RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 10 Januari 2016

Bukan Ini Yang Dipinta


BUKAN INI YANG DIPINTA

PASIR MAS, KELANTAN: Tiada sesiapa pun yang ingin hidup miskin, daif dan melarat tetapi itulah hakikatnya. Walau negara kaya mana sekalipun, tentu ada penduduk dan golongan miskin yang menetap dan meraih simpati di negara itu yang memerlukan bantuan. Begitu juga di Amerika Syarikat, negara berkenaan adalah negara maju, tetapi kemajuan dalam negara berkenaan tidak akan dapat lari apabila ada penduduknya yang miskin.

Begitu halnya di negara kita, walaupun telah dianggap negara membangun, penduduk miskin tidak dapat dipisahkan. Sementelah pula di Kelantan, jangan kata bebas miskin kerana penduduk yang miskin tetap ada. Cuma, kita akan berkata tiada miskin kerana kita tidak pernah melangkahkan kaki ke kampung-kampung dan bahagian pedalaman sehingga mulut kita berkata “miskin sifar”.

Dalam Islam telah mengatur sendiri hakikat berkenaan, sebab itulah diwujudkan sedekah dan zakat. Dua kaedah ini adalah untuk menyelesaikan masalah kemiskinan yang dihadapi oleh penduduk miskin dalam negara, negeri dan daerah itu. Justeru, jika semua umat Islam lembut hati untuk membantu golongan daif dan miskin, masalah kemiskinan yang ada di sesuatu tempat itu pastinya akan dapat diatasi.

Cuma, jangan bezakan di antara penduduk yang sememangnya miskin dengan golongan yang mengaku miskin semata-mata untuk meraih simpati sehingga bantuan, sedekah dan zakat diberikan kepada yang tidak berhak menerimanya. Jika hal ini berlaku, masalah kemiskinan akan terus bertambah dan golongan miskin tidak dapat pembelaan yang sewajarnya untuk menjalani kehidupan mereka sebagaimana golongan lain secara yang sempurna.

Membicarakan tentang hal berkenaan, Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh bersama Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin sempat menjejaki golongan yang dimaksudkan, Rohana binti Deraman atau Kak Na, 51, dari Kampung Candan, Chetok, Pasir Mas, Kelantan.

Menurut Rohana yang membahasakan dirinya sebagai Kak Na berkata, dia mula menetap di Kampung Candan itu mulai tahun 1997. Beliau yang mendirikan rumahtangga dengan arwah suaminya, Mohd. Jefri James yang kemudiannya meninggal akibat nahas jalan raya di Sibu, Sarawak pada 4 September, 2010 terpaksalah menyara anaknya, Mohamad Hafiz Daniell yang kini berusia 7 tahun.

Katanya, tanah tempat tinggalnya sekarang ini adalah milik bapanya dan apabila bapanya telah meninggal, tanah berkenaan diserahkan kepadanya tanpa ditukar hak milik. Walaupun begitu, dia terpaksa meneruskan kehidupannya yang seperti itu walaupun dia kini disahkan menghidap diabetes selama 20 tahun sejak 1995. Di samping itu, beliau juga menghidap kudis di bahagian belakangnya di mana kudis itu rapat dengan kulit dan tulang belakang malah jika tidak dirawat akan menyebabkan “kanser tulang” 

Ditanya, adakah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada memberikan bantuan kepadanya. Dia menjelaskan, pihak JKM  pernah berkata untuk memberikan bantuan tunai RM100 dengan meletakkan “tanpa notis”. Maksud tanpa notis itu menurutnya, sepatutnya pihak JKM menghubungi beliau sama ada melalui telefon ataupun surat. Apabila dia yakin pihak JKM bersedia membantunya, dia kemudiannya membuat semakan, tetapi amat dukacita apabila wang bantuan yang diharapkannya itu tidak dimasukkan ke dalam akaunnya.

Selepas itu, kebetulannya pihak JKM datang ke rumahnya untuk mewujudkan “komuniti” berhubung dengan pertanian dan menjaja kuih-muih, namun dia tidak pedulikan tentang hal itu kerana dia tidak berminat. Dia ke pejabat JKM sebenarnya adalah semata-mata untuk mengetahui tentang bantuan tersebut.

Dia diminta supaya mengemaskini maklumat di pejabat JKM di Pasir Mas. Lalu katanya, dia tidak dapat ke pejabat JKM di Pasir Mas sebab dia tidak ada tambang kenderaan untuk ke sana. Lantas beliau memberikan cadangan supaya menyelesaikannya cara mudah di rumahnya. Menurut Kak Na, beliau pernah ditanya oleh pihak JKM kerja yang mampu dilakukannya, dia menjawab hanya menanam serai sahaja.

Bercakap tentang tanaman serai ini menurutnya, tiada siapa yang sudi membeli serainya kecuali terdapat sebuah kedai runcit kecil yang sudi atas dasar pertolongan sesama manusia yang sanggup membelinya dengan harga seberkas RM2.

“Siapa pun tidak sudi membeli serai. Syukurlah ada sebuah kedai runcit yang sudi membeli untuk tujuan membantu saya”, katanya sambil menunjukkan jarinya ke arah kedai runcit yang dimaksudkan.

Katanya, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak pernah diperolehinya, dia juga belum pernah menerima mana-mana bantuan zakat. Menurutnya, dia hanya pernah menerima bantuan BR1M sahaja, bantuan lain belum pernah. Dia dapat merasai secebis makanan atas dasar bantuan kecil dari adiknya sendiri yang hanya bekerja kampung, namun untuk mengharapkan bantuan individu amat sukar sekali. Hanya bantuan berupa pakaian sekolah seperti baju, seluar, kasut dan beg sekolah telah diterimanya dari sebuah persatuan.

Rohana menambah, dia pernah tanya pihak Imam tentang borang bantuan zakat di mana golongan asnaf memperolehi bantuan zakat sebanyak RM500 setahun. Namun, jawapan pihak Imam agak menghampakan hatinya yang mendakwa tiada borang untuk tujuan itu.

Apabila ditanya tentang Wakil Rakyat pula, adakah pernah datang melihat kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh beliau. Beliau menjelaskan, setakat ini, Wakil Rakyat yang dimaksudkan itu tidak pernah datang ke rumahnya. Begitu juga dengan Penghulu begitu berat untuk datang melihat kesusahan yang ditanggungnya.

Katanya, golongan asnaf sepertinya seolah-olah patut menghubungi Penghulu yang dimaksudkan baharulah pihak berkenaan akan mengambil tindakan segera, jika tidak mana-mana si miskin dalam kampungnya itu akan tiada pembelaan sewajarnya. Maklumlah, golongan yang mempunyai jawatan dan ada kuasa pastinya tidak melihat kesusahan orang lain dengan meletakkan pada dirinya, sebab itulah mereka tidak memahaminya dan merasainya situasi sepertinya. Berhubung hal berkenaan, dia telah maklumkan kesemuanya, tentang masalah yang dihadapinya, namun tiada tindakan yang diambil. Jadi pada siapa yang beliau perlu harapkan lagi?

Katanya menambah, dia hanya dapat menjual serai yang ditanamnya itu dengan harga RM2, beli budu sebotol berharga RM1-20, baki lagi RM0-80 (wang baki itu disimpan). Pada hari esok pula, dia jual lagi serai yang dibawanya ke kedai itu, dapat RM2, duit itu untuk minyak motosikalnya pula untuk membawa anaknya ke sekolah dan untuk ke kedai.

Dia sememangnya banyak menanam serai untuk mengelakkan masalah bekalan itu, jika tiada bekalan dia tidak akan dapat lagi memperolehi pendapatan hasil jualan serai berkenaan. Cuma menurutnya, apabila kehadiran hujan yang lebat akan menyebabkan air bertakung di kawasan tanaman serainya itu. Apabila air bertakung, menyebabkan serainya mati. Kejadian banjir tahun 2014 menyebabkan tanaman serainya musnah seratus peratus, terpaksalah beliau menanamnya kembali.

“Kak Na berharap pihak berkenaan mempercepatkan bantuan yang diperlukan seperti keperluan persekolahan anak, perbelanjaan harian dan minyak motosikal”, katanya penuh mengharap.

Ditanya tentang makanan yang dimakannya setiap hari, beliau dengan agak kecewa memberitahu dia terpaksa catu makanan dan sanggup pula berlapar kerana tiada makanan yang perlu dimakannya. Namun, hanya bantuan kesihatan “Kurang Zat Makanan (KZM)” yang pernah diperolehi untuk anaknya yang telah berakhir pada bulan Disember 2015 baru-baru ini.

Beliau membuat permohonan mendapatkan makanan kesihatan itu ketika usia anaknya setahun 18 bulan. Dalam hal ini, pihak Kementerian Kesihatan menanggung kos itu. Menurut pegawai berkenaan memberitahunya, pihaknya tidak lagi menanggung kos berkenaan kerana apabila anaknya itu memasuki tahun satu, tentunya bantuan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan pula.

Katanya, apa yang telah dimaklumkan kepada beliau tentang RMT ini akan bermula pada bulan Februari 2016 nanti. Jadi bermakna, anaknya perlulah membawa wang tunai atau bekalan makanan sendiri dari rumah untuk tujuan berkenaan. Namun, jika sebut pasal duit, dia tiada apa-apa untuk berbelanja ketika ini kerana sememangnya dia tidak mempunyai duit untuk berbelanja.

Rohana menambah, setiap kali malam menjelang dia akan sentiasa berfikir tentang dirinya yang tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja yang sepatutnya berikutan dia kini menghidap “diabetes” selama 20 tahun sejak 1995 dan beliau juga menghidap kudis di bahagian belakangnya di mana kudis itu rapat dengan kulit dan tulang belakang dan jika tidak dirawat akan menyebabkan “kanser tulang”. Walaupun begitu menurutnya, jika ada mana-mana bantuan modal dia akan usahakan tanaman yang lebih lagi, di samping membuat pagar tanaman.

Baru-baru ini menurutnya, beliau telah memohon bantuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) supaya menyenaraikan namanya dalam talian “e-Kasih”. Dalam talian e-Kasih itu beliau ingin memohon bantuan “motosikal roda tiga”. Hasratnya apabila ada motosikal roda tiga akan ringanlah bebannya untuk membawa serai yang ditanamnya itu secara mudah malah lebih banyak lagi atau dia boleh mengusahakan jualan barangan basah seperti ikan dan sebagainya dengan adanya modal itu, sementara “kakinya boleh bergerak” dan “sementara mata boleh melihatnya” lagi.

Katanya, setakat ini dia menerima bantuan kecil dari sebuah badan NGO dari Machang berjumlah RM50, Penghulu Kampung Candan sendiri dan beliau juga pernah menerima bantuan makanan seperti beras 5 kg, gula, milo dan biskut dari beberapa individu. Tentang bantuan ini, beliau amat bersyukur kerana itulah rezeki pada hari tersebut kerana dapat makanan, namun tentang bantuan kewangan yang secukupnya buat menampung perbelanjaan lain, beliau masih belum menerimanya.

Pada masa ini dia amat berharap bantuan kewangan secara bulanan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya. Dia sekarang hanya “makan untuk hidup” dan bukannya “hidup untuk makan”.

Rohana binti Deraman atau Kak Na.

Kak Na ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Beginilah keadaan dalam rumah Kak Na yang kecil dan sempit.

Keadaan di luar kediaman Kak Na.

Wartawan RELATIF menjejak kediaman penduduk terbabit apabila mengetahui keadaan itu.

Beberapa individu menyusuri kediaman Kak Na.


Sebuah papan tanda naik taraf Jalan Kampung di Kampung Candan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan