RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 10 September 2016

Abe Ki Tukang Besi


ABE KI TUKANG BESI

KOTA BHARU, KELANTAN: Pertukangan besi adalah salah satu cabang seni. Ini kerana, bukan mudah untuk menghasilkan barangan senjata seperti parang, golok, pedang, keris dan sebagainya jika tiada seni untuk menghasilkannya. Bidang ini juga menjanjikan pendapatan yang baik jika dilakukan menurut seni, tekun dan bersungguh-sungguh terhadapnya.

Selain itu, terdapat tukang besi di negeri Kelantan yang menceburi bidang lain tetapi begitu minat terhadap pertukangan besi. Disebabkan terlalu minat terhadapnya, sehingga memberikan kepuasan terhadap seseorang tukang itu sendiri malah terdapat juga yang masih dalam peringkat pelajar, tetapi disebabkan minat terhadapnya menyebabkan beliau menimba ilmu dari tukang atau pandai besi yang mahir.

Begitu halnya dengan seorang tukang besi yang dimaksudkan, Mohamad Zaki Ahmad, 48, atau lebih dikenali sebagai Abe Ki Salor dari Kampung Gertak Lembu, Salor, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim.

“Sebelum saya menceburi bidang bidang pertukangan besi, saya adalah pekerja sebuah kilang di Kuala Lumpur. Setelah berhenti sebagai pekerja kilang pada tahun 2000, ketika itulah saya terus menyambung kerja sebagai tukang besi”, katanya kepada Wartawan RELATIF.

Apabila ditanya tentang modal sehingga beliau boleh menubuhkan bengkel pertukangan besi sendiri di rumahnya itu, beliau menjelaskan, dia sememangnya terlalu minat kepada kerja-kerja sebagai tukang besi ketika beliau sebagai pekerja kilang lagi. Atas dasar itu, apabila beliau mendapat bonus sebagai pekerja kilang, ketika itulah dia mula membeli barangan keperluan yang akan digunakan seperti pemotong besi, drill dan lain-lainnya. Katanya, apabila dapat membeli barangan yang dimaksudkan, dia menyimpannya di bawah katil kerana pada suatu masa nanti dia akan menyambung tugas itu apabila tiba masanya.

Bahkan menurutnya, ketika dia mempunyai kesempatan masa, dia mula bertukang secara giliran antara dua tugas itu. Katanya, tidak selesai jika bekerja seperti itu, dia perlukan masa dan tumpuan sepenuhnya kepada pertukangan besi. Dengan itu, selepas berhenti sebagai pekerja kilang pada tahun 2000 itu, dia menumpukan kepada pertukangan besi sepenuh masa.

Menceritakan tentang ilmu sebagai tukang besi, arwah atuknya bernama Pak Da Awang dari Kampung Pendek, Kota Bharu asalnya adalah seorang tukang kimpal besi yang tersohor juga. Namun, dia tidak menimba ilmu dari atuknya itu kerana ketika atuknya meninggal, beliau ketika itu baharu berusia dua (2) tahun.

Menurutnya, disebabkan minatnya terlalu mendalam untuk menjadi seorang tukang besi, dia kemudiannya menimba ilmu dari seorang tukang besi di Bunut Susu, Pasir Mas, sedangkan pada masa yang sama dia juga seorang penuntut di Politeknik.

Katanya, beliau melihat kebanyakan bidang utama yang diceburi di Bunut Susu ketika itu adalah tukang besi. Walaupun pada masa itu minatnya terhadap tukang besi adalah sekadar minat, tetapi tumpuan utamanya juga adalah sebagai seorang pelajar. Jadi, jika ada peluang beliau akan ke Bunut Susu, Pasir Mas sambil melihat tukang-tukang besi di situ menyiapkan naskhah masing-masing. Katanya, beliau juga agak terhibur dan terpanggil berikutan di Bunut Susu pada masa itu semuanya tukang-tukang besi yang agak mahir dan tersohor.

Setelah menamatkan pengajian, dia tidak mendapat sebarang kerja. Tetapi pada ketika itu, telah mula timbul dalam benaknya untuk berkecimpung dalam bidang tukang besi yang diminatinya selama ini. Pada ketika itulah beliau menemui asal usul dan turun temurun (ilmu) daripada arwah atuknya. Setelah mendapatkan ilmu peninggalan arwah atuknya, dia mula bertekad untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh arwah atuknya.

“Setelah saya memperolehi asas dalam pertukangan, saya mula belajar ilmu melarik kayu. Kebetulan pula, bapa saya mempunyai seorang warga Siam bernama Udom Kamkong yang mahir dalam kaedah melarik kayu.

“Dengan warga Siam itulah saya mula mempelajari beberapa kaedah berkenaan sehingga mahir sepenuhnya”, katanya.

Setelah mahir dalam bidang melarik kayu, dia membiasakan diri pula untuk mempelajari pertukangan besi sehingga mahir dengan hanya melihat tukang-tukang besi berkenaan menyiapkan kerja-kerja berkenaan.

Apabila ditanya tentang hasil awal pertukangan besi yang pernah dilakukannya, beliau menjelaskannya, pada awalnya itu banyak barangan besi yang dihasilkannya rosak dan banyak barangan yang dihasilkannya patah disebabkan beliau tidak begitu mahir berhubung dengannya kerana agak terlalu awal untuk menyatakan beliau boleh menghasilkannya.

Katanya menambah, kebanyakan barangan yang dihasilkannya rosak, selama seminggu itu beliau tidak memperolehi sebarang upah. Tetapi disebabkan beliau terlalu minat dengan pertukangan besi itu, beliau menganggapkan “alah bisa tegal biasa”. Lama-kelamaan beliau mula mahir untuk menghasilkan barangan berkenaan menurut kemahuannya.

Disebabkan beliau melakukannya seorang diri, tentunya barangan besi yang dapat disiapkan agak lambat. Walaupun agak lambat untuk menyiapkannya, namun kejayaan beliau menghasilkan barangan tradisional seperti golok, sadat, pedang dan tongkat dari kayu boleh dibanggakan walaupun sebelum ini kebanyakannya telah rosak.

Sebenarnya, dia melakukan perlu menyiapkan dua kerja iaitu sebagai tukang besi dan melarik kayu (membelah kayu) untuk menghasilkan sarung golok itu. Beliau terpaksa menyiapkannya agak lambat di mana beliau dapat menghasilkan kira-kira sebilah pedang yang ditempah dalam tempoh seminggu, sementara bagi sebilah golok pula kadang-kadang dalam tempoh sehari atau dua dia sudah dapat menyiapkan golok itu. Namun katanya, jika bertukang atas kapasiti mood baik, dia akan dapat menyiapkan lebih dari dijangkakan.

Abe Ki menambah, disebabkan beliau menghasilkan barangan tempahan agak lambat, beliau menerima pelanggan juga agak terhad iaitu seorang pelanggan setiap bulan. Jadi, bergantung kepada barangan yang dapat disiapkan. Maknanya, beliau tidak dapat menghasilkan barangan berkenaan mengikut masa-masa tertentu. Jika barangan dapat disiapkan sebanyak dua bilah dalam tempoh seminggu, walaupun ada di kalangan pelanggan mahukan lebih dari itu, dia tidak mampu untuk menghasilkannya. Jika dibuat secara tergesa-gesa, barangan yang dapat disiapkan tentunya tidak berkualiti.

“Saya pernah diberitahu supaya mengiklankannya melalui internet. Namun, saya menolaknya disebabkan tidak mampu untuk menyiapkan barangan sebagaimana yang diharapkan”, katanya.

Sebagai tukang besi juga dia perlu mendapatkan barang mentah (besi) untuk menghasilkan senjata itu menurut tempahan. Jika menerima tempahan pelanggan, dia akan melihat di tempat besi buruk untuk mendapatkan barangan yang dimaksudkan seperti “spring gana” sama ada besi jenis tebal atau nipis. Katanya, pelanggan tidak perlu membawa besi sendiri jika ingin menempah sesuatu barangan, kerana dia akan menguruskannya sendiri.

"Saya tidak dapat memberikan keputusan tentang kualiti barangan yang dihasilkan, kerana dalam keadaan sekarang ni saya masih dalam peringkat bertatih (belajar)”, apabila ditanya kualiti barangan yang telah dihasilkannya.

Katanya, beliau pernah dengar ada tukang-tukang besi yang dapat menghasilkan barangan berkenaan termasuk sarungnya sekali sebanyak empat bilah sehari, pada masa itu dia cuba menafikannya kerana tidak mempercayainya. Tetapi, hakikatnya memang betul kerana kalau menurut skilnya tukang-tukang besi yang mahir pasti dapat menyiapkannya dalam masa yang singkat. Tetapi menurut persepsinya sebagai tukang besi yang masih bertatih, dia tidak semampu itu untuk menyiapkannya dalam tempoh singkat.

Walau bagaimanapun, dia turut mengakui bahawa, bagi tukang-tukang besi yang ternyata mahir di bidang berkenaan memang tidak dinafikan mampu menyiapkan tempahan barangan besi berserta sarungnya sekali sebanyak empat bilah dalam tempoh sehari sahaja. Namun, dia belum lagi sampai kepada tahap itu. Ini berikutan, dia bekerja atas dasar ada mood, jika tidak dia terpaksa memberhentikan kerja-kerjanya dengan serta-merta.

Menyiapkan kerja-kerja seni seperti bertukang ini menurutnya adalah berdasarkan keadaan kehendak tubuh. Jika bekerja di bawah mood, barangan yang dihasilkan akan lebih bermutu. Tetapi jika dilakukan secara tergesa-gesa atau di bawah tekanan supaya menyiapkannya dengan cepat, barangan yang dihasilkan pastinya tidak berkualiti dan akan melebihi tempoh siap.

Bercakap tentang harga pula berdasarkan kepada barangan yang ditempah iaitu bergantung kepada kehendak pembeli. Lazimnya, jika barangan kecil ia menjual dengan harga RM100 ke bawah. Manakala jika tempahan seperti pedang, harganya pula agak lebih sikit disebabkan keperluan barangan seperti tembaga terlalu sukar dan mahal.

Tentang modal pula katanya, modal untuk menghasilkan barangan yang ditempah bergantung kepada tempahan. Jika tempahan banyak, modalnya lebih dari kebiasaan.

Justeru katanya, kebanyakan pengimpal besi yang menggunakan mesin hidraulik, modal yang diperlukan adalah kira-kira RM20,000. Tetapi bagi beliau masih belum sampai tahap itu kerana menyiapkan tempahan secara “tradisional” bergantung kepada mood kerja. Kalau sebelum ini (semasa dia) tiada pengalaman membuat tempahan kayu (membelah) untuk menyiapkan sarungnya terpaksa mengupah orang lain. Tetapi kini, dia menyiapkannya sendiri.

Mohamad Zaki Ahmad atau Abe Ki Salor.

Abe Ki ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkel besi miliknya.







Di antara peralatan yang digunakannya sebagai tukang besi.



Sebahagian alat dan senjata yang telah berjaya dibuatnya.

Salah seorang pelanggannya datang menempah ketika program wawancara di bengkelnya.

Inilah bengkel besi miliknya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Khamis, 1 September 2016

Penawar Dari Daun Betik


PENAWAR DARI DAUN BETIK

NEGARA kita memang kaya dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Walaupun kita melihatnya tumbuh secara liar di dalam belukar, hutan dan di sekeliling rumah kita dan adakalanya kita merasa menyampah terhadap pokok-pokok itu, tetapi tidak wajarlah kita memusnahkannya kerana boleh jadi ia bernilai perubatan atau sebagai penawar percuma yang amat berguna kepada kesihatan kita sendiri.

Apatah lagi dalam banyak tumbuh-tumbuhan selain pokok herba, ulam-ulaman dan buah-buahan yang ternyata mempunyai khasiat perubatan atau penawar asli dan segar terhadap kesihatan manusia, daun-daun dari pokok buah-buahan itu juga turut bernilai dan termasuk dalam kategori tersebut. Jangan berkata tidak terhadap tumbuh-tumbuhan ini disebabkan kita tidak tahu fungsi dan peranan daun-daun, batang dan akar pokok-pokok tersebut kepada kesihatan manusia dan bagaimana kaedah untuk memanipulasi khasiat mahupun penawar dari bahan-bahan yang dimaksudkan itu.

Salah satu daun yang dapat dikategorikan sebagai bernilai perubatan dan mempunyai penawar di sebaliknya yang asalnya dari pokok buah-buahan yang sering kita makan ialah “Daun Betik”.

Sebelum melihat nilai perubatan dalam daun betik, lihatlah dulu apakah khasiat yang terkandung dalam betik yang sememangnya menjadi kegemaran sebahagian di kalangan kita.

Betik atau dalam bahasa Inggerisnya Papaya atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Carica papaya" memang kaya dengan kadar vitamin seperti Karotena (1160 mcg), Vitamin A (193 mcg), Vitamin B1 (0.03 mg), Vitamin B2 (0.07 mg), Niasin (0.1 mg) dan Vitamin C (71.0 mg).

Betik juga mengandungi kadar bahan galian seperti Kalium (39 mg), Kalsium (11 mg), Fosforus (7 mg), Natrium (3 mg) dan Ferum (0.7 mg). Selain itu, betik juga membekalkan kadar zat lain seperti Karbohidrat (7.1 g), Protein (1.5 g), Serat (0.5 g), Lemak (0.1 g), Abu (0.1 g), Air (90.7 g) dan Tenaga (35 kcal).

Sementara Betik Eksotika pula mengandungi kadar Karotena (2431 mcg), Vitamin A (405 mcg), Vitamin B1 (0.08 mg), Vitamin B2 (0.15 mg), Niasin (0.1 mg) serta Vitamin C (69.3 mg).

Manakala bahan-bahan galiannya pula terdiri dari Kalium (337 mg), Kalsium (31 mg), Fosforus (17 mg), Natrium (2 mg) dan Ferum (0.6 mg). Sementara kadar khasiat lainnya terdiri dari Karbohidrat (13.5 g), Protein (1.0 g), Serat (0.5 g), Lemak (0.1 g), Abu (0.5 g), Air (84.4 g) dan Tenaga (59 kcal). (Sumber: Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988).

Daun dan pucuk betik ini juga pernah diviralkan dalam media sosial pada tahun 2015 lalu yang mendakwa sebagai penawar terbaik untuk rawatan penyakit aids. Sama ada benar atau tidak, kurang pasti sama ada kajian klinikal pernah dibuat atau tidak terhadap pucuk tersebut.

Sementara itu, Penulis sendiri belum pernah mendengar dari orang-orang tua yang mendakwa pucuk dan daun betik itu dapat mengubati penyakit aids. Tetapi orang-orang tua dahulu pernah memberitahu, daun betik pernah digunakan untuk dijadikan sebagai penawar darah tinggi dan kencing manis.

Lazimnya, apabila seseorang yang menghidap penyakit darah tinggi, mereka akan segera ke klinik atau hospital untuk tujuan mendapatkan rawatan penyakit tersebut. Setelah disahkan sebagai penyakit itu, pesakit akan diberikan ubat untuk meredakan penyakit itu.

Kenapa tidak mencuba daun betik itu yang boleh diperolehi secara percuma pula. Ambillah satu pelepah daun betik (bacalah Bismillah) ketika memotong pelepah daun betik itu dari pokoknya. Semasa ingin merebusnya, tanggalkan pelepah daun itu dan bersihkannya dengan air.

Ketika ingin memasukkannya dalam periuk (sebaiknya periuk tanah liat) untuk merebusnya, bahagikan daun itu kepada tiga bahagian. Daun tengah (kelihatannya lebih besar) hendaklah ditelangkupkan hijau daun dalam bekas itu (bawah sekali), manakala bahagian daun lain ditelentangkan (hijau daun ke atas) dan rebuslah sehingga ia mengeluarkan bau.

Setelah masak, masukkan ke dalam gelas dan minumlah ketika ia berkeadaan suam-suam kuku. Sebelum meminumnya, baca “Bismilah” (tiga kali), "Allah" (tiga kali) dan "Selawat Nabi S.A.W" (tiga kali) dan tiup ke dalam air rebusan itu. Amalkannya selama dua kali sehari. Khasiat rebusan daun betik ini akan menyebabkan darah tinggi akan kering terus, malah anda boleh mengamalkannya pada bila-bila masa.

Justeru, tanamlah pokok buah-buahan seperti betik di persekitaran dan laman rumah anda yang bukan buahnya sahaja berguna kepada kesihatan manusia kerana kandungan vitamin, mineral dan kandungan zat yang lain. Tetapi ingatlah, sebahagian pokok itu sendiri mempunyai pelbagai penawar dan bernilai perubatan apabila dapat merawat penyakit darah tinggi sekalipun pokok itu tidak lagi berbuah dan dianggap tidak berguna.

Daun betik walaupun dari pucuk muda dan tua, sekalipun satu pelepah sudah cukup untuk merawat penyakit darah tinggi.

Setelah daun betik dibersihkan, masukkan ke dalam periuk (sebaiknya gunakan periuk tanah liat).

Apabila merebus, tutup bekas rebusan.

 Air rebusan daun betik (berwarna kuning) siap untuk diminum (dua kali sehari) setelah disejukkan atau dalam keadaan suam-suam kuku.

Pokok betik jangan ditebang sekalipun tidak berbuah kerana terdapat beberapa bahagian dari pokok itu yang bernilai perubatan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 30 Ogos 2016

Bahana Pokemon Go


BAHANA POKEMON GO

DEMAM Pokemon Go sudah bermula apabila permainan berkenaan yang dibangunkan oleh Syarikat Niantic dan Nintendo Co. Ltd di Amerika Syarikat sudah melanda Malaysia sejak 6 Ogos, 2016 lalu dan aplikasi permainan siber itu boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing bermula tarikh itu.

Walaupun permainan ini dianggap baharu di Malaysia, namun terdapat beberapa negara yang telah mengharamkannya seperti Arab Saudi dan Iran kerana boleh mengancam keselamatan dan sehingga meragut nyawa.

Di Malaysia, pada awalnya hanya Wilayah Persekutuan saja yang mengharamkan aplikasi permainan Pokemon Go. Kini, diikuti pula Jakim dan lima negeri seperti Sarawak, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang menyokong diharamkan. Sementara enam negeri lagi terdiri dari Negeri Sembilan, Kelantan, Perlis, Pahang, Selangor dan Sabah masih belum memberikan kata putus tentangnya.

Namun, dari konteks anak muda bertanggapan mereka begitu teruja dengan kehadiran aplikasi realiti ini sebagai permainan yang menghiburkan dan boleh menghilangkan tekanan. Apatah lagi, dengan kehadiran permainan seperti ini, kemungkinan selepas ini akan wujud bentuk perniagaan baharu atau dikenali juga “bisnes online” yang dimuat naik ke media sosial. Mungkin juga permainan ini boleh dimanfaatkan sebilangan anak muda yang masih belum mendapat sebarang kerja, dengan wujudnya permainan seumpama ini, akan hilanglah rasa kebosanan itu. Bahkan amat beruntung juga bagi yang mahir dengan Teknologi Maklumat (IT), kerana permainan ini menggunakan teknologi berkenaan.

Kaedah permainan ini adalah untuk menangkap watak raksasa Pokemon maya di dunia sebenar melalui penggunaan kamera telefon pintar masing-masing di beberapa lokasi dengan bantuan teknologi sistem kedudukan global (GPS).

Mungkin bagi segelintir anak muda yang mendakwa permainan seumpama ini boleh menggembirakan mereka kerana amat berbeza dengan permainan lain yang dimuat turun sebelum ini. Namun, kita lihat pula dari sudut lain, adakah ia boleh meragut nyawa penggunanya sendiri selain mengancam keselamatan jika mereka terlalu leka dengan permainan itu?

Ini kerana, watak Pokemon yang kadang-kadang muncul di kawasan laluan yang sibuk, jika pemainnya berada dalam keadaan lalai kerena menumpukan kepada permainan tersebut, mereka tentunya terdedah kepada bahaya dilanggar kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Jika mereka berada di kawasan jambatan, mereka tentunya turut terdedah kepada bahaya sama ada terjatuh atau terpaksa terjun dari jambatan itu semata-mata untuk mengejar dan untuk menangkap watak Pokemon tersebut.

Sesuatu yang patut difikirkan tentang permainan itu tentang bahayanya kepada keselamatan negara berikutan ia dibangunkan teknologi GPS. Jika pemainnya memasuki premis yang menyimpan pelbagai maklumat dan data rahsia seperti balai polis, bank dan sebagainya, GPS akan mengesan dan mengakses tempat permainan itu. Dibimbangkan data yang dirahsiakan dan disembunyikan selama ini mudah diakses atau mudah dilihat pihak lain secara tidak sedar yang hanya berpunca dari permainan.

Dalam soal ini, kita tidak tahu apakah tujuan atau matlamat permainan seperti ini dibangunkan dengan teknologi GPS sedangkan jika dibandingkan dengan permainan lain yang tidak menggunakan sistem berkenaan. Apakah ia bertujuan untuk mendapat maklumat sulit yang selama ini tersimpan secara rahsia? Justeru, dengan membangunkan aplikasi ini, akan lebih memudahkan sistem yang rahsia dan sulit itu diperolehi.

Apa yang perlu dibimbangkan penggunaan sistem ini ke dalam aplikasi permainan sebagai suatu muslihat negara-negara tertentu untuk “mengintip” kerahsiaan negara lain secara sulit, sembunyi dan tanpa disedari oleh banyak pihak. Jika keselamatan seumpama ini diabaikan, kita bimbang negara akan berada dalam kancah bahaya dan ia perlu ditangani dengan cara yang bijaksana.

Kita juga ingin memperingatkan bahawa, jika permainan ini tidak diberikan perhatian atau kawalan tentang penggunaannya, dibimbangkan suatu masa nanti, sistem ini boleh mewujudkan “perang” maya ke dalam dunia realiti yang bukan sahaja boleh dilakukan oleh negara-negara yang mempunyai kuasa teknologi tinggi dari jarak jauh menggunakan sistem global (GPS) itu, tetapi perang sebenar boleh diwujudkan oleh pemain itu sendiri.

Memang kita boleh berkata “tidak” atau mungkin juga ada pihak-pihak yang menganggapkannya sebagai “mengarut”, tetapi sikap berhati-hati itu perlu ada sebelum kejadian sebenar berlaku. Ini kerana, apabila dikatakan “teknologi”, teknologi boleh dimanfaatkan secara berhemah dan tidak. Tetapi jika ia disalah gunakan, hancurlah dunia itu.

Dalam hal ini, pihak kerajaan mahupun pihak-pihak yang mempunyai data sulit perlu sentiasa berwaspada kerana apabila seseorang itu mula bermain, mereka tidak akan menutupnya kecuali berjaya menangkap watak-watak itu. Justeru, untuk menjadikan pemainnya dianggap berjaya, dia perlu melakukan apa saja sebagaimana yang wujud dalam watak maya itu, sekalipun terpaksa memasuki premis orang tanpa kebenaran.


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Sumber Foto:
www.forbes.com
 www.pokemongo.com

Sabtu, 20 Ogos 2016

Hasil Dari Kenaf


HASIL DARI KENAF

PASIR MAS, KELANTAN: Tidak semua tanaman yang kita usahakan itu membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Jika hal seumpama ini berlaku, mengusahakan tanaman lain sebagai ganti perlu difikirkan dan diusahakan secepat yang boleh. Ini kerana, jika diteruskan juga, sudahlah hasil yang diperolehi tidak seberapa apatah lagi mengusahakannya ke arah itu tentunya akan timbul rasa jemu dan memenatkan.

Begitulah halnya dengan seorang penanam kenaf, Mahmud Yakub, 70, atau lebih dikenali sebagai Pak Mud dari Kampung Kelar Godel, Kangkong, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim baru-baru ini berkata, sebelum dia mengusahakan tanaman kenaf, terlebih dahulu dia mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan selepas itu padi.

“Lima tahun lalu, sebelum saya mengusahakan tanaman kenaf ini, saya mengusahakan tanaman lada solok dan kacang panjang.

“Kedua-dua sayur-sayuran ini yang beratnya sepikul, saya pasarkan kepada pemborong di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu”, ujarnya.

Pada ketika itu katanya, harga sayur-sayuran tersebut dijual antara RM4 atau RM5 sekilo berbanding kini yang telah semakin meningkat. Katanya, setiap kali dipasarkan di situ, dia memperolehi pendapatan bersih dari sayur itu adalah kira-kira RM500.

Katanya menambah, selepas menanam dan memasarkan sendiri sayur-sayuran itu, dia kemudiannya beralih kepada tanaman padi pula. Katanya, tanaman padi yang diusahakannya bersama dengan tiga orang pembantu itu berjumlah 40 ekar. Ini termasuklah usaha meracun dan membaja.

Menurutnya, kaedah menanam padi kini tidak sebagaimana dulu di mana benih padi perlu disemai dulu. Teknologi kini, benih-benih padi ditabur terus. Selepas benih padi ditabur, kira-kira dalam masa 20 hari, aktiviti meracun (racun rumput) dijalankan. Selepas meracun, dalam kira-kira usia sebulan aktiviti membaja dijalankan.

“Hasil pendapatan bersih ketika mengusahakan tanaman padi dalam tempoh setahun itu saya memperolehi kira-kira RM20,000. Saya mengusahakan tanaman padi ini dalam tempoh tiga tahun saja”, katanya.

Selepas berjaya dalam kedua-dua bidang iaitu tanaman sayur-sayuran dan padi, dia kemudiannya beralih pula kepada tanaman kenaf. Katanya, setakat ini dia telah mengusahakan tanaman kenaf kira-kira tiga musim yang bermula pada tahun 2013.

Menurut Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kenaf atau nama saintifiknya “Hibiscus Cannabinus” adalah sejenis pokok berserat bukan berkayu dan merupakan tanaman jangka pendek. Kenaf tergolong dalam famili “Malvaceae” dan berada di bawah genus “Hibiscus” yang mempunyai persamaan dengan tanaman bendi dan juga kapas. Tanaman ini turut diusahakan di China, Myanmar, dan Indonesia.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) kenaf di Malaysia yang telah bermula pada tahun 2000 oleh MARDI, LGM, MPOB dan UPM. Penanaman kenaf mula diperkenalkan pada tahun 2004 sebagai penanaman pengenalan (familiarization crop). Verifikasi tanaman telah dilaksanakan di negeri Kelantan dan Terengganu di atas tanah BRIS (Beach Ridges Interspersed with Swales) yang sebelum ini diusahakan dengan tanaman tembakau. Tanaman kenaf dikembangkan ke seluruh Malaysia pada tahun 2010.

Tanaman kenaf bagi pengeluaran serat (fiber) dan empulur (core) mula diusahakan secara besar-besaran di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Kata Pak Mud, tanaman kenaf hanya memerlukan hanya kira-kira dua orang pekerja saja untuk tujuan membaja dan mengangkut anak benih kenaf itu.

Apabila ditanya, adakah terdapat perbezaan di antara mengusahakan tanaman sayur-sayuran, padi dan kenaf? Pak Mud menjelaskan, terdapat banyak perbezaan di antara ketiga-tiga tanaman itu. Tetapi baginya lebih beruntung dan paling baik menanam kenaf. Ini kerana, kos untuk menanam kenaf itu ditanggung oleh pihak kerajaan (secara subsidi). Ini termasuklah usaha memugar tanah, baja dan benih kenif adalah subsidi.

Cuma, menurut Pak Mud, bagi setiap pengusaha itu hanya perlu mengeluarkan kos membaja (sekali), upah menebang pokok kenaf dan kos sewa lori. Tidak sebagaimana tanaman padi yang perlu meracun (banyak kali), tetapi dengan mengusahakan tanaman kenaf tidak perlu meracun.

“Pokok kenaf apabila telah mencapai usia tiga bulan telah masuk usia matang, pokok berkenaan sudah boleh dipotong dan dipungut hasilnya”, ujarnya.

Daripada hasil jualan kenaf pada tahun 2013, dia memperolehi RM20,000, tahun 2014 dia memperolehi pendapatan itu sebanyak RM15,000, manakala pada bulan Ogos 2015 dia memperolehi sebanyak RM20,000.

Katanya, cara untuk mengenali pokok kenaf baik dan bermasalah berdasarkan kepada bentuk fizikal kesuburan pokok itu. Cara untuk mengenalinya ketika dalam proses membaja lagi, apabila dilihat batang kenaf itu besar bermakna pokok itu adalah baka baik dan subur, manakala jika dilihat batang kenaf yang kurus dan kecil menandakan pokok berkenaan menghadapi masalah tentang kesuburan.

“Banyak kegunaan kenaf dalam industri hari ini seperti untuk membuat tuala (bayi, wanita), tisu, tilam, bantal, siling, kayu dan papan (kayu kasar, papan dinding). Kegunaan kenaf dianggap “1001 Guna”, ujarnya.

Menurutnya, dalam banyak tanaman, beliau berpendapat lebih baik menanam kenaf daripada menanam tanaman lain yang dianggap memerlukan kos yang lebih, tetapi kenaf tidak. Kenaf, kosnya adalah diberikan subsidi oleh pihak Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) malah siap untuk diangkut, tak perlu penanam sakit kepala, kepada pihak mana untuk dijual dan dengan harga berapa.

Kenaf ini menurutnya, apabila telah matang dalam usia tiga bulan, beliau akan menebang dan memungutnya lalu dibawa ke kilang (kepada pihak) LKTN yang berdekatan. Penanam dan individu yang mengusahakannya pula memperolehi pendapatan bersih kerana pokok itu akan dibeli oleh LKTN.

“Jika tanaman kenaf tiba-tiba tidak menjadi dan bermasalah, pengusahanya tidak akan mengalami sebarang kerugian”, jelasnya. 

Katanya lagi, pihak LKTN yang meminta beliau sebagai pengusaha untuk menanam kenaf dan pihak agensi berkenaan yang akan membeli balik daripada beliau disebabkan ada nilainya di pasaran. Bermakna, beliau sebagai pengusaha dan penanamnya tidak perlu bersusah-payah untuk mencari pasaran.

Justeru, pengalamannya sebagai penanam dan pengusaha kenaf menganggap bahawa tanaman kenaf adalah lebih baik dari tanaman lain. Dia meminta kepada rakan-rakannya supaya berusaha menanam kenaf kerana tanaman ini banyak kelebihannya, bukan sahaja tidak perlu mengeluarkan kos sendiri berbanding tanaman lain, sebaliknya cara mengusahakannya tidak begitu penat malah baja pula diberikan subsidi.

Mahmud Yakub atau Pak Mud.

Pak Mud ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Hanya sebatang pokok kenaf yang kurang subur.


 Inilah pokok kenaf sebagaimana yang dimaksudkan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Rabu, 10 Ogos 2016

Ternakan Ikan Keli Jak


TERNAKAN IKAN KELI JAK

TANAH MERAH, KELANTAN: Antara ikan yang diternak dalam kolam, ikan keli paling ramai penggemarnya. Berpunca dari hal inilah yang menyebabkan pengusaha dan penternak ikan keli muncul di beberapa tempat dalam jumlah yang ramai. Apatah lagi, ikan keli tidak cerewet, mudah diternak, tahan dengan keadaan sistem pengairan dan kualiti air yang keruh atau berkelodak, sementelah pula bahan makanan ikan berkenaan juga mudah diperolehi. Manakala bagi sesetengah penggemar ikan keli pula mendakwa, ikan keli enak dimakan walaupun dimasak dalam pelbagai cara.

Di Kelantan misalnya, pengusaha dan penternak ikan keli begitu teruja apabila ikan keli yang diternak dalam kolam membesar begitu cepat, sementelah pula hasilnya akan diperolehi dengan cepat. Salah seorang penternak yang dimaksudkan, Zainuddin Awang atau Jak, 46, dari Kampung Cita Jaya, Batu 6, Tanah Merah, Kelantan.

“Saya memulakan projek menternak ikan keli dalam kolam ini pada 22 Ogos, 2015. Sepatutnya sudah lama mengusahakannya, tetapi akibat masalah modal, terpaksalah ditangguhkan”, jelasnya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim. 

Katanya, modal yang diperlukan untuk projek ini kena lihat kepada anak ikan (segar) itu. Lazimnya, benih ikan segar ini dijual dengan harga RM0-05 sen (seekor). Manakala dedak ikan cap katak boleh dibeli dengan harga RM3 sekilo, sementara bagi satu beg pula berharga RM60 lebih. Makanan ini dapat bertahan hanya dalam tempoh dua minggu sahaja dan selepas kehabisan beliau perlu membelinya lagi.

Walau bagaimanapun, untuk menjimatkan perbelanjaan membeli makanan ikan yang agak terlalu mahal itu, beliau mula memberikan perut dan usus ayam. Perut dan usus ayam ini bukanlah terus diberi makan kepada ikan itu dengan cara mentah, sebaliknya beliau akan merebusnya terlebih dahulu. Perut dan usus ayam ini pula diberi makan kepada ikan-ikan keli di kolamnya itu sebanyak dua kali sehari.

Menurut Jak, dia mendapatkan benih (anak ikan keli) itu dengan membelinya daripada pihak Jabatan Perikanan Machang. Modal yang perlu dikeluarkannya untuk mendapatkan benih ikan itu adalah kira-kira RM1,000 disebabkan beliau menternak ikan dalam sebuah kolam yang menampung jumlah yang banyak.

Menurutnya, pada permulaannya dia melepaskan benih ikan keli dalam kolam yang telah disediakannya itu kira-kira 11,000 ekor dan setakat ini dia telah berjaya menjual ikan-ikan kelinya itu kira-kira dalam 60 kg. Katanya, kerap kali juga dia menjual ikan kelinya itu yang belum sampai tempoh untuk dipungut dari kolam, tetapi disebabkan permintaan ikan keli itu yang terlalu ramai, beliau akur dengan keadaan itu. Hakikatnya, jangka masa sesuai atau tempoh matang ikan-ikan keli boleh dipungut dari kolam apabila mencapai usia 3 bulan.

Menurut Jak lagi, penggunaan air bagi kolam ikan kelinya tidak perlu dirawat memandangkan air yang ada dalam kolam ikannya itu adalah air yang sentiasa mengalir dan bukannya air yang sering bertakung. Katanya, jika air yang tidak mengalir sebagaimana yang lazim digunakan oleh kebanyakan pengusaha ternakan ikan, apabila air dalam kolam itu tidak mengalir, kira-kira sebulan sekali air itu perlu sentiasa ditukar.

Tetapi air dalam kolam ikan miliknya sentiasa mengalir iaitu air masuk dan air keluar. Justeru, air dalam kolamnya itu adalah air bersih yang sentiasa berganti. Bahkan menurutnya, keistimewaan ternakan ikan dalam air bersih dan sentiasa mengalir ini akan menjadikan ikan yang diternak itu sentiasa bersih dan tidak berbau, ikan menjadi segar dan cepat membesar.

“Kolam kami tidak sebagaimana kebanyakan kolam yang bertakung airnya. Kolam kami kami bersih kerana airnya sentiasa mengalir. Apabila air sentiasa mengalir, ikan yang diternak pun segar”, ujarnya.

Keluasan kolam ikannya itu mencecah 30 kaki panjang dan 30 kaki lebar. Manakala kedalaman kolamnya pula di antara tiga dan empat kaki saja iaitu antara paras pinggang dan paras dada. Kedalaman kolam seumpama ini menurutnya adalah paling sesuai untuk spesis ikan keli. Ini kerana, ikan keli tidak menggemari kolam atau air yang terlalu dalam.

Apabila ditanya tentang masalah ikan-ikan keli yang diternak dalam kolam mendapat penyakit, katanya, setakat ini masalah seperti itu belum berlaku di kolamnya. Ini kerana, apabila air yang digunakan di dalam kolamnya itu adalah air yang sentiasa mengalir akan menyebabkan ikan-ikan yang diternaknya akan sentiasa segar. Ikan keli mudah mendapat penyakit apabila air yang digunakan di dalam kolam adalah air yang tidak mengalir.

“Cuma, pernah tiga kali ikan keli yang diternak dalam kolam itu mendapat gangguan dari haiwan luar seperti biawak.

“Sejak itu, kami mula membuat pagar bermula dari kawasan rumah ini hingga ke kawasan kolam itu untuk mencegah kemasukan haiwan pemangsa terjun ke dalam kolam”, katanya.

Katanya menambah, kemungkinan juga selepas ini apabila benih-benih ikan keli ditambah menjadi 50,000 bagi setiap kolam, beliau bercadang untuk memasang pukat yang melingkari ketiga-tiga kolamnya itu untuk tujuan menghalang haiwan lain selain biawak yang akan menjadikan ikan kelinya sebagai mangsa dan makanan.

Membicarakan tentang pasaran ikan keli itu, setakat ini pelanggan yang sering menempah ikan keli segar darinya adalah terdiri daripada kedai-kedai makan dan restoran serta peniaga di pasar tani. Pelanggan tetap yang membeli ikan keli dengannya ialah pemilik restoran iaitu Warung Kak Ani, Machang di mana pihaknya akan menempah kira-kira 15 kilo ikan keli setiap hari.

Pernah juga pihak kantin Sek. Kg. Bechah Laut yang menghubunginya untuk menempah ikan keli darinya. Selebihnya dijual kepada orang-orang kampung yang terdiri daripada penggemar ikan keli.

“Setakat ini belum pernah pihak hotel yang membuat tempahan dan pada awalnya kami tidak bercadang ke tahap itu disebabkan jumlah ikan yang ada di kolam kami masih belum mencukupi”, katanya apabila ditanya tentang tempahan pihak hotel.

Walaupun menurutnya, jika diizinkan Allah, beliau juga bertekad ingin memperbesarkan saiz kolam dengan menternak ikan keli itu dalam jumlah yang agak besar yang khusus untuk dijual kepada pihak hotel jika ada tempahan dari pihak berkenaan.

“Pada ketika ini, kami telah menyediakan tiga buah kolam di mana sebuah kolam boleh memuatkan ikan keli dalam jumlah 50,000 ekor ikan”, ujar Jak lagi.

Berhubung dengan tempoh matang ikan keli pula, tempoh matang ikan-ikan berkenaan boleh dipungut dari kolam apabila ikan itu berusia tiga bulan. Namun, ada juga penternak yang telah memungut hasil ketika usia ikan tidak sampai tempohnya iaitu dalam usia dua bulan, dua bulan lebih atau sebulan lebih, berdasarkan kepada saiz ikan itu.

“Tetapi jika ikan-ikan keli itu dikeluarkan agak lewat dari kolam ketika usia ikan menjangkau empat bulan, akan menyebabkan daging ikan-ikan itu tidak lagi enak dimakan disebabkan rasanya agak keras”, jelasnya.

Harga ikan keli yang dijualnya berdasarkan kepada kiraan kilo. Bagi ikan keli yang segar dan tidak diproses dijual dengan harga RM4 sekilo. Manakala ikan keli yang telah “dibersihkan” (dibuang sengat/duri dan isi perut) dijualnya dengan harga RM6 sekilo.

Katanya, jika ikan keli yang dipasarkannya itu belum lagi mencapai tenpoh matang, lazimnya jumlahnya kira-kira enam (6) ekor bagi sekilo, kadang-kadang antara empat (4) dan lima (5) ekor sekilo. Tetapi apabila ikan-ikan keli yang dijualnya telah mencapai tempoh matang yang baharu dipungut dari kolam, beratnya sekilo hanya kira-kira tiga (3) ekor ikan saja.

Bagi setiap tempahan yang dibuat, jika jaraknya agak dekat dia akan menghantarnya sendiri. Namun, bagi pelanggan tetapnya seperti Warung Kak Ani dari Machang itu yang sudah biasa baginya, beliau akan membawa tempahan itu kepada pelanggannya itu. Malah sekiranya tempahan itu jauh dan kebetulan pula beliau ada hal yang ingin diselesaikan di kawasan tempahan, beliau akan lakukannya “sambil menyelam, sambil minum air” bagi kemudahan pelanggannya.

Zainuddin Awang atau Jak boleh dihubungi di talian: 014-8385159

Zainuddin Awang atau Jak.

Jak ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.






Inilah kolam ikan keli miliknya.

Kawasan rumah Jak.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Isnin, 1 Ogos 2016

Misteri Jin Di Bulan Ramadan


MISTERI JIN DI BULAN RAMADAN

KOTA BHARU, KELANTAN: Percaya atau tidak, makhluk halus ada di mana-mana. Cuma ada segelintir manusia menafikannya apabila mata kasar mereka tidak nampak makhluk berkenaan. Kalau nampak, pastinya akan cabut lari atau terkaku di tempat itu. Itulah sebabnya Allah tidak mengizinkan manusia untuk melihat makhluk itu, jika nampak akan memudaratkan manusia juga.

Sementara itu, makhluk halus dalam kalangan jin khususnya jin Islam boleh memasuki masjid untuk beribadat berbanding dengan jin bukan Islam. Tetapi, syaitan dan iblis pula boleh ke mana-mana sekalipun ke dalam masjid. Bagaimana syaitan boleh memasuki rumah Allah itu adalah melalui manusia juga untuk menggoda, melalaikan dan menyesatkan manusia.

Banyak catatan pengalaman Penulis berhubung dengan makhluk ini. Bukanlah untuk memaklumkan kononnya boleh melihat makhluk dengan izin Allah, tetapi sekadar berkongsi cerita tentang pengalaman yang banyak berhubung dengan makhluk tersebut. Banyak kali juga terserempak makhluk seperti ini di jalanan yang kelihatannya seperti seorang budak, remaja, orang dewasa sama ada lelaki mahupun wanita. Tetapi kejadian seumpama ini berlaku di hari-hari biasa, bukan sahaja di siang hari tetapi juga di malam hari.

Namun, kejadian melihat golongan makhluk halus atau diistilahkan “makhluk ghaib” itu di bulan Ramadan itulah pokok segala cerita tentang kejadian berkenaan. Kadang-kadang jumlah mereka yang keluar dari sesuatu tempat itu agak ramai dan tidak kurang juga terdapat di antara tiga atau empat orang sahaja dalam satu-satu masa.

Pada tahun 1990-an dan tahun 2000 dulu, Penulis juga pernah melihat makhluk ghaib dari kalangan “jin” ini yang muncul pada bulan Ramadan. Ada orang berkata, kenapa makhluk ghaib itu muncul pada bulan puasa, sedangkan makhluk berkenaan dikatakan dirantai atau dibelenggu oleh Allah.

Maksud makhluk yang dirantai itu bukanlah jin, tetapi merujuk kepada golongan ketua-ketua atau pemimpin utama yang menyesat dan menggoda manusia iaitu “iblis” dan “syaitan”. Makhluk jin bebas ke mana saja, terutamanya jin Islam yang turut beribadat kepada Allah, sebagaimana manusia juga.

Pada ketika itu, Penulis pernah melihat beberapa kali makhluk halus yang dikenali “jin Islam” memasuki sebuah masjid di Telipot, Kota Bharu untuk bersolat terutamanya menunaikan solat fardu dan tarawikh. Pada awalnya, dilihat makhluk itu dua orang budak yang mengenakan pakaian (baju dan seluar) berwarna hitam. Penulis hampir terlanggar ketika kedua-dua budak jin itu berlari-lari dalam saf manusia. Tetapi dua hari selepas itu pula, Penulis melihat orang dewasa makhluk jin yang memasuki masjid berkenaan untuk solat bersama dengan manusia.

Mungkin jemaah masjid berkenaan tidak perasan dengan kehadiran makhluk berkenaan yang juga lengkap berkain pelikat, berbaju putih dan berketayap putih dalam barisan saf manusia untuk menunaikan solat ketika itu. Tetapi melihatkan keadaan itu, Penulis tidak memberikan tumpuan, kerana tumpuan kita ke masjid adalah untuk menunaikan ibadat itu sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.

Hal berkenaan berlaku di sebuah masjid di Jalan Telipot yang berlaku dalam bulan Ramadan, bulan puasa yang mulia yang turut diraikan oleh makhluk halus dari jin Islam. Namun, kejadian yang berlaku di Kampung Lundang dekat sini juga berlaku pada bulan puasa (sebelah malam) iaitu pada 27 Ramadan, 1437 H, hari ke-27 dan malam ke-28.

Pada ketika itu, Penulis menunggang motosikal agak seperti biasa, tidaklah laju sangat walaupun ketika itu sedang mengejar masa kerana telah terdengar azan dialun oleh bilal di masjid berkenaan. Pada ketika azan dialun itu adalah waktu solat Isyak.

Apabila Penulis tiba di kawasan selekoh di mana di sebelah kiri jalan terdapatnya sebuah rumah penduduk dan pagar parit dan saliran JPS, manakala di sebelah kanan pula adalah semak-samun dan hutan belukar yang agak subur. Dari suluhan lampu motosikal ke arah belakangnya, Penulis melihat seperti seorang remaja yang memakai baju biru tua, seluar hitam dan beketayap bercampur warna (yang lilitan warnanya berselang-seli antara warna biru muda dan putih).

Mungkin makhluk berkenaan perasan cahaya lampu motosikal menyuluhnya berjalan, dia terus mengelak ke dalam semak di situ itu lalu “ghaib”. Jadi, Penulis tidak ambil kisah sangat dengan makhluk berkenaan kerana yang dikejar pada ketika itu adalah solat Isyak dan solat Tarawikh di masjid terbabit.

Apabila tiba pula dalam masjid, selepas solat sunat Isyak (awal) dan solat fardu telah selesai, Imam Tahfiz telah membaca tasbih memanggil makmum untuk solat Tarawikh pula. Pada ketika itulah, Penulis melihat seorang tua yang agak berbeza dengan orang tua dari kalangan manusia melintasi hadapan Penulis untuk ke saf pertama (sebelah kanan Imam) berhampiran dengan pendingin hawa yang letak di bahagian atasnya.

Selang selangkah orang tua itu menuju ke saf yang dimaksudkan, tiba-tiba datang pula makmum wanita (gadis) menyusuri orang tua itu yang juga melintasi hadapan Penulis. Penulis terpaksa melompat ke belakang kerana bimbang tersentuh tangannya yang menghayun ke kiri dan ke kanan kerana mengikut rentak tubuhnya berjalan. Gadis itu mengenakan baju yang agak tebal putih dan merah dengan mengenakan seluar agak gelap (hitam).

Ekor mata Penulis terus melihat ke arah gadis itu untuk mengenalpasti adakah betul makmum wanita melewati saf lelaki. Tak pernah pun wanita melalui saf lelaki tetapi bagaimana pula dengan gadis itu? Apakah dia tidak tahu, jika tersentuh, air sembahyang pastinya terbatal. Sebab, jika dia tahu dia tidak akan melalui kawasan itu kerana kebanyakan yang ada di masjid itu adalah lelaki dan bukan di kalangan saf wanita. Setelah dilihat turutan dan caranya berjalan itu, ternyata berbeza dengan manusia. Malah apabila makhluk gadis itu tiba di tempat orang tua itu tadi, dia terus ghaib di situ. Jadi, fahamlah Penulis bahawa kedua-duanya adalah makhluk jin, tetapi yang tak fahamnya ialah kenapa jemaah wanita pun menuju ke situ?

Di hari-hari biasa, kerap juga makhluk jin sama ada yang lelaki dewasa dan anak lelakinya singgah untuk menunaikan solat. Apabila makhluk berkenaan memasuki masjid berkenaan, makhluk berkenaan akan duduk di bawah pendingin hawa itu. Tetapi berbeza pada malam berkenaan yang turut dihadiri oleh makhluk ghaib wanita pula.

Setelah pulang ke rumah, Penulis berfikir adakah jemaah lelaki yang ada di masjid itu perasan dengan kejadian itu? Kalau pun mungkin mereka tidak dapat melihat makhluk berkenaan, sekurang-kurangnya mereka tentunya akan perasan atau berasa agak pelik, kenapa pula Penulis melompat ke belakang.

Walau bagaimanapun, mungkin mereka tidak perasan dengan kejadian itu. Itulah hebatnya Allah menutup aib sebahagian manusia. Jika Allah tidak melindungi dan menutup dari keaiban, malu besarlah Penulis kerana dengan tidak semena-mena melompat ke belakang itu atas alasan apa? Tetapi, sehingga hari ini, tiada yang cuba bertanya dan minta penjelasan tentang kejadian pada malam itu.

Penulis.


Di kawasan inilah makhluk halus itu berjalan, mengelak dari pancaran cahaya dan ghaib.

Pada masa dulu, di kawasan kiri dan kanan lorong ini dipenuhi hutan tebal. Pembinaan parit dan saliran mula dibina pada tahun 2004.

Di kawasan tiang (anak panah) inilah, makhluk jin iaitu lelaki tua dan anak perempuannya melintasi hadapan Penulis lalu ghaib di sebelah kanan tiang masjid itu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH