita-cita bersama Yahudi dan Kristian. Kegembiraan umat Kristian tidak ada bezanya dengan umat Yahudi, bila daerah Quds (Maqdis) sudah lepas dari kuasa muslimin. Dan gereja Yahudi mengeluarkan tiga ketetapan yang memasukkan daerah Maqdis ke dalam kekuasaan Yahudi dan daerah itu tidak akan kembali ke tangan muslimin meskipun nanti akan diadakan berbagai perundingan antara muslimin dan Yahudi (Sumber: Hancurkan Islam dan Leburkan Umatnya, terjemahan).

Berhubung dengan perkara-perkara yang telah dinyatakan itu, pihak Barat yang terdiri dari Amerika dan sekutu-sekutunya memang dari awal lagi telah menganggap bahawa Islam adalah sebagai batu penghalang kepada kegiatan mereka. Apabila satu rancangan untuk menaklukki Islam menemui jalan buntu dan ternyata gagal pada peringkat awalnya, mereka mengatur rancangan lain dengan tujuan yang sama.

Di antara beberapa rancangan Barat untuk menghapus dan menghancurkan Islam meliputi perkara-perkara berikut:

1. Melenyapkan Sistem Pemerintahan Islam

Salah satu sistem pemerintahan Islam yang menjadi kemarahan pihak Barat ialah hukum yang berlandaskan Al-Quran iaitu hukum hudud. Mereka mendakwa hukum yang dijalankan di bawah kanun hudud amat tidak adil dan boleh menyiksa manusia. Malah kata mereka, sistem Barat yang berlandaskan sekular yang lebih adil dan patut diterima pakai oleh seluruh umat manusia di seluruh dunia. Dengan itu, tidak hairanlah bahawa terdapat di beberapa buah negara Islam yang turut mengamalkan sistem seperti ini yang menganggap Barat lebih bijaksana.

Satu perkara yang ingin dinyatakan bahawa, dakwah atau ajaran Islam amat penting di dalam sistem ini. Apabila pemerintahan Islam dilenyapkan dari sesebuah negara, bermakna ajaran Islam itu sendiri berkubur. Dan berkuburnya ajaran Islam merupakan cita-cita Barat sejak sekian lama kerana seolah-olah satu jenis penyakit berbahaya yang mudah berjangkit dalam kehidupan manusia. Inilah bentuk-bentuk dakyah Barat terhadap pengetahuan dunia.

2. Menghapuskan Al-Quran dan Meragukan Hadis

Pihak Barat mendakwa, untuk menghapuskan Islam dan umat-umatnya ialah dengan cara menghapuskan Al-Quran. Ini kerana, Al-Quran adalah sumber rujukan umat-umat Islam sebagai tenaga kekuatan jitu yang secara langsung boleh mengalahkan musuh-musuh mereka.

Di samping itu, hadis-hadis Nabi perlu diragui supaya umat-umat Islam akan mudah terpesong dan bercakaran sesama sendiri kerana fahaman yang berbeza. Maka dalam persoalan ini, banyak hadis palsu telah dibukukan, diedar dan dipaparkan dalam media sosial dan dijual ke seluruh pelosok dunia. ‘Satanic Verses’ (Surah-surah Syaitan) karangan Salman Rushdie adalah contoh jelas untuk melaga-lagakan seluruh umat Islam supaya menjadi murtad dan menganggap agama lain yang betul.

3. Hancurkan Akhlak dan Pemikiran Muslim

Ini merupakan satu tindakan berani dan penuh terancang untuk menghancurkan Islam dari muka bumi ini. Langkah yang paling bijak ialah dengan menyalurkan perubahan dan pemikiran melalui media cetak dan elektronik. Mereka menulis buku dan menyebarkan maklumat menggunakan siaran bergambar melalui televisyen, komputer dan video yang menggunakan Lebuhraya Maklumat (Internet). Paling menjadi tumpuan mereka ialah golongan remaja. Apabila akhlak telah menjadi liar, perbuatan membunuh, merompak, menyeludup, rasuah, merogol dan sebagainya dapat dilakukan seperti pekerjaan biasa.

Di samping itu, mereka juga mendakwa kononnya kegiatan sukan seperti bolasepak, badminton dan tinju sebagai satu langkah menjaga kesihatan. Padahal tinju boleh membawa kepada permusuhan, memudaratkan kesihatan di samping menyebabkan seseorang menderita dan boleh membawa maut. Ia juga turut menyumbang pembaziran ke arah pembaziran wang dan masa.

Manakala bolasepak dan badminton kerap diadakan sewaktu solat. Permintaan sukan badminton dan bolasepak di kalangan sesetengah orang Islam tidak akan melepaskan peluang ini dan amat rugi jika tidak menonton atau mengikut perkembangan bidang berkenaan bermula dari awal hingga akhir.

Justeru, solat jika dikerjakan dianggap mendirikan dan meneguhkan tiang agama. Malah jika ditinggalkan, maka akan runtuhlah agama itu. Dengan itu, inilah peranan pihak Barat bahawa, satu langkah untuk melenyapkan Islam ialah dengan melalaikan waktu solat. Keadaan ini memberikan gambaran bahawa, dua senjata yang terpaksa dihadapi oleh setiap muslim ialah pihak Barat dan syaitan.

Selain itu, hiburan dan nyanyian yang melalaikan juga turut didakwa kononnya memberi kepuasan kepada pendengar yang sentiasa dahagakan hiburan. Remaja-remaja yang terlalu rindukan hiburan yang mengasyikkan tidak ingin melepaskan peluang seumpama ini. Mereka sanggup mengeluarkan wang dan mengorbankan waktu solat semata-mata rindukan hiburan atau tokoh-tokoh penyanyi dan pelakon idaman. Keadaan ini sekaligus, budaya Yahudi melalui hiburan dapat diterapkan di hati remaja muslim supaya menganggapkan nyanyian itu dapat mengubati naluri muda mudi, malah wang berkenaan kononnya dapat disalurkan kepada badan-badan amal mereka. Secara langsung atau tidak, amalan membaca dan menghayati Al-Quran diketepikan. Maka lahirlah remaja yang tidak bermoral, perosak diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Sementara itu, sebelum ini ramai di kalangan remaja yang meniru fesyen dan merubah fesyen rambut, breakdance dan pakaian. Ramai juga di kalangan remaja lelaki yang telah terpengaruh dengan saranan Barat itu dengan meniru fesyern rambut “punk” dan mewarnakan rambut masing-masing. Justeru, soal berpakaian juga turut menjadi kegilaan di kalangan remaja perempuan dengan meniru cara berpakaian mereka sebagai fesyen terkini yang terlalu ketat dan sendat sehingga menampakkan anggota tubuh, malah ada di kalangan mereka yang dianggap tidak berpakaian malah bertelanjang.

Selepas itu, timbul pula budaya lepak, bohsia dan bohjan. Budaya ini dianggap buruk kerana terdapat di kalangan remaja muslim yang membuang masa tanpa memperhitungkan bahawa merekalah harapan agama dan negara di masa akan datang.

Turut disebarkan juga, minuman arak dan merokok dapat menjadikan seseorang sebagai lelaki sejati, dapat menghindarkan segala kekecewaan dan seolah-olah dapat berfikir dengan tenang walaupun pada hakikatnya kedua-dua barangan tersebut membahayakan kesihatan dan telah diharamkan di alam Islam, sebagai satu cara membazirkan wang, menubuhkan bibit-bibit yang buruk, meneguhkan firma-firma Yahudi serta membunuh sesame umat Islam.

4. Rosakkan Wanita dan Galakkan Pergaulan Bebas

Langkah yang paling terkutuk sebagaimana yang dilakukan Barat yang terdiri dari golongan Yahudi dan Zionis ialah merosakkan wanita di samping menggalakkan ‘pergaulan bebas’ sama ada di kalangan lelaki, gadis-gadis remaja dan wanita Islam yang telah bersuami.

Gadis remaja yang sememangnya ingin hidup bebas dari kongkongan keluarga kerap terpedaya dengan tipu helah mereka. Dengan itu, gadis remaja tanpa segan silu bergaul bebas dengan lelaki yang kononnya berbudi kepada mereka, tanpa usul periksa terus menerima pelawaan teman lelaki sehingga sanggup dibawa ke masa saja yang dipinta. Maka disebabkan hal itu, timbullah berbagai kejadian pemerkosaan dan persetubuhan haram dan akibatnya lahirlah anak-anak luar nikah yang akhirnya sebagai jalan penyelesaian untuk menutup malu ialah dengan membuang bayi-bayi yang tidak berdosa.

Malahan wanita-wanita yang ingin memperolehi kekayaan dan kesenangan malah hidup dalam kegersangan pula juga diajak dan dianjurkan untuk melacurkan diri sebagai jalan mudah untuk mendapatkan kemewahan. Mereka kerap memaparkan wanita-wanita yang mempunyai tubuh menarik, menggiurkan dan meruntun nafsu telah menemui kesenangan hakiki dengan cara menjual dan memperdagangkan tubuh. Dalam hal ini, kononnya wanita-wanita berkenaan akan dapat kedua-dua sekali iaitu wang ringgit dan kepuasan nafsu.

Maka dengan cara meniru segala sikap, tingkahlaku dan perbuatan golongan berkenaan telah menjerumuskan wanita-wanita ke kancah penzinaan dan persetubuhan haram. Oleh itu, tidak hairanlah bahawa terdapat sesetengah di kalangan wanita Islam yang telah bersuami dua kerana inginkan wang ringgit sebagai habuan dunia dan kepuasan nafsu serakah mereka.

Persoalan ini perlu diberikan perhatian bersama dan patut diselesaikan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak supaya remaja lelaki dan perempuan serta wanita yang begitu lemah imannya tidak mudah terperangkap dan terpedaya dengan pihak Barat dan konco-konconya yang pada hakikatnya mereka sememangnya antikan Islam sejak dulu.

Ini kerana, Barat yang terdiri dari Yahudi, Kristian dan Zionis sememangnya ingin menghancurkan Islam dan penganut-penganutnya denga pelbagai helah. Keadaan ini pernah digarapkan di dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

“Mereka bermaksud hendak memadam cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, biarpun orang-orang yang kafir itu tiada menyukai”. (Surah As-Shaff: 8)

Berikutan itu, kita sebagai umat Islam ditegah dari menurut jejak langkah sesuatu kaum. Ini kerana, menurut jejak langkah mereka (kaum yang kafir) seolah-olah termasuk dalam golongan mereka bahkan mereka akan menyerutkan kita ke belakang lalu mendapat kerugian. Firman Allah S.W.T  yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman! Kalau kamu turut orang-orang yang tidak beriman itu, nescaya mereka akan menyerutkan kamu ke belakang, lalu kamu pulang dengan mendapat kerugian”. (Surah Ali Imran: 149)

Justeru, bersiap sedialah dari sekarang untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan helah dan prasangka buruk Barat yang seringkali merancang untuk melenyapkan Islam dan umat-umatnya dari dunia ini. Kerana itu, Allah S.W.T  adalah Pelindung dan Penolong kepada kita. Jika kita menolong agama Allah (Islam), nescaya Allah akan menolong dan mengukuhkan kekuatan Islam dan umat-umat-Nya.

Nota:
Foto Sekadar Hiasan

Sumber Foto:
AntaraNews.Com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 30 Ogos 2016

Bahana Pokemon Go


BAHANA POKEMON GO

DEMAM Pokemon Go sudah bermula apabila permainan berkenaan yang dibangunkan oleh Syarikat Niantic dan Nintendo Co. Ltd di Amerika Syarikat sudah melanda Malaysia sejak 6 Ogos, 2016 lalu dan aplikasi permainan siber itu boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing bermula tarikh itu.

Walaupun permainan ini dianggap baharu di Malaysia, namun terdapat beberapa negara yang telah mengharamkannya seperti Arab Saudi dan Iran kerana boleh mengancam keselamatan dan sehingga meragut nyawa.

Di Malaysia, pada awalnya hanya Wilayah Persekutuan saja yang mengharamkan aplikasi permainan Pokemon Go. Kini, diikuti pula Jakim dan lima negeri seperti Sarawak, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang menyokong diharamkan. Sementara enam negeri lagi terdiri dari Negeri Sembilan, Kelantan, Perlis, Pahang, Selangor dan Sabah masih belum memberikan kata putus tentangnya.

Namun, dari konteks anak muda bertanggapan mereka begitu teruja dengan kehadiran aplikasi realiti ini sebagai permainan yang menghiburkan dan boleh menghilangkan tekanan. Apatah lagi, dengan kehadiran permainan seperti ini, kemungkinan selepas ini akan wujud bentuk perniagaan baharu atau dikenali juga “bisnes online” yang dimuat naik ke media sosial. Mungkin juga permainan ini boleh dimanfaatkan sebilangan anak muda yang masih belum mendapat sebarang kerja, dengan wujudnya permainan seumpama ini, akan hilanglah rasa kebosanan itu. Bahkan amat beruntung juga bagi yang mahir dengan Teknologi Maklumat (IT), kerana permainan ini menggunakan teknologi berkenaan.

Kaedah permainan ini adalah untuk menangkap watak raksasa Pokemon maya di dunia sebenar melalui penggunaan kamera telefon pintar masing-masing di beberapa lokasi dengan bantuan teknologi sistem kedudukan global (GPS).

Mungkin bagi segelintir anak muda yang mendakwa permainan seumpama ini boleh menggembirakan mereka kerana amat berbeza dengan permainan lain yang dimuat turun sebelum ini. Namun, kita lihat pula dari sudut lain, adakah ia boleh meragut nyawa penggunanya sendiri selain mengancam keselamatan jika mereka terlalu leka dengan permainan itu?

Ini kerana, watak Pokemon yang kadang-kadang muncul di kawasan laluan yang sibuk, jika pemainnya berada dalam keadaan lalai kerena menumpukan kepada permainan tersebut, mereka tentunya terdedah kepada bahaya dilanggar kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Jika mereka berada di kawasan jambatan, mereka tentunya turut terdedah kepada bahaya sama ada terjatuh atau terpaksa terjun dari jambatan itu semata-mata untuk mengejar dan untuk menangkap watak Pokemon tersebut.

Sesuatu yang patut difikirkan tentang permainan itu tentang bahayanya kepada keselamatan negara berikutan ia dibangunkan teknologi GPS. Jika pemainnya memasuki premis yang menyimpan pelbagai maklumat dan data rahsia seperti balai polis, bank dan sebagainya, GPS akan mengesan dan mengakses tempat permainan itu. Dibimbangkan data yang dirahsiakan dan disembunyikan selama ini mudah diakses atau mudah dilihat pihak lain secara tidak sedar yang hanya berpunca dari permainan.

Dalam soal ini, kita tidak tahu apakah tujuan atau matlamat permainan seperti ini dibangunkan dengan teknologi GPS sedangkan jika dibandingkan dengan permainan lain yang tidak menggunakan sistem berkenaan. Apakah ia bertujuan untuk mendapat maklumat sulit yang selama ini tersimpan secara rahsia? Justeru, dengan membangunkan aplikasi ini, akan lebih memudahkan sistem yang rahsia dan sulit itu diperolehi.

Apa yang perlu dibimbangkan penggunaan sistem ini ke dalam aplikasi permainan sebagai suatu muslihat negara-negara tertentu untuk “mengintip” kerahsiaan negara lain secara sulit, sembunyi dan tanpa disedari oleh banyak pihak. Jika keselamatan seumpama ini diabaikan, kita bimbang negara akan berada dalam kancah bahaya dan ia perlu ditangani dengan cara yang bijaksana.

Kita juga ingin memperingatkan bahawa, jika permainan ini tidak diberikan perhatian atau kawalan tentang penggunaannya, dibimbangkan suatu masa nanti, sistem ini boleh mewujudkan “perang” maya ke dalam dunia realiti yang bukan sahaja boleh dilakukan oleh negara-negara yang mempunyai kuasa teknologi tinggi dari jarak jauh menggunakan sistem global (GPS) itu, tetapi perang sebenar boleh diwujudkan oleh pemain itu sendiri.

Memang kita boleh berkata “tidak” atau mungkin juga ada pihak-pihak yang menganggapkannya sebagai “mengarut”, tetapi sikap berhati-hati itu perlu ada sebelum kejadian sebenar berlaku. Ini kerana, apabila dikatakan “teknologi”, teknologi boleh dimanfaatkan secara berhemah dan tidak. Tetapi jika ia disalah gunakan, hancurlah dunia itu.

Dalam hal ini, pihak kerajaan mahupun pihak-pihak yang mempunyai data sulit perlu sentiasa berwaspada kerana apabila seseorang itu mula bermain, mereka tidak akan menutupnya kecuali berjaya menangkap watak-watak itu. Justeru, untuk menjadikan pemainnya dianggap berjaya, dia perlu melakukan apa saja sebagaimana yang wujud dalam watak maya itu, sekalipun terpaksa memasuki premis orang tanpa kebenaran.


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Sumber Foto:
www.forbes.com
 www.pokemongo.com