PAKCU NOOR PELATIH BERUK
PASIR MAS, KELANTAN: Selain
manusia, haiwan juga perlu ada guru atau cikgunya terutamanya untuk kerja-kerja
yang diperlukan oleh manusia. Walaupun haiwan itu telahpun tahu dengan habitat
yang perlu dilakukan, tetapi jika terjun ke dunia manusia, haiwan perlu tahu
tugas, peranan dan khidmat yang perlu dilakukan terhadap manusia.
Misalnya haiwan liar seperti
harimau, gajah dan sebagainya perlu dilatih supaya dapat menjadi haiwan jinak
untuk tugas-tugas terhadap manusia. Begitu juga dengan beruk, sejenis haiwan
yang sering digunakan oleh manusia untuk memetik kelapa, petai dan segala
buah-buahan yang pokoknya agak besar dan tinggi atau yang tumbuhnya di kawasan
bukit.
Membicarakan tentang haiwan beruk
ini, beruk juga perlu dilatih untuk kegunaan manusia. Ini kerana, jika haiwan
berkenaan tidak dilatih, haiwan berkenaan hanya tahu melakukannya menurut
kemahiran haiwan itu semata-mata tetapi manusia tidak akan dapat khidmat yang
diinginkan jika haiwan itu tidak dilatih.
Seorang pelatih beruk, Mohd. Noor
Daud atau Pakcu Mohd. Noor, 71, dari Kampung Machang Gochoh, Pasir Mas,
Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin tidak menolak bahawa, beruk juga perlu dilatih jika ingin digunakan
terhadap keperluan manusia seperti untuk memetik buah kelapa dan petai.
Menceritakan tentang minatnya
sebagai pelatih beruk itu, dia pada mulanya bekerja di Singapura. Setelah jemu
bekerja disebabkan sentiasa berjauhan dari keluarga di sana, beliau pulang ke kampung halamannya
semula. Ketika di kampung halamannya, dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan
yang membolehkannya untuk menyara keluarga walaupun sekadar bekerja kampung.
Jadi, isterinya yang berhasrat berniaga secara kecil-kecilan terlalu sukar
kerana salah satunya mengharapkan adanya kelapa.
Melihat keadaan yang mendesak
itu, beliau mula mencari beberapa ekor beruk yang telah mahir memanjat kelapa.
Sejak itu, beliau menggunakan khidmat haiwan itu untuk menurunkan buah kelapa.
Nak dijadikan cerita pada tahun 2000 itu, beliau ke rumah seorang pelatih
beruk, Awang Ishak yang agak mahir di
Kampung Cabang Tiga Berangan, Tumpat, Kelantan. Dari situlah beliau mula
mempelajari tentang sifat beruk dan cara melatih beruk secara sempurna.
Setelah memperolehi serba sedikit
ilmu yang diperolehi dari gurunya itu, dia mencuba melatih seekor beruk yang
kebetulan dibawa oleh seorang pemilik beruk yang meminta beliau melatihnya
supaya mahir sebagaimana yang dikehendaki oleh tuannya. Sejak itulah, beliau
melatih beruk itu menurut ilmu dan kemahiran yang diperolehinya dari gurunya
itu. Namun, secara merendah diri, beliau bukanlah mahir kesemuanya tetapi
sekadar melatih menjadi seekor beruk beliau mampu melakukannya.
Alhamdulillah, dengan kehendak
Allah, seekor beruk yang dilatihnya itu berhasil dan haiwan itu kemudiannya
menjadi begitu mahir berkat cara dan kaedah latihan yang diberikannya selama
seminggu itu.
“Melatih beruk ni perlu tahu cara
dan kaedahnya saja. Pakcu bermula dengan teknik menyentuh haiwan itu.
“Teknik ini adalah untuk
mengenali haiwan itu, adakah haiwan itu ada perangai atau boleh dijadikan
haiwan pekerja (menurut kehendak tuannya) atau bagaimana”, ujar Pakcu Noor yang
mula melatih beruk tersebut pada tahun 2000 itu.
Setelah mengetahui sifat dan
tabiat haiwan itu, dia cuba
mengumpan dengan buah-buahan, haiwan itu cuba berpaling ke belakang.
Katanya, kalau perangai haiwan seperti ini melatihnya amat susah. Namun,
sebagai pelatih dia kena bersabar. Dicuba kali kedua, ketiga dan keempat dan
apabila sudah banyak kali haiwan itu melihat situasi itu, haiwan berkenaan
sudah mula jinak. Apabila sudah pasti haiwan berkenaan sudah makan pujuk,
ketika itulah dia akan cuba
di pokok kelapa pula.
Walaupun begitu menurutnya,
ketika haiwan berkenaan ditunjukkan kepada sebatang pokok kelapa kemudian
meminta haiwan berkenaan memanjatnya, memang sifat haiwan terbabit akan
menunjukkan sifatnya seperti malas dan suka mempermainkan gurunya sendiri.
Haiwan berkenaan akan bertenggek di bawah pohon kelapa dan enggan memanjatnya.
Tetapi beliau sebagai pelatih harus bersabar dengan tabiat beruk itu.
Namun menurutnya, melatih beruk
pada waktu siang hari (pagi atau petang) memang agak sukar, sebab itu dia lebih
gemarkan melatihnya pada waktu malam. Apabila ditanya, kenapa perlu melatih
beruk pada waktu malam? Dia menjelaskan, apabila haiwan itu dilatih pada waktu
siang hari, mata haiwan itu akan melihat dan melilau ke serata arah, jadi
haiwan itu tidak akan dapat memberikan tumpuan terhadap kerjanya. Jika dilatih
pada waktu malam, mata haiwan itu tidak akan meliar ke arah lain sebab haiwan
itu hanya nampak gelap saja, jadi apabila ditunjukkan ke arah objek berkenaan
haiwan itu akan terus memegang dan menyudahkan kerja-kerjanya.
Lazimnya, menurut Pakcu Noor,
sesetengah haiwan itu akan cepat mahir walaupun dengan didikan empat malam
sahaja. Namun, bagi sesetengah pula tidak begitu berperanan dan kita sebagai
pelatih perlu bersabar untuk melatihnya beberapa malam lagi sehingga haiwan itu
mahir dan mampu melakukannya sebagaimana kehendak kita. Dalam hal ini katanya,
terdapat haiwan itu yang terpaksa dilatih selama sebulan lamanya baharulah
haiwan itu mahir sepenuhnya.
Menurutnya, untuk melihat sifat
beruk yang rajin perlu dilihat kepada bulu jalur di atas kedua-dua bahu haiwan
itu. Kadang-kadang menurutnya terdapat di antara dua atau tiga jalur yang dapat
kita lihat dan teliti di atas belakang atau bahu haiwan terbabit. Walau
bagaimanapun menurut Pakcu Noor, jika haiwan telah berusia juga akan menyebabkan
sikap haiwan itu boleh mendatangkan masalah kepada tuannya. Katanya, jika kita
berhasrat untuk membeli haiwan itu dan mengetahui sifat haiwan itu seumpamanya,
dia menyarankan tak perlulah terburu-buru membeli beruk itu kerana akan
menyusahkan tuannya nanti.
Kata Pakcu Noor lagi, sifat beruk
seperti ini memang banyak. Kadang-kadang ada haiwan itu yang rajin panjat pokok
kelapa, tetapi apabila hanya memetik sebiji buah kelapa haiwan itu terus
bergegas turun dan enggan memanjatnya lagi.
“Jika ditanya tentang sebab apa,
apa yang dapat Pakcu katakan ialah sifat haiwan yang pemalas seumpama di kalangan
sebahagian manusia juga, ada yang rajin dan ada juga yang paling pemalas”,
katanya.
Malah katanya, terdapat juga yang
pernah dilatihnya, seekor beruk yang begitu rajin berkhidmat terhadap tuannya,
apabila diarahkan beruk itu turun kerana kerja-kerja memetik buah kelapa telah
selesai, beruk itu enggan turun, apabila disanggah talinya, beruk itu terus
ingin memetik buah kelapa itu lagi. Ini adalah jenis haiwan (beruk) yang
terlalu rajin.
Beruk tidak dinilai perlu dilatih
sama ada beruk jantan atau betina. Kerana jantina tidak boleh dijadikan alasan
menjadikan beruk itu sesuai atau tidak untuk berkhidmat kepada tuannya.
Misalnya, dia sendiri banyak melatih beruk betina berbanding beruk jantan.
Ditanya apakah usia yang sesuai
bagi beruk untuk bekerja memetik buah kelapa. Katanya, jika beruk itu berusia
tiga tahun sudah membolehkan haiwan itu memanjat dan bekerja untuk memetik buah
kelapa.
Lazimnya beliau sebagai pelatih
beruk, kebanyakan tuan asal beruk itu akan datang tinggal dan dia sebagai
pelatih akan melatih beruk itu sehingga mahir dan apabila didapati mahir,
biasanya dalam tempoh dua minggu, beliau akan menghubungi tuannya untuk menyerahkan
haiwan itu kepada tuannya masing-masing. Kadang-kadang dalam tempoh seminggu
pun, haiwan itu akan dimaklumkan kepada tuannya untuk datang mengambilnya
kerana sudah pandai buat kerja.
Katanya, upah yang diperolehinya
sebagai pelatih haiwan itu adalah kira-kira RM200 bagi seekor beruk. Pendapatan
upah yang diperolehinya itu adalah menanggung makan haiwan itu yang ditambat di
hadapan rumahnya itu sebagai penginapan haiwan tersebut.
“Setakat ini, kira-kira 50 ekor
beruk yang berjaya Pakcu latih dan kesemua haiwan itu menjadi mahir berkat sabar
melihat sifat seekor beruk yang kadang-kadang memerlukan kesabaran seorang
pelatih”, ujar Pakcu Noor.
Katanya menambah, semenjak
mengetahui beliau begitu mahir melatih haiwan itu dari beberapa orang pernah
dilakukannya, semakin banyak pula haiwan itu dibawakan ke rumahnya untuk
dilatih. Kadang-kadang katanya, dalam sehari terdapat kira-kira dua hingga tiga
beruk yang dibawa oleh tuan beruk yang meminta beliau melatihnya. Namun,
kadang-kadang dia terpaksa menolaknya kerana tidak mungkin dapat memberikan
perhatian terhadap haiwan itu secara serentak.
“Sekarang ini, disebabkan terlalu
banyak haiwan itu yang perlu dilatih, tiba-tiba Pakcu berasa mula menjadi jemu
tidak sebagaimana dulu”, katanya.
“Setakat pengalaman melatih
beberapa ekor beruk itu, Pakcu sering perhatikan, apabila tiba waktu malam, kesemua
haiwan itu sunyi, mungkin alah pada waktu malam. Tetapi apabila tiba waktu
siang hari, haiwan itu terus membuat bising”, ujarnya sambil ketawa.
Pernah terjadi suatu hari, dia membongkok
untuk membuang ranting kayu yang patah dan gugur di halaman rumahnya, apabila
haiwan itu melihat gelagatnya itu, haiwan itu tiba-tiba bertempik dengan kuat
kononnya bagi pandangan haiwan itu seolah-olah beliau akan membelasah beruk
terbabit.
Ditanya tentang sesetengah beruk
yang menangkap dan memakan haiwan ternakan seperti ayam. Beliau menjelaskan,
beruk seperti itu ada tanda tertentu, kelihatannya berceloreng di bahagian
hadapan (mukanya iaitu bahagian hidung haiwan itu). Selain itu, muka haiwan
berkenaan yang berkeadaan kering. Kalaulah ada tanda-tanda seperti ini, haiwan
berkenaan tidak boleh dipercayai kerana ternakan seperti ayam dan kucing
peliharaan akan menjadi mangsa.
Sementara, bagi beruk yang boleh
dilatih, rajin dan mudah menurut kata tuan ialah kita perlu melihat kepada
ekornya. Kalau ekornya pendek, jarinya pendek, mukanya pendek serta tubuhnya pendek,
haiwan yang mempunyai tanda-tanda ini mudah dilatih dan rajin berkhidmat kepada
tuannya. Sebaliknya, jika haiwan berkenaan berlawanan, tentunya menyusahkan
pelatih dan tuannya nanti, apatah lagi pemalas pula.
Apabila ditanya pula tentang
sifat sesetengah beruk yang apabila memanjat pokok kelapa, beruk berkenaan
makan di atas pokok itu. Beliau menjelaskan, itu berdasarkan ajaran pelatih dan
tuannya sendiri. Jika beruk berkenaan bersifat berkenaan, tuannya sendiri tidak
pernah memarahi sebaliknya membiarkannya, tentunya menjadi tabiat beruk itu
akan sentiasa melakukannya kerana tiada larangan (menjadi bebas).
Pakcu Noor menambah, lazim
menurutnya, beruk hanya mengenali pokok dan buah kelapa semata-mata tetapi
apabila disuakan dengan pokok lain, beruk tidak mengetahui dan memahaminya.
Melihatkan keadaan itu, untuk memahirkan beruk itu mengenali pokok yang diminta
untuk dipanjat, kita perlu letak dan gantung buah petai itu di pokok. Apabila
beruk itu melihat buah petai itu, beruk akan dapat mengenali buah apa.
“Dalam hal, setelah beruk itu
mengetahui buah-buahan, bukan sahaja petai, jering dan kerdas pun beruk akan
mula kenal dan faham, buah apa yang ingin dipetik”, katanya.
Apabila ditanya tentang
sesetengah tuan beruk yang sering memberikan upah sebiji buah kelapa setelah
beruk itu menyelesaikan kerja-kerjanya memetik buah kelapa. Beliau menjelaskan,
sebenarnya beruk tidak perlu diberikan upah sebagaimana yang dimaksudkan.
Tetapi berdasarkan kepada tabiat tuan yang buat begitu, terpaksalah setiap kali
selesai kerja, beruk perlu diberikan upah makanan sebagai sifat mengasihani
haiwan yang penat bekerja.
Katanya, jika melihat kepada
beruk yang rajin, lazimnya apabila diminta untuk memetik buah kelapa, dalam
masa sekejap sahaja 400 biji buah kelapa dapat digugurkan. Tetapi bagi beruk
pemalas pula, paling banyak adalah antara 20 hingga 30 biji haiwan itu terus
mendiamkan diri dan tidak lagi memberikan khidmat kepada tuannya. Beza antara
beruk jantan pemalas dan beruk jantan yang rajin.
Selain itu katanya, beruk betina
juga jika dilatih bersungguh-sungguh, beruk ini juga berjaya memetik buah
kelapa dan paling tidak sehingga 300 biji kelapa dapat dipetik. Buktinya,
ketika beliau mempelajari kaedah melatih beruk di rumah gurunya, Awang Ishak di
Kampung Cabang Tiga Berangan, Tumpat gurunya pernah memberitahu seekor beruk
betina itu mampu menggugurkan sehingga 300 biji buah kelapa jika terdapat
banyak buah kelapa yang perlu dipetik.
“Pakcu membeli beruk itu dengan
harga RM500 dan menjualnya dengan harga lebih RM1,000 kerana kampung ini tiada
buah kelapa untuk dipetik.
“Kebanyakan buah kelapa yang dapat
digugurkan adalah sekitar 100 biji saja berbanding di tempat-tempat atau
kawasan pokok kelapa yang banyak. Jadi, tidak perlulah khidmat beruk itu lagi”,
ujarnya.
Katanya, tiada tuan atau pemilik
beruk yang memelihara beruk untuk tujuan memetik buah kelapa di Kampung Machang
Gochoh. Tetapi terdapat seorang pemilik beruk betina di kampung berjiran yang
memelihara beruk untuk tujuan berkenaan bernama Jusoh yang menetap berdekatan
dengan sungai di kampung bersebelahan.
Katanya, beruk juga perlu diberikan
makanan dan air yang sceukupnya. Makanan haiwan itu tidaklah mahal sekadar
antara telur yang digaulkan dengan nasi. Tujuannya adalah untuk mencergaskan
haiwan itu.
Mohd. Noor bin Daud atau Pakcu Mohd. Noor.
Pakcu Noor ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Antara haiwan (beruk) yang dalam proses dilatih, ditambat di hadapan rumahnya.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN