RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 10 Oktober 2016

Mat Pelatih Beruk


MAT PELATIH BERUK

BACHOK, KELANTAN: Melatih haiwan yang separa jinak bukannya senang walaupun melihatnya nampak mudah. Namun, bagi yang betul-betul berminat perkara yang sukar dapat dilakukan dan akhirnya menemui kejayaan. Bercakap tentang haiwan separa jinak seperti beruk yang adakalanya mempunyai perangai tertentu, namun apabila haiwan berkenaan serasi dengan tuannya, dengan mudah saja ia dilatih.

Begitu halnya dengan pengalaman yang ingin dikongsi oleh Mohd bin Bulat, 61, atau Mat dari Kampung Kemayan, Tawang, Bachok, Kelantan. Dia sebenarnya sukakan haiwan itu, sebab itulah dia membelanya. Tetapi dia bukan sekadar membelanya sebaliknya dia melatih haiwan itu sehingga mahir dalam tugas sebagai haiwan pemetik buah kelapa.

“Pada awalnya saya suka sangat pelihara haiwan itu. Tetapi lama-kelamaan saya menjadi minat melatihnya pula”, katanya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbaharin di kediamannnya.

Katanya, sebelum haiwan banyak bulu itu digunakan sebagai haiwan yang sentiasa berkhidmat kepadanya sebagai tukang petik buah kelapa, tindakan awalnya terhadap haiwannya itu adalah melatihnya sehingga haiwan itu betul-betul terlatih dan mahir untuk memetik dan menurunkan buah kelapa.

Menurutnya, walaupun haiwan itu sudah biasa dengan memanjat, namun perlu juga dilatih kerana umumnya mengetahui, beruk hanya memanjatnya saja dan kalau diminta memetik buah kelapa pun dengan cara dan naluri haiwan itu semata-mata. Apabila dikatakan naluri haiwan, boleh jadi buah yang dipetik itu baik dan mungkin juga rosak.

Bagi sesetengah pelatih mungkin agak berbeza, begitu juga dengan caranya. Namun, baginya, peringkat pertama beliau melatih beruk itu adalah dengan memegang tangan beruk itu dia sudah tahu beruk itu boleh berkhidmat kepadanya atau tidak. Selepas itu, dia akan meminta beruk itu memegang buah kelapa itu pula supaya sarafnya dapat merasai bagaimana bentuk buah kelapa itu. Dengan cara demikian juga, dia akan mengetahui sikap dan sifat beruk itu apabila memanjat pokok, beruk itu rajin bekerja atau haiwan pemalas.

“Saya mememelihara beruk ini kerana minat. Dalam masa yang sama, saya melatih beruk itu peringkat demi peringkat sehingga mahir”, katanya.

Mat menambah, bermula melatih beruk sehingga beruk yang dilatihnya itu mahir melakukan kerja-kerja sebagai pemetik buah kelapa adalah kira-kira sejak 10 tahun dulu. Dia bukan saja melatih beruknya sendiri untuk tujuannya itu tetapi turut melatih beruk-beruk yang dibawa oleh orang lain untuk tujuan yang sama iaitu untuk memetik buah kelapa.

Apabila ingin melatih beruk orang lain, dia akan menambat haiwan itu di beberapa pokok kelapa di hadapan laman rumahnya iaitu sebatang pokok kelapa bagi seekor beruk lalu dibina tempat untuk beruk itu berlindung dari hujan dan panas.

Menceritakan pengalamannya, secara jujurnya, dia tidak pernah pernah belajar dari mana-mana guru sehingga dia boleh melakukannya seperti sekarang. Tetapi apabila dia melihat seekor beruk itu, dia mampu melakukannya. Apabila dia melatih beruk itu, beruk akan faham apa yang dimahukannya. Misalnya, apabila dia bertutur dan memberitahu beruk yang dilatihnya, beruk itu faham walaupun dituturkan dalam dialek Kelantan.

Katanya, untuk melatih beruk supaya cepat menyesuaikan diri dan akhirnya pandai adalah beruk yang berusia dua (2) tahun. Dalam usia dua tahun itu, bentuk tubuh beruk sudah agak besar, tetapi jika masih kecil walaupun usia seperti itu akan menyebabkan perkembangan otak beruk agak lambat dan tentunya beruk juga agak lambat pandai.

Apabila ditanya, kenapa perlu diajar dan dilatih beruk ketika usia dua tahun tetapi tidak usia lain? Beliau menjelaskan, usia dua tahun adalah umur yang sesuai bagi seekor beruk untuk dilatih. Kalau dilatih usia lebih dari itu, tentulah mengalami keadaan sukar untuk beruk itu menerima latihan dan pemahaman suara dari pelatih atau tuannya.

“Perumpamaan seperti manusia, apabila diajar di peringkat telah berusia, tentulah sukar menerima, begitu halnya dengan beruk”, kata Mat lagi.

Menurutnya, apabila seseorang pelatih telah melatih haiwan itu dengan menunjukkan cara dan kemahuan kita sebagai pelatihnya, tentulah beruk akan menurutnya.

Ditanya tentang bagaimana beliau melatih beruk untuk memetik buah, beliau menjelaskan, kita akan beritahu begini dan begitu dengan cara bertutur dan menggerakkan tangan, beruk sudah dapat memahami kehendak pelatih.

Lazim menurutnya, di peringkat latihan iaitu dalam usia dua tahun, beruk apabila diminta untuk memetik buah kelapa masih tidak mampu. Tetapi beruk akan menjadi luar biasa dan mahir sepenuhnya apabila telah mencecah usia tiga (3) atau empat (4) tahun.

Tambah Mat, untuk melatih haiwan itu, makanan yang cukup perlu disediakan menurut masa-masa tertentu. Misalnya makanan yang digemari beruk yang setiap pagi perlu disediakannya ialah air susu dan sedikit nasi. Untuk makanan tengah hari pula, beliau akan menyediakannya nasi biasa saja dan minumannya adalah air susu itu tadi.

Manusia kadang-kadang buat perangai. Begitu halnya dengan beruk. Bukanlah untuk membandingkan antara manusia dan haiwan itu. Tetapi itulah hakikat haiwan, ada yang sakit, ada yang sentiasa terlebih sihat dan ada juga yang suka menimbulkan masalah dan buat perangai.

Dalam masa beruk dilatih untuk menjadikan beruk terlatih dan mahir untuk memungut buah kelapa, memang ada tabiat dan perangai beruk. Katanya, ada beruk yang pernah dilatihnya sebelum ini, apabila melihat ayam bersembang berdekatan haiwan itu, beruk itu akan menangkap ayam itu lalu dimamah tetapi dibiarkan menjadi bangkai di situ.

“Kira-kira dua ekor ayam telah menjadi mangsa beruk buat perangai setakat ini”, ujar Mat lagi.

Bagi sesetengah pelatih beruk menyatakan, beruk yang suka menjadikan ayam sebagai mangsa tidak boleh dibela terlalu lama. Namun menurutnya, haiwan itu tidak makan ayam yang ditangkapnya, sebaliknya sebagai tabiatnya suka berbuat begitu. Bangkai ayam yang menjadi mangsa beruk itu hanya terdampar di tempat itu malah tidak pun diusik selepas itu.

Menurutnya, beruk yang ingin dilatih perlu disedikan tempat berteduh yang dikira dapat melindungi haiwan itu dari tempias hujan, ribut dan panas. Begitu juga dengan beliau, turut menyediakan tempat haiwan itu berteduh sebagai rumah dan tempat berlindung. Dia tidak akan memindahkan ke tempat lain, kerana apabila musim hujan, beruk-beruk itu boleh memasuki ke dalam tong yang disediakannya di setiap batang pokok kelapa sebagai tempat beruk berlindung di dalamnya.

“Namun, ada juga jenis beruk yang tidak begitu selesa tinggal dalam tong. Beruk itu akan bertempik, tetapi beruk itu perlu menyukai keadaan itu”, ujar Mat.

Walau bagaimanapun, apabila kita telah meletakkan tong plastik sebagai rumah dan tempat pelindung haiwan itu, beruk akan selamat dari tempias hujan. Hanya pada mula-mulanya saja setiap beruk akan mengalami situasi seperti itu, lama-kelamaan haiwan itu akan dapat menyesuaikan diri.

Menceritakan tentang penyakit yang dialami haiwan itu, beruk juga turut ditimpa penyakit. Kebanyakan beruk yang pernah dilatihnya sebelum ini sehingga sekarang belum lagi mengalami masalah diserang penyakit kronik. Namun katanya, dia pernah mendengar ada kes beruk juga diserang strok sebagaimana yang dialami oleh manusia.

Di samping itu, ditanya tentang sesetengah beruk bertempik dengan lain-lain bunyi. Beliau menjelaskan, memang ada sesetengah beruk yang bertempik, sebagai petanda dia tidak menggemari (memarahi) manusia mendekati beruk-beruk itu, apatah lagi apabila manusia yang buat pertama kali muncul berdekatannya dengan haiwan tersebut.

Mohd bin Bulat atau Mat.

Mat ketika diwawancara Wartawan RELATIF di laman kediamannya.





Beruk yang mahir akan mengetahui melalui renjatan tali.


Buah-buah kelapa yang berjaya digugurkan.

Di sinilah haiwan itu ditambat dan berteduh.

 
Bergambar kenangan dengan keluarganya.

Kampung Kemayan memang banyak pokok kelapa yang tumbuh subur.

 Papan tanda arah ke Kampung Kemayan, Tawang, Bachok.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Sabtu, 1 Oktober 2016

Membaca Matangkan Minda


MEMBACA MATANGKAN MINDA

MEMBACA merupakan suatu amalan atau budaya yang sihat. Membaca juga boleh meluaskan ilmu pengetahuan serta mematangkan minda. Di antara ilmu yang dipelajari, tabiat membaca wajar ditekankan di dalam segala aspek dan perlu dipupuk terhadap anak-anak semasa di bangku persekolahan lagi. Tetapi apa yang berlaku hari ini, didapati masih ramai di kalangan anak-anak mahupun segelintir masyarakat di negara ini didapati jemu dan malas membaca. Kenapa jadi begini?

Dari kaca mata Islam, menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslimin dan muslimat. Tetapi dari konteks ilmuan pula terutamanya dari aspek pembelajaran dan pendidikan, tidak begitu lengkap jika tidak disusuli atau disertai dengan tabiat membaca.

Dengan perkataan lain, berkemungkinan ramai di kalangan masyarakat di negara ini yang belajar, mendengar ceramah (syarahan), mengikuti forum perbincangan mahupun kuliah ilmu untuk tujuan memperolehi ilmu yang dimaksudkan. Tetapi ilmu pengetahuan yang diperolehinya itu belum mencukupi kerana ia hanya meliputi perkara-perkara tertentu saja. Namun, kekuatan ingatan mindanya akan terus berkembang apabila disertai dengan amalan membaca.

Di negara kita, kita dapat saksikan sama ada di bandar-bandar, kampung mahupun pekan, telah banyak gedung ilmu dan kedai-kedai buku didirikan malah tumbuh satu demi satu dengan harapan memperkayakan khazanah ilmu itu. Apatah lagi kini, dengan adanya seminar dan pameran buku-buku di setiap negeri dan daerah bagi memudahkan pembaca mendapatkan bahan-bahan menarik dan berilmiah supaya tabiat membaca diteruskan sampai bila-bila. Dari gedung-gedung ilmu, kedai buku dan pameran itu, kita boleh memperolehi banyak sumber pengetahuan melalui buku-buku, majalah, risalah serta akhbar. Tetapi sayangnya, sumber-sumber ilmu itu sahaja  yang melimpah-ruah namun pembacanya amat kurang, kurang berminat dan tidak mempedulikannya.

Sementara itu, kita mungkin boleh berbangga kerana di kalangan masyarakat di negara ini yang gemar membaca akhbar. Tetapi melalui akhbar-akhbar tersebut, bukan halaman ilmu yang dibacanya. Sebaliknya ruangan hiburan, fesyen, masakan dan sukan yang sering menjadi tumpuan. Ada yang membuat keratan dari akhbar berkenaan lalu ditampal dan dibukukan. Halaman pengetahuan dan pendidikan diketepikan, dikoyakkan dan dijadikan sebagai alas pembungkus makanan.

Dalam konteks manfaatnya, membaca banyak manfaatnya ke atas diri individu itu apabila tabiat membaca dijadikan sebagai budaya hidup iaitu:

1. Perbualan harian

Seseorang yang gemar membaca, hanya membicarakan persoalan yang berfaedah seperti ilmu dan pengetahuan yang perlu dipelajari berbanding dengan seseorang yang berat atau malas membaca. Mereka hanya membicarakan tentang hal-hal remeh dan tidak masuk akal.

2. Perpustakaan rumah

Individu yang gemarkan buku-buku dan pembacaan sebagai amalan hidup harian, sebuah perpustakaan akan diwujud dan dibina di ruang rumahnya sebagai sumber ilmu dan bagi memudahkan untuk rujukan.

3. Perkembangan minda

Dari konteks membaca juga, perkembangan minda akan menjadi matang apabila tabiat membaca sering dijadikan sebagai amalan yang berfaedah.

Dengan itu, individu yang sentiasa membaca dapat melahirkan ilham, cadangan yang bernas serta dapat memberikan pandangan yang cukup berkesan dan sebagai suatu langkah untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Dalam hal ini, ketahuilah bahawa, buku adalah “guru sepanjang zaman”. Dengan membaca dari sumber-sumber yang berilmiah kita akan memperolehi sesuatu maklumat yang belum kita ketahui sama ada dari dalam mahupun luar negara. Membacalah, kerana membaca itu memperkayakan khazanah ilmu dan mematangkan minda.




Buku adalah 'guru sepanjang zaman'.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 30 September 2016

Rezeki Tanam Sayur


REZEKI TANAM SAYUR

RANTAU PANJANG, KELANTAN: Menanam sayur-sayuran memang boleh menambah rezeki untuk perbelanjaan keluarga jika diusahakannya secara bersungguh-sungguh malah sentiasa mengamalkan penjimatan dalam berbelanja. Lihatlah apa yang dilakukan oleh orang-orang tua dahulu sama ada lelaki dan wanita, suatu kerja yang hanya dapat mereka lakukan ketika itu untuk memperolehi pendapatan mudah adalah dengan cara menanam sayur.

Sementelah pula, sayur-sayuran yang ditanam sendiri apatah lagi tidak menggunakan bahan-bahan moden walaupun dikatakan lebih menambah hasil yang tidak disangka, tetapi amalan menanam sayur-sayuran secara tradisional atau lebih dikenali menanam sayur secara kampung lebih baik dari kaedah moden.

Cuma, menanam sayur dalam kaedah ini akan lebih memenatkan bermula semasa menanam, membaja dan menyiram. Paling menarik dan memberikan banyak kepuasan setelah berpenat lelah mengusahakannya, apabila sayur-sayuran berkenaan tumbuh subur sama ada sayur buah mahupun sayur daun.

Salah seorang penduduk yang masih mengamalkan tanaman sayur-sayuran melalui kaedah tradisi sehingga hari ini, Siti Mariam Deraman, 58, atau Kak Yam dari Kampung Tasik, Rantau Panjang, Kelantan. Beliau yang mengusahakannya sejak berusia 20 tahun begitu teruja setiap kali melihat sayur-sayuran yang ditanamnya itu mengeluarkan hasilnya.

“Kak mengusahakan tanaman sayur ini sejak berusia 20 tahun lagi sehingga hari ini, semata-mata untuk makanan dan menambah pendapatan keluarga”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di hadapan kediamannya.

Katanya, dia mengusahakan tanaman itu secara sendiri tanpa bantuan ahli keluarganya berikutan keluasan tanah untuk tanaman itu tidaklah besar sangat. Dia berbuat demikian adalah semata-mata untuk makanan sekeluarga di samping dapat berjimat selain untuk menambah pendapatan keluarga. Dari hasil jualan sayur-sayuran itu dia akan membeli keperluan dapur pula secara berjimat.

Di antara sayur-sayur yang beliau tanam seperti lada, petola segi, terung, kacang botor, serai, kunyit dan nenas. Kesemua tanaman ini agak subur dan sebenarnya selain sebagai makanan sendiri, dia juga akan menjualnya di pasar-pasar kerana permintaan terhadapnya agak memberangsangkan.

Menurutnya, sebelum beliau menanam sayur-sayuran yang bakal diperolehi hasilnya nanti, dia akan memilih benih sayur-sayuran itu yang mudah diperolehi. Biasanya dia akan mengirimkan untuk membeli benih-benih sayur itu kepada seseorang yang sering berulang-alik ke Golok (Thailand) kerana harga benih sayur di sana lebih murah.

Peringkat awal untuk menanam sayur adalah perlu merumput, memugal dan menggembur tanah menjadi tanah peroi untuk memudahkan aktiviti menanam benih-benih sayur itu. Setelah selesai semua sehingga kepada peringkat menanam, dia akan membaja dan menyiramnya setiap hari supaya benih-benih sayur yang disemai itu memperolehi bekalan kelembapan yang secukupnya.

Ditanya tentang baja yang sering digunakannya sewaktu menyemai benih sayur-sayuran itu, dia hanya menggunakan baja asli (baja ori) dari najis lembu yang ternyata diperolehi dengan mudah. Baja asli ini tidak perlu mengeluarkan modal untuk mendapatkannya, kerana najis lembu berlambak di mana-mana malah amat subur pula jika digunakan kepada sebarang jenis tanaman termasuk sayur-sayuran.

Namun, selepas beberapa tempoh tertentu, baharulah dia menggunakan baja kimia pula yang dibelinya di kedai-kedai baja secara ala kadar sebanyak sekilo.

“Selepas menanam, sayur-sayuran boleh dipungut dalam tempoh 40 hari. Biasalah ketika ini, sayur-sayuran yang baharu dipetik masih muda dan enak dimakan.

“Tetapi jika dipetik agak lewat, sayur-sayuran berkenaan tidak lagi dianggap segar dan berkualiti kerana ia telah menjadi tua dan keras”, katanya.

Misalnya kacang bendi, biasanya cepat tua dan perlu dikutip secepat yang mungkin apabila cukup tempoh matang untuk dipungut. Lazim yang dilakukannya tentang kacang bendi, dia akan selang selikan memungut hasil kacang itu selama sehari dan bukannya dikutip setiap hari. Hal ini termasuklah sayur-sayuran berdaun yang terpaksa dikutip dan diselang selikan kutipannya.

Menurut Kak Yam, dia menjual hasil dari kebun itu (sayur-sayuran) itu ke pasar-pasar biasa dan kadang-kadang pihak kedai runcit pun membeli darinya untuk dijual kepada pelanggan yang malas pergi ke pasar.

Lazim menurutnya, sayur-sayuran yang siap dipungut dari kebun, beliau akan timbang terlebih dahulu di rumah untuk sukatan (berapa kilo yang perlu) diperuntukkan sebelum dibawa ke pasar-pasar itu.

Katanya, dia menjual dan meletakkan harga sayur-sayurannya untuk jualan menurut harga pasaran. Biasanya dia akan meletakkan harga setiap sayur-sayuran bagi sekilo adalah berharga RM5 atau RM6. Harga ini didasarkan jika harga sayur-sayuran di pasaran telah naik harga.

Kak Yam juga menambah, setakat ini dia tidak memperuntukkan tanaman sayur-sayuran itu untuk dijual secara borong kepada pembeli, memandangkan keluasan kebun tanaman yang diusahakannya itu tidaklah seberapa sangat dan hanya sesuai untuk makanannya sekeluarga selain untuk dijual sebagai menambah pendapatan keluarga saja.

“Kak tidak pernah menjual borong memandangkan keluasan kebun sayur-sayuran tidak sampai kepada tahap itu. Hanya untuk makanan sekeluarga dan dijual, sebagai menambah pendapatan keluarga” katanya apabila ditimbulkan tentang jualan borong.

Pada masa dulu, ramai juga pembeli sayur yang datang ke rumah semata-mata untuk membeli sayur-sayurnya, namun memandangkan beliau melihat jualan sayur di pasar-pasar berdekatan dengan kediaman lebih mudah, dia meneruskan tradisi itu sehingga hari ini. Katanya, setelah memperolehi pendapatan dari jualan sayur itu, dia akan membeli keperluan dapur pula seperti ikan dan sebagainya.

Menurut Kak Yam, memang kebiasaan bagi setiap orang kampung termasuk dirinya yang berminat sebagai penanam sayur. Menanam sayur menurutnya bukan sahaja jimat sebagai makanan sekeluarga, tetapi jika ada lebihan dari sayur-sayuran yang ditanam itu boleh juga dijual dan secara langsung atau tidak boleh menambah pendapatan keluarga.

Tambahnya, dia dapat tahu juga, jika berbakti kepada tanah tentunya akan ada rezeki yang tidak disangka kerana rezeki berbudi kepada tanah akan diperolehi di sebaliknya pula. Disebabkan hal itulah, dia dia cuba berbakti kepada tanah semata-mata untuk mendapatkan rezeki halal bukannya hanya terperap di rumah semata-mata.

Apabila ditanya tentang pembeli sayur yang sentiasa berurusan dengannya, dia hanya menyatakan, setiap hari dia akan memperolehi pendapatan dari jualan sayur-sayurannya itu di antara RM20 dan RM30 sehari, satu angka yang dianggapnya boleh bernafas untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Pembeli sayurnya itu hanya penduduk tempatan yang memang mengetahui beliau sebagai penanam sayur yang rajin walaupun orang lain tidak sanggup melakukannya ketika kemarau panjang, namun beliau terus mengusahakannya semata-mata untuk mencari perbelanjaan dapur dan membantu meringankan beban perbelanjaannya selama ini.

Siti Mariam Deraman atau Kak Yam.

Kak Yam ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

Petola segi.

Kacang botor.

Kangkung.

Serai wangi.

Daun kunyit.

Cili yang habis dikutip dan dijual.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Selasa, 20 September 2016

Beginilah Akhirnya


BEGINILAH AKHIRNYA

PASIR MAS, KELANTAN: Memang sedih juga apabila melihat kaki yang digunakan untuk berjalan terpaksa dipotong berikutan ditimpa penyakit. Keadaan bertambah sedih apabila dia kematian isteri, isteri yang sentiasa menjaga makan dan minumnya selama ini. Walau bagaimanapun, kedua-dua kejadian itu adalah takdir Illahi yang harus diterimanya dan dia redha dengan kejadian itu.

Itulah yang terjadi kepada salah seorang warga emas, Ariffin Mat Akid atau Pak Pin, 80, dari Kampung Pangkal Gerap, Kubang Gadong, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.

Dia kini berkeadaan cacat setelah kakinya dipotong. Apabila ditanya sebab kakinya dipotong, adakah bersabit dengan kencing manis. Pada mulanya, dia menafikannya dan apa yang diketahuinya ialah kakinya “berair”.

Seingatnya, setelah mengetahui keadaan kakinya, dia kemudiannya menerima rawatan di sebuah klinik swasta di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Katanya, doktor memberitahunya dia terkena penyakit saraf. Dia berada di klinik itu selama empat hari untuk tujuan menerima rawatan dan suntikan.

Menceritakan detik-detik dia terkena penyakit itu, pada awalnya dia dapat berjalan seperti biasa. Tanda-tanda dia mula terkena penyakit itu apabila dirasakan tubuhnya semakin berat. Dia cuba duduk apabila ketika berdiri dia berasa tidak selesa. Tetapi setelah dia dapat duduk, ketika itulah dia terlalu sukar dan berasakan badannya seperti beban untuk bangun.

“Ketika pakcik mengalami masalah kaki, kaki tidak berasa sakit, tetapi tidak selesa kerana berasa seperti ada cairan yang melekat apabila terpijak ke lantai. Dari hari ke sehari kaki pakcik semakin banyak keluar air”, katanya ketika menceritakan detik-detik masalah kakinya.

Menurutnya, disebabkan menerima rawatan di klinik swasta, beliau dikenakan bayaran berjumlah RM60 (rawatan pertama) dan diikuti rawatan kedua (RM50) dan rawatan ketiga RM50. Melihat keadaan kakinya tidak juga sembuh, beliau memberitahu anaknya supaya tidak lagi menerima rawatan di klinik itu kerana pastinya membazir wang ringgit. Selepas itu, dia tidak lagi menerima rawatan yang sepatutnya.

Apabila ditanya, kenapa tidak dirujuk kepada hospital kerajaan. Dia menjelaskan, pihak klinik memang ada bertanya tentang jarak dari rumahnya dengan pusat rawatan terdekat di kampung berkenaan. Jika ada, beliau disarankan supaya berulang-alik ke hospital berkenaan bagi memudah dan mempercepatkan rawatan susulan.

“Pakcik pernah meminum air kelapa muda, nasi berlaukkan ikan selayang, ayam, daging dan sayur kacang panjang.

“Cuma pakcik agak terkejut jika benar kata anak pakcik, masalah kaki pakcik disebabkan memakan kacang panjang yang agak tidak serasi dengan kesihatan pakcik”, ujarnya apabila ditanya tentang menu makanan yang menjadi penyebab kakinya berkeadaan begitu.

Ketika dia diserang penyakit itu, dia memang tidak mempunyai sumber kewangan kecuali atas inisiatif anak-anaknya. Disebabkan hal itulah, dia cuba mendapatkan bantuan kewangan dari pihak-pihak yang prihatin tentang masalah kesihatan yang dihadapinya. Kalau tidak sepenuhnya pun, dia bersyukur jika ada pihak yang sudi membantunya dalam keadaan dirinya seperti itu.

“Pakcik cuba mendapatkan bantuan dan sumbangan dari pihak ketua kampung. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas dimaklumkan tentang masalah pakcik ini. Tetapi pakcik gagal kerana pihak berkenaan tidak melayani permohonan pakcik”, ujarnya dalam keadaan hampa.

Selepas itu, dia cuba memohon bantuan pihak berkenaan di Pengkalan Pasir, Pasir Mas tetapi hampa walaupun sudah menunjukkan bukti, surat dan dokumen yang dikehendaki. Dia turut memohon bantuan dari seorang wakil rakyat, tetapi permohonannya seolah-olah menyusahkan.

“Tidak ada sikap prihatin dalam diri wakil rakyat”, kata Ariffin.

Katanya menambah, bukan sahaja tiada bantuan dari individu dan wakil rakyat, dia juga belum pernah menerima bantuan wang zakat. Disebabkan sering hampa kerana usaha sering gagal untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan, usaha seperti itu terpaksa dibatalkan kerana tiada pihak yang sudi melihat keadaannya. Hanya Penghulu Zaid saja yang bermurah hati menghulurkan sumbangan ala kadar.

Dia juga turut dirundung hiba apabila isteri yang sering menjaga makan, pakai dan keadaannya itu telah pulang ke rahmatullah. Setelah ditanya tentang keadaan yang menimpanya itu, dia kemudiannya menangis kerana sebelum ini dia pernah memberitahu kepada arwah isterinya tentang kehidupannya yang susah dan miskin.

Sementara itu, menurut adik iparnya, Roslina Hamzah berkata, di peringkat awal abang iparnya berasa sakit perut. Selama kira-kira tiga hari abang iparnya terpaksa menahan sakit itu. Melihat tiada tanda-tanda akan sembuh, beliau membawanya ke Klinik Perdana, Lemal, Pasir Mas. Pihak klinik berkenaan meminta beliau merujuk masalah abang iparnya itu ke Hospital Raja Zainab II, Kota Bharu apabila keadaannya agak kritikal.

Abang iparnya itu dimasukkan ke Wad ICU selama sebulan. Pada ketika dimasukkan ke wad berkenaan, abang iparnya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kira-kira selepas sebulan, abang iparnya dibawa pulang ke rumah dan didapati beliau tidak lagi dapat berjalan, seolah-olah urat dan sarafnya mengalami masalah.

Disebabkan abang iparnya tidak lagi dapat berjalan dan hanya mampu bergerak secara duduk dari satu tempat ke satu tempat dalam rumahnya itu. Lebih kurang tempoh antara dua hingga tiga tahun, tiba-tiba abang iparnya dijangkiti kudis di bahagian kaki. Beliau mengalami simptom seperti itu dalam tempoh enam bulan.

“Kesihatan tubuhnya baik, cuma masalah kakinya sahaja. Disebabkan keadaan itulah, terpaksalah abang ipar perlu dibawa ke hospital. Kemudian kakinya dipotong untuk mengelakkan jangkitan kuman”, katanya apabila ditanya tentang kesihatan abang iparnya ketika serangan simptom tersebut.

Ditanya tentang punca kejadian sehingga abang iparnya berkeadaan seperti itu, dia percaya kejadian itu berlaku disebabkan banjir kuning pada tahun 2014 apabila kulitnya yang sensitif terkena air banjir. Apabila terkena air banjir itu bermulanya episod masalah yang terpaksa dialami oleh abang iparnya. Apatah lagi kekotoran air banjir yang membawa pelbagai bahan kotor dan enap cemar memudahkan kuman berjangkit melalui kulit dan saluran darah secara diam.

Dia juga sedia maklum tentang dakwaan abang iparnya itu sebenarnya menghidap kencing manis, apabila melihat keadaan kudis itu yang perlu kakinya dipotong. Sebab-sebab lain, mungkin juga berpunca dari pemakanan sehingga kakinya menjadi bengkak.

Selepas kaki abang iparnya dipotong, keadaannya agak sempurna. Namun, beliau tidak pasti apakah yang akan berlaku seterusnya.

Membicarakan tentang bantuan untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh abang iparnya yang tidak mempunyai wang saraan sendiri, apatah pula terpaksa menanggung masalah kakinya dipotong. Katanya, beliau agak hairan kerana bantuan pernah dipohon dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut prosedur yang diminta.

Pihaknya telah dua kali ke JKM untuk memohon bantuan tersebut. Dia kurang mengerti di manakah silapnya, sehingga permohonan abang iparnya itu sama ada ditolak atau tidak, kerana berita tentang permohonan itu senyap begitu saja.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban beliau, hubungi telefonnya: 017-9529570

Ariffin Mat Akid atau Pak Pin.

Pak Pin ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Beginilah keadaan kakinya yang telah dipotong akibat penyakit itu.

Roslina Hamzah, adik ipar Pak Pin.

 Roslina Hamzah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediaman Pak Pin.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Sabtu, 10 September 2016

Abe Ki Tukang Besi


ABE KI TUKANG BESI

KOTA BHARU, KELANTAN: Pertukangan besi adalah salah satu cabang seni. Ini kerana, bukan mudah untuk menghasilkan barangan senjata seperti parang, golok, pedang, keris dan sebagainya jika tiada seni untuk menghasilkannya. Bidang ini juga menjanjikan pendapatan yang baik jika dilakukan menurut seni, tekun dan bersungguh-sungguh terhadapnya.

Selain itu, terdapat tukang besi di negeri Kelantan yang menceburi bidang lain tetapi begitu minat terhadap pertukangan besi. Disebabkan terlalu minat terhadapnya, sehingga memberikan kepuasan terhadap seseorang tukang itu sendiri malah terdapat juga yang masih dalam peringkat pelajar, tetapi disebabkan minat terhadapnya menyebabkan beliau menimba ilmu dari tukang atau pandai besi yang mahir.

Begitu halnya dengan seorang tukang besi yang dimaksudkan, Mohamad Zaki Ahmad, 48, atau lebih dikenali sebagai Abe Ki Salor dari Kampung Gertak Lembu, Salor, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim.

“Sebelum saya menceburi bidang bidang pertukangan besi, saya adalah pekerja sebuah kilang di Kuala Lumpur. Setelah berhenti sebagai pekerja kilang pada tahun 2000, ketika itulah saya terus menyambung kerja sebagai tukang besi”, katanya kepada Wartawan RELATIF.

Apabila ditanya tentang modal sehingga beliau boleh menubuhkan bengkel pertukangan besi sendiri di rumahnya itu, beliau menjelaskan, dia sememangnya terlalu minat kepada kerja-kerja sebagai tukang besi ketika beliau sebagai pekerja kilang lagi. Atas dasar itu, apabila beliau mendapat bonus sebagai pekerja kilang, ketika itulah dia mula membeli barangan keperluan yang akan digunakan seperti pemotong besi, drill dan lain-lainnya. Katanya, apabila dapat membeli barangan yang dimaksudkan, dia menyimpannya di bawah katil kerana pada suatu masa nanti dia akan menyambung tugas itu apabila tiba masanya.

Bahkan menurutnya, ketika dia mempunyai kesempatan masa, dia mula bertukang secara giliran antara dua tugas itu. Katanya, tidak selesai jika bekerja seperti itu, dia perlukan masa dan tumpuan sepenuhnya kepada pertukangan besi. Dengan itu, selepas berhenti sebagai pekerja kilang pada tahun 2000 itu, dia menumpukan kepada pertukangan besi sepenuh masa.

Menceritakan tentang ilmu sebagai tukang besi, arwah atuknya bernama Pak Da Awang dari Kampung Pendek, Kota Bharu asalnya adalah seorang tukang kimpal besi yang tersohor juga. Namun, dia tidak menimba ilmu dari atuknya itu kerana ketika atuknya meninggal, beliau ketika itu baharu berusia dua (2) tahun.

Menurutnya, disebabkan minatnya terlalu mendalam untuk menjadi seorang tukang besi, dia kemudiannya menimba ilmu dari seorang tukang besi di Bunut Susu, Pasir Mas, sedangkan pada masa yang sama dia juga seorang penuntut di Politeknik.

Katanya, beliau melihat kebanyakan bidang utama yang diceburi di Bunut Susu ketika itu adalah tukang besi. Walaupun pada masa itu minatnya terhadap tukang besi adalah sekadar minat, tetapi tumpuan utamanya juga adalah sebagai seorang pelajar. Jadi, jika ada peluang beliau akan ke Bunut Susu, Pasir Mas sambil melihat tukang-tukang besi di situ menyiapkan naskhah masing-masing. Katanya, beliau juga agak terhibur dan terpanggil berikutan di Bunut Susu pada masa itu semuanya tukang-tukang besi yang agak mahir dan tersohor.

Setelah menamatkan pengajian, dia tidak mendapat sebarang kerja. Tetapi pada ketika itu, telah mula timbul dalam benaknya untuk berkecimpung dalam bidang tukang besi yang diminatinya selama ini. Pada ketika itulah beliau menemui asal usul dan turun temurun (ilmu) daripada arwah atuknya. Setelah mendapatkan ilmu peninggalan arwah atuknya, dia mula bertekad untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh arwah atuknya.

“Setelah saya memperolehi asas dalam pertukangan, saya mula belajar ilmu melarik kayu. Kebetulan pula, bapa saya mempunyai seorang warga Siam bernama Udom Kamkong yang mahir dalam kaedah melarik kayu.

“Dengan warga Siam itulah saya mula mempelajari beberapa kaedah berkenaan sehingga mahir sepenuhnya”, katanya.

Setelah mahir dalam bidang melarik kayu, dia membiasakan diri pula untuk mempelajari pertukangan besi sehingga mahir dengan hanya melihat tukang-tukang besi berkenaan menyiapkan kerja-kerja berkenaan.

Apabila ditanya tentang hasil awal pertukangan besi yang pernah dilakukannya, beliau menjelaskannya, pada awalnya itu banyak barangan besi yang dihasilkannya rosak dan banyak barangan yang dihasilkannya patah disebabkan beliau tidak begitu mahir berhubung dengannya kerana agak terlalu awal untuk menyatakan beliau boleh menghasilkannya.

Katanya menambah, kebanyakan barangan yang dihasilkannya rosak, selama seminggu itu beliau tidak memperolehi sebarang upah. Tetapi disebabkan beliau terlalu minat dengan pertukangan besi itu, beliau menganggapkan “alah bisa tegal biasa”. Lama-kelamaan beliau mula mahir untuk menghasilkan barangan berkenaan menurut kemahuannya.

Disebabkan beliau melakukannya seorang diri, tentunya barangan besi yang dapat disiapkan agak lambat. Walaupun agak lambat untuk menyiapkannya, namun kejayaan beliau menghasilkan barangan tradisional seperti golok, sadat, pedang dan tongkat dari kayu boleh dibanggakan walaupun sebelum ini kebanyakannya telah rosak.

Sebenarnya, dia melakukan perlu menyiapkan dua kerja iaitu sebagai tukang besi dan melarik kayu (membelah kayu) untuk menghasilkan sarung golok itu. Beliau terpaksa menyiapkannya agak lambat di mana beliau dapat menghasilkan kira-kira sebilah pedang yang ditempah dalam tempoh seminggu, sementara bagi sebilah golok pula kadang-kadang dalam tempoh sehari atau dua dia sudah dapat menyiapkan golok itu. Namun katanya, jika bertukang atas kapasiti mood baik, dia akan dapat menyiapkan lebih dari dijangkakan.

Abe Ki menambah, disebabkan beliau menghasilkan barangan tempahan agak lambat, beliau menerima pelanggan juga agak terhad iaitu seorang pelanggan setiap bulan. Jadi, bergantung kepada barangan yang dapat disiapkan. Maknanya, beliau tidak dapat menghasilkan barangan berkenaan mengikut masa-masa tertentu. Jika barangan dapat disiapkan sebanyak dua bilah dalam tempoh seminggu, walaupun ada di kalangan pelanggan mahukan lebih dari itu, dia tidak mampu untuk menghasilkannya. Jika dibuat secara tergesa-gesa, barangan yang dapat disiapkan tentunya tidak berkualiti.

“Saya pernah diberitahu supaya mengiklankannya melalui internet. Namun, saya menolaknya disebabkan tidak mampu untuk menyiapkan barangan sebagaimana yang diharapkan”, katanya.

Sebagai tukang besi juga dia perlu mendapatkan barang mentah (besi) untuk menghasilkan senjata itu menurut tempahan. Jika menerima tempahan pelanggan, dia akan melihat di tempat besi buruk untuk mendapatkan barangan yang dimaksudkan seperti “spring gana” sama ada besi jenis tebal atau nipis. Katanya, pelanggan tidak perlu membawa besi sendiri jika ingin menempah sesuatu barangan, kerana dia akan menguruskannya sendiri.

"Saya tidak dapat memberikan keputusan tentang kualiti barangan yang dihasilkan, kerana dalam keadaan sekarang ni saya masih dalam peringkat bertatih (belajar)”, apabila ditanya kualiti barangan yang telah dihasilkannya.

Katanya, beliau pernah dengar ada tukang-tukang besi yang dapat menghasilkan barangan berkenaan termasuk sarungnya sekali sebanyak empat bilah sehari, pada masa itu dia cuba menafikannya kerana tidak mempercayainya. Tetapi, hakikatnya memang betul kerana kalau menurut skilnya tukang-tukang besi yang mahir pasti dapat menyiapkannya dalam masa yang singkat. Tetapi menurut persepsinya sebagai tukang besi yang masih bertatih, dia tidak semampu itu untuk menyiapkannya dalam tempoh singkat.

Walau bagaimanapun, dia turut mengakui bahawa, bagi tukang-tukang besi yang ternyata mahir di bidang berkenaan memang tidak dinafikan mampu menyiapkan tempahan barangan besi berserta sarungnya sekali sebanyak empat bilah dalam tempoh sehari sahaja. Namun, dia belum lagi sampai kepada tahap itu. Ini berikutan, dia bekerja atas dasar ada mood, jika tidak dia terpaksa memberhentikan kerja-kerjanya dengan serta-merta.

Menyiapkan kerja-kerja seni seperti bertukang ini menurutnya adalah berdasarkan keadaan kehendak tubuh. Jika bekerja di bawah mood, barangan yang dihasilkan akan lebih bermutu. Tetapi jika dilakukan secara tergesa-gesa atau di bawah tekanan supaya menyiapkannya dengan cepat, barangan yang dihasilkan pastinya tidak berkualiti dan akan melebihi tempoh siap.

Bercakap tentang harga pula berdasarkan kepada barangan yang ditempah iaitu bergantung kepada kehendak pembeli. Lazimnya, jika barangan kecil ia menjual dengan harga RM100 ke bawah. Manakala jika tempahan seperti pedang, harganya pula agak lebih sikit disebabkan keperluan barangan seperti tembaga terlalu sukar dan mahal.

Tentang modal pula katanya, modal untuk menghasilkan barangan yang ditempah bergantung kepada tempahan. Jika tempahan banyak, modalnya lebih dari kebiasaan.

Justeru katanya, kebanyakan pengimpal besi yang menggunakan mesin hidraulik, modal yang diperlukan adalah kira-kira RM20,000. Tetapi bagi beliau masih belum sampai tahap itu kerana menyiapkan tempahan secara “tradisional” bergantung kepada mood kerja. Kalau sebelum ini (semasa dia) tiada pengalaman membuat tempahan kayu (membelah) untuk menyiapkan sarungnya terpaksa mengupah orang lain. Tetapi kini, dia menyiapkannya sendiri.

Mohamad Zaki Ahmad atau Abe Ki Salor.

Abe Ki ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkel besi miliknya.







Di antara peralatan yang digunakannya sebagai tukang besi.



Sebahagian alat dan senjata yang telah berjaya dibuatnya.

Salah seorang pelanggannya datang menempah ketika program wawancara di bengkelnya.

Inilah bengkel besi miliknya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM