MENGHUNI RUMAH USANG
PASIR MAS, KELANTAN: Tidak semua
manusia yang meminta untuk menjadi miskin dengan tujuan untuk mendapatkan
bantuan, sumbangan dan simpati orang lain. Bahkan tidak semua bersifat malas
untuk merubah keadaan hidupnya jika peluang dan kesempatan untuk berbuat
demikian terbentang di depan mata. Tetapi disebabkan masalah kesihatan yang
dihadapi oleh individu berkenaan membantutkan harapan beliau ke arah itu
sementelah pula sawah padi berkenaan tidak lagi dapat dikerjakan.
Hal inilah yang dialami oleh
seorang penduduk, Mat Ail Awang, 78, atau dikenali Pak Wil dari Kampung Siram
Kecil, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di kediamannya yang usang itu.
Menceritakan masalah yang
dihadapinya sekarang, Pak Wil sebenarnya menetap di kampungnya sekarang sejak
tahun 1967 iaitu ketika banjir besar melanda Kelantan pada tahun itu.
Katanya, tanah tapak rumah yang didudukinya sekarang
adalah tanah yang dibeli oleh arwah isterinya (meninggal 20 tahun lalu) dari
adik-beradiknya sendiri. Tetapi atas perkiraan, akhirnya tanah itu diberikan
nama kepada beliau sebagai pemiliknya setelah beliau dapat membayarnya dengan
jumlah keseluruhannya kira-kira RM4,000 lebih. Pada ketika itu, dia memperolehi
anak kira-kira tiga orang dan kini anak-anaknya itu telah berkeluarga.
Ketika mula-mula menetap dan
menghuni di tanahnya itu pada ketika itu dia adalah sebagai petani dengan mengerjakan
sawah padi sebagai pekerjaan utamanya. Pada ketika itu, dia mengerjakan sawah
padi atas “tanah pawah”(tanah orang lain yang dipawahkan) yang turut dibantu anak-anaknya
dan arwah isterinya. Tanah sawah yang perlu diusahakan oleh beliau dan
anak-anaknya itu berjumlah kira-kira 12 ekar dengan tenaga kerja seramai empat
orang.
Tetapi selepas tanahnya sekarang
telah bertukar milik kepada namanya, dia tidak dapat lagi melakukan sebarang
kerja sebagai petani atas dua sebab iaitu tiada lagi sawah padi yang dapat
dikerjakannya dan dia kini mengalami masalah kesihatan iaitu serangan kencing
manis yang membantutkan harapannya untuk mencari rezeki.
“Kini, apabila pakcik tidak lagi
dapat mengerjakan sawah padi disebabkan masalah kesihatan, tanah itu
kemudiannya dipawahkan kepada orang lain untuk diusahakan”, ujarnya sedih
mengenangkan peristiwa ketika itu.
Menurutnya pendapatan bersih yang
diperolehinya setelah tolak pawah, beliau memperolehi di antara RM1,000 dan
RM1,500 sebulan. Dalam jumlah yang diperolehinya itu, beliau terpaksa
membahagikan pendapatannya kepada anak-anaknya pula kerana mereka sama-sama
membantu meringankan kerja-kerjanya.
“Hasil padi yang diperolehi oleh
pakcik dibeli oleh pihak Kada. Jika Kada tidak membelinya, terpaksalah pakcik mengupah
orang lain untuk menjualnya”, katanya.
Katanya, sejak pagi iaitu
kira-kira jam 8.00 pagi dia dan anak-anaknya akan turun ke sawah untuk tujuan
itu. Manakala kira-kira jam 2.00 petang dia akan balik dari sawah. Selepas itu, kira-kira jam 4.00 petang, dia
akan kembali ke sawah padi untuk menyambung kerja-kerjanya itu sehingga jam 6.00
petang, dia akan pulang ke rumah.
Apabila ditanya tentang sistem
pengairan dan saliran sawah padi yang diusahakan yang memerlukan penjagaan rapi
untuk memastikan padi berkenaan dalam keadaan sempurna, dia tidak perlu bimbang
tentang masalah sedemikian. Namun, sesuatu yang merunsingkannya ialah berhubung
dengan masalah banjir yang akan memusnahkan kesemuanya.
Tambah Pak Wil lagi, disebabkan
dia kini tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja sebagai petani di sawah padi sebagaimana
di zaman mudanya, dia tidak lagi memperolehi pendapatan yang sepatutnya. Beliau
juga pernah membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
berhubung dengan masalahnya itu. Hasilnya, pihak berkenaan menghulurkan bantuan
bulanan sebanyak RM300 (sebulan). Bahkan dia juga pernah menerima bantuan zakat
berjumlah RM1,000 daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat-Istiadat Melayu
Kelantan (MAIK) menjelang hari raya Aidilfitri pada tahun 2015 lalu.
Setakat ini katanya, hanya JKM dan
MAIK saja yang prihatin membantu meringankan bebannya disebabkan beliau tidak
lagi dapat melakukan kerja-kerja sebagaimana yang sepatutnya. Menurutnya, wakil
rakyat juga tidak boleh diharap kerana berat tangan untuk membantu untuk
menyelesaikan masalah warga emas sepertinya apatah lagi datang menjenguknya
juga tidak pernah. Dia terlalu segan untuk meminta daripada pihak berkenaan
walaupun pada hakikatnya dia mengenali pihak tersebut.
“Setakat ini, tiada sumbangan
dari badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menghulurkan bantuan” ujarnya.
Selain itu, Penggawa dan Ketua
Kampungnya itu juga memang mengetahui tentang masalah yang dihadapinya, tetapi
tiada tindakan diambil dalam usaha untuk membantu meringankan bebannya walaupun
sedikit.
“Kalaulah pakcik tidak alami
masalah kesihatan, tentunya pakcik akan teruskan kerja mengusahakan sawah padi
seperti dulu”, ujarnya.
Kini, anak-anaknya sudah dewasa
dan telah berumahtangga. Dia sebenarnya tidaklah begitu mengharapkan bantuan
dari anak-anaknya apatah lagi melihat keadaan sumber kewangan anak-anaknya juga
tidak menentu dan tidak begitu menggalakkan.
Katanya, kadang-kadang dia
terfikir dan sering mengimbau keadaan zaman mudanya yang dapat melakukan apa
saja khususnya sebagai petani di sawah padi. Tetapi mengenangkan keadaannya
kini tidak sebagaimana zaman mudanya yang dapat melakukan segalanya, dia akur
tentang itu. Dia tidak pernah jemu berdoa supaya diberi kesihatan yang baik
supaya dapat menyambung kerja-kerjanya yang sebelum ini untuk tujuan mendapatkan
rezeki untuk menampung keluarganya itu.
Ditanya tentang harta hasil dari
usahanya mengerjakan sawah padi dan pusaka orang tuanya, dengan sedih dia
menjelaskan, dia sebenarnya tidak mempunyai harta yang dimaksudkan. Orang
tuanya yang berasal dari Bunut Susu, Pasir Mas bukanlah dari golongan berada,
kerana itu dia tidak mewarisi atau mempusakai apa-apa harta kerana sememangnya
orang tuanya memang tidak berharta apatah lagi memiliki tanah untuk dipusakakan
kepadanya.
“Jika orang tua pakcik ada harta,
tentulah pakcik akan mewarisinya, tetapi pakcik tidak ada harta itu.
“Hanya atas usaha pakcik sendiri
untuk hidup. Tetapi disebabkan masalah yang pakcik hadapi ini, pakcik tidak
dapat berbuat apa-apa”, katanya.
Menurutnya, orang lain terutama jiran-jiran
dan penduduk kampung itu memang mengetahui tentang kesusahannya sejak dulu
sehingga kini yang menduduki rumah yang agak uzur, tetapi mereka juga mempunyai
masalah sepertinya. Anak sepupunya sendiri memang mengetahui tentang keadaannya
itu malah sepatutnya boleh membantunya, tetapi mereka tiada usaha ke arah itu.
Jadi, kalau kaum kerabatnya sendiri tidak cuba “ringan tangan” untuk
menolong, apatah lagi dengan orang lain, katanya mengakhiri bicara.
Bagi individu dan dermawan yang ingin membantu dan menyumbang, boleh menghubungi beliau: 017-9062400
Mat Ail bin Awang atau Pak Wil.
Pak Wil ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya yang usang.
Beginilah keadaan kediamannya yang terkini (luar rumah).
Sebuah bilik tidak dapat digunakan akibat kayu reput dan berlubang (dalam rumah).
Keadaan bahagian dapur rumahnya.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan