RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 20 Februari 2016

Sin Tukang Cincin


SIN TUKANG CINCIN

TUMPAT, KELANTAN: Kerjaya sebagai “tukang cincin” memang agak sukar tetapi akan dianggap mudah jika adanya sifat sabar, minat dan tekun serta memberikan tumpuan atau fokus terhadapnya. Ramai juga pada mulanya yang bukan berkecimpung di bidang itu akhirnya berjaya dan layak digelarkan sebagai seorang “tukang” cincin disebabkan minat terhadapnya.

Hal berkenaan memang diakui sendiri oleh salah seorang tukang cincin yang berjaya, Mohd. Yusoff Mat Hassan, 47, atau lebih dikenali sebagai Sin Tukang Cincin dari Kampung Paloh Masjid, Palekbang, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya yang turut dijadikan bengkel membuat cincin di kampung terbabit.

Menurut Sin, sebelum beliau berkecimpung dalam bidang membuat cincin, beliau telah melakukan pelbagai kerja-kerja kampung seperti mengecat rumah dan tukang rumah. Namun, jiwanya berasa tidak sempurna kerana kerja-kerja seumpama itu seperti tidak sesuai dengan dirinya sehinggalah dengan kehendak Allah, beliau tiba-tiba berminat dengan membuat cincin pula.

“Saya tidak begitu ingat, bilakah saya berkecimpung dalam pembuatan cincin ini. Namun, saya perolehi ilmu ini dari bapa saudara sendiri dan di kediaman inilah saya memulakan langkah itu”, cetus Sin ketika menceritakan peringkat awal beliau mula berkecimpung dalam bidang membuat cincin itu.

Selepas itu katanya, dia terus menimba ilmu yang berkaitan dengan kerjayanya sekarang selama dua tahun untuk memantap dan memahirkannya lagi dalam bidang berkenaan. Dia pernah bekerja selama empat tahun di Kota Bharu dan selepas itu bekerja sambil mendalami ilmu berkenaan dengan majikannya yang dikenali sebagai Amir selama dua tahun.

Selepas beliau berhenti kerja dengan majikannya ketika itu, dia terus ke Kuala Lumpur. Tujuan beliau ke Kuala Lumpur atas sebab salah seorang tauke dari Pasir Puteh yang meminta beliau “handle” kedainya itu. Dia bersama dengan tauke baharunya selama dua tahun.

Kata Sin menambah, setiap pelanggan yang ingin menempah cincin darinya (meminta beliau membuatnya), tempahan berkenaan hendaklah melalui kedai (melalui taukenya). Setelah taukenya menerima tempahan, dia akan diminta oleh tauke terbabit supaya membuatnya menurut kehendak setiap yang menempahnya sama ada cincin atau gelang tangan.

Ditanya tentang barangan kemas seperti “rantai” yang begitu popular di kalangan wanita, beliau berkata, dia tidak berminat menghasilkan rantai walaupun menerima banyak tempahan. Ini kerana, rantai didatangkan dari Pulau Pinang dalam keadaan telah siap untuk dipakai. Dia hanya menumpukan kepada pembuatan cincin sahaja.

“Jika ada di kalangan wanita yang ingin menambah beberapa aksesori dan koleksi terhadap rantai itu, saya bersedia membuatnya”, ujarnya.

Selain itu menurut Sin, beliau juga turut membuat acuan (mangkuk) cincin dan berlian. Proses permulaan memang menggunakan acuan diikuti selepas itu beliau perlu menggunakan mesin atau peralatan khusus supaya barangan kemas itu dapat dihasilkan dalam keadaan sempurna.

Lazim menurut pengalamannya, dia hanya dapat menyiapkan dua bentuk cincin sahaja dalam sehari. Ini kerana, untuk membuat cincin adalah sesuatu yang rumit juga. Kadang-kadang menurutnya, cincin yang urat biasa dia hanya mampu menyiapkannya hanya sebentuk sehari berdasarkan keadaan mood kerja dan usianya sekarang yang tidak seperti dulu lagi.

“Kerja membuat cincin memerlukan ketekunan, tumpuan yang sepenuh masa dan perlu elak dari gangguan masalah dan sebagainya.

“Sementelah pula, saya menganggap kerjaya berkenaan boleh mendatangkan pulangan yang menarik, namun kerjaya saya sekarang dianggap sebagai rezeki yang memadai untuk kami sekeluarga”, katanya.

Katanya, lazim yang dilakukannya dengan memulakan kerja membuat cincin dan berlian itu bermula jam 9.30 pagi setiap hari dan berakhir jam 6.00 petang, berhenti solat Zohor dan makan tengah hari sebelum menyambung kerjanya selepas itu.

Sementara pada sebelah malamnya kini dia tidak lagi menyambung kerja di sebelah malam disebabkan masalah penglihatannya yang tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian. Namun, pada masa dulu dia akan memulakan kerjanya itu bermula jam 9.00 malam dan berakhir jam 6.00 pagi.

“Harga standard cincin yang biasa saya jual (atas kapasiti harga di kampung) di antara RM100 hingga RM130 sahaja berdasarkan kepada kemampuan pembeli. Tetapi kalau dijual dengan harga pasaran, mungkin lebih lagi”, ujar Sin.

Tambah Sin lagi, dia hanya dapat menghasilkan beberapa bentuk cincin sahaja disebabkan beliau bekerja seorang diri. Pada masa dulu, selain beliau bekerja sebagai tukang cincin, bapa saudaranya dan sepupunya juga turut sama membantu sebagai tukang cincin. Apabila pekerja ramai tentunya hasilnya memuaskan dan agak cepat. Tetapi disebabkan mereka telah bertukar tempat, ada yang ke Kota Bharu dan seorang lagi telah meninggal, terpaksalah dia menguruskan kerjayanya secara sendiri.

Untuk menceburi bidang sebagai tukang cincin, hal utama yang perlu dilalui oleh bakal-bakal pembuat cincin adalah “minat” dan “tekun” mengamati tentang bentuk cincin itu. Soal belajar untuk lebih memahami dan mendalami tentang ilmu membuat cincin adalah persoalan kedua.

Katanya, belajar dengan memerhati dan meneliti tentang kerja-kerja membuat cincin perlulah tekun bagi bakal-bakal tukang cincin. Kalau seseorang itu mudah berasa jemu memerhati tentang selok-belok berhubung dengannya, sudah tentu dia akan meninggalkan bidang itu. Bidang pembuatan cincin agak rumit, halus dan kreatif. Orang yang tidak sabar tentunya akan merugikan masa melihatnya malah kepandaian gagal diperolehi.

Sebab itulah menurutnya, dia tidak pernah bercita-cita untuk mengajar remaja untuk membuat cincin kecuali jika dia lihat seseorang remaja itu sanggup duduk bersamanya sambil memberikan penuh perhatian, beliau akan dapat mengenalpasti adakah remaja terbabit minat atau tidak.

Katanya menambah, beliau pernah menerima seorang remaja yang kini menetap di Kota Bharu. Pada masa itu, remaja terbabit sering datang setiap hari ke bengkelnya untuk melihat beliau membuat cincin. Ketika itu, beliau melihat remaja tersebut benar-benar berminat untuk mendalami hal pertukangan cincin. Hanya jam 12.00 malam baharulah remaja itu meminta diri untuk pulang untuk menunjukkan remaja itu pastinya akan berjaya sebagai tukang cincin suatu hari nanti disebabkan minatnya itu. Jika individu yang tidak berminat, tentunya dalam masa satu jam mereka akan berasa sudah agak lama, pastinya individu terbabit akan angkat kaki.

“Lazimnya, dalam masa setahun atas ilmu di bidang pembuatan cincin pastinya individu yang berminat menceburinya akan berjaya. Cuma individu itu perlukan minat yang bersungguh-sungguh dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang ditunjuk dan diperkatakan”, kata Sin.

Menurutnya, bentuk tempahan cincin adalah berdasarkan kepada kehendak si pemakainya. Beliau bersedia membuat pelbagai bentuk berdasarkan contoh asal (paten) bagi memudahkan beliau membuatnya.

Walau bagaimanapun menurutnya, sesuatu bentuk cincin agak sukar dihasilkan jika ditunjukkan dalam bentuk gambar dan katalog. Tetapi jika gambar katalog itu dirakam dari pelbagai sudut, kemungkinan usaha untuk menghasilkannya pasti berhasil, namun bentuknya akan berbeza sedikit. Bahkan, dia sendiri yang membuatnya akan berasa tidak puas hati dengan cara itu. Berbeza jika si penempahnya akan menunjukkan contoh patennya, pastinya beliau akan dapat menghasilkan cincin yang agak baik sempurna. Kerana dengan adanya patennya, dia dapat meniru bentuk dan sudut cincin itu.

Ditanya tentang peralatan dan mesin yang digunakannya, dia menggunakan mesin keping (berharga RM500), mesin mengilat (berharga RM300) dan mesin mengorek dan menajamkan barangan berlian (berharga RM980), digunakan di tempat-tempat yang agak rumit untuk menghasilkan cincin-cincin dan berlian terbabit.

“Berhubung dengan bidang membuat cincin ini, kadang-kadang rasa penat itu timbul apabila sampai tahap terlalu rumit untuk menyudahkannya. Hal ini biasa terjadi, tetapi atas dasar sudah biasa malah barangan itu perlu disiapkan, segalanya dapat diatasi”, katanya.

Justeru, jika dilihat sesuatu bentuk cincin itu agak rumit untuk dihasilkan ketika itulah dia perlunya bebas dari gangguan. Jika terganggu dengan hal-hal lain, tumpuan akan hilang. Dalam hal ini, fokus dan tumpuan ke atas sesuatu bentuk cincin itu amat penting, jika tidak cincin yang berjaya dihasilkan tidak sama sebagaimana yang dikehendaki.

Untuk tempahan, Mohd. Yusoff Mat Hassan (Sin Tukang Cincin) boleh dihubungi di talian: 014-5267114

Mohd. Yusoff Mat Hassan atau Sin.

Mohd. Yusoff ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.







Membuat cincin perlukan kesabaran, ketekunan dan minat yang bersungguh-sungguh.










Peralatan yang digunakan oleh Mohd. Yusoff.

Kediaman yang dijadikan bengkel membuat cincin dan berlian.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan