RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Rawatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rawatan. Papar semua catatan

Selasa, 20 Disember 2016

Perubatan Tradisional Mata Maksu Ana


PERUBATAN TRADISIONAL MATA MAKSU ANA

PASIR MAS, KELANTAN: Perubatan tradisional atau alternatif tidak memerlukan bahan yang banyak atau teknologi yang canggih semata-mata untuk merawat penyakit yang dialami. Rawatan tradisional telah mengalami kelaziman penggunaan bahan-bahan yang ada di sekeliling kita seperti tumbuh-tumbuhan dan herba.

Ini kerana, alam yang di dalamnya ditumbuhi pelbagai jenis pokok yang mampu merawat kesihatan manusia adalah anugerah Allah yang tidak ternilai banyaknya. Kemahiran manusia yang bergelar pengamal rawatan tradisional mengeksploitasi tumbuh-tumbuhan yang ada di sekitar kita sebagai bahan terbaik untuk merawat penyakit yang dialami manusia telah diamalkan sejak dulu yang kemudiannya diperturunkan kepada generasi pengamal rawatan tersebut sehingga hari ini.

Segelintir di kalangan manusia sebenarnya masih belum faham, tidak mengetahui dan menafikannya secara membuta tuli disebabkan manusia tidak didasari ilmu dan dalam masa yang sama enggan belajar tentangnya. Mereka hanya mengenali beberapa jenis ilmu saja, sedangkan ilmu yang ada di dunia ini tidak terbatas sifatnya. Begitu halnya dengan rawatan tradisional yang bermula sejak lebih 1,438 tahun lalu yang masih diberikan perhatian oleh segelintir pengamal rawatan Melayu, sedangkan ilmu rawatan moden baharu sekadar 600 tahun saja.

Malahan masyarakat Melayu di zaman dulu bukan saja menggunakan kaedah tradisional untuk merawat pelbagai jenis penyakit kerana pada masa itu masih belum dibina pusat rawatan atau klinik moden. Mereka hanya menggunakan bahan atau dari sumber alam seperti kaedah tumbuh-tumbuhan tetapi dalam masa yang sama turut disertai dengan amalan doa, solat hajat, zikir dan tasbih untuk tujuan memohon supaya Allah menyembuhkan penyakit yang dialami manusia.

Pelbagai jenis penyakit umpamanya penyakit urat saraf, resdung, masalah angin dalam badan (sekadar menyebut beberapa penyakit), diubati secara tradisional. Begitu halnya penyakit mata yang turut diperkenalkan oleh Pengamal Perubatan Tradisional Mata, Rohana Che Mud atau lebih dikenali Maksu Ana, 48, dari Kampung Kubang Dapat, Pasir Mas, Kelantan adalah sekadar menggunakan bahan-bahan asli dan segar dari tumbuh-tumbuhan seperti limau dan air mineral semata-mata untuk menyembuhkan penyakit mata, selain resdung, medu dan uluran dengan izin Allah. 

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, Rohana Che Mud yang membahasakan dirinya sebagai Maksu Ana berkata, dia mengamalkan perubatan tradisional mata sejak 33 tahun lalu. Katanya, dia memperolehi ilmu merawat mata itu sejak beliau di bangku persekolahan iaitu ketika masih menuntut di Tahun 6 lagi yang diperolehinya dari arwah bapanya sendiri.

“Maksu mengamalkan perubatan tradisional ini sejak 33 tahun lalu, sejak maksu berada di bangku persekolahan di Tahun 6 lagi. Arwah bapa yang mengajarkan ilmu itu”, jelasnya.

Tambah Maksu Ana, kisah bermula beliau memperolehi ilmu itu ketika bapanya diserang penyakit strok. Ketika itulah bapanya mengajarkan perihal ilmu tersebut dengan menggunakan bahan-bahan dari tumbuh-tumbuhan seperti daun, buah dan batangnya.

Dengan kaedah tumbuh-tumbuhan herba itu menurutnya, bukan saja penyakit mata dapat dirawatnya tetapi penyakit-penyakit lain seperti resdung, medu dan uluran pun dapat dirawatnya dengan izin Allah. Keempat-empat penyakit itu beliau mampu merawatnya dengan bahan-bahan tersebut yang ternyata mempunyai banyak khasiatnya yang asli dan segar.

Ditanya tentang sambutan pesakit terhadap rawatan yang diperkenalkannya, dia berkata dalam masa dua tahun ini, kira-kira 15 pesakit yang menggunakan khidmatnya telah menerima rawatan dalam masa sehari. Katanya, bermulanya cuti persekolahan ramai pesakit yang bertandang ke rumahnya semata-mata untuk mendapatkan rawatan berkenaan terutamanya kanak-kanak dan orang dewasa.

Lebih daripada 1,000 pesakit yang pernah menerima rawatan darinya sejak 33 tahun itu dan beliau bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada pesakit dengan kaedah tradisional.

“Rasanya sudah lebih dari 1,000 pesakit yang maksu rawat. Memang agak ramai juga yang datang”, katanya.

Menurutnya, beliau banyak menerima maklumbalas daripada setiap pesakit yang dirawatnya yang mendakwa, kaedah yang diamalkan itu menjadi dengan izin Allah. Tetapi menurutnya ada juga penyakit yang gagal sembuh, namun dia hanya berikhtiar saja dan yang menyembuhkannya adalah Allah. Jika Allah izin untuk sembuh, penyakit akan sembuh dan begitulah sebaliknya.

Membicarakan tentang kaedah rawatan mata, dia menggunakan tempurung kelapa untuk merawat pesakit mata dalam pelbagai kategori dengan bantuan sumber tumbuh-tumbuhan seperti limau nipis dan air mineral. Begitu juga dengan rawatan resdung dan medu, penggunaan limau nipis iaitu satu bahan yang mudah diperolehi dan tidak memerlukan kos yang tinggi sebagai kaedah terbaik menurut ilmu yang dipelajarinya.

Katanya lagi, untuk memudahkan rawatan mata (katarak) dan sebagainya berjalan lancar, beliau meminta pesakit menyediakan sebotol air mineral dan lapan biji limau nipis sahaja.

Apabila ditanya, bagaimana pesakit dari tempat lain mengetahui beliau melakukan rawatan berkenaan. Beliau menjelaskan, kebanyakannya diketahui dari rakan-rakan mereka yang pernah mendapatkan rawatan darinya dan berita berkenaan tersebar dari mulut ke mulut dan ada yang turut dimuatkan dalam media sosial seperti Facebook.

Kata Maksu Ana lagi, bukan saja penduduk tempatan pernah datang ke rumahnya untuk mendapatkan khidmatnya itu tetapi ada juga penduduk dari daerah-daerah lain di Kelantan. Paling menarik menurutnya, ramai juga pesakit dari luar Kelantan seperti dari Terengganu, Pahang, Kedah, Perak dan Kuala Lumpur yang datang ke kediamannya semata-mata meminta beliau merawat penyakit yang dialami mereka.

Berhubung tentang bayaran pula, beliau tidak meletakkan syarat bayaran kepada pesakit yang menerima rawatan darinya tetapi atas dasar ikhlas dari pesakit dan keluarga pesakit itu sendiri. Beliau berbuat demikian kerana berasa kasihan melihat derita yang dialami oleh pesakit. Beliau hanya ingin membantu pesakit yang memerlukan pertolongan tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi dan tidak masuk akal.

Walau bagaimanapun, ada juga pesakit yang tidak dikenakan bayaran dengan melihat kepada keadaan pesakit itu sendiri yang tidak mempunyai pendapatan, jadi dia halalkan saja.

Rohana Che Mud atau Maksu Ana boleh dihubungi di talian: 017-9140907

Rohana Che Mud atau Maksu Ana.

Maksu Ana ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Air mineral dan limau nipis, antara bahan asli yang digunakan untuk merawat mata, resdung, medu dan uluran.

Papan tanda yang diletakkan di hadapan kediamannya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Ahad, 1 Mei 2016

Tok Ayah Tukang Urut


TOK AYAH TUKANG URUT

PASIR MAS, KELANTAN: Menceburi bidang tukang urut dan rawatan tradisional sekaligus bukanlah suatu perkara mudah. Ini kerana, kedua-dua bidang ini memerlukan kemahiran dan ilmu yang mencukupi, jika tidak pengamalnya akan dianggap janggal atau hanya mementingkan bayaran dan imbuhan. Namun, keperluan kepada tukang urut juga perlu dilihat dalam aspek tertentu, kerana pandangan manusia memang tidak sama.

Sesetengahnya berpendapat, memadailah dengan memakan ubat atau pil segala yang melibatkan masalah urat saraf pastinya akan sembuh. Tetapi, dari pandangan pihak lain pula adalah sebaliknya, mereka lebih suka diurut kerana apabila urat saraf terseliuh adalah lebih tepat jika ia dibelai menurut kaedah dan turutan tertentu.

Begitu halnya dengan rawatan tradisional. Tiada penawar yang boleh digunakan jika individu itu diganggu oleh makhluk lain yang tidak kelihatan pada pandangan mata sama ada disakat makhluk halus, gangguan di jalanan dan sebagainya. Jadi, adalah munasabah pengamal rawatan tradisional mengambil alih tugas itu kerana merekalah yang lebih arif di bidang berkenaan.

Sebagaimana yang dicetuskan oleh Tukang Urut dan Perawat Tradisional, Che Rosli bin Mat, 51, atau lebih mesra dengan panggilan Tok Ayah dari Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, Kelantan tidak menolak, pengamal rawatan tradisional dan tukang urut perlu di zaman moden walaupun teknologi hari ini telah mengambil alih tugas-tugas itu. Dalam konteks tertentu, pengamal tradisional dan tukang urut masih diperlukan kerana itulah kesinambungan ilmu orang-orang tua zaman lampau.

“Saya menceburi bidang mengurut sejak lebih 20 tahun lalu. Saya mengurut berdasarkan kepada masalah yang dialami oleh pesakit.

“Misalnya masalah terseliuh urat, masalah pinggang atau saraf membengkak dan sebagainya.

“Bahkan saya juga bersedia membantu mangsa dengan kaedah rawatan tradisional jika mangsa disakat atau diganggu makhluk halus atau apa-apa yang bersabit dengannya sama ada mangsa terkena “santau”, jika diminta pesakit, saya akan ikhtiarkan menurut ilmu yang saya perolehi”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.

Membicarakan tentang bidang urutan, lazimnya yang pernah diurutnya adalah beberapa kes nahas yang menyebabkan urat terseliuh, dia akan berusaha mengurutnya supaya urat-urat yang bermasalah dapat diperbetulkan dan pesakit sihat sepenuhnya.

Ditanya tentang masalah “senjata” dan “tenaga batin lelaki” lelaki yang didapati agak berkurangan, katanya, dia akan cuba sebaik mungkin, kerana dia hanya berikhtiar sahaja, hanya Allah sahaja yang menyembuhkannya.

Bercakap tentang ilmu mengurut, beliau memperolehi ilmu mengurut misalnya dari bapa angkatnya yang juga seorang tukang urut, dari bapa angkatnya itulah dia belajar serba sedikit tentang cara dan kaedah mengurut dengan betul dan supaya pesakit tidak akan berasa sakit apabila diurut.

Tambahnya, cara belajar itu berdasarkan ayat-ayat suci Al-Quran, bapa angkatnya akan meminta beliau mengamalkan dari ayat-ayat tersebut dengan menggunakan “air tawar” sebagai “penawar” dengan pengisian doa dan sebagainya. Air tawar ini akan diberikan kepada pesakit untuk diminum dan dengan kaedah begini seolah-olah beliau berserah kepada Allah supaya pesakit dapat disembuhkan.

Ditanya tentang soal mengurut dan merawat pesakit secara tradisional disebabkan minat atau bagaiman, beliau menjelaskan, hal mengurut adalah hal biasa yang dilakukannya sejak dulu. Namun, berhubung dengan hal rawatan tradisional seperti merawat gangguan makhluk halus ini agak terlalu sukar untuk dipulihkan. Jadi, beliau perlu lihat keadaan pesakit itu sendiri baharulah beliau dapat tahu kaedah yang perlu dilakukannya. Dalam soal ini, memanglah minat menjadi hal utama, jika tidak dia tidak menceburinya kerana bidang berkenaan memang terlalu sukar.

Ditanya pula tentang jumlah pesakit atau mangsa yang pernah dirawat dan diurutnya sejak beliau berkecimpung di kedua-dua bidang rawatan berkenaan, dia menjelaskan, setakat ini sudah lebih 50 orang yang pernah datang mengurut dengannya. Manakala tidak sampai 50 mangsa yang pernah dirawatnya secara tradisional.

“Sebenarnyam saya tidak membuat kiraan jumlah pesakit yang datang. Hanya yang saya tahu, lebih 50 orang yang pernah saya urut.

“Manakala tidak sampai 50 pesakit yang pernah menerima rawatan tradisional yang melibatkan gangguan makhluk halus”, jelasnya.

Menurut Tok Ayah, kebanyakan yang datang berurut dengannya datang dari Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Puteh selain dari Pasir Mas dan penduduk tempatan yang mengetahuinya secara lisan. Tetapi ramai yang tidak mengetahui tukang urut sepertinya ada di Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas.

Sementara dalam konteks maklumbalas yang pernah diterima dari beberapa pesakit yang ditemui, mereka mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan urutan yang telah diberikan oleh Tok Ayah. Tok Ayah menjelaskan, beliau hanya berikhtiar sekadar termampu, tetapi yang menyembuh dan memberikan kesempurnaan kesihatan adalah Allah S.W.T.

“Penerimaan maklumbalas itu menunjukkan urutan dan rawatan yang saya berikan didapati sembuh sepenuhnya dengan izin Allah.

“Ini menggambarkan bantuan yang saya berikan menjadi dan bukan sekadar cakap-cakap saja. Jika tidak, pastinya pesakit akan datang lagi untuk mendapatkan rawatan ulangan”, ujarnya.

Ditanya tentang bayaran dan upah selepas selesai melaksanakan urutan dan rawatan bagi seseorang pesakit, Tok Ayah menjelaskan, dia tidak memaksa atau meletakkan harga bagi mana-mana mangsa atau pesakit untuk memberikan upah. Pesakit boleh menilai sendiri atas ikhlas pesakit itu sendiri kerana dia sekadar membantu sahaja. Jika pesakit itu tidak mampu dari segi kewangan, dia tidaklah terlalu menekan dalam soal bayaran kerana matlamatnya ialah ingin menolong pesakit atau mangsa yang memerlukan bantuan dan pertolongannya.

Untuk urusan urut dan rawatan tradisional, hubungi Che Rosli Mat atau Tok Ayah di talian:
017-9408586

Che Rosli Mat atau Tok Ayah.

Tok Ayah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di laman rumahnya.


Tok Ayah sedang menunjukkan kaedah mengurut.

Laluan ke kediamannya perlu melalui parit dan saliran.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH