RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 20 Mac 2016

Ternakan Ikan Air Tawar Sukri


TERNAKAN IKAN AIR TAWAR SUKRI

TUMPAT, KELANTAN: Bidang penternakan ikan air tawar menjanjikan pulangan yang lumayan kepada pengusahanya jika dilakukan dengan penuh minat, tekun, berdedikasi dan bersungguh-sungguh. Pada awalnya, memanglah bidang ini amat memenatkan sementara menunggu kesemua benih-benih ikan membesar, namun percayalah ia hanya bersifat sementara saja dan ia hampir sama dengan bidang-bidang yang lain.

Ikan-ikan air tawar yang diternak di mana-mana tempat sama ada dalam paya, sawah padi, tasik, parit, saliran dan kolam akan cepat membesar jika diberikan makanan yang secukupnya di samping mengawal sistem saliran air dengan sempurna akan menyebabkan anak-anak ikan membesar dengan cepat.

Di Negeri Kelantan misalnya, selain golongan veteran yang turut mengusahakan bidang penternakan ikan air tawar kerana mereka telah mewarisi dari generasi terdahulu sebagai seorang penternak, golongan muda juga tidak kurang hebatnya. Mereka menternak ikan bukan atas dorongan sesiapa tetapi atas dasar minat diri sendiri.

Salah seorang penternak ikan air tawar, Sukri Mat Salleh (Awe), 41, dari Kampung Bendang Kerian, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh mengakui tentang minatnya menternak ikan yang ketika itu diusahakan oleh arwah abangnya. Setelah abangnya meninggal, dia terus mewarisinya untuk mengelakkan kolam-kolam ikan itu terbiar begitu saja.

“Ternakan ikan air tawar ini beroperasi pada tahun 1990-an. Antara jenis ikan air tawar yang diternak kola mini adalah ikan keli dan ikan patin.

“Jumlah anak kedua-dua ikan itu yang dimasukkan ke kolam berkenaan dibuat secara berperingkat-peringkat iaitu 10,000 ekor dan selepas itu 5,000 ekor yang dibuat secara bergilir-gilir”, katanya.

Ditanya tentang modal beliau untuk menternak ikan kerana lazimnya sesetengah penternak akan meninjam dari pelbagai pihak. Beliau menjelaskan, setakat ini dia hanya mengeluarkan modal dari poketnya sendiri tanpa memperolehi mana-mana bantuan atau pinjaman dari pihak lain. Cuma, sikap berjimat-cermat dan hasil dari jualan ikan-ikan itu digunakannya untuk membeli anak-anak ikan baharu.

Menyentuh tentang minatnya pula sehingga mendorong beliau menjadi penternak muda yang berjaya, beliau menjelaskan, sebenarnya dia tidak mendapat dorongan daripada sesiapa tetapi atas dasar terbit dari hatinya sendiri. Walau bagaimanapun, kalau dikira usia asal usul kolam ternakan ikan tersebut, asalnya pencetus ternakan ikan air tawar tersebut dimulakan oleh arwah abangnya. Dia menyambung balik usaha itu sejak tahun 2008 lalu untuk mengelakkan kolam tersebut terbiar begitu saja tanpa diusahakan.

Katanya, jika dalam usia anak ikan, dia akan memberikan makanan ikan-ikan itu dalam bentuk biji. Dia peruntukkan kira-kira tiga beg besar kira-kira bernilai RM100 lebih setiap beg untuk makanan anak-anak ikan itu. Setelah makanan ikan telah habis sebagai ukuran anak-anak ikan itu membesar dan ketika itu dia tidak lagi memberikan makanan berbentuk biji itu. Sebaliknya, dia akan mendapatkan perut dan usus ayam sebagai makanan ganti dan makanan harian ikan-ikan itu. Ini kerana, ketika itu ikan-ikannya telah cukup dewasa dan pemberian makanan dalam bentuk biji tidak lagi sesuai.

Ditanya tentang perbezaan pemberian makanan dalam bentuk biji dan perut ayam, dia menjelasjan, jika diberikan makanan seperti usus dan perut ayam, semua ikan akan cepat membesar malah kosnya juga adalah lebih murah.

Menurutnya, pemberian makanan dalam bentuk usus dan perut-perut ayam tidak diberikan sebarangan kerana makanan itu dalam bentuk mentah. Jadi, sebelum memberikannya kepada ikan-ikan yang diternaknya itu, terlebih dahulu dia akan memasak atau merebus semua usus dan perut-perut ayam itu.

Membicarakan tentang pasaran ikan pula, sememangnya kedua-dua jenis ikan ini mempunyai peminat dan penggemarnya yang tersendiri. Pengalamannya sejak tahun 2008 itu menunjukkan, permintaan terhadap kedua-dua ikan terbabit menyebabkan dia tidak menang tangan dan kadang-kadang kehabisan bekalan.

Katanya, kedua-dua ikan air tawar ini dibeli secara borong di mana pelanggan tetapnya akan datang sendiri ke kolamnya untuk mendapatkan bekalan ikan-ikan tersebut yang dijualnya secara pikul.

Apabila ditanya tentang jumlah pelanggan yang pernah datang membeli secara borong di kolamnya, dia tidak menyenaraikannya. Namun, katanya agak ramai juga yang bergelar tauke atau pengusaha yang membeli borong dengannya.

“Ikan-ikan ini dijual secara borong dengan harga RM4 sekilo. Manakala bagi pemborong atau penjual itu pula akan menjualnya di pasaran dengan harga di antara RM7 atau RM8 sekilo”, ujar Sukri lagi.

Katanya menambah, kedua-dua ikan air tawar berkenaan apabila telah mencapai usia tiga (3) bulan, ikan-ikan berkenaan sudah boleh diangkat dari kolam. Walau bagaimanapun, ikan tersebut tidak diambil secara keseluruhannya, sebaliknya beliau memilih setiap seekor atau dengan kata lain hanya boleh diambil separuh untuk dipasarkan. Ini disebabkan, bentuk fizikal ikan keli amat berbeza dari ikan patin. Ikan-ikan keli lebih kecil berbanding dengan patin, sebab itulah ikan-ikan ini perlu dipilih untuk dipasarkan.

Katanya, apabila ikan-ikan berkenaan diangkat dari kolam, pastinya akan turut terambil ikan-ikan lain yang masih kecil atau yang tidak cukup umur. Jika hal ini berlaku, tentunya akan mengalami kerugian kerana ikan-ikan yang kecil pastinya masih tidak menurut standard pasaran.

“Kadang-kadang ketika kita pungut dari kolam, pastinya akan terambil ikan-ikan kecil dan yang tidak cukup umur. Sebab itulah kita kena pilih untuk standard pasaran”, katanya.

Menurut Sukri, pungutan hasil ikan peringkat pertama dari kolam itu berdasarkan jumlah kita memasukkan benih-benih ikan dalam kolam itu. Jika dimasukkan anak-anak ikan dalam kuantiti yang banyak, misalnya dalam jumlah 20,000 ekor, pastinya jumlah pungutan hasilnya juga bertambah dan jika sedikit begitulah sebaliknya. Jika kita masukkan benih-benih ikan dalam kadar 5,000 ekor saja, tentunya hasilnya tidak seberapa.

“Pungutan hasil ikan peringkat pertama bergantung kepada jumlah benih-benih ikan itu dimasukkan ke dalam kolam.

“Jika dimasukkan dalam kuantiti yang banyak, misalnya 20,000 ekor, pastinya jumlah pungutan akan bertambah. Tetapi jika sedikit, sedikitlah hasil yang diperolehi”, jelas Sukri.

Ditanya, adakah jika benih-benih ikan yang dimasukkan ke dalam kolam itu akan bertambah bilangannya disebabkan ada di antara ikan-ikan betina yang bertelur, menetas dan adanya anak-anak ikan. Dia menjelaskan, dia tidak pernah mengalami situasi seperti itu. Lazim menurutnya, jika dimasukkan 5,000 ekor pastinya hanya jumlah itu yang diperolehi dan tidak lebih dari itu.

“Saya pernah alami beberapa kali ikan-ikan yang didapati mati di dalam kolam. Namun, jumlahnya tidaklah begitu banyak dan lazimnya di antara tiga atau empat ekor saja yang mati berpunca dari pelbagai sebab seperti masalah air, penyakit ikan dan sebagainya”, ujarnya.

Di antara penyakit yang dialami kebanyakan ikan-ikan yang mati adalah disebabkan penyakit kulit ikan. Langkah untuk membasmi masalah penyakit ikan ini adalah dengan mendapatkan ubat-ubat dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH).

Untuk tempahan, Sukri (Awe) boleh dihubungi di talian: 011-19771362

Sukri Mat Salleh atau Awe.

Sukri ketika diwawancara Wartawan RELATIF di hadapan kolam ikan miliknya.





Antara kolam ikan air tawar seperti keli dan patin miliknya.

Papan tanda kolam ternakan ikan air tawar Sukri.

Kebanyakan mata pencarian penduduk di Kampung Bendang Kerian ini adalah menternak ikan air tawar.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan