RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 1 Ogos 2016

Misteri Jin Di Bulan Ramadan


MISTERI JIN DI BULAN RAMADAN

KOTA BHARU, KELANTAN: Percaya atau tidak, makhluk halus ada di mana-mana. Cuma ada segelintir manusia menafikannya apabila mata kasar mereka tidak nampak makhluk berkenaan. Kalau nampak, pastinya akan cabut lari atau terkaku di tempat itu. Itulah sebabnya Allah tidak mengizinkan manusia untuk melihat makhluk itu, jika nampak akan memudaratkan manusia juga.

Sementara itu, makhluk halus dalam kalangan jin khususnya jin Islam boleh memasuki masjid untuk beribadat berbanding dengan jin bukan Islam. Tetapi, syaitan dan iblis pula boleh ke mana-mana sekalipun ke dalam masjid. Bagaimana syaitan boleh memasuki rumah Allah itu adalah melalui manusia juga untuk menggoda, melalaikan dan menyesatkan manusia.

Banyak catatan pengalaman Penulis berhubung dengan makhluk ini. Bukanlah untuk memaklumkan kononnya boleh melihat makhluk dengan izin Allah, tetapi sekadar berkongsi cerita tentang pengalaman yang banyak berhubung dengan makhluk tersebut. Banyak kali juga terserempak makhluk seperti ini di jalanan yang kelihatannya seperti seorang budak, remaja, orang dewasa sama ada lelaki mahupun wanita. Tetapi kejadian seumpama ini berlaku di hari-hari biasa, bukan sahaja di siang hari tetapi juga di malam hari.

Namun, kejadian melihat golongan makhluk halus atau diistilahkan “makhluk ghaib” itu di bulan Ramadan itulah pokok segala cerita tentang kejadian berkenaan. Kadang-kadang jumlah mereka yang keluar dari sesuatu tempat itu agak ramai dan tidak kurang juga terdapat di antara tiga atau empat orang sahaja dalam satu-satu masa.

Pada tahun 1990-an dan tahun 2000 dulu, Penulis juga pernah melihat makhluk ghaib dari kalangan “jin” ini yang muncul pada bulan Ramadan. Ada orang berkata, kenapa makhluk ghaib itu muncul pada bulan puasa, sedangkan makhluk berkenaan dikatakan dirantai atau dibelenggu oleh Allah.

Maksud makhluk yang dirantai itu bukanlah jin, tetapi merujuk kepada golongan ketua-ketua atau pemimpin utama yang menyesat dan menggoda manusia iaitu “iblis” dan “syaitan”. Makhluk jin bebas ke mana saja, terutamanya jin Islam yang turut beribadat kepada Allah, sebagaimana manusia juga.

Pada ketika itu, Penulis pernah melihat beberapa kali makhluk halus yang dikenali “jin Islam” memasuki sebuah masjid di Telipot, Kota Bharu untuk bersolat terutamanya menunaikan solat fardu dan tarawikh. Pada awalnya, dilihat makhluk itu dua orang budak yang mengenakan pakaian (baju dan seluar) berwarna hitam. Penulis hampir terlanggar ketika kedua-dua budak jin itu berlari-lari dalam saf manusia. Tetapi dua hari selepas itu pula, Penulis melihat orang dewasa makhluk jin yang memasuki masjid berkenaan untuk solat bersama dengan manusia.

Mungkin jemaah masjid berkenaan tidak perasan dengan kehadiran makhluk berkenaan yang juga lengkap berkain pelikat, berbaju putih dan berketayap putih dalam barisan saf manusia untuk menunaikan solat ketika itu. Tetapi melihatkan keadaan itu, Penulis tidak memberikan tumpuan, kerana tumpuan kita ke masjid adalah untuk menunaikan ibadat itu sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.

Hal berkenaan berlaku di sebuah masjid di Jalan Telipot yang berlaku dalam bulan Ramadan, bulan puasa yang mulia yang turut diraikan oleh makhluk halus dari jin Islam. Namun, kejadian yang berlaku di Kampung Lundang dekat sini juga berlaku pada bulan puasa (sebelah malam) iaitu pada 27 Ramadan, 1437 H, hari ke-27 dan malam ke-28.

Pada ketika itu, Penulis menunggang motosikal agak seperti biasa, tidaklah laju sangat walaupun ketika itu sedang mengejar masa kerana telah terdengar azan dialun oleh bilal di masjid berkenaan. Pada ketika azan dialun itu adalah waktu solat Isyak.

Apabila Penulis tiba di kawasan selekoh di mana di sebelah kiri jalan terdapatnya sebuah rumah penduduk dan pagar parit dan saliran JPS, manakala di sebelah kanan pula adalah semak-samun dan hutan belukar yang agak subur. Dari suluhan lampu motosikal ke arah belakangnya, Penulis melihat seperti seorang remaja yang memakai baju biru tua, seluar hitam dan beketayap bercampur warna (yang lilitan warnanya berselang-seli antara warna biru muda dan putih).

Mungkin makhluk berkenaan perasan cahaya lampu motosikal menyuluhnya berjalan, dia terus mengelak ke dalam semak di situ itu lalu “ghaib”. Jadi, Penulis tidak ambil kisah sangat dengan makhluk berkenaan kerana yang dikejar pada ketika itu adalah solat Isyak dan solat Tarawikh di masjid terbabit.

Apabila tiba pula dalam masjid, selepas solat sunat Isyak (awal) dan solat fardu telah selesai, Imam Tahfiz telah membaca tasbih memanggil makmum untuk solat Tarawikh pula. Pada ketika itulah, Penulis melihat seorang tua yang agak berbeza dengan orang tua dari kalangan manusia melintasi hadapan Penulis untuk ke saf pertama (sebelah kanan Imam) berhampiran dengan pendingin hawa yang letak di bahagian atasnya.

Selang selangkah orang tua itu menuju ke saf yang dimaksudkan, tiba-tiba datang pula makmum wanita (gadis) menyusuri orang tua itu yang juga melintasi hadapan Penulis. Penulis terpaksa melompat ke belakang kerana bimbang tersentuh tangannya yang menghayun ke kiri dan ke kanan kerana mengikut rentak tubuhnya berjalan. Gadis itu mengenakan baju yang agak tebal putih dan merah dengan mengenakan seluar agak gelap (hitam).

Ekor mata Penulis terus melihat ke arah gadis itu untuk mengenalpasti adakah betul makmum wanita melewati saf lelaki. Tak pernah pun wanita melalui saf lelaki tetapi bagaimana pula dengan gadis itu? Apakah dia tidak tahu, jika tersentuh, air sembahyang pastinya terbatal. Sebab, jika dia tahu dia tidak akan melalui kawasan itu kerana kebanyakan yang ada di masjid itu adalah lelaki dan bukan di kalangan saf wanita. Setelah dilihat turutan dan caranya berjalan itu, ternyata berbeza dengan manusia. Malah apabila makhluk gadis itu tiba di tempat orang tua itu tadi, dia terus ghaib di situ. Jadi, fahamlah Penulis bahawa kedua-duanya adalah makhluk jin, tetapi yang tak fahamnya ialah kenapa jemaah wanita pun menuju ke situ?

Di hari-hari biasa, kerap juga makhluk jin sama ada yang lelaki dewasa dan anak lelakinya singgah untuk menunaikan solat. Apabila makhluk berkenaan memasuki masjid berkenaan, makhluk berkenaan akan duduk di bawah pendingin hawa itu. Tetapi berbeza pada malam berkenaan yang turut dihadiri oleh makhluk ghaib wanita pula.

Setelah pulang ke rumah, Penulis berfikir adakah jemaah lelaki yang ada di masjid itu perasan dengan kejadian itu? Kalau pun mungkin mereka tidak dapat melihat makhluk berkenaan, sekurang-kurangnya mereka tentunya akan perasan atau berasa agak pelik, kenapa pula Penulis melompat ke belakang.

Walau bagaimanapun, mungkin mereka tidak perasan dengan kejadian itu. Itulah hebatnya Allah menutup aib sebahagian manusia. Jika Allah tidak melindungi dan menutup dari keaiban, malu besarlah Penulis kerana dengan tidak semena-mena melompat ke belakang itu atas alasan apa? Tetapi, sehingga hari ini, tiada yang cuba bertanya dan minta penjelasan tentang kejadian pada malam itu.

Penulis.


Di kawasan inilah makhluk halus itu berjalan, mengelak dari pancaran cahaya dan ghaib.

Pada masa dulu, di kawasan kiri dan kanan lorong ini dipenuhi hutan tebal. Pembinaan parit dan saliran mula dibina pada tahun 2004.

Di kawasan tiang (anak panah) inilah, makhluk jin iaitu lelaki tua dan anak perempuannya melintasi hadapan Penulis lalu ghaib di sebelah kanan tiang masjid itu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan