KEROPOK CAP IKAN MERAH KAK NA
PASIR MAS, KELANTAN: Sejak
kebelakangan ini, Negeri Kelantan menjadi pengeluar keropok yang paling laris
yang diusahakan oleh kebanyakan individu dalam negeri ini. Kalau sebelum ini,
kebanyakan pelanggan hanya bergantung kepada keropok yang didatangkan dari
Kuala Besut, Terengganu. Namun, percayalah apabila adanya teknologi,
bercambahnya ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan dan berkat usaha
kebanyakan pengusaha keropok, maka lahirlah beberapa nama besar di bidang
berkenaan.
Mungkin ada di kalangan pengusaha
berkenaan yang mengusahakannya secara kecil-kecilan, bergerak perlahan dan
berasa akan menemui kegagalan pada peringkat permulaannya kerana penghasilan
keropok bukanlah satu hal yang mudah, namun jika dilebihkan usaha, tangga
kejayaan pastinya menunggu.
Walaupun pada peringkat awal
untuk menghasilkannya agak tercabar dengan banyak liku-liku yang perlu dilalui
seperti dalam proses pembuatannya, penggunaan bahan, pasaran dan tentang
sambutan pelanggan apatah lagi terpaksa bersaing dengan pengusaha-pengusaha
keropok yang sudah ada nama, namun atas usaha, dorongan dan bantuan dari
keluarga akhirnya namanya sebaris juga dengan pengusaha-pengusaha keropok lain
di pasaran.
Salah seorang pengusaha keropok
yang kelihatannya sebaris dengan pengusaha-pengusaha keropok lain di pasaran
ialah “Keropok Cap Ikan Merah Kak Na”. Jenama berkenaan yang diusahakan oleh
Roslina Ismail (Kak Na, 40), dari Kampung Padang Jelapang, Jalan Chicha Tinggi,
Pasir Mas, Kelantan yang telah diusahakannya sejak 1 Januari, 2001 lagi.
“Pembuatan keropok ini bermula
pada 1 Januari, 2001. Ketika itu masih tiada saingan dari pengusaha-pengusaha
keropok lain di pasaran. Hanya jenama ini saja”, katanya ketika ditemui
Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh di
kediamannya.
Katanya menambah, ketika awal
pembuatan keropok berkenaan dia memproses keropok lekor. Disebabkan adanya
tempahan pihak sekolah dia terus menukar dari keropok lekor kepada keropok
keping berikutan keropok lekor tidak tahan lama kecuali hanya dapat bertahan
selama tiga hari saja malah keadaannya mudah rosak pula. Sebaliknya, keropok
keping tahan lebih lama malah kualitinya masih terjamin kerana dalam keadaan
berbungkus seperti itu.
“Saya mengusahakan keropok
seumpama ini atas dorongan dari keluarga. Sementelah pula, minat terhadapnya
sejak awal lagi sehinggalah hari ini”, katanya.
Menurut Roslina, berbanding
keropok lekor sebelum ini yang agak terhad pasarannya apatah lagi masalah tidak
tahan lama, tetapi apabila bertukar kepada perusahaan keropok keping pasarannya
agak luas dan memberangsangkan.
Katanya, kebanyakan keropok
kepingnya sekarang selain tersohor dalam pasaran tempatan, ia juga turut diekspot
ke Terengganu, Kuala Lumpur dan Sabah. Malahan dari segi pasarannya pula agak meluas
berbanding keropok lekor.
“Dari segi bahan-bahan yang
digunakan untuk memproses keropok keping terdiri dari tepung kanji, tepung
sagu, air batu, ikan, penambah perisa yang dibenarkan”, jelasnya.
Tambah Roslina, modal yang
dikeluarkannya untuk tujuan memproses keropok keping adalah kira-kira RM60,000.
Ini termasuk pembinaan tempat memproses dan menyimpan keropok tersebut, penggunaan
peralatan dan mesin seperti mesin mengadun, mesin ikan, mesin memotong dan tempat
mengering keropok. Kesemua mesin berkenaan pada ketika dulu berharga RM5,000
dan kini katanya mungkin telah naik harga.
Membicarakan tentang perbezaan
memproses keropok lekor dan keropok keping juga berbeza. Ini katanya, setelah
keropok berjaya dibuat, sebelum ia dipotong menjadi kepingan, keropok itu perlu
direbus terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam peti ais supaya keropok itu
menjadi pejal (keras). Hanya dalam masa semalaman, baharulah keropok yang telah
dimasukkan ke dalam peti ais itu boleh dipotong menjadi bentuk kepingan.
Selepas itu keropok berkenaan
perlu dijemur dengan segera dalam masa satu hari. Keadaan cuaca yang agak panas
sekarang membolehkan keropok dapat dijemur secara sempurna dalam masa satu
hari.
Menurutnya, menjemur keropok
secara tradisional ini akan menjadikan keropok lebih berkualiti. Katanya, dia
menjemur keropok keping itu di atas tempat yang dinamakan “acak” yang dibuat
khusus untuk menjemur keropok seperti itu.
Katanya menambah, proses membuat
dan mengering keropok seumpama ini bukan dibuatnya seorang diri tetapi turut dibantu
oleh keluarganya sendiri (empat beranak) termasuk dua orang yang digajikan
khusus.
Menurutnya lagi, semasa proses
membuat keropok penggunaan ikan segar tidak akan menjadikan keropok itu lebih sempurna
kerana keropok yang dihasilkan akan menjadi tidak begitu menarik. Dalam konteks
ini menurutnya, sebelum keropok itu diadun dengan ikan itu, ikan-ikan berkenaan
hendaklah disimpan selama semalaman ke dalam tong fiber yang diisikan dengan
ketulan ais. Dalam tempoh semalaman itu, baharulah keesokannya keropok itu
boleh dihasilkan dengan baik.
Apabila ditanya, kenapa
menggunakan “cap ikan merah” kerana biasanya pengusaha-pengusaha keropok
menggunakan cap “ikan parang” dan “kapal”. Katanya, penggunaan cap ikan merah
adalah berdasarkan ilhamnya sendiri untuk membezakannya dengan pengusaha-pengusaha
keropok jenama lain di pasaran.
Katanya, sejak diperkenalkan
keropok keping cap ikan merah beberapa tahun yang lalu, sambutan terhadapnya agak
menggalakkan. Pada masa itu, jenamanya itu hanya diketahui oleh jiran-jiran dan
penduduk sekitar dan tempat tinggalnya saja. Namun, selepas beliau meletakkan
label di sebelah luar (laluan) umum itu, ramai yang mengetahui tentang produk
keropok beliau di kampung itu.
Menurutnya, pasaran keropoknya
itu adalah di kedai-kedai runcit yang berhampiran dan di pasar-pasar harian
yang berdekatan. Tentang produknya itu mendapat maklumbalas yang agak
menggalakkan juga apabila dalam tempoh lima
hari berada di pasaran, keropoknya itu habis dibeli oleh pelanggan. Keadaan ini
menggambarkan, pelanggan menggemari keropok yang diusahakannya.
Bercakap tentang harga keropok
pula, harga yang dijualnya adalah kira-kira RM10 sebungkus bagi 500 gram.
Tetapi bagi peniaga yang pernah menempah dengannya dalam jumlah yang banyak
(secara borong) di rumahnya sendiri, dia akan memberikan diskaun dengan harga
RM5 sebungkus. Tetapi bagi keropok yang dibeli secara timbangan (tanpa
berbungkus) beliau menjualnya dengan harga RM9
sahaja. Bagi keropok yang beratnya 200 gram dijualnya RM10 (4 bungkus).
Sesuatu yang menarik menurutnya, pelanggan
yang datang bukan saja membeli keropok yang siap dibungkus. Tetapi ada juga
pelanggan yang membelinya secara terus (secara timbangan). Kebanyakan di antara
mereka adalah terdiri daripada kalangan peniaga keropok yang turut menjual
secara timbangan. Walaupun jumlahnya tidaklah ramai iaitu kira-kira 10 hingga
20 orang, namun kebanyakan peminat keropok dianggapnya berbeza di dalam
menentukan pilihan sendiri.
Katanya lagi, dia pernah
dimaklumkan oleh beberapa pelanggan yang pernah menempah keropoknya itu
memaklumkan, citarasa keropoknya itu agak berbeza dengan keropok lain di
pasaran. Kata mereka, keropok yang diusaha dan dihasilkannya itu mudah
mengembang dan agak enak setelah digoreng. Ini kerana, keropoknya itu dibuat (dipotong)
dalam bentuk yang agak nipis. Jika keropok dipotong tebal, tentunya keropok
berkenaan akan berkeadaan pejal, lambat masak dan kurang citarasanya
(citarasanya berubah).
Katanya, setelah keropok
berkenaan siap, ketika itulah keropok mula dibungkus. Tentang masa membungkus,
dia tidak menetapkan masa. Kadang-kadang dilakukan di sebelah malam dan
kadang-kadang di sebelah siang terutamanya apabila ada masa ruang. Kerja-kerja
seumpama ini juga dilakukan dengan bantuan ahli keluarganya juga supaya proses
membungkus lebih cepat dan pantas.
Sebarang pertanyaan dan tempahan, hubungi talian:
019-9955904 (Roslina Ismail)
014-8019061 (Suaminya, Mat Zain Yusoff)
Roslina Ismail atau Kak Na.
Roslina ketika diwawancara Wartawan RELATIF yang di kediamannya.
Sebahagian produk keropok yang masih ada, yang lain semuanya telah ditempah.
Kediaman Roslina.
Papan tanda dipacakkan di tepi laluan umum di Kampung Padang Jelapang, Jalan Chicha Tinggi.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan