KEMARAU DAN BANJIR
KELANTAN: KEMARAU dan panas terik tidak
semestinya berkeadaan seperti itu selamanya. Kadang-kadang dalam keadaan
kemarau yang panjang, boleh jadi air naik dengan tidak disangka-sangka.
Kejadian banjir tahun 1975 umpamanya, walaupun keadaan cuaca di sebelah
siangnya agak panas dan kadang-kadang hujan renyai-renyai di sebelah malamnya,
tiba-tiba banjir boleh berlaku tanpa diduga.
Kita lihatlah dalam keadaan
sekarang, walaupun awal tahun 2016 ini kelihatannya agak terjamin apabila tiada
lagi hujan turun. Di sebelah siangnya dalam keadaan panas terik manakala di
sebelah malamnya tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Itu semua tidak menjamin
keadaan kemarau akan berterusan, kerana jika Allah S.W.T mengkehendaki, banjir pasti boleh berlaku.
Seperti yang berlaku di Sarawak tahun ini
(2016) apabila dalam keadaan cuaca panas pun banjir boleh berlaku.
Kadang-kadang kejadian banjir
boleh berlaku jika alam ini dirosakkan. Istilah alam yang dimaksudkan adalah
seperti air, tanah dan tumbuh-tumbuhan. Ketiga-ketiga juzuk ini adalah rakan
yang paling akrab dan kadang-kadang boleh diistilahkan sebagai adik-beradik.
Jika salah satunya dirosakkan, yang dua lagi akan menerima nasib yang sama. Ini
menunjukkan ketiga-tiga unsur dan juzuk ini saling bantu-membantu dan saling
memerlukan antara satu sama lain. Mereka tidak berdendam, tetapi mereka akan
tunjukkan kekuatan masing-masing dengan izin Allah.
Misalnya, jika tanah yang
meliputi tanah daratan, bukit-bukau dan gunung-ganang ditarah atau dibotakkan untuk
pelbagai tujuan seperti pengambilan tanah dan pembinaan kawasan kediaman
tentunya akan berlakunya gangguan dalam sistem yang lain. Apabila
tumbuh-tumbuhan ditebang dan ditebas untuk dijadikan kawasan pertanian dan
perumahan, kerosakan akan turut dialami dua unsur yang lain pula. Sebab itulah
sistem ekologi ini perlu dijaga atau dikawal ke tahap yang paling minimum,
tidak diabai dan dirosakkan dengan sewenang-wenangnya.
Kejadian banjir besar yang
dikenali “bah kuning” atau “banjir lumpur kuning” sebagaimana yang berlaku dan
dialami mangsa di Kelantan pada bulan Disember 2014 lalu menggambarkan situasi
seumpama itu. Apabila tumbuh-tumbuhan ditebang, tanah dikerjakan, bukit dan
gunung ditarah sesuka hati akan berlakulah gangguan sistem ekologi itu. Akhirnya,
sistem bekalan air dalam bumi tidak terarah dan meletus sehingga memuntahkan
dengan banyaknya apabila kawasan yang tinggi pun dinaiki air.
Apatah lagi, dengan adanya gejala sosial berlaku dalam negeri seperti membuang bayi, bunuh diri,
persetubuhan haram (penzinaan), membunuh jiwa yang diharamkan membunuh, menafikan
peranan tempat ibadat (masjid) yang seharusnya tidak dilalaikan oleh
orang-orang Islam, longgarnya hubungan umat-umat Islam dan tamak haloba dengan
harta benda (mendakwa harta sendiri sedangkan harta orang lain) dan mengumpul harta
yang tidak diagihkan kepada orang-orang yang memerlukannya tentunya akan
menjurus ke arah kejadian itu.
Apabila berlakunya kejadian
banjir, kita tentunya memerlukan tempat yang selamat untuk mengelakkan
dihanyutkan banjir itu. Sememangnya, apabila berlakunya banjir, pastinya banyak
berlaku kehilangan nyawa (lemas), rumah dihanyut dan roboh, harta-benda dan
dokumen yang penting tidak dapat diselamatkan kerana nyawa yang perlu
diutamakan terlebih dahulu.
Banyak kes apabila berlakunya
kejadian banjir, kita mencari tempat yang selamat untuk berpindah. Lazimnya, di
tempat-tempat tertentu mangsa-mangsa banjir akan ditunjukkan oleh pihak
berkuasa keselamatan untuk berpindah seperti di bangunan-bangunan tinggi yang
diyakini bebas dinaiki air atau di lokasi tertentu pula, pentingnya bukit dan
tanah tinggi boleh dijadikan sebagai tempat selamat untuk berpindah.
Banjir Disember 2014 yang
dikenali “bah kuning” memberikan petunjuk kepada orang ramai supaya sentiasa
beringat dan berjaga-jaga. Ini kerana, kalau banjir 2014 yang boleh
menenggelamkan kawasan tinggi, kejadian banjir yang seterusnya kita tidak tahu
lagi. Mungkin lebih besar lagi atau sebaliknya, tetapi setiap penduduk perlu
sentiasa berwaspada bahawa “langit tidak selalunya cerah”. Kejadian banjir
besar yang lebih besar dari tahun 2014 itu mungkin akan berlaku apatah lagi
alam ini adalah sudah tiba tahap “akhir zaman”.
Apabila datangnya banjir lebih
besar dari banjir 2014 itu, tentunya bangunan-bangunan yang lazimnya tempat
kita berpindah sebagai tempat selamat akan dianggap tidak lagi selamat. Cuma,
jika di kawasan-kawasan pedalaman penduduk lebih beruntung kerana mereka boleh
berpindah ke bukit, gunung dan gua-gua yang agak tinggi. Misalnya di daerah
Dabong, Kuala Krai, banyak tempat tinggi seperti Gua Seto, Gua Keris dan Gua
Pagar boleh dijadikan tempat selamat apabila banjir besar berlaku.
Bagaimana pula di kawasan-kawasan
hilir seperti Kota Bharu, Wakaf Baharu, Tumpat dan Pasir Mas yang tidak
mempunyai bukit, gunung dan gua? Apabila banjir besar berlaku, ketika itu kita
memerlukan bantuan dan khidmat tempat-tempat tinggi itu untuk berpindah apabila
bangunan-bangunan tinggi sebelum ini tidak lagi selamat diduduki kerana telah
dinaiki dan ditenggelamkan banjir.
Dalam konteks ini, sempatkah kita
memandu ke kawasan bukit tinggi andaikata banjir telah sampai kepada peringkat
nazak? Tentunya tidak. Jadi, jika kawasan selamat sebelum ini telah
ditenggelamkan banjir, kita yang menghuni dan menetap di kawasan dataran tanah
rata ini akan berpindah ke mana? Inilah yang pihak berkuasa keselamatan perlu
fikirkan bukan saja berfikir untuk memindahkan mangsa-mangsa dan menghantar
makanan kepada mangsa-mangsa banjir.
Air deras dan laju dengan wajah
menggerunkan seperti kepala air tidak akan memaafkan sesiapa apabila banjir itu
melanda. Air itu pastinya akan sapu bersih segala kekotoran, rumah dan manusia
tidak kira orang tua, remaja, kanak-kanak mahupun bayi. Jika bersikap cuai,
akan jadilah mangsa lemas dan menemui maut.
Justeru, berhati-hati dan
berwaspada di musim kemarau kerana kita tidak pasti akan apa lagi yang akan
berlaku sama ada kebakaran mahupun banjir. Banjir tetap dan pasti berlaku jika
banyaknya keburukan dan maksiat di dalam negeri itu. Contoh jelas, kejadian
banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s
menggambarkan hakikat ini. Jika banyak maksiat yang tidak dibanteras,
tunggulah saat air itu yang akan sapu kesemuanya.
Kawasan Kota Bharu, Wakaf Baharu, Tumpat dan Pasir Mas adalah tanah datar, rata dan rendah yang mudah ditenggelamkan banjir. Ketiadaan kawasan tanah tinggi seperti gunung, bukit dan gua sebagai tempat perpindahan yang selamat akan menyukarkan penduduk di kawasan terlibat apabila banjir besar yang tidak diduga melanda.
Sumber Foto:
ARKIB FOTO RELATIF
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan