SIN TUKANG CINCIN
TUMPAT, KELANTAN: Kerjaya sebagai
“tukang cincin” memang agak sukar tetapi akan dianggap mudah jika adanya sifat sabar, minat dan tekun serta memberikan tumpuan atau fokus terhadapnya. Ramai juga pada
mulanya yang bukan berkecimpung di bidang itu akhirnya berjaya dan layak digelarkan
sebagai seorang “tukang” cincin disebabkan minat terhadapnya.
Hal berkenaan memang diakui
sendiri oleh salah seorang tukang cincin yang berjaya, Mohd. Yusoff Mat Hassan,
47, atau lebih dikenali sebagai Sin Tukang Cincin dari Kampung Paloh Masjid,
Palekbang, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya yang turut dijadikan bengkel
membuat cincin di kampung terbabit.
Menurut Sin, sebelum beliau
berkecimpung dalam bidang membuat cincin, beliau telah melakukan pelbagai kerja-kerja
kampung seperti mengecat rumah dan tukang rumah. Namun, jiwanya berasa tidak
sempurna kerana kerja-kerja seumpama itu seperti tidak sesuai dengan dirinya
sehinggalah dengan kehendak Allah, beliau tiba-tiba berminat dengan membuat
cincin pula.
“Saya tidak begitu ingat, bilakah
saya berkecimpung dalam pembuatan cincin ini. Namun, saya perolehi ilmu ini
dari bapa saudara sendiri dan di kediaman inilah saya memulakan langkah itu”,
cetus Sin ketika menceritakan peringkat awal beliau mula berkecimpung dalam
bidang membuat cincin itu.
Selepas itu katanya, dia terus
menimba ilmu yang berkaitan dengan kerjayanya sekarang selama dua tahun untuk
memantap dan memahirkannya lagi dalam bidang berkenaan. Dia pernah bekerja selama
empat tahun di Kota Bharu dan selepas itu bekerja sambil mendalami ilmu
berkenaan dengan majikannya yang dikenali sebagai Amir selama dua tahun.
Selepas beliau berhenti kerja
dengan majikannya ketika itu, dia terus ke Kuala Lumpur. Tujuan beliau ke Kuala Lumpur atas sebab
salah seorang tauke dari Pasir Puteh yang meminta beliau “handle” kedainya itu.
Dia bersama dengan tauke baharunya selama dua tahun.
Kata Sin menambah, setiap
pelanggan yang ingin menempah cincin darinya (meminta beliau membuatnya),
tempahan berkenaan hendaklah melalui kedai (melalui taukenya). Setelah taukenya
menerima tempahan, dia akan diminta oleh tauke terbabit supaya membuatnya
menurut kehendak setiap yang menempahnya sama ada cincin atau gelang tangan.
Ditanya tentang barangan kemas
seperti “rantai” yang begitu popular di kalangan wanita, beliau berkata, dia
tidak berminat menghasilkan rantai walaupun menerima banyak tempahan. Ini kerana, rantai
didatangkan dari Pulau Pinang dalam keadaan telah siap untuk dipakai. Dia hanya
menumpukan kepada pembuatan cincin sahaja.
“Jika ada di kalangan wanita yang
ingin menambah beberapa aksesori dan koleksi terhadap rantai itu, saya bersedia
membuatnya”, ujarnya.
Selain itu menurut Sin, beliau
juga turut membuat acuan (mangkuk) cincin dan berlian. Proses permulaan memang
menggunakan acuan diikuti selepas itu beliau perlu menggunakan mesin atau
peralatan khusus supaya barangan kemas itu dapat dihasilkan dalam keadaan
sempurna.
Lazim menurut pengalamannya, dia
hanya dapat menyiapkan dua bentuk cincin sahaja dalam sehari. Ini kerana, untuk
membuat cincin adalah sesuatu yang rumit juga. Kadang-kadang menurutnya, cincin
yang urat biasa dia hanya mampu menyiapkannya hanya sebentuk sehari berdasarkan
keadaan mood kerja dan usianya sekarang yang tidak seperti dulu lagi.
“Kerja membuat cincin memerlukan
ketekunan, tumpuan yang sepenuh masa dan perlu elak dari gangguan masalah dan
sebagainya.
“Sementelah pula, saya menganggap
kerjaya berkenaan boleh mendatangkan pulangan yang menarik, namun kerjaya saya
sekarang dianggap sebagai rezeki yang memadai untuk kami sekeluarga”, katanya.
Katanya, lazim yang dilakukannya
dengan memulakan kerja membuat cincin dan berlian itu bermula jam 9.30 pagi
setiap hari dan berakhir jam 6.00 petang, berhenti solat Zohor dan makan tengah
hari sebelum menyambung kerjanya selepas itu.
Sementara pada sebelah malamnya
kini dia tidak lagi menyambung kerja di sebelah malam disebabkan masalah
penglihatannya yang tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian. Namun, pada
masa dulu dia akan memulakan kerjanya itu bermula jam 9.00 malam dan berakhir
jam 6.00 pagi.
“Harga standard cincin yang biasa
saya jual (atas kapasiti harga di kampung) di antara RM100 hingga RM130 sahaja
berdasarkan kepada kemampuan pembeli. Tetapi kalau dijual dengan harga pasaran,
mungkin lebih lagi”, ujar Sin.
Tambah Sin lagi, dia hanya dapat
menghasilkan beberapa bentuk cincin sahaja disebabkan beliau bekerja seorang
diri. Pada masa dulu, selain beliau bekerja sebagai tukang cincin, bapa saudaranya
dan sepupunya juga turut sama membantu sebagai tukang cincin. Apabila pekerja
ramai tentunya hasilnya memuaskan dan agak cepat. Tetapi disebabkan mereka
telah bertukar tempat, ada yang ke Kota Bharu dan seorang lagi telah meninggal,
terpaksalah dia menguruskan kerjayanya secara sendiri.
Untuk menceburi bidang sebagai
tukang cincin, hal utama yang perlu dilalui oleh bakal-bakal pembuat cincin
adalah “minat” dan “tekun” mengamati tentang bentuk cincin itu. Soal belajar
untuk lebih memahami dan mendalami tentang ilmu membuat cincin adalah persoalan
kedua.
Katanya, belajar dengan memerhati
dan meneliti tentang kerja-kerja membuat cincin perlulah tekun bagi bakal-bakal
tukang cincin. Kalau seseorang itu mudah berasa jemu memerhati tentang
selok-belok berhubung dengannya, sudah tentu dia akan meninggalkan bidang itu.
Bidang pembuatan cincin agak rumit, halus dan kreatif. Orang yang tidak sabar
tentunya akan merugikan masa melihatnya malah kepandaian gagal diperolehi.
Sebab itulah menurutnya, dia
tidak pernah bercita-cita untuk mengajar remaja untuk membuat cincin kecuali
jika dia lihat seseorang remaja itu sanggup duduk bersamanya sambil memberikan
penuh perhatian, beliau akan dapat mengenalpasti adakah remaja terbabit minat
atau tidak.
Katanya menambah, beliau pernah
menerima seorang remaja yang kini menetap di Kota Bharu. Pada masa itu, remaja
terbabit sering datang setiap hari ke bengkelnya untuk melihat beliau membuat
cincin. Ketika itu, beliau melihat remaja tersebut benar-benar berminat untuk
mendalami hal pertukangan cincin. Hanya jam 12.00 malam baharulah remaja itu
meminta diri untuk pulang untuk menunjukkan remaja itu pastinya akan berjaya
sebagai tukang cincin suatu hari nanti disebabkan minatnya itu. Jika individu
yang tidak berminat, tentunya dalam masa satu jam mereka akan berasa sudah agak lama, pastinya
individu terbabit akan angkat kaki.
“Lazimnya, dalam masa setahun
atas ilmu di bidang pembuatan cincin pastinya individu yang berminat
menceburinya akan berjaya. Cuma individu itu perlukan minat yang bersungguh-sungguh
dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang ditunjuk dan diperkatakan”,
kata Sin.
Menurutnya, bentuk tempahan
cincin adalah berdasarkan kepada kehendak si pemakainya. Beliau bersedia
membuat pelbagai bentuk berdasarkan contoh asal (paten) bagi memudahkan beliau
membuatnya.
Walau bagaimanapun menurutnya,
sesuatu bentuk cincin agak sukar dihasilkan jika ditunjukkan dalam bentuk
gambar dan katalog. Tetapi jika gambar katalog itu dirakam dari pelbagai sudut,
kemungkinan usaha untuk menghasilkannya pasti berhasil, namun bentuknya akan
berbeza sedikit. Bahkan, dia sendiri yang membuatnya akan berasa tidak puas
hati dengan cara itu. Berbeza jika si penempahnya akan menunjukkan contoh
patennya, pastinya beliau akan dapat menghasilkan cincin yang agak baik
sempurna. Kerana dengan adanya patennya, dia dapat meniru bentuk dan sudut
cincin itu.
Ditanya tentang peralatan dan
mesin yang digunakannya, dia menggunakan mesin keping (berharga RM500), mesin
mengilat (berharga RM300) dan mesin mengorek dan menajamkan barangan berlian
(berharga RM980), digunakan di tempat-tempat yang agak rumit untuk menghasilkan
cincin-cincin dan berlian terbabit.
“Berhubung dengan bidang membuat
cincin ini, kadang-kadang rasa penat itu timbul apabila sampai tahap terlalu
rumit untuk menyudahkannya. Hal ini biasa terjadi, tetapi atas dasar sudah
biasa malah barangan itu perlu disiapkan, segalanya dapat diatasi”, katanya.
Justeru, jika dilihat sesuatu
bentuk cincin itu agak rumit untuk dihasilkan ketika itulah dia perlunya bebas
dari gangguan. Jika terganggu dengan hal-hal lain, tumpuan akan hilang.
Dalam hal ini, fokus dan tumpuan ke atas sesuatu bentuk cincin itu amat penting, jika
tidak cincin yang berjaya dihasilkan tidak sama sebagaimana yang dikehendaki.
Untuk tempahan, Mohd. Yusoff Mat Hassan (Sin Tukang Cincin) boleh dihubungi di talian: 014-5267114
Mohd. Yusoff Mat Hassan atau Sin.
Mohd. Yusoff ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Peralatan yang digunakan oleh Mohd. Yusoff.
Kediaman yang dijadikan bengkel membuat cincin dan berlian.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH