EKSPEDISI BUKIT PANAU KETIGA
(16.1.2016, TANAH MERAH)
TANAH MERAH, KELANTAN: Bukit Panau bukan sebarang
jenis bukit walaupun manusia yang melihatnya hanya gah di tempat itu sejak
dulu. Bukit Panau dalam lipatan sejarah Tanah Melayu dikenali juga "Bukit Pancalusa" yang tidak dicatatkan oleh pengkaji
sejarah tersimpan dua kesan penting yang hanya diketahui oleh golongan tertentu
saja. Antara yang ditimbulkan ialah tentang terdapatnya dua makam di puncak
bukit itu. Makam siapakah gerangannya, ada yang mendakwa makam Sayed
Thananuddin dan ada yang kata makam Sayed Hussein Jamadil Kubra. Kedua-duanya
adalah adik-beradik yang mencetuskan perkembangan dakwah Islamiyah di Asia
Tenggara khususnya ke Tanah Jawa. Bukit Panaulah sebagai tempat pertemuan
pendakwah-pendakwah tersebut.
Bukit Panau juga menyimpan hal-hal yang tidak
dapat dirungkaikan dengan pemikiran kerana kita yang mencatatkan hal tentangnya
tidak hidup di zaman itu. Hanya yang diketahui melalui pembacaan dan
perkhabaran dari mulut ke mulut dari generasi ke satu generasi. Apabila
generasi terdahulu telah tiada, riwayat itu tenggelam begitu saja. Namun, berita
tentang adanya dua buah gua di bahagian lereng Bukit Panau memang benar.
Lereng Bukit Panau yang menghadap ke arah Laut
China Selatan itu amat jelas terdapatnya sebuah gua berhampiran dengan makam
yang tersergam di puncaknya. Gua itulah lokasi sebenar Hang Tuah menuntut ilmu
kebatinan dan persilatan daripada Adi Putera (catatan dalam buku sejarah).
Namun, penduduk di daerah itu menyebutnya Sayed Saman atau Wak Saman. Tetapi,
nama sebenar beliau ialah Sayed Thananuddin yang merupakan guru Hang Tuah dan
adik kepada Ketua Wali 7 dan Datuk Wali Songo, Sayed Hussein Jamadil Kubra yang
tercatat dalam sejarah sehingga tercetusnya nama “Kelantan” dari kilatan
setelah pertemuan Wali Songo (Wali Sembilan) dari Tanah Jawa yang terbit dan
terpancar dari arah gua tersebut. Kenapa Kelantan menjadi pilihan pertemuan itu
yang berlangsung dalam gua berkenaan, hanya Allah jua yang mengetahuinya.
Menyedari tentang wujudnya kesan peninggalan
sejarah yang sememangnya wujud di Bukit Panau itu, telah menggerakkan kami
untuk melakukan ekspedisi. Ekspedisi Bukit Panau Pertama berjaya dilakukan pada
28.7.2007 yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh, Mohamad Nasiruddin Mohd. Nor
(Din), Mohd. Rosli Mat dan Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis).
Kira-kira setahun selepas itu iaitu pada
30.8.2014, kami melakukan Ekspedisi Bukit Panau Kedua pula di mana peserta
ekspedisi berkenaan terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh, Anis Sabirin bin Azmi
(anak keempat Penulis), Mohamad Nasiruddin Mohd. Nor (Din) dan E.Mohd Khairol bin
E.Kamaruzaman (Yo).
Kami masih belum berpuas hati dengan ekspedisi
pertama dan kedua itu kerana kami lihat ada lagi kesan sejarah yang tenggelam
dan ditinggalkan iaitu gua Hang Tuah iaitu lokasi Hang Tuah menuntut ilmu
kebatinan dan ilmu persilatan dari Sayed Thananuddin itu. Kami ingin
menyaksikan dengan mata kepala sendiri tentang kedudukan dan hakikat dalam gua
berkenaan. Ini kerana, pada masa dulu, gua berkenaan pernah dimasuki oleh orang
ramai dan beberapa media yang membuat liputan di lokasi itu.
Justeru, pada 16.1.2016 kami melakukan “Ekspedisi
Bukit Panau Ketiga”. Peserta dalam ekspedisi ini adalah terdiri daripada
peserta yang sama sebagaimana ekspedisi yang kedua iaitu Azmi Mohd. Salleh,
Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat Penulis), Mohd. Nasiruddin Mohd. Nor (Din)
dan E.Mohd. Khairol bin E.Kamaruzaman (Yo).
Dalam hati kami tidak lain hanya berharap dapat
menemui gua yang dimaksudkan. Sebab itulah dalam ekspedisi yang ketiga ini kami
parkir kenderaan di Kampung Chetok, Pasir Mas, Kelantan, betul-betul arah
menghala ke kaki Bukit Panau dan ke arah gua yang dimaksudkan. Ekspedisi
Pertama dan Kedua dulu kami parkir kenderaan di hadapan Bukit Panau di Kampung
Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan, tetapi hakikatnya Bukit Panau ini agak
panjang yang melunjur ke daerah Kampung Chetok, Pasir Mas.
Jika mendaki melalui muka depan Bukit Panau
memanglah jaraknya agak dekat berbanding mendaki dari arah Kampung Chetok itu.
Tetapi disebabkan peserta kami menumpu perhatian ke arah gua yang dimaksudkan
yang dianggap paling dekat, jadi kami terus menuju ke kaki bukit berkenaan.
Rupa-rupanya jaraknya agak lebih jauh dan memenatkan berbanding mendaki dari
arah hadapan bukit itu.
Pendakian pertama dulu kami menuruti jejak jalan
tar yang dibuat oleh pihak syarikat telekomunikasi ke puncak bukit itu. Dalam
pendakian kedua, kami mendaki melalui “trek” sendiri iaitu melalui kecerunan
batu dan curam bukit. Tetapi bagi ekspedisi kali ketiga ini kami melalui trek
sendiri juga iaitu dari arah Kampung Chetok, Pasir Mas.
Dalam “Ekspedisi Bukit Panau Ketiga” ini, peserta
kami bertolak dari Kota Bharu kira-kira jam 9.00 pagi pada 16.1.2016. Kami berhenti
sebentar di sebuah warung di Kampung To’ Uban, Pasir Mas kerana menjamah
sedikit makanan ringan dan minum ala kadar saja sebelum meneruskan perjalanan
setelah selesai di warung itu. Apabila tiba di kawasan yang kami maksudkan,
kami meminta izin pemilik tanah dan rumah di situ untuk parkir kenderaan di
Kampung Chetok, Pasir Mas melalui jalan masuk bersebelahan dengan sebuah surau
di kampung itu. Setelah bersiap, kami meneruskan perjalanan ke kaki bukit itu
melalui paya, bendang terbiar dan saliran air. Dalam perjalanan ke kaki bukit
itu kami melihat sebuah pusara dalam sebuah ladang getah. Kami tidak pasti
pusara siapa di situ kerana tujuan kami adalah untuk mendaki bukit itu.
Kami tidak pedulikan tentang pusara itu, kerana
niat dan hasrat kami sebenarnya adalah untuk menyusuri sebuah gua sebagaimana
yang kami war-warkan sejak tahun 2014 dulu. Kami terus bergerak menuju ke kaki
Bukit Panau itu melalui paya, ladang getah dan melalui sebuah ladang kelapa
sawit berpagar bersebelahan Bukit Panau tersebut.
Ketika peserta kami mula memasuki kawasan
terbabit, didapati beberapa ekor kera dan monyet berteriak seolah-olah
memberitahu rakan-rakan mereka tentang kehadiran kami. Apa yang menarik ketika
pendakian kami, keempat-empat kami mencium beberapa bau iaitu bau nanah, bau
durian, bau wangi dan bau hancing kencing haiwan. Kami peka dengan kesemua bau
itu, tetapi kami mendiamkan saja. Apabila kami
melangkau pagar itu memasuki kawasan Bukit Panau dengan tiba-tiba kami
terdengar malah disapa oleh ngauman haiwan. Patutlah, beberapa kali akar pokok
memegang Penulis sebagai tanda melarang untuk meneruskan pendakian itu,
rupa-rupanya ada haiwan liar di situ.
Sekali dengar seperti
suara harimau, sekali dengar seperti babi dan sebagainya. Tetapi kami teruskan
juga. Apabila tiba betul-betul di tengah lereng Bukit Panau itu, Penulis
mengalunkan azan untuk memaklumkan kepada penghuni bukit itu sama ada haiwan
liar, kecil dan besar serta makhluk halus di atas kehadiran kami di situ.
Apabila selesai Penulis mengalunkan azan, suasana tiba-tiba menjadi sepi. Kami
dapat melihat begitu banyaknya tapak kaki harimau, beruang, babi, babi tunggal
dan haiwan lain sama ada tapak yang masih baru dan lama. Kenapa haiwan-haiwan
berkenaan bertumpu di kawasan Bukit Panau itu, tidak lain kerana mencari
"air". Ini kerana, kami melihat begitu banyak tapak kaki haiwan
sedang bergelut, mungkin sesama sendiri dan mungkin juga dengan haiwan lain
disebabkan berebut kawasan "air".
Disebabkan terlalu lama mendaki, kami tidak
menemui sebarang petunjuk tentang penemuan gua yang dimaksudkan, kecuali sebuah
lubang yang kami agak telah digali "babi tunggal", kami meneruskan
pendakian melalui laluan hutan tebal, belukar dan caruh air (lata dan jeram).
Di Bukit Panau itu, kami menemui banyak jeram seperti bentuk "Y",
maknanya air itu datang dari satu arah akhirnya membentuk dua laluan pula. Air
itu bukannya banyak sebagaimana di jeram-jeram biasa tetapi sekadar titisan air
sahaja. Kenapa jadi begitu?
Selepas begitu banyaknya keringat
mengalir sehingga membasahi sebahagian baju yang dipakai, kami berehat sebentar
di tengah-tengah lereng bukit, di situ kami melihat sebongkah batu tersusun
kerana dihalang umbi pokok. Selepas itu, kami temui banyak kesan seperti
"mangkuk lama" getah yang dibuat dari "tanah liat" ketika
kami melewati "caruh air" itu. Siapa pemiliknya tidaklah kami
ketahui, tetapi melihat keadaan itu seperti ada orang bertapa yang membawa
makanan (ala kadar) dalam bekas seumpama itu.
Dalam beberapa detik saja, kami
tiba di puncak Bukit Panau tanpa menemui gua yang dimaksudkan. Kami tinjau
sebuah makam yang dilingkari kayu dan papan yang dicat kuning sebagaimana yang sempat
kami lihat dan merakam fotonya ketika Ekspedisi Bukit Panau Kedua pada
30.8.2014 dulu. Kami lihat makam bercat kuning itu sudah tiada kerana
dimusnahkan oleh jentera buatan manusia yang tidak mempedulikan kesan tinggalan
sejarah yang wujud.
Makam itu seperti dicipta baharu
seumpama "batas ubi" atau "batas menanam sayur". Malahan
batu yang letaknya di puncak bukit itu juga sudah hilang.
Sebatang kayu yang kami pacakkan pada 30.8.2014 dulu pun juga hilang entah ke
mana disebabkan aktiviti pembangunan tanah di puncak bukit itu. Sebenarnya, gua
tempat Hang Tuah belajar ilmu persilatan itu letaknya hanya beberapa meter ke
bawah dari arah makam bercat kuning itu. Tetapi disebabkan kerja-kerja tanah di
makam itu menyebabkan muka gua itu tertutup dan telah runtuh kerana ditimbus
runtuhan batu-batu yang ditolak jentolak buatan manusia.
Disebabkan keadaan panas yang
begitu membahang, peserta kami berehat sebentar di atas sebuah bongkah batu
hampar sambil menikmati roti canai. Batu hampar itu adalah kenangan kami ketika
Ekspedisi Bukit Panau Pertama pada 28.7.2007 dulu. Kami melihat batu hampar
pada tarikh itu memancarkan sinar seperti seketul emas besar. Tetapi kami tidak
dapat berbuat apa-apa disebabkan ketika itu hujan mula turun menjadi lebat
diikuti kilat dan petir sabung-menyabung. Kami terpaksa beredar turun kerana
bersebelahan bongkah batu hampar itu terdapatnya sebuah pemancar syarikat
komunikasi dan pencawang TNB yang tentunya membahayakan kami sekiranya kami
menunggu di situ.
Setelah selesai menikmati roti
canai yang sudah semakin sejuk di atas bongkah batu hampar itu, kami melangkah
turun melalui lereng bukit. Niat kami seterusnya disebabkan hampa kerana tidak
menemui gua Hang Tuah itu, kami berhasrat untuk memasuki "Gua Kelawar"
pula yang juga telah kami lihat pada 30.8.2014 dulu yang letaknya di lokasi
yang curam di sebelah bawah bukit itu. Kami menuruni curam lereng bukit itu
dari arah yang lain pula kerana kami ingin merasai pengalaman yang berbeza
ketika mendaki dan ketika turun bukit. Dalam perjalanan turun lereng itu, kami
melihat beberapa batang kayu dan akar yang melilit batang kayu itu berkeadaan
pelik.
Keadaan lereng yang kami redah itu memang agak
curam. Kami mencari caruh air (lata dan jeram) bagi memudahkan kami menemui lokasi
yang dimaksudkan. Sebut saja tentang caruh air, kami yakin caruh air yang kami
lalui itulah tempat Mat Dangar iaitu golongan pertapa pertama di Bukit Panau
pada masa dulu. Ini kerana, caruh air itu agak luar biasa dari caruh air yang
pernah kami saksikan pada 30.8.2014 dulu. Melalui laluan itu, kami telah temui
"Gua Kelawar" yang dimaksudkan, tetapi kami juga tidak dapat
memasukinya kerana gua berkenaan juga telah runtuh.
Dapat dilihat dengan jelas batu-batu besar runtuh dan terbabas di mana-mana.
Runtuhan ini berpunca
dari aktiviti mengerjakan tanah bukit itu bersebelahannya. Bukit akan mudah
runtuh dan rosak jika terganggu oleh pelbagai aktiviti sama ada di kakinya,
lereng atau puncaknya. Tetapi manusia rakus tidak faham tentang hakikat itu.
Semakin ke bawah kami melihat sebahagian caruh air itu terputus aliran airnya
dan bersambung di bahagian bawahnya pula dan kami namakan lata atau jeram itu
sebagai “Jeram Air Putus”.
Peserta kami juga berehat seketika sambil melihat
pemandangan lekukan tanah yang menjadi “teluk” akibat aktiviti dan kerja-kerja
tanah berhampiran. Penulis berpaling setelah merakam bentuk "lekukan"
seperti "teluk" itu, tiba-tiba makhluk halus wanita menjelma yang
memakai pakaian berwarna merah berbunga berhampiran teluk yang kami maksudkan
itu. Tetapi makhluk halus itu kemudiannya "ghaib".
Selang beberapa langkah saja, peserta kami sudah
kembali berada di kaki Bukit Panau dengan melalui kawasan paya, bendang terbiar
dan lopak air. Kami tidak akan menjejakkan lagi ke Bukit Panau sama ada di kaki
dan lerengnya. Kami bukan membenci Bukit Panau itu yang telah dinodai oleh
tangan-tangan gatal dan sikap rakus manusia yang merosakkan bukit itu dan kesan
peninggalan sejarah yang wujud sejak sekian lama. Bukit Panau itu tidak bersalah
kerana bukit yang diciptakan Allah akan tetap berada di situ dan jika Allah
mengkehendaki ia runtuh dan tiada lagi, bukit itu akan runtuh dan lenyap dari
pandangan manusia, tetapi manusialah yang bersalah kerana menjadikan bukit
berkeadaan seperti itu. "Selamat Tinggal Bukit Panau”.
Peserta "Ekspedisi Bukit Panau Ke-3 (Tanah Merah)" pada 16.1.2016.
Peserta ekspedisi parkir kenderaan di Kampung Chetok, Pasir Mas (laluan sebuah surau).
Laluan pendakian melalui paya, bendang terbiar, saliran dan lopak air.
Dari laluan kawasan paya, kami memasuki sebuah ladang getah.
Sebuah pusara lama di ladang getah.
Sebuah batu terdampar di sebatang pokok, sebelah bawahnya adalah lereng bukit.
Bukit Panau. Sejarah Tanah Melayu mengenali Bukit Panau adalah Bukit Pancalusa.
Puncak Bukit Panau yang telah rosak dan dirobekkan.
Dulu, makam bercat kuning. Kini, makam rosak seoleh-olah "batas ubi" dan "batas sayur".
Batu hampar yang dilihat berkilau seperti emas ketika Ekspedisi Bukit Panau Pertama pada 28.7.2007.
Kami menuruni lereng yang curam dari arah Gua Kelawar.
Akar kayu yang berjuntai berkeadaan pelik.
Keadaan lekukan tanah yang kelihatannya berteluk ada di dua tempat menggambarkan hakisan dan runtuhan di lokasi terbabit.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan