MAKSU LAH KEREPEK PISANG
WAKAF BAHARU, KELANTAN: Makanan
ringan seperti kerepek pisang memang enak jika dimakan di waktu lapang bersama
minuman atau dibawa ke tempat perkelahan di kawasan jeram. Namun, banyak produk kerepek
pisang itu, ada yang mendakwa enak malah ada yang berkata tidak. Hal ini
mungkin wujud berdasarkan kepakaran pembuatnya, mungkin tangan yang
membancuhnya tidak sama dengan tangan orang lain.
Hal berkenaan diakui sendiri oleh
Ramlah binti Yusof, 57, atau lebih dikenali Maksu Lah dari Kampung Kubang
Palas, Wakaf Baharu, Kelantan ketika diajukan pertanyaan terhadapnya. Menurut
Ramlah, ramai pelanggannya yang mendakwa kerepek pisang yang dihasilkannya
lebih enak, lazat dan berlemak berbanding dengan kerepek pisang yang pernah
mereka makan.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya. Menurut Ramlah, dia memproses kerepek pisang sejak 15 tahun
lalu. Pada ketika itu, dia dan keluarganya tinggal di kawasan laluan umum di
kampung itu dan selepas itu berpindah ke lokasi baharu sekarang, namun usaha
menghasilkan kerepek pisang masih diteruskannya.
“Asal maksu menghasilkan kerepek
pisang ini secara kecil-kecilan adalah disebabkan minat terhadapnya.
“Pada masa dulu, maksu asalnya
adalah seorang pekerja kampung. Pada suatu ketika hampir dengan Tahun Baharu
Cina, sebuah keluarga Cina (pemilik kilang) telah menebang sebatang pokok
pisang lalu diberikan kepada maksu berjumlah dua sikat supaya menghasilkan
kerepek pisang itu”, ujarnya.
Katanya, memperolehi pisang
sebanyak dua sikat itu dia pulang lalu menghasilkan kerepek sebagaimana yang
dikehendaki. Suaminya yang merupakan kakitangan hospital mencuba kerepek yang
telah dihasilkan oleh isterinya itu yang dianggapkannya agak “enak” dan
“berlemak” lalu meminta untuk membawa ke pejabatnya sambil menunjukkannya
sebagai contoh kepada rakan-rakannya. Setelah dinikmati oleh rakan-rakan
suaminya di pejabat mereka mendakwa kerepek itu memang enak dan sejak itu
masing-masing menempah. Kata mereka, mereka tidak pernah berasa kerepek pisang
yang seenak itu sebelum ini.
Disebabkan tempahan awal dari
rakan-rakan suaminya itu, terpaksalah dia membuatnya. Pada awalnya, dia
menghasilkan sebungkus kerepek pisang itu dengan harga RM1 saja. Kini, harga
yang ditetapkan adalah sekilo berharga RM20, malah ada bungkusan dengan harga
RM10 dan terbaharu paket RM5.
Kata Ramlah, selain beliau
sebagai pemilik kerepek pisang itu, ada juga beberapa orang yang datang menimba
ilmu darinya untuk menghasilkan kerepek pisang sendiri yang enak dan terbaik.
Terpaksalah beliau mencurahkannya ilmu dan cara membuatnya sebagaimana
pengalamannya selama 15 tahun itu.
Ditanya tentang penggunaan
bahan-bahan sehingga beliau dapat menghasilkan resepi kerepek pisang yang enak
dan lazat itu, dia hanya menggunakan dua bahan saja. Jika menetapkan masin,
kerepek itu adalah masin yang dicampurkan dengan garam dan jika manis, dia akan
mencampurkannya dengan gula berdasarkan citarasa dan minat masing-masing. Bagi
yang gemarkan perasa pedas, dia akan mencampurkannya dengan lada kering yang
telah dimesin. Lazimnya menurutnya, jika menghasilkan kerepek “sira” dia akan
menggunakan gula sebagai bahannya.
Dia menghasilkan tiga citarasa
utama iaitu manis, masin, manis dan masin saja. Di antara ketiga-tiga citarasa
ini menurutnya, citarasa manis paling digemari ramai kerana dianggap enak dari
yang lain-lainnya. Sementara bagi penggemar kerepek pisangnya dari luar
Kelantan menggemari masin saja.
Menurut Ramlah, pada suatu
ketika, dia pernah ditawarkan mesin untuk memotong pisangnya itu agar lebih
bermutu, namun kos mesin itu agak mahal. Lantas dia menolaknya dan katanya
lebih baik dia memotongnya sendiri secara “manual” menggunakan pisau pemotong
berharga RM6. Katanya, kelazatan kerepek pisang itu disebabkan kaedah potongan
pisang itu yang agak nipis dan mudah dimamah.
Berhubung dengan sambutan
pelanggan terhadap kererek pisangnya itu memang agak laris. Katanya, menjelang
hari raya dia tidak menang tangan untuk menghasilkan kerepek yang telah
ditempah oleh pelanggannya sejak awal. Pada masa dulu menurutnya, dia akan
meletakkan kerepek yang siap dibungkus di kedai-kedai runcit yang berdekatan.
Namun, sejak itu kebanyakan pelanggannya yang mengetahui lokasi rumahnya akan
datang sendiri untuk menempahnya. Kerana menurut Ramlah, lazimnya pelanggan
yang datang sendiri ke rumah akan mendapatkannya dalam kuantiti yang banyak.
Di antara tempat-tempat yang
menjadi tumpuan kerepek pisangnya ialah ke pejabat-pejabat (hospital dalam 15
kilo sehari) dan sekolah (sekolah di Getting, Tumpat yang menempah 100
bungkusan seminggu) selain ke pasaran Bachok yang menempah terus darinya.
Katanya, kerepek pisangnya itu bukan sahaja dipasarkan berkisar di Kelantan
saja tetapi pernah ke luar Kelantan iaitu ke Kuala Lumpur.
“Orang ramai mengetahui kerepek
pisang maksu kerana maksu telah melekatkan label kecil pada setiap bungkusan
kerepek pisang itu bagi memudahkan pelanggan menghubungi maksu melalui tetefon
atau datang sendiri ke rumah”, katanya.
Menurut Ramlah, pernah satu
ketika kerepek pisangnya itu telah habis dan dia tidak berkesempatan
membuatnya, dia meminta pelanggannya itu supaya mendapatkan kerepek pisang yang
dihasilkan oleh beberapa jirannya yang turut menghasilkan kerepek pisang
sepertinya. Namun, katanya, kebanyakan pelanggannya meminati kerepek pisang
yang dihasilkannya sendiri.
“Maksu menghasilkan kererek
pisang ini setiap hari tanpa berhenti sama ada menjelang hari raya atau
hari-hari biasa. Namun bagi maksu, jika hari raya maksu akan menambah permintaan
dari hari-hari biasa”, ujarnya.
Ditanya tentang kalangan
penggemar kerepek pisangnya yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan
orang-orang dewasa, menurut Ramlah kalangan orang-orang dewasa mendominasi
kerepek pisangnya sejak dulu. Walau bagaimanapun, dia pernah mendengar
kanak-kanak turut memuji kerepek pisangnya yang enak dan lazat untuk dimakan.
“Pada masa dulu, maksu turut
dibantu ibu tetapi disebabkan ibu telah ke Kuala Lumpur, terpaksalah maksu menghasilkan
kerepek pisang itu seorang diri.
“Selepas itu, maksu turut dibantu
anak-anak dalam urusan “membungkus” agar segala kerja yang berkaitan dapat
dihasilkan dengan cepat dan sempurna”, ujar Ramlah.
Berhubung dengan hal berkenaan,
dia pernah dimaklumkan oleh beberapa pelanggannya yang menyatakan bahawa
citarasa kerepek yang dihasilkannya amat berbeza dengan kerepek pisang yang
lain yang pernah dinikmati. Hal seumpama ini timbul apabila kerepek pisang yang
dihasilkannya itu telah habis dan pelanggannya masih menempah darinya.
Apabila ditanya tentang
cita-citanya untuk membesarkan perusahaan kerepek pisangnya itu memang ada.
Sementelah pula anak lelakinya yang kini akan bersara penuh sebagai anggota
tentera. Mungkin dengan adanya bantuan anak lelakinya itu dia akan dapat menumpukan
sepenuhnya tentang hasrat berkenaan.
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, boleh menghubungi Ramlah Yusoff (Maksu Lah) di talian: 010-4161587
Ramlah Yusoff atau Maksu Lah.
Inilah kediamannya. Sebuah papan tanda dipasang di kediamannya bagi memudahkan pelanggan datang mengambil sendiri tempahan yang telah siap.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=b5d4qw0EC3I
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan