RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 10 November 2016

Penulis dan Undang-undang


PENULIS DAN UNDANG-UNDANG

MENULIS bukannya mudah. Seseorang penulis perlu memiliki kesabaran, ketekunan dan minat yang mendalam untuk menghasilkan tulisan atau karya-karya yang bermutu.

Keadaan ini memang disedari bahawa kebanyakan penerbit media massa tanah air hanya memerlukan karya-karya yang bermutu semata-mata dan menepati hal ehwal semasa untuk disiarkan. Paling penting ialah segala tulisan itu boleh mengajak masyarakat pembaca memperolehi pengetahuan darinya.

Banyak perkara yang perlu diketahui dan boleh dijadikan asas oleh setiap penulis di dalam menghasilkan sesuatu bentuk karya itu. Di antaranya penulis perlu banyak membaca, belajar dan bergaul dengan masyarakat.

Sememangnya, membaca banyak manfaatnya, boleh meluas dan mematangkan minda. Kalau kita tidak mengetahui tentang sesuatu tempat menarik yang belum pernah kita kunjungi atau untuk mendapatkan maklumat tentang keadaan sosio-ekonomi rakyat di sesebuah negara, membacalah yang boleh memberikan jawapannya.

Begitu juga kalau kita ingin mendapatkan sesuatu maklumat berhubung dengan kesihatan, sains, alam sekitar dan sebagainya, dengan kaedah pembelajaran, seminar dan perbincangan, dengan membaca juga kita memperolehi maklumat itu.

Di samping itu, berhubung dengan hal kemasyarakatan, penulis perlu belajar walaupun golongan ini telah terdidik atau telah banyak menimba ilmu pengetahuan. Dalam konteks belajar, budaya bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung boleh dijadikan amalan untuk mendapatkan segala maklumat yang diperlukan. Penulis tidak perlu angkuh bahawa mereka telah terdidik dan banyak pengetahuan tentangnya.

Berikutan penulis diumpamakan “penyampai maklumat” kepada masyarakat, mereka juga berhak mendapat ganjaran atau honorarium yang adil sesuai dengan pengorbanan mereka. Tanpa penulis yang mencoretkan ilham, berkemungkinan segala maklumat dan perkara yang penting tidak dapat diketahui umum.

Tetapi benarkah penulis boleh hidup mewah dengan sekadar menulis semata-mata? Memang ada di kalangan segelintir penulis yang boleh hidup mewah dengan menulis genre seperti artikel, skrip drama radio, televisyen dan filem, cerpen, puisi dan novel. Penulis yang memperolehi ganjaran lumayan adalah penulis yang telah mencipta nama dan telah dikenali di dada akhbar dan majalah serta penerbit media cetak dan elektronik. Bagaimana pula dengan penulis-penulis muda?

Mungkin masyarakat pembaca telah sedia maklum bahawa ramai di kalangan penulis muda yang masih berjuang dengan penanya.

Kebanyakan ganjaran dan honorarium yang diberikan oleh kebanyakan akhbar dan majalah tidak begitu memberangsangkan penulis itu sendiri. Paling menyedihkan lagi ialah, segala ganjaran itu lambat diterima. Kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun. Itupun penulis hanya dibayar RM10 hingga RM80 saja.

Kadang-kadang terdapat penerbit media cetak yang langsung tidak mempedulikan ganjaran kepada penulis sedangkan bahan (majalah) dijual amat laris di pasaran. Malah terdapat penerbit yang memberikan ganjaran setelah menerima surat tuntutan dan selepas itu karya-karya dari penulis berkenaan digam. Hal yang paling teruk, didapati syarikat penerbitan yang menerbitkan karya penulis itu telah muflis dan gulung tikar sedangkan hutang mereka tidak juga dijelaskan kepada penulis.

Inilah perkara dan beberapa kelemahan yang melibatkan media cetak di negara ini. Penulis dianaktirikan asalkan mereka mendapat untung dari penat dan kesusahan penulis.

Penulis bukan sahaja perlu menulis tetapi turut berfikir, apakah bahan yang akan ditulisnya dan apakah mesej yang akan disampaikan nanti. Selain itu, penulis perlu dan wajib mematuhi beberapa akta, undang-undang atau peraturan berhubung dengan penulisan dan penerbitan karya di negara ini seperti Akta Hak Cipta 1987, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Kontrak 1950, Akta Rahsia Rasmi 1972, Undang-undang Penghinaan Mahkamah, Akta Keselamatan Dalam Negara 1960, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) dan lain-lain lagi.

Kelalaian penulis sama ada secara sengaja melanggari undang-undang, mungkin boleh menjejaskan pelaksanaan tugas seseorang penulis dan mereka boleh diambil tindakan sewajarnya.

Kesemua akta tersebut hanyalah peraturan tertentu tetapi penulis tidak dibela oleh undang-undang untuk mendapatkan haknya secara adil dari segi ganjaran terhadap karya-karya yang diterbitkan. Dengan itu, penerbit bebas menilai sesuatu karya itu dan jumlah ganjaran yang patut diberikan kepada penulis menurut kemahuannya.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya pihak persatuan-persatuan penulis, kerajaan serta badan-badan yang terlibat dengan media supaya menggubal satu undang-undang khusus untuk membela penulis dari setiap sudut yang boleh dinamakan “Akta Karyawan”.

Diharapkan, pada suatu masa nanti Akta Karyawan dan seumpamanya menjadi tiang peneguh kepada penulis supaya setiap penulis dapat menghasil dan menyumbangkan tulisan-tulisan yang bermutu di samping memperolehi ganjaran serta pengiktirafan yang adil.

Ini kerana, suatu masa penulis-penulis veteran akan “gugur” seorang demi seorang. Hanya yang tinggal adalah penulis-penulis muda sebagai penyambung warisan khazanah kesusasteraan tanah air.

Tercetaknya buku kerana lahirnya penulis.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 1 November 2016

Mijan Pandai Besi


MIJAN PANDAI BESI

KOTA BHARU, KELANTAN: Menceburi dalam bidang tukang besi apatah lagi untuk memahirkan diri sebagai seorang pandai besi bukanlah suatu kerja yang mudah kalau tidak disertai dengan minat dan melakukannya dengan tekun atau mudah patah semangat. Tetapi lazimnya, bagi yang ingin menceburi bidang itu mereka telah sejak awal bersedia mempersiapkan diri dengan ilmu yang secukupnya, jika tidak barangan yang dihasilkan tidak akan dianggap terbaik dan bermutu.

Minat untuk menjadi seorang tukang besi itu adalah asas sebelum memulakan kerjaya sedemikian, begitulah sedikit luahan seorang tukang dan pandai besi, Mohd. Almizan Mat Husein atau Mijan, 36, dari Kampung Buloh Poh, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya yang dijadikan bengkel pertukangan baru-baru ini.

Menurut Mijan, sejarah beliau sebagai tukang besi bermula pada tahun 2000. Minatnya terhadap kerja-kerja besi berputik sejak dari zaman kanak-kanaknya lagi. Pada awalnya, beliau hanya salah seorang pekerja kampung seperti bekerja sebagai buruh binaan, memasang wayar elektrik dari rumah ke rumah, mengecat rumah dan sebagainya yang memperolehi pendapatan hanya dalam ala kadar saja.

Namun, setelah beliau semakin meningkat dewasa dan minatnya semakin subur apatah lagi pada ketika itu dia banyak menerima tempahan daripada beberapa pihak yang memintanya untuk mengusahakannya. Sejak itulah, beliau bersara dari melakukan kerja-kerja kampung lantas menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja sebagai tukang besi itu.

“Sebenarnya, keturunan saya sendiri dari sebelah bapa adalah seorang tukang besi yang mahir yang saya jadikan sebagai guru utama untuk meneruskan sebagai tukang besi”, ujarnya ketika diminta dari siapakah beliau memperolehi ilmu sebagai tukang dan pandai besi itu.

Bahkan menurutnya, ketika beliau masih di bangku persekolahan, beliau sememangnya acap kali melihat pakar-pakar dalam pembuatan besi yang menyebabkan beliau berminat ke arah itu. Malahan ketika waktu lapang ketika dia masih menuntut di sekolah menengah, beliau pernah menghasilkan beberapa jenis sarung golok dan sebagainya. Sejak itu beliau merasakan, dia mampu meneruskan bidang itu dengan jayanya jika diusahakannya.

Dia turut menimba ilmu bertukang dan pandai besi ini daripada salah seorang pakar besi dari Kampung Padang Tengah, Ketereh, manakala ilmu memukul besi beliau perolehi dari Pekan Raja. Kesemua ilmu tentang pembuatan besi itu beliau perolehi terus dari tukang-tukang besi yang disegani dari kedua-dua kampung itu.

“Sehingga kini, saya menerima tempahan di antara tiga atau empat orang saja. Saya tidak menerima tempahan lebih dari itu kerana untuk menyiapkan barangan besi memerlukan tumpuan khusus dan perlu dilakukan dengan sempurna untuk menghasilkan barangan bermutu”, jelasnya.

Katanya menambah, dari segi harga pula, dia menjual barangan besi berkenaan dengan harga RM800 sebilah, namun harga berkenaan hanya dijual dalam negeri Kelantan. Tetapi jika dijual ke luar Kelantan pula, harganya berbeza kerana dilihat dari segi bilahnya.

Manakala harga tertinggi setiap bilah yang pernah dijualnya adalah kira-kira RM800, itupun dijual hanya mata saja tetapi tidak termasuk ulunya. Manakala satu set barangan besi termasuk sarungnya beliau jual dengan harga RM1,600 adalah paling mahal setakat ini yang pernah ditempah darinya. Ada juga senjata berkenaan dijual dengan harga RM1,000 berdasarkan kepada kualiti pembuatannya.

Kebanyakan barangan besi yangmeliputi senjata Melayu itu bukan semata-mata dijual di kawasan Ketereh tetapi turut dijual di Pahang, Kuala Lumpur, Johor dan paling jauh setakat ini adalah Singapura. Kebiasaannya jualan barangan besi seumpama itu, dia mendapatkan khidmat daripada penjual daripada Pahang dan Johor yang mempromosikan barangan besi buatannya.

Ditanya bagaimana peminat barangan besi dari luar Kelantan mengetahui beliau sebagai tukang dan pandai besi. Katanya, dia mempromosikan buatannya itu melalui khidmat Facebook iaitu melalui grup facebook yang bertindak mempromosikan barangan besi ahli-ahlinya. Dalam grupnya terdapat kemahiran sebagai tukang besi, batu logam dan sebagainya.

Grup berkenaan katanya adalah untuk mengembangkan hasil seni tempatan kepada masyarakat dan peminat-peminatnya sama ada dalam negeri dan luar negeri. Paling ramai tukang dan peserta dalam grup facebook tersebut adalah terdiri dari tukang besi dan batu logam.

“Keahlian dalam grup batu logam kini mencecah sehingga 16,000 ahli. Manakala grup barangan besi (pisau, parang, golok, keris, pedang) telah melebih 20,000 ahli. Keahlian ini sebenarnya termasuk dari negara Thailand, Filipina dan Indonesia.

Kata Mijan, di Kelantan kebanyakan barangan besi dipromosikan sendiri oleh tukang besi itu dengan harapan untuk memperkenalkan hasil seni orang Kelantan di mata luar. Namun, bagi negeri-negeri lain adalah sebaliknya iaitu grup-grup berkenaan akan mempromosi barangan besi hasil tangan orang lain bukannya dari hasil sendiri.

Mijan menjelaskan, untuk menyiapkan barangan yang telah ditempah amat merumitkan dan beliau perlu memyiapkannya dengan sempurna dan sebagaimana yang dijanjikan. Misalnya bagi sebilah golok, beliau kadang-kadang mengambil masa selama sehari dan kadang-kadang tiga atau empat hari untuk disiapkan. Masa yang diperuntukkan ini menjadi kelaziman bagi sesetengah tukang besi.

“Tetapi jika orang yang menempah itu inginkan golok yang agak lain dari yang lain, saya perlukan masa sehingga seminggu. Pastinya menyiapkan senjata itu agak memuaskan dan lain dari yang lain”, katanya.

Beliau juga turut menghasilkan pedang yang menjadi minat sebilangan masyarakat hari ini. Namun, ketika wawancara ini dijalankan, kebanyakan pedang yang telah disiapkannya telah habis terjual.

“Saya pernah juga menerima kata-kata semangat, dorongan dan pujian yang merujuk barangan besi yang saya hasilkan ini amat digemari kerana ada seninya", ujar Mijan.

Katanya, beliau mendapatkan bekalan besi yang terdiri dari senjata tradisional Melayu untuk menghasilkan pisau, parang, golok, keris dan pedang darip tempat besi buruk. Kalau di luar Kelantan pula, biasanya bekalan besi buruk boleh diperolehi dari pihak kilang papan.

“Namun, terdapat juga penempah yang membawa besi sendiri untuk dibuat barangan itu. Dengan cara yang demikian, tukang besi seperti saya tidak perlulah mencarinya di merata tempat dan tentunya menjimatkan masanya pula.

“Setakat ini bagi saya, besi terbaik yang mudah dibuat senjata adalah jenis besi mata ketam. Namun, kebiasaan bagi tukang-tukang besi menggunakan besi spring kenderaan”, ujar Mijan.

Ditanya tentang sesetengah tukang besi menggunakan besi batang paip. Beliau menjelaskannya, setakat ini beliau belum pernah menggunakan besi jenis itu. Namun, kalau setakat untuk menghasilkan keris, menjadi kelaziman bagi sesetengah tukang besi menggunakan besi batang paip. Walau bagaimanapun, kalau untuk menghasilkan golok menggunakan besi batang paip beliau tidak dapat menyatakannya kerana beliau belum pernah melihatnya lagi.

Bercakap tentang pekerja pula, buat masa sekarang hanya dia seorang saja pekerja untuk menyiapkan tempahan yang dibuat. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat banyak tempahan dan dia tidak dapat menyiapkannya seorang diri pastinya dia akan meminjam salah seorang pekerja yang merupakan rakannya sendiri yang juga mahir dalam selok-belok pertukangan besi untuk membantunya.

Walaupun begitu, salah seorang rakan yang dimaksudkan itu datang awal bermula jam 8.00 pagi dan pulang jam 3.00 petang setiap hari. Keperluan kepada pembantu itu menurutnya berdasarkan kepada keadaan semasa.

Menurutnya, berbanding dengan kerja-kerja kampung yang pernah dilakukannya sebelum ini, beliau lebih berminat dan begitu seronok sebagai seorang tukang dan pandai besi. Ini kerana, sebagai tukang besi tidak perlu terikat kepada masa (masa fleksibel). Sekiranya, dia perlu lakukan ketika masa mana dia akan lakukannya berdasarkan kepada mood dirinya sendiri.

Apatah lagi menurutnya, jika sesuatu barangan tempahan dapat disiapkan dia akan berasa puas hati kerana telah berjaya menyiapkannya sebagaimana yang dipinta. Namun, pada suatu ketika barangan yang dihasilkannya ketika itu tidak begitu menjadi dan dirinya tidak berasa puas setelah didapati kerja-kerja yang dilakukannya itu tidak membuahkan hasil yang sebagaimana yang sepatutnya. Hal ini berlaku ketika beliau masih belum mahir dengan kerja-kerja tersebut.

Ditanya berapa kali dia menyiapkan barangan tempahan tetapi tidak menjadi, dia tidak menyatakannya. Namun, suatu hal yang dianggapkan sukar baginya ialah untuk membuat lenggokan besi itu yang dianggap terlalu sukar kerana pada masa itu beliau masih belum berpengalaman sepenuhnya. Kalau barangan itu berhasil dibuat, namun lenggokan besi itu tidak memuaskan hatinya. Jadi, barangan berkenaan terpaksa dibuang dan dia akan menghasilkannya lagi sehingga hatinya berasa puas walaupun memperuntukkan banyak masa dan tenaga untuk menyiapkannya. Namun, menurutnya, setakat ini apa juga tempahan yang diterimanya semuanya berhasil dan orang yang menempah darinya turut berpuas hati.

Di antara barangan yang dibuatnya seperti golok, parang, sadat, lawi ayam, keris, badik, sulam dan pedang. Maknanya kesemua jenis senjata Melayu dia akan membuatnya apabila mendapat tempahan kecuali kapak.

Ditanya kenapa kapak sahaja yang tidak berhasil dibuatnya. Beliau menjelaskan, kapak tidak akan berhasil jika dilakukan hanya seorang, maknanya ia perlu dibuat oleh dua orang. Kesukarannya adalah untuk membentuk lubang itu yang merumitkannya.

Menurutnya, jika alat senjata tersebut didapati rosak atau sebagainya apatah lagi kerosakan itu berlaku ketika berurusan dengannya, dia akan cubamembaikinya atau menggantikannya dengan yang lain. Ini kerana, jika besi yang dicarinya sendiri dia boleh memberikan jaminan tersebut. Namun, jika penggunaan besi untuk menghasilkan senjata itu bukan darinya (dibuat dengan tukang besi lain), dia tidak dapat memberikan jaminannya kerana dia tidak tahu apakah sifat besi itu.

Sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi beliau di talian: 010-9390132

Mohd. Almizan Mat Husein atau Mijan.

Mijan ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkel besinya.

Beberapa bilah golok yang masih untuk disiapkan ulu dan sarungnya.


Antara beberapa bilah senjata Melayu yang telah siap untuk diserahkan kepada pihak yang menempah.





Antara alat dan perkakas yang digunakannya untuk menghasilkan senjata Melayu.

Dapur membakar besi.

Penggunaan air adalah penting ketika proses menyiapkan barangan besi.
 



Di antara kayu yang digunakan untuk menghasilkan ulu senjata itu.

Tonton Video: 
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Ahad, 30 Oktober 2016

Tolonglah Makcik


TOLONGLAH MAKCIK

PASIR MAS, KELANTAN: Kesedihan disebabkan kematian orang yang tersayang tidak dapat dihitung dengan kata-kata. Tidak mungkin dapat dileraikan dengan tangisan kerana apabila diingatkan kembali, air mata pastinya bercucuran. Begitulah yang terpaksa dihadapi oleh Tuan Zainab Tuan Deraman atau Makcik Nab, 80, dari Kampung Apa-apa, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.

Katanya, beliau berasal dari Kampung Perol, Pasir Mas. Beliau berpindah ke Kampung Apa-apa itu setelah mendirikan rumahtangga dengan arwah suaminya. Suaminya yang berasal dari kampung berkenaan kembali menemui Illahi kira-kira 30 tahun lalu ketika berusia 50 tahun dan kini dia menetap di rumah pusaka arwah suaminya sehingga sekarang.

Tambahnya, ketika melayari bahtera hidup berumahtangga, beliau hanya dikurniakan seorang anak sahaja. Namun, beberapa ketika kemudian, anaknya pula dijemput Illahi yang ketika itu berusia 50 tahun dan kini hanya dia seorang saja yang masih menghuni di rumah arwah suaminya. Walaupun telah mempunyai cucu, namun cucunya tinggal di rumah sendiri.

Ditanya tentang makanan harian, beliau hanya berharap kepada pemberian orang ramai untuk sesuap makanan. Beliau ada menerima bantuan dari pihak kerajaan sebanyak RM100 sebulan. Sementara sumbangan dan bantuan zakat hanya dihulurkan oleh kebanyakan orang-orang kampung itu yang bersimpati dengan dirinya yang hidup seorang diri. Dia juga tidak pernah menerima bantuan dalam bentuk makanan seperti beras, gula dan sebagainya dari mana-mana pihak walaupun dari jiran-jirannya sendiri sedangkan itulah barangan keperluan yang amat diperlukannya.

Katanya lagi, selama tiga bulan dia tidak menuntut wang pemberian pihak kerajaan berjumlah RM100 itu, kalau diikutkan memanglah tidak mencukupi. Namun, dia tidak berbuat demikian bukan kerana bantuan itu terlalu rendah dan dianggap “kedekut”, namun hakikatnya dia sebenarnya berharapkan kepada cucunya untuk menuntut wang tersebut, tetapi cucunya tidak berbuat demikian. Sehingga hari ini, dia tidak pernah menikmati wang bantuan berkenaan itu dan beliau hanya bergantung kepada pemberian orang ramai semata-mata.

Ditanya tentang bantuan zakat dari pihak majlis agama Islam negeri, setakat ini tiada bantuan seumpama itu. Dia sememangnya berasa agak sedih juga berikutan dengan keadaannya itu, tiada pihak yang berkemampuan untuk cuba membantunya.

“Makcik hanya dapat bantuan dari orang-orang kampung, bantuan wang zakat makcik tak pernah terima. Sedih juga, apabila makcik dalam keadaan ini, tiada pihak yang ambil peduli”, katanya dengan nada sedih.

Apabila ditanya tentang bekalan elektrik ke rumahnya itu menurutnya, pada asalnya bekalan elektrik memang disalurkan ke rumah pusakanya itu dan dia sebelum ini pernah menikmati kemudahan itu. Tetapi disebabkan tidak mampu membayar bil elektrik selama tiga bulan, bekalan tersebut kemudiannya dipotong.

Beliau juga menyingkap dirinya yang bertemu jodoh semasa hayat suaminya. Katanya, suatu ketika suaminya hanya sekadar santai-santai di Kampung Perol. Sejak pertemuan itu katanya, terbitlah rasa cinta sehingga membawa mereka ke jinjang pelamin. Setelah mendirikan rumahtangga, beliau kemudiannya dibawa oleh arwah suaminya menetap di rumah pusaka yang didudukinya sekarang.

Ditanya tentang perasaannya dalam keadaan yang dihadapinya sekarang. Menurutnya, beliau memang sedih kerana bukan sahaja disebabkan kematian suami dan anaknya yang seorang itu. Tetapi bantuan dan sumbangan pihak-pihak tertentu juga tidak diperolehi sebagaimana yang sepatutnya, jadi, bagaimana beliau akan menjalani kehidupan sebagaimana orang lain?

Kadang-kadang katanya, apabila malam menjelang dia sentiasa berfikir tentang keadaan dirinya yang seperti disisihkan oleh masyarakat dan kerajaan kerana membiarkan insan sepertinya berkeadaan begitu tanpa diberikan perhatian, pertolongan dan bantuan.  Mungkin menurutnya, itu semua adalah dugaan hidup dan sebagai takdir Illahi terhadapnya.

“Makcik tidak pasti bagaimana akan menghabiskan hayat jika berkeadaan begini. Cuma makcik masih beruntung berikutan ada juga penduduk kampung yang sering bertandang, bertanya khabar dan menghulurkan bantuan sekadar termampu”, ujar Makcik Nab lagi.

Katanya, pada ketikanya kesedihan yang mencengkam jiwanya kadang-kadang terubat juga apabila tibanya hari raya. Ini kerana, ada juga kanak-kanak yang datang menjenguknya sambil beraya dengan beliau. Malah ketika itu, beliau banyak menerima buah tangan yang disedekah dan disumbangkan oleh penduduk-penduduk kampung itu.

Justeru, beliau bersyukur apabila tiada gangguan penyakit yang dialaminya walaupun usianya kini telah separuh abad. Sesuatu yang menjadi masalahnya adalah beliau tidak begitu berselera untuk menjamah makanan, itulah yang merunsingkannya ketika ini. Kadang-kadang cucunya sendiri menghulurkan makanan, namun disebabkan dia tidak berselera, apabila cukup tiga hari makanan itu terpaksa dibuang kerana makanan itu tidak lagi boleh dimakan.

Tuan Zainab Tuan Deraman atau Makcik Nab.

Makcik Nab ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Merenung masa depan yang belum menentu.

Inilah rumah pusaka arwah suami yang masih didudukinya sehingga kini.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Khamis, 20 Oktober 2016

Pelancaran Buku Hashim Latiff



PELANCARAN BUKU HASHIM LATIFF

KOTA BHARU, KELANTAN: Menurut agenda, majlis bermula jam 10.30 pagi, dengan ketibaan tetamu jemputan dan VIP. Detik 11.00 pagi majlis pelancaran pun berlangsung dengan ucapan alu-aluan Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Hajah Che Zainab Omar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada pegawai-pegawai DBP dan penganjur Pesta Buku dan Karnival Jualan 2016, Kor Kadet Konstable Kelantan dan Jabatan Pendidikan Kelantan. Ini katanya, tanpa penglibatan kedua-dua penganjur berkenaan program yang dirancangkan tidak akan terlaksana.

Menurutnya, pihaknya telah membuat undangan untuk majlis berkenaan, nampaknya ramai pelajar-pelajar yang hadir di pesta buka berkenaan dan beliau difahamkan, kira-kira 37 buah sekolah dari seluruh Kelantan yang menyertai pesta buku selama tiga hari itu.

“Kedatangan peserta pada hari ini telah menentukan tahap kecernaan yang menyintai ilmu di kalangan masyarakat Kota Bharu khususnya dan di seluruh Kelantan amnya”, ujar Hajah Che Zainab Omar.

Beliau juga turut menyentuh sedikit biodata penulis yang diraikan, Hashim Latiff yang bukan sahaja seorang penulis tetapi beliau difahamkan Hashim Latiff mempunyai dua bakat terpendam iaitu menulis dan melukis. Dia sendiri pernah melihat kesemua lukisan yang dicernakan oleh Hashim Latiff yang pada perkiraannya dianggap bagus, namun beliau terlupa untuk membawanya dan dipertontonkan dalam majlis berkenaan.

Jelasnya, langkah yang dimulakan oleh Hashim Latiff menjadi inspirasi kepada penulis muda kerana idea yang dicetuskan oleh beliau itu amat prolifik disebabkan selalu menghasilkan karya yang terbaik. Beliau juga ingin mengucapkan tahniah kepada Hashim Latiff kerana telah berjaya menulis lima novel remaja yang akan dilancar dan dibicarakan dalam majlis itu nanti iaitu Rahsia Tasik Berangan, Ukiran Kasih Ibu, Aku Bukan Kaki Bangku, Budi Tanpa Sempadan serta Pendekar Sufi.

Beliau difahamkan juga penghasilan novel oleh Hashim Latiff sebagai menyahut seruan, saranan dan program yang dirancang oleh bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan pada tahun 2014 itu.

Sementara itu, Bekas Ketua Pengarah DBP, Tokoh Budayawan Kelantan merangkap Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A. Aziz Deraman yang turut berucap, merasmi, pelancaran buku dan gimik pelancaran turut memuji dan mengucapkan tahniah kepada penulis novel remaja yang dirai, Hashim Latiff itu. Beliau turut menyarankan kepada para remaja terutamanya pelajar-pelajar yang turut serta sempena pesta buku pada hari itu patut membelinya kerana kandungan yang digarapkan dalam lima buku berkenaan adalah yang terbaik.

“Ada beberapa perkara yang saya lihat dalam kelima-lima buku seperti Pendekar Sufi yang disebut oleh penulis tentang Kejohanan Silat Sedunia.

“Kebetulannya, saya ketika itu sebagai Pengerusi Penganjur Kejohanan Silat Sedunia 1987. Dalam kejohanan ini, kira-kira 27 buah negara turut serta yang diadakan buat pertama kali”, katanya.

Menurutnya, silat adalah salah satu seni mempertahankan diri yang unggul di dunia. Buku ini penulis ingin menceritakan tentang seni dan budayanya sekali. Manakala buku berjudul Rahsia Tasik Berangan menceritakan bagaimana berlakunya konflik dalam satu komuniti. Tetapi di dalam komuniti itu turut disebut tentang anak-anak yang terpelajar kerana sentiasa ke sekolah dan mereka berusaha mencari buku-buku untuk dibaca. Dalam buku ini juga menurutnya disebut beberapa aspek sosio-curteral psikologi berhubung dengan semangat patriotik anak-anak muda.

“Dalam buku ini juga terdapat unsur-unsur budaya yang menarik terutamanya dalam loghat Kelantan.

“Sementara dalam buku Budi Tanpa Sempadan, penulis cuba mewujudkan rentas budaya berhubung dengan kisah seorang gadis Vietnam”, ujarnya.

Dia juga turut mencadangkan kepada pihak sekolah, apabila tibanya kelas akhir tahun yang tidak ada aktiviti, guru-guru perlu menerapkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar mereka dengan buku-buku berkenaan. Beliau meminta supaya membaca dalam seminggu, seorang satu judul dan meminta pelajar yang pernah membacanya supaya memperdengarkannya tentang pengalaman mereka membaca buku-buku tersebut.

“Gerakkan budaya membaca di kalangan mereka sesuai dengan ayat-ayat yang digarapkan dalam Al-Quran surah Al-‘Alaq. Bacalah..bacalah”, ujarnya lagi.

Beliau turut juga menyebut tentang penulis yang berjaya menterjemahkan suatu tuntutan, membaca dan menulis. Kalau kita tidak membaca, kita tidak mempunyai ilmu dan bagaimana pula mahu menulis? Kalau tidak membaca dan menulis tentunya kita akan kembali kepada zaman buta huruf yang ilmunya tidak tersebar. Jadi, pentingnya membaca.

Datuk A. Aziz Deraman turut juga menyentuh tentang flora, fauna dan samudera bahasa Melayu dengan kegilaan bahasa Inggeris yang tidak meletakkan persepsi dengan betul. Ada 5,000 perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa Inggeris. Misalnya buah cupu, buah durian dan buah seto tidak ada di London. Tetapi mereka mengenalinya apabila ada pengimpot dan pedagang yang membawanya ke negara itu.

Justeru, beliau masih berharap kepada khalayak supaya menggerakkan budaya membaca. Di rumah-rumah, patut disediakan rak khutub khanah (perpustakaan) untuk meletakkan buku-buku penulis dari Kelantan misalnya Norhisham Mustapha, banyak buku-buku tentang syair, puisi dan novel-novel yang baik. Pertama, bab menguasai bahasa, itu yang paling penting. Dengan membaca karya-karya sastera akan menjadikan idea dan bahasa kita akan bertambah. 

Selepas ucapan, majlis disusuli dengan pelancaran buku dan gimik pelancaran yang disempurnakan oleh Datuk A. Aziz Deraman. Majlis berakhir dengan Bicara Karya oleh Editor Buku DBP, Puan Nelawati Ngadul.

Beberapa penulis dan penyair Kelantan turut hadir pada hari tersebut terdiri daripada Haji Norhisham Mustafa, Darma Mohamad, Abdullah Awang, Anuar Bakri, Rossem, Abdul Razak Mahmud, M.Husdaini Mamat serta Azmi Mohd. Salleh.

Ucapan alu-aluan oleh Pengarah DBP Wilayah Timur, Hajah Che Zainab Omar.

Ucapan perasmian dan pelancaran buku oleh Tokoh Budayawan Kelantan dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A. Aziz Deraman.

Gimik Pelancaran disempurnakan oleh Datuk A. Aziz Deraman.

Bicara Karya bersama Editor Buku DBP, Puan Nelawati Ngadul sebagai akhir majlis.

Tetamu kehormat.




Tokoh penulis dan penyair juga turut hadir untuk menyerikan majlis.




Pesta Buku dan Karnival Jualan 2016.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 10 Oktober 2016

Mat Pelatih Beruk


MAT PELATIH BERUK

BACHOK, KELANTAN: Melatih haiwan yang separa jinak bukannya senang walaupun melihatnya nampak mudah. Namun, bagi yang betul-betul berminat perkara yang sukar dapat dilakukan dan akhirnya menemui kejayaan. Bercakap tentang haiwan separa jinak seperti beruk yang adakalanya mempunyai perangai tertentu, namun apabila haiwan berkenaan serasi dengan tuannya, dengan mudah saja ia dilatih.

Begitu halnya dengan pengalaman yang ingin dikongsi oleh Mohd bin Bulat, 61, atau Mat dari Kampung Kemayan, Tawang, Bachok, Kelantan. Dia sebenarnya sukakan haiwan itu, sebab itulah dia membelanya. Tetapi dia bukan sekadar membelanya sebaliknya dia melatih haiwan itu sehingga mahir dalam tugas sebagai haiwan pemetik buah kelapa.

“Pada awalnya saya suka sangat pelihara haiwan itu. Tetapi lama-kelamaan saya menjadi minat melatihnya pula”, katanya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbaharin di kediamannnya.

Katanya, sebelum haiwan banyak bulu itu digunakan sebagai haiwan yang sentiasa berkhidmat kepadanya sebagai tukang petik buah kelapa, tindakan awalnya terhadap haiwannya itu adalah melatihnya sehingga haiwan itu betul-betul terlatih dan mahir untuk memetik dan menurunkan buah kelapa.

Menurutnya, walaupun haiwan itu sudah biasa dengan memanjat, namun perlu juga dilatih kerana umumnya mengetahui, beruk hanya memanjatnya saja dan kalau diminta memetik buah kelapa pun dengan cara dan naluri haiwan itu semata-mata. Apabila dikatakan naluri haiwan, boleh jadi buah yang dipetik itu baik dan mungkin juga rosak.

Bagi sesetengah pelatih mungkin agak berbeza, begitu juga dengan caranya. Namun, baginya, peringkat pertama beliau melatih beruk itu adalah dengan memegang tangan beruk itu dia sudah tahu beruk itu boleh berkhidmat kepadanya atau tidak. Selepas itu, dia akan meminta beruk itu memegang buah kelapa itu pula supaya sarafnya dapat merasai bagaimana bentuk buah kelapa itu. Dengan cara demikian juga, dia akan mengetahui sikap dan sifat beruk itu apabila memanjat pokok, beruk itu rajin bekerja atau haiwan pemalas.

“Saya mememelihara beruk ini kerana minat. Dalam masa yang sama, saya melatih beruk itu peringkat demi peringkat sehingga mahir”, katanya.

Mat menambah, bermula melatih beruk sehingga beruk yang dilatihnya itu mahir melakukan kerja-kerja sebagai pemetik buah kelapa adalah kira-kira sejak 10 tahun dulu. Dia bukan saja melatih beruknya sendiri untuk tujuannya itu tetapi turut melatih beruk-beruk yang dibawa oleh orang lain untuk tujuan yang sama iaitu untuk memetik buah kelapa.

Apabila ingin melatih beruk orang lain, dia akan menambat haiwan itu di beberapa pokok kelapa di hadapan laman rumahnya iaitu sebatang pokok kelapa bagi seekor beruk lalu dibina tempat untuk beruk itu berlindung dari hujan dan panas.

Menceritakan pengalamannya, secara jujurnya, dia tidak pernah pernah belajar dari mana-mana guru sehingga dia boleh melakukannya seperti sekarang. Tetapi apabila dia melihat seekor beruk itu, dia mampu melakukannya. Apabila dia melatih beruk itu, beruk akan faham apa yang dimahukannya. Misalnya, apabila dia bertutur dan memberitahu beruk yang dilatihnya, beruk itu faham walaupun dituturkan dalam dialek Kelantan.

Katanya, untuk melatih beruk supaya cepat menyesuaikan diri dan akhirnya pandai adalah beruk yang berusia dua (2) tahun. Dalam usia dua tahun itu, bentuk tubuh beruk sudah agak besar, tetapi jika masih kecil walaupun usia seperti itu akan menyebabkan perkembangan otak beruk agak lambat dan tentunya beruk juga agak lambat pandai.

Apabila ditanya, kenapa perlu diajar dan dilatih beruk ketika usia dua tahun tetapi tidak usia lain? Beliau menjelaskan, usia dua tahun adalah umur yang sesuai bagi seekor beruk untuk dilatih. Kalau dilatih usia lebih dari itu, tentulah mengalami keadaan sukar untuk beruk itu menerima latihan dan pemahaman suara dari pelatih atau tuannya.

“Perumpamaan seperti manusia, apabila diajar di peringkat telah berusia, tentulah sukar menerima, begitu halnya dengan beruk”, kata Mat lagi.

Menurutnya, apabila seseorang pelatih telah melatih haiwan itu dengan menunjukkan cara dan kemahuan kita sebagai pelatihnya, tentulah beruk akan menurutnya.

Ditanya tentang bagaimana beliau melatih beruk untuk memetik buah, beliau menjelaskan, kita akan beritahu begini dan begitu dengan cara bertutur dan menggerakkan tangan, beruk sudah dapat memahami kehendak pelatih.

Lazim menurutnya, di peringkat latihan iaitu dalam usia dua tahun, beruk apabila diminta untuk memetik buah kelapa masih tidak mampu. Tetapi beruk akan menjadi luar biasa dan mahir sepenuhnya apabila telah mencecah usia tiga (3) atau empat (4) tahun.

Tambah Mat, untuk melatih haiwan itu, makanan yang cukup perlu disediakan menurut masa-masa tertentu. Misalnya makanan yang digemari beruk yang setiap pagi perlu disediakannya ialah air susu dan sedikit nasi. Untuk makanan tengah hari pula, beliau akan menyediakannya nasi biasa saja dan minumannya adalah air susu itu tadi.

Manusia kadang-kadang buat perangai. Begitu halnya dengan beruk. Bukanlah untuk membandingkan antara manusia dan haiwan itu. Tetapi itulah hakikat haiwan, ada yang sakit, ada yang sentiasa terlebih sihat dan ada juga yang suka menimbulkan masalah dan buat perangai.

Dalam masa beruk dilatih untuk menjadikan beruk terlatih dan mahir untuk memungut buah kelapa, memang ada tabiat dan perangai beruk. Katanya, ada beruk yang pernah dilatihnya sebelum ini, apabila melihat ayam bersembang berdekatan haiwan itu, beruk itu akan menangkap ayam itu lalu dimamah tetapi dibiarkan menjadi bangkai di situ.

“Kira-kira dua ekor ayam telah menjadi mangsa beruk buat perangai setakat ini”, ujar Mat lagi.

Bagi sesetengah pelatih beruk menyatakan, beruk yang suka menjadikan ayam sebagai mangsa tidak boleh dibela terlalu lama. Namun menurutnya, haiwan itu tidak makan ayam yang ditangkapnya, sebaliknya sebagai tabiatnya suka berbuat begitu. Bangkai ayam yang menjadi mangsa beruk itu hanya terdampar di tempat itu malah tidak pun diusik selepas itu.

Menurutnya, beruk yang ingin dilatih perlu disedikan tempat berteduh yang dikira dapat melindungi haiwan itu dari tempias hujan, ribut dan panas. Begitu juga dengan beliau, turut menyediakan tempat haiwan itu berteduh sebagai rumah dan tempat berlindung. Dia tidak akan memindahkan ke tempat lain, kerana apabila musim hujan, beruk-beruk itu boleh memasuki ke dalam tong yang disediakannya di setiap batang pokok kelapa sebagai tempat beruk berlindung di dalamnya.

“Namun, ada juga jenis beruk yang tidak begitu selesa tinggal dalam tong. Beruk itu akan bertempik, tetapi beruk itu perlu menyukai keadaan itu”, ujar Mat.

Walau bagaimanapun, apabila kita telah meletakkan tong plastik sebagai rumah dan tempat pelindung haiwan itu, beruk akan selamat dari tempias hujan. Hanya pada mula-mulanya saja setiap beruk akan mengalami situasi seperti itu, lama-kelamaan haiwan itu akan dapat menyesuaikan diri.

Menceritakan tentang penyakit yang dialami haiwan itu, beruk juga turut ditimpa penyakit. Kebanyakan beruk yang pernah dilatihnya sebelum ini sehingga sekarang belum lagi mengalami masalah diserang penyakit kronik. Namun katanya, dia pernah mendengar ada kes beruk juga diserang strok sebagaimana yang dialami oleh manusia.

Di samping itu, ditanya tentang sesetengah beruk bertempik dengan lain-lain bunyi. Beliau menjelaskan, memang ada sesetengah beruk yang bertempik, sebagai petanda dia tidak menggemari (memarahi) manusia mendekati beruk-beruk itu, apatah lagi apabila manusia yang buat pertama kali muncul berdekatannya dengan haiwan tersebut.

Mohd bin Bulat atau Mat.

Mat ketika diwawancara Wartawan RELATIF di laman kediamannya.





Beruk yang mahir akan mengetahui melalui renjatan tali.


Buah-buah kelapa yang berjaya digugurkan.

Di sinilah haiwan itu ditambat dan berteduh.

 
Bergambar kenangan dengan keluarganya.

Kampung Kemayan memang banyak pokok kelapa yang tumbuh subur.

 Papan tanda arah ke Kampung Kemayan, Tawang, Bachok.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN