RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Produk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Produk. Papar semua catatan

Khamis, 10 Mac 2016

Keropok Cap Ikan Merah Kak Na


KEROPOK CAP IKAN MERAH KAK NA

PASIR MAS, KELANTAN: Sejak kebelakangan ini, Negeri Kelantan menjadi pengeluar keropok yang paling laris yang diusahakan oleh kebanyakan individu dalam negeri ini. Kalau sebelum ini, kebanyakan pelanggan hanya bergantung kepada keropok yang didatangkan dari Kuala Besut, Terengganu. Namun, percayalah apabila adanya teknologi, bercambahnya ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan dan berkat usaha kebanyakan pengusaha keropok, maka lahirlah beberapa nama besar di bidang berkenaan.

Mungkin ada di kalangan pengusaha berkenaan yang mengusahakannya secara kecil-kecilan, bergerak perlahan dan berasa akan menemui kegagalan pada peringkat permulaannya kerana penghasilan keropok bukanlah satu hal yang mudah, namun jika dilebihkan usaha, tangga kejayaan pastinya menunggu.

Walaupun pada peringkat awal untuk menghasilkannya agak tercabar dengan banyak liku-liku yang perlu dilalui seperti dalam proses pembuatannya, penggunaan bahan, pasaran dan tentang sambutan pelanggan apatah lagi terpaksa bersaing dengan pengusaha-pengusaha keropok yang sudah ada nama, namun atas usaha, dorongan dan bantuan dari keluarga akhirnya namanya sebaris juga dengan pengusaha-pengusaha keropok lain di pasaran.

Salah seorang pengusaha keropok yang kelihatannya sebaris dengan pengusaha-pengusaha keropok lain di pasaran ialah “Keropok Cap Ikan Merah Kak Na”. Jenama berkenaan yang diusahakan oleh Roslina Ismail (Kak Na, 40), dari Kampung Padang Jelapang, Jalan Chicha Tinggi, Pasir Mas, Kelantan yang telah diusahakannya sejak 1 Januari, 2001 lagi.

“Pembuatan keropok ini bermula pada 1 Januari, 2001. Ketika itu masih tiada saingan dari pengusaha-pengusaha keropok lain di pasaran. Hanya jenama ini saja”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya.  

Katanya menambah, ketika awal pembuatan keropok berkenaan dia memproses keropok lekor. Disebabkan adanya tempahan pihak sekolah dia terus menukar dari keropok lekor kepada keropok keping berikutan keropok lekor tidak tahan lama kecuali hanya dapat bertahan selama tiga hari saja malah keadaannya mudah rosak pula. Sebaliknya, keropok keping tahan lebih lama malah kualitinya masih terjamin kerana dalam keadaan berbungkus seperti itu.

“Saya mengusahakan keropok seumpama ini atas dorongan dari keluarga. Sementelah pula, minat terhadapnya sejak awal lagi sehinggalah hari ini”, katanya.

Menurut Roslina, berbanding keropok lekor sebelum ini yang agak terhad pasarannya apatah lagi masalah tidak tahan lama, tetapi apabila bertukar kepada perusahaan keropok keping pasarannya agak luas dan memberangsangkan.

Katanya, kebanyakan keropok kepingnya sekarang selain tersohor dalam pasaran tempatan, ia juga turut diekspot ke Terengganu, Kuala Lumpur dan Sabah. Malahan dari segi pasarannya pula agak meluas berbanding keropok lekor.

“Dari segi bahan-bahan yang digunakan untuk memproses keropok keping terdiri dari tepung kanji, tepung sagu, air batu, ikan, penambah perisa yang dibenarkan”, jelasnya.

Tambah Roslina, modal yang dikeluarkannya untuk tujuan memproses keropok keping adalah kira-kira RM60,000. Ini termasuk pembinaan tempat memproses dan menyimpan keropok tersebut, penggunaan peralatan dan mesin seperti mesin mengadun, mesin ikan, mesin memotong dan tempat mengering keropok. Kesemua mesin berkenaan pada ketika dulu berharga RM5,000 dan kini katanya mungkin telah naik harga.

Membicarakan tentang perbezaan memproses keropok lekor dan keropok keping juga berbeza. Ini katanya, setelah keropok berjaya dibuat, sebelum ia dipotong menjadi kepingan, keropok itu perlu direbus terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam peti ais supaya keropok itu menjadi pejal (keras). Hanya dalam masa semalaman, baharulah keropok yang telah dimasukkan ke dalam peti ais itu boleh dipotong menjadi bentuk kepingan.

Selepas itu keropok berkenaan perlu dijemur dengan segera dalam masa satu hari. Keadaan cuaca yang agak panas sekarang membolehkan keropok dapat dijemur secara sempurna dalam masa satu hari.

Menurutnya, menjemur keropok secara tradisional ini akan menjadikan keropok lebih berkualiti. Katanya, dia menjemur keropok keping itu di atas tempat yang dinamakan “acak” yang dibuat khusus untuk menjemur keropok seperti itu.

Katanya menambah, proses membuat dan mengering keropok seumpama ini bukan dibuatnya seorang diri tetapi turut dibantu oleh keluarganya sendiri (empat beranak) termasuk dua orang yang digajikan khusus.

Menurutnya lagi, semasa proses membuat keropok penggunaan ikan segar tidak akan menjadikan keropok itu lebih sempurna kerana keropok yang dihasilkan akan menjadi tidak begitu menarik. Dalam konteks ini menurutnya, sebelum keropok itu diadun dengan ikan itu, ikan-ikan berkenaan hendaklah disimpan selama semalaman ke dalam tong fiber yang diisikan dengan ketulan ais. Dalam tempoh semalaman itu, baharulah keesokannya keropok itu boleh dihasilkan dengan baik.

Apabila ditanya, kenapa menggunakan “cap ikan merah” kerana biasanya pengusaha-pengusaha keropok menggunakan cap “ikan parang” dan “kapal”. Katanya, penggunaan cap ikan merah adalah berdasarkan ilhamnya sendiri untuk membezakannya dengan pengusaha-pengusaha keropok jenama lain di pasaran.

Katanya, sejak diperkenalkan keropok keping cap ikan merah beberapa tahun yang lalu, sambutan terhadapnya agak menggalakkan. Pada masa itu, jenamanya itu hanya diketahui oleh jiran-jiran dan penduduk sekitar dan tempat tinggalnya saja. Namun, selepas beliau meletakkan label di sebelah luar (laluan) umum itu, ramai yang mengetahui tentang produk keropok beliau di kampung itu.

Menurutnya, pasaran keropoknya itu adalah di kedai-kedai runcit yang berhampiran dan di pasar-pasar harian yang berdekatan. Tentang produknya itu mendapat maklumbalas yang agak menggalakkan juga apabila dalam tempoh lima hari berada di pasaran, keropoknya itu habis dibeli oleh pelanggan. Keadaan ini menggambarkan, pelanggan menggemari keropok yang diusahakannya.

Bercakap tentang harga keropok pula, harga yang dijualnya adalah kira-kira RM10 sebungkus bagi 500 gram. Tetapi bagi peniaga yang pernah menempah dengannya dalam jumlah yang banyak (secara borong) di rumahnya sendiri, dia akan memberikan diskaun dengan harga RM5 sebungkus. Tetapi bagi keropok yang dibeli secara timbangan (tanpa berbungkus) beliau menjualnya dengan harga RM9  sahaja. Bagi keropok yang beratnya 200 gram dijualnya RM10 (4 bungkus).

Sesuatu yang menarik menurutnya, pelanggan yang datang bukan saja membeli keropok yang siap dibungkus. Tetapi ada juga pelanggan yang membelinya secara terus (secara timbangan). Kebanyakan di antara mereka adalah terdiri daripada kalangan peniaga keropok yang turut menjual secara timbangan. Walaupun jumlahnya tidaklah ramai iaitu kira-kira 10 hingga 20 orang, namun kebanyakan peminat keropok dianggapnya berbeza di dalam menentukan pilihan sendiri.

Katanya lagi, dia pernah dimaklumkan oleh beberapa pelanggan yang pernah menempah keropoknya itu memaklumkan, citarasa keropoknya itu agak berbeza dengan keropok lain di pasaran. Kata mereka, keropok yang diusaha dan dihasilkannya itu mudah mengembang dan agak enak setelah digoreng. Ini kerana, keropoknya itu dibuat (dipotong) dalam bentuk yang agak nipis. Jika keropok dipotong tebal, tentunya keropok berkenaan akan berkeadaan pejal, lambat masak dan kurang citarasanya (citarasanya berubah).

Katanya, setelah keropok berkenaan siap, ketika itulah keropok mula dibungkus. Tentang masa membungkus, dia tidak menetapkan masa. Kadang-kadang dilakukan di sebelah malam dan kadang-kadang di sebelah siang terutamanya apabila ada masa ruang. Kerja-kerja seumpama ini juga dilakukan dengan bantuan ahli keluarganya juga supaya proses membungkus lebih cepat dan pantas.

Sebarang pertanyaan dan tempahan, hubungi talian:
019-9955904 (Roslina Ismail)
014-8019061 (Suaminya, Mat Zain Yusoff)

Roslina Ismail atau Kak Na.

Roslina ketika diwawancara Wartawan RELATIF yang di kediamannya.




Sebahagian produk keropok yang masih ada, yang lain semuanya telah ditempah.

Kediaman Roslina.

 Papan tanda dipacakkan di tepi laluan umum di Kampung Padang Jelapang, Jalan Chicha Tinggi.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 10 Februari 2016

Maksu Lah Kerepek Pisang



MAKSU LAH KEREPEK PISANG

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Makanan ringan seperti kerepek pisang memang enak jika dimakan di waktu lapang bersama minuman atau dibawa ke tempat perkelahan di kawasan jeram. Namun, banyak produk kerepek pisang itu, ada yang mendakwa enak malah ada yang berkata tidak. Hal ini mungkin wujud berdasarkan kepakaran pembuatnya, mungkin tangan yang membancuhnya tidak sama dengan tangan orang lain.

Hal berkenaan diakui sendiri oleh Ramlah binti Yusof, 57, atau lebih dikenali Maksu Lah dari Kampung Kubang Palas, Wakaf Baharu, Kelantan ketika diajukan pertanyaan terhadapnya. Menurut Ramlah, ramai pelanggannya yang mendakwa kerepek pisang yang dihasilkannya lebih enak, lazat dan berlemak berbanding dengan kerepek pisang yang pernah mereka makan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya. Menurut Ramlah, dia memproses kerepek pisang sejak 15 tahun lalu. Pada ketika itu, dia dan keluarganya tinggal di kawasan laluan umum di kampung itu dan selepas itu berpindah ke lokasi baharu sekarang, namun usaha menghasilkan kerepek pisang masih diteruskannya. 

“Asal maksu menghasilkan kerepek pisang ini secara kecil-kecilan adalah disebabkan minat terhadapnya.

“Pada masa dulu, maksu asalnya adalah seorang pekerja kampung. Pada suatu ketika hampir dengan Tahun Baharu Cina, sebuah keluarga Cina (pemilik kilang) telah menebang sebatang pokok pisang lalu diberikan kepada maksu berjumlah dua sikat supaya menghasilkan kerepek pisang itu”, ujarnya.

Katanya, memperolehi pisang sebanyak dua sikat itu dia pulang lalu menghasilkan kerepek sebagaimana yang dikehendaki. Suaminya yang merupakan kakitangan hospital mencuba kerepek yang telah dihasilkan oleh isterinya itu yang dianggapkannya agak “enak” dan “berlemak” lalu meminta untuk membawa ke pejabatnya sambil menunjukkannya sebagai contoh kepada rakan-rakannya. Setelah dinikmati oleh rakan-rakan suaminya di pejabat mereka mendakwa kerepek itu memang enak dan sejak itu masing-masing menempah. Kata mereka, mereka tidak pernah berasa kerepek pisang yang seenak itu sebelum ini.

Disebabkan tempahan awal dari rakan-rakan suaminya itu, terpaksalah dia membuatnya. Pada awalnya, dia menghasilkan sebungkus kerepek pisang itu dengan harga RM1 saja. Kini, harga yang ditetapkan adalah sekilo berharga RM20, malah ada bungkusan dengan harga RM10 dan terbaharu paket RM5.

Kata Ramlah, selain beliau sebagai pemilik kerepek pisang itu, ada juga beberapa orang yang datang menimba ilmu darinya untuk menghasilkan kerepek pisang sendiri yang enak dan terbaik. Terpaksalah beliau mencurahkannya ilmu dan cara membuatnya sebagaimana pengalamannya selama 15 tahun itu.

Ditanya tentang penggunaan bahan-bahan sehingga beliau dapat menghasilkan resepi kerepek pisang yang enak dan lazat itu, dia hanya menggunakan dua bahan saja. Jika menetapkan masin, kerepek itu adalah masin yang dicampurkan dengan garam dan jika manis, dia akan mencampurkannya dengan gula berdasarkan citarasa dan minat masing-masing. Bagi yang gemarkan perasa pedas, dia akan mencampurkannya dengan lada kering yang telah dimesin. Lazimnya menurutnya, jika menghasilkan kerepek “sira” dia akan menggunakan gula sebagai bahannya.

Dia menghasilkan tiga citarasa utama iaitu manis, masin, manis dan masin saja. Di antara ketiga-tiga citarasa ini menurutnya, citarasa manis paling digemari ramai kerana dianggap enak dari yang lain-lainnya. Sementara bagi penggemar kerepek pisangnya dari luar Kelantan menggemari masin saja.

Menurut Ramlah, pada suatu ketika, dia pernah ditawarkan mesin untuk memotong pisangnya itu agar lebih bermutu, namun kos mesin itu agak mahal. Lantas dia menolaknya dan katanya lebih baik dia memotongnya sendiri secara “manual” menggunakan pisau pemotong berharga RM6. Katanya, kelazatan kerepek pisang itu disebabkan kaedah potongan pisang itu yang agak nipis dan mudah dimamah.

Berhubung dengan sambutan pelanggan terhadap kererek pisangnya itu memang agak laris. Katanya, menjelang hari raya dia tidak menang tangan untuk menghasilkan kerepek yang telah ditempah oleh pelanggannya sejak awal. Pada masa dulu menurutnya, dia akan meletakkan kerepek yang siap dibungkus di kedai-kedai runcit yang berdekatan. Namun, sejak itu kebanyakan pelanggannya yang mengetahui lokasi rumahnya akan datang sendiri untuk menempahnya. Kerana menurut Ramlah, lazimnya pelanggan yang datang sendiri ke rumah akan mendapatkannya dalam kuantiti yang banyak.

Di antara tempat-tempat yang menjadi tumpuan kerepek pisangnya ialah ke pejabat-pejabat (hospital dalam 15 kilo sehari) dan sekolah (sekolah di Getting, Tumpat yang menempah 100 bungkusan seminggu) selain ke pasaran Bachok yang menempah terus darinya. Katanya, kerepek pisangnya itu bukan sahaja dipasarkan berkisar di Kelantan saja tetapi pernah ke luar Kelantan iaitu ke Kuala Lumpur.

“Orang ramai mengetahui kerepek pisang maksu kerana maksu telah melekatkan label kecil pada setiap bungkusan kerepek pisang itu bagi memudahkan pelanggan menghubungi maksu melalui tetefon atau datang sendiri ke rumah”, katanya.

Menurut Ramlah, pernah satu ketika kerepek pisangnya itu telah habis dan dia tidak berkesempatan membuatnya, dia meminta pelanggannya itu supaya mendapatkan kerepek pisang yang dihasilkan oleh beberapa jirannya yang turut menghasilkan kerepek pisang sepertinya. Namun, katanya, kebanyakan pelanggannya meminati kerepek pisang yang dihasilkannya sendiri.

“Maksu menghasilkan kererek pisang ini setiap hari tanpa berhenti sama ada menjelang hari raya atau hari-hari biasa. Namun bagi maksu, jika hari raya maksu akan menambah permintaan dari hari-hari biasa”, ujarnya.

Ditanya tentang kalangan penggemar kerepek pisangnya yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan orang-orang dewasa, menurut Ramlah kalangan orang-orang dewasa mendominasi kerepek pisangnya sejak dulu. Walau bagaimanapun, dia pernah mendengar kanak-kanak turut memuji kerepek pisangnya yang enak dan lazat untuk dimakan.

“Pada masa dulu, maksu turut dibantu ibu tetapi disebabkan ibu telah ke Kuala Lumpur, terpaksalah maksu menghasilkan kerepek pisang itu seorang diri.

“Selepas itu, maksu turut dibantu anak-anak dalam urusan “membungkus” agar segala kerja yang berkaitan dapat dihasilkan dengan cepat dan sempurna”, ujar Ramlah.

Berhubung dengan hal berkenaan, dia pernah dimaklumkan oleh beberapa pelanggannya yang menyatakan bahawa citarasa kerepek yang dihasilkannya amat berbeza dengan kerepek pisang yang lain yang pernah dinikmati. Hal seumpama ini timbul apabila kerepek pisang yang dihasilkannya itu telah habis dan pelanggannya masih menempah darinya.

Apabila ditanya tentang cita-citanya untuk membesarkan perusahaan kerepek pisangnya itu memang ada. Sementelah pula anak lelakinya yang kini akan bersara penuh sebagai anggota tentera. Mungkin dengan adanya bantuan anak lelakinya itu dia akan dapat menumpukan sepenuhnya tentang hasrat berkenaan. 

Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, boleh menghubungi Ramlah Yusoff (Maksu Lah) di talian: 010-4161587

Ramlah Yusoff atau Maksu Lah.

Maksu Lah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Sebuah bilik khas dijadikan sebagai tempat untuk memasak dan menggoreng pisang yang telah dipotong.



Inilah sebahagian kerepek pisang yang siap berbungkus. Yang lain telah dibeli oleh pelanggannya.



 Inilah kediamannya. Sebuah papan tanda dipasang di kediamannya bagi memudahkan pelanggan datang mengambil sendiri tempahan yang telah siap.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan dan Foto:

AZMI MOHD. SALLEH