KENANGAN DI SUNGAI TEMANGAN
(MACHANG)
MACHANG, KELANTAN: Sebut kata
sungai, pasti ramai orang akan terbayang tempat yang dalam, air yang tenang dan
kadang-kadang beralun, tempat yang sesuai untuk mandi manda, menyelam, berenang
dan mencuci pakaian. Di mana-mana tempat sekalipun, sungai banyak gunanya
kepada masyarakat yang tahu menilai peranan sungai itu kepada diri dan keluarga
mereka.
Di sesetengah tempat, terdapat
penduduk yang masih bergantung harap kepada peranan sungai. Dengan kata lain,
sungai walaupun ada segelintir individu hari ini yang menganggapkannya tidak
begitu penting sehingga ada pihak tertentu yang sanggup mencemarkannya dengan
pelbagai aktiviti yang tidak sihat seperti pembuangan sampah, melakukan
aktiviti penebangan, pemusnahan hutan, menggondol dan menarah bukit yang
mengakibatkan apabila hujan turun akan mengalirkan membawa bersama kemusnahan
tanah dan akhirnya rantaian air terus berkelodak dan berlumpur.
Namun, jangan lupa sungai bukan
sahaja berperanan sebagai tempat untuk mandi manda, membasuh pakaian dan
sebagainya, namun sungai juga tempat mencari rezeki kerana di perutnya
menampung pelbagai spesis ikan yang boleh dimakan. Ikan-ikan yang berenang di
dalamnya akan ditangkap dengan pelbagai kelengkapan semata-mata untuk dijual
sebagai sumber rezeki sesetengah pihak. Malah, sungai juga tempat perahu, bot
dan kapal belayar di dadanya pada suatu ketika dulu.
Membicarakan tentang sungai ini,
mungkin banyak kenangan yang dapat diabadikan tentang sungai, terutamanya bagi
golongan muda mudi yang kediaman masing-masing berada berhampiran dengan sungai
malah pernah bermain di sungai ketika mereka dalam usia kanak-kanak.
Bagi Penulis yang pernah
menjadikan sungai sebagai teman penglipurlara semasa kanak-kanak dulu memang
masih lagi segar dalam ingatan sehingga hari ini. Pada masa dulu, Sungai
Temangan atau kadang-kadang disebut Sungai Temangan Lama yang letaknya dalam
daerah Machang, Kelantan misalnya yang setia mengalir ke Sungai Kelantan memang
tidak dapat dilupakan walaupun hal seumpama itu telah lama berlalu.
Dalam usia kanak-kanak Penulis,
sekitar tahun-tahun 1969 hingga 1979, sungailah sebagai teman setia dan rakan
sebaya di kampung terbabit. Apabila mata mula melihat waktu siang, tak terfikir
tentang udara atau air yang sejuk di pagi hari, sungailah tempat terawal kami
terjun, bermain, berenang, bersuka-ria dan mandi-manda.
Sementelah pula dalam tahun
1960-an sehingga 1975, Sungai Temangan Lama sering menjadi tempat simpanan kayu
balak yang dihanyutkan dari hulu. Apabila kayu-kayu balak disadaikan di tebing
sungai, bukan sahaja memudahkan kami kanak-kanak ketika itu yang dapat mandi di
tengah sungai kerana besar dan lebarnya kayu-kayu balak yang disusun seperti
rakit yang jarak lebarnya hampir suku muka sungai itu. Hal yang paling menarik
tentang kayu-kayu balak ialah, kami kanak-kanak memperolehi rezeki ikan sungai
dengan mudah dengan hanya memancing ikan tanpa menggunakan batang joran. Walhal
lazimnya, untuk memancing memerlukan batang joran yang dibuat dari “batang salak”.
Kayu-kayu balak yang disadaikan
di tebing sungai berkenaan agak terlalu lama. Kami yang masih kanak-kanak
ketika itu bukan saja mudah memancing ikan yang menjadikan kayu-kayu balak itu
sebagai tempat ikan-ikan berteduh dan bersarang, kami juga dapat mandi sungai
dengan gembira dengan menjadikan kayu-kayu balak itu sebagai tempat mandi,
terjun ke dalam sungai dan berenang menyusuri kayu-kayu balak itu dengan
rakan-rakan sekampung yang sebaya.
Selepas ketiadaan kayu-kayu balak
itu, Sungai Temangan juga tersohor dengan bot berenjin. Pada masa itu, masih
belum dibina jalan darat sebagaimana hari ini. Justeru, alternatif terbaik
ketika itu adalah “jalan sungai”. Jadi, penggunaan bot berenjin begitu tersohor
di sungai berkenaan ketika itu, bermula dari hulu sehingga ke hilir.
Penulis bersama arwah kedua orang
tua ketika itu sering berulang-alik menggunakan jalan sungai itu untuk membeli
barangan keperluan rumah di bandar Temangan menaiki bot berenjin yang
tambangnya adalah antara 20 sen hingga 50 sen. Kalau Penulis tidak silap,
kira-kira 10 buah bot berenjin digunakan di sungai itu dalam tahun-tahun 1960-an
sehingga awal 1975 dulu. Penumpangnya agak ramai juga sehingga memenuhi ruang
bot.
Pengusaha bot berenjin di Kampung
Temangan Lama sendiri seramai tiga orang, malahan selebihnya adalah dari
Kampung Kuala Hau, Kampung Kerilla dan Kampung Pasir Senor. Kami yang masih
dalam usia kanak-kanak sentiasa riang kerana dapat menaiki bot berenjin itu
apabila keperluan untuk membeli barangan di bandar Temangan begitu
mengharapkan. Jadi, kamilah yang sentiasa menemani kedua-dua orang tua ketika
itu, bahkan kami juga begitu gembira kerana dapat menyentuh aliran air sungai
di atas bot berenjin itu. Cuma yang menjadi kebimbangan Penulis ketika itu
adalah “buaya”.
Bercakap tentang “buaya” yang
sememangnya habitat vertebrata berkenaan hidup dalam air terutamanya dalam
sungai itu memang tidak dinafikan lagi. Namun, buaya yang ada dalam Sungai
Temangan juga hidup bahagia kerana sungai berkenaan kaya dengan makanan seperti
pelbagai spesis ikan yang banyak. Jadi, kami tidak perlu menaruh bimbang diganggu
buaya kerana kami tidak mengganggu haiwan itu dan haiwan itu tidak mengganggu
kami. Sebab itulah tiada kes buaya membaham manusia di Sungai Temangan.
Arwah bapa pernah berpesan, jika
menyentuh air sungai itu kita berasa sejuk, itu bermakna buaya ada di dasarnya.
Tetapi jika kita menyentuh air sungai itu berasa panas, itu bermakna buaya itu
telah berlalu dari tempat itu.
Hal inilah yang masih
terngiang-ngiang di cuping telinga Penulis sehingga hari ini apabila pada tahun
1971, ketika itu Penulis menuntut dalam Tahun 1, manakala abang kandung Penulis
dalam Tahun 3. Apabila pulang dari sekolah waktu tengah hari, kami berjalan
kaki untuk pulang, tiba di Pengkalan Mek Po,
Penulis berasa nak “buang hajat” yang terlalu sangat. Melihat di persekitaran
tebing sungai berkenaan yang masih dipenuhi hutan tebal tidak mungkinlah
Penulis akan melaluinya seorang diri untuk ke sungai di pengkalan itu. Tetapi
disebabkan desakan nak membuang hajat, terpaksalah Penulis melaluinya sehingga
selesai membuang hajat.
Apabila tiba waktu mencucinya,
Penulis tentunya akan menyentuh air sungai itu kerana mencucinya. Apabila
tersentuh saja air sungai itu, rasa sejuknya bukan kepalang. Ketika itu juga
teringat kata-kata arwah bapa. Tetapi walau berasa sejuk yang teramat sangat,
terpaksalah dibuat juga. Selepas berjaya mencucinya, Penulis mula langkah
seribu dari tebing sungai itu. Tebing sungai itu jugalah tempat kami memancing
udang sejak tahun 1973 lalu.
Membicarakan tentang “buaya”
tadi, ada satu kejadian yang pernah berlaku dekat Kampung Kerilla apabila
seorang pencari etak dibedal seekor “sang bedal” itu di kampung itu pada tahun
1992 dulu. Kejadian itu berlaku disebabkan pencari etak (kaum Cina) sedang
mencari etak di kawasan lubuk buaya itu. Pada ketika itu musim kemarau, Sungai
Temangan berubah warna kerana airnya semakin surut dan bahang sungai semakin
panas akibat kemarau. Pada ketika itu etak di Sungai Temangan semakin membesar
dengan cepat. Jadi, mungkin disebabkan begitu kemaruk dengan etak-etak yang
saiznya luar biasa sehingga mangsa terlupa, tempat itu adalah di kawasan lubuk
buaya. Ketika dia menggunakan “alat pengaut” etak yang dibuat dengan
bilah-bilah besi, dengan tiba-tiba alat pengaut itu terkena perut seekor buaya
yang sedang tidur akibat kepanasan di lubuk buaya di kampung itu.
Akibat terkejut, buaya itu
terlibas ekornya sehingga terkena di tengah-tengah perahu yang dinaiki mangsa.
Perahu yang dilibas buaya itu terbelah dua menyebabkan mangsa terkapai-kapai
kelemasan. Namun, buaya berkenaan tidak menjadikan mangsa sebagai makanan,
hanya mangsa terus hanyut sehingga ke lubuk buaya dekat bandar Temangan dan di
lubuk itulah mangsa ditemui dan dapat dibawa ke darat.
Sungai Temangan selain lubuk
rezeki “ikan” yang banyak, sungai itu juga menjanjikan rezeki “etak”
terutamanya apabila tiba musim kemarau di antara bulan-bulan Mac sehingga Ogos
setiap tahun. Jadi, kami yang masih kanak-kanak ketika itu sering menjadikan
sungai berkenaan untuk mendapatkan rezeki etak itu dengan memungutnya dengan
menggunakan “alat pengaut” itu yang boleh dibeli dengan mudah di bandar
Temangan. Justeru, sehari-harian kami mandi dan berenang di sungai itu setiap
hari, apabila tibanya waktu tengah hari, suhu air sungai pula semakin hangat
dan ketika itulah kami memulakan aktiviti mencari etak-etak itu. Pengalaman
berkenaan adalah di waktu siang hari.
Apabila tiba waktu malam pula,
kami ke sungai itu untuk memancing udang. Ini kerana, apabila sungai mengalami
paras surut yang begitu mendadak, tentunya udang-udang akan huru-hara kerana
suhu air berkenaan berubah. Jadi, boleh dikatakan banyak juga kami dapat
memancing udang pada setiap malam itu kerana udang-udang pastinya bertemankan rakan
setianya iaitu “buaya-buaya” itu.
Apabila kami semakin meningkat
remaja, kami tidak membiarkan sungai itu bersendirian kerana sebelah siangnya
kami memancing ikan dan pada malamnya kami meneruskan aktiviti seperti biasa
iaitu memancing udang. Manakala sesetengah remaja lain akan menggunakan senjata
tombak untuk menikam udang-udang yang naik ke gigi sungai sama ada untuk
bertelur atau mencari makanan. Lazimnya, bahan-bahan yang digunakan untuk
menarik perhatian udang-udang itu ialah potongan daun kelapa bersama lidinya (dari
pelepah kelapa) dan kelapa dipotong empat segi yang siap dibakar. Pacaklah
bahan-bahan ini di tepi sungai berkenaan. Gerenti anda dapat lihat bukan saja
anak-anak udang, ketua udang (udang galah) pun berebut kerana tarikan kelapa bakar
itu.
Sementara bagi mendapatkan
ikan-ikan sungai dengan mudah tanpa perlu memancing pula, kami menggunakan
budu, gula dan kelapa parut yang telah dibakar. Kelapa parut berkenaan digaul
bersama sehingga sebati (rasa budu itu akan bertukar manis) kerana telah digaul
dengan gula itu. Taburlah di mana-mana tempat dalam sungai itu, pastinya
ikan-ikan akan berebut untuk mendapatkan makanan itu. Ini kerana, kelapa parut
yang telah dibakar itu menarik perhatian ikan-ikan itu untuk turut sama
berpesta makanan secara percuma. Tetapi ikan-ikan itu akhirnya terperangkap
dalam jerangkap jaring yang kami beli di bandar Temangan dengan harga yang
murah.
Ikan-ikan ini kami menyiangnya seekor
demi seekor di tebing sungai itu. Kami memanggangnya bukan memanggangnya dengan
api, tetapi kami menggali lubang pasir yang panas itu lalu kami masukkan ikan ke
dalam pasir itu. Hanya dalam masa di antara 15 minit hingga 20 minit, ikan-ikan
berkenaan masak dan kami memakannya secara “segar” yang hanya bergaramkan pasir-pasir
itu. Sungguh enak memanggang ikan dalam pasir sungai.
Penulis juga pernah menggunakan
perahu arwah atuk yang sengaja ditinggalkan di tebing sungai berkenaan kerana
minat terhadap memancing menggunakan perahu berhampiran tebing sungai ketika
itu setelah melihat salah seorang pemancing yang berjaya mengangkat seekor ikan
sebarau besar dengan kaedah memancing menggunakan perahu. Memang berhasil
apabila memancing menggunakan perahu kerana ketika kita menghanyutkan tali
pancing mengikut aliran air, ikan akan segera menerkam umpan yang seolah-olah
menari-nari memanggil kelibat ikan di dalam air sungai itu.
Kini, kenangan di Sungai Temangan
di masa lalu tiada lagi. Wajah Sungai Temangan telah bertukar warna apabila
musim kemarau menjelma. Kalau pada masa dulu airnya masih jernih ketika
kemarau, kini airnya bertukar merah yang menandakan wujudnya aktiviti tidak
sihat ke atas buminya sehingga rantaian air rosak. Kelodak yang berwarna oren
dan merah laju menurut aliran air dan sungai mula menangis kerana tidak lagi
berdaya menampung warna yang menodai wajah airnya.
Sungai Temangan atau Sungai Temangan Lama, banyak kenangan dan pengalaman di sungai ini sewaktu ketika kanak-kanak dulu.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan