RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Rabu, 30 Mac 2016

Pakcu Noor Pelatih Beruk


PAKCU NOOR PELATIH BERUK

PASIR MAS, KELANTAN: Selain manusia, haiwan juga perlu ada guru atau cikgunya terutamanya untuk kerja-kerja yang diperlukan oleh manusia. Walaupun haiwan itu telahpun tahu dengan habitat yang perlu dilakukan, tetapi jika terjun ke dunia manusia, haiwan perlu tahu tugas, peranan dan khidmat yang perlu dilakukan terhadap manusia.

Misalnya haiwan liar seperti harimau, gajah dan sebagainya perlu dilatih supaya dapat menjadi haiwan jinak untuk tugas-tugas terhadap manusia. Begitu juga dengan beruk, sejenis haiwan yang sering digunakan oleh manusia untuk memetik kelapa, petai dan segala buah-buahan yang pokoknya agak besar dan tinggi atau yang tumbuhnya di kawasan bukit.

Membicarakan tentang haiwan beruk ini, beruk juga perlu dilatih untuk kegunaan manusia. Ini kerana, jika haiwan berkenaan tidak dilatih, haiwan berkenaan hanya tahu melakukannya menurut kemahiran haiwan itu semata-mata tetapi manusia tidak akan dapat khidmat yang diinginkan jika haiwan itu tidak dilatih.

Seorang pelatih beruk, Mohd. Noor Daud atau Pakcu Mohd. Noor, 71, dari Kampung Machang Gochoh, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin tidak menolak bahawa, beruk juga perlu dilatih jika ingin digunakan terhadap keperluan manusia seperti untuk memetik buah kelapa dan petai.

Menceritakan tentang minatnya sebagai pelatih beruk itu, dia pada mulanya bekerja di Singapura. Setelah jemu bekerja disebabkan sentiasa berjauhan dari keluarga di sana, beliau pulang ke kampung halamannya semula. Ketika di kampung halamannya, dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan yang membolehkannya untuk menyara keluarga walaupun sekadar bekerja kampung. Jadi, isterinya yang berhasrat berniaga secara kecil-kecilan terlalu sukar kerana salah satunya mengharapkan adanya kelapa.

Melihat keadaan yang mendesak itu, beliau mula mencari beberapa ekor beruk yang telah mahir memanjat kelapa. Sejak itu, beliau menggunakan khidmat haiwan itu untuk menurunkan buah kelapa. Nak dijadikan cerita pada tahun 2000 itu, beliau ke rumah seorang pelatih beruk, Awang Ishak  yang agak mahir di Kampung Cabang Tiga Berangan, Tumpat, Kelantan. Dari situlah beliau mula mempelajari tentang sifat beruk dan cara melatih beruk secara sempurna.

Setelah memperolehi serba sedikit ilmu yang diperolehi dari gurunya itu, dia mencuba melatih seekor beruk yang kebetulan dibawa oleh seorang pemilik beruk yang meminta beliau melatihnya supaya mahir sebagaimana yang dikehendaki oleh tuannya. Sejak itulah, beliau melatih beruk itu menurut ilmu dan kemahiran yang diperolehinya dari gurunya itu. Namun, secara merendah diri, beliau bukanlah mahir kesemuanya tetapi sekadar melatih menjadi seekor beruk beliau mampu melakukannya.

Alhamdulillah, dengan kehendak Allah, seekor beruk yang dilatihnya itu berhasil dan haiwan itu kemudiannya menjadi begitu mahir berkat cara dan kaedah latihan yang diberikannya selama seminggu itu.

“Melatih beruk ni perlu tahu cara dan kaedahnya saja. Pakcu bermula dengan teknik menyentuh haiwan itu.

“Teknik ini adalah untuk mengenali haiwan itu, adakah haiwan itu ada perangai atau boleh dijadikan haiwan pekerja (menurut kehendak tuannya) atau bagaimana”, ujar Pakcu Noor yang mula melatih beruk tersebut pada tahun 2000 itu.

Setelah mengetahui sifat dan tabiat haiwan itu, dia cuba mengumpan dengan buah-buahan, haiwan itu cuba berpaling ke belakang. Katanya, kalau perangai haiwan seperti ini melatihnya amat susah. Namun, sebagai pelatih dia kena bersabar. Dicuba kali kedua, ketiga dan keempat dan apabila sudah banyak kali haiwan itu melihat situasi itu, haiwan berkenaan sudah mula jinak. Apabila sudah pasti haiwan berkenaan sudah makan pujuk, ketika itulah dia akan cuba di pokok kelapa pula.

Walaupun begitu menurutnya, ketika haiwan berkenaan ditunjukkan kepada sebatang pokok kelapa kemudian meminta haiwan berkenaan memanjatnya, memang sifat haiwan terbabit akan menunjukkan sifatnya seperti malas dan suka mempermainkan gurunya sendiri. Haiwan berkenaan akan bertenggek di bawah pohon kelapa dan enggan memanjatnya. Tetapi beliau sebagai pelatih harus bersabar dengan tabiat beruk itu.

Namun menurutnya, melatih beruk pada waktu siang hari (pagi atau petang) memang agak sukar, sebab itu dia lebih gemarkan melatihnya pada waktu malam. Apabila ditanya, kenapa perlu melatih beruk pada waktu malam? Dia menjelaskan, apabila haiwan itu dilatih pada waktu siang hari, mata haiwan itu akan melihat dan melilau ke serata arah, jadi haiwan itu tidak akan dapat memberikan tumpuan terhadap kerjanya. Jika dilatih pada waktu malam, mata haiwan itu tidak akan meliar ke arah lain sebab haiwan itu hanya nampak gelap saja, jadi apabila ditunjukkan ke arah objek berkenaan haiwan itu akan terus memegang dan menyudahkan kerja-kerjanya.

Lazimnya, menurut Pakcu Noor, sesetengah haiwan itu akan cepat mahir walaupun dengan didikan empat malam sahaja. Namun, bagi sesetengah pula tidak begitu berperanan dan kita sebagai pelatih perlu bersabar untuk melatihnya beberapa malam lagi sehingga haiwan itu mahir dan mampu melakukannya sebagaimana kehendak kita. Dalam hal ini katanya, terdapat haiwan itu yang terpaksa dilatih selama sebulan lamanya baharulah haiwan itu mahir sepenuhnya.

Menurutnya, untuk melihat sifat beruk yang rajin perlu dilihat kepada bulu jalur di atas kedua-dua bahu haiwan itu. Kadang-kadang menurutnya terdapat di antara dua atau tiga jalur yang dapat kita lihat dan teliti di atas belakang atau bahu haiwan terbabit. Walau bagaimanapun menurut Pakcu Noor, jika haiwan telah berusia juga akan menyebabkan sikap haiwan itu boleh mendatangkan masalah kepada tuannya. Katanya, jika kita berhasrat untuk membeli haiwan itu dan mengetahui sifat haiwan itu seumpamanya, dia menyarankan tak perlulah terburu-buru membeli beruk itu kerana akan menyusahkan tuannya nanti.

Kata Pakcu Noor lagi, sifat beruk seperti ini memang banyak. Kadang-kadang ada haiwan itu yang rajin panjat pokok kelapa, tetapi apabila hanya memetik sebiji buah kelapa haiwan itu terus bergegas turun dan enggan memanjatnya lagi.

“Jika ditanya tentang sebab apa, apa yang dapat Pakcu katakan ialah sifat haiwan yang pemalas seumpama di kalangan sebahagian manusia juga, ada yang rajin dan ada juga yang paling pemalas”, katanya.

Malah katanya, terdapat juga yang pernah dilatihnya, seekor beruk yang begitu rajin berkhidmat terhadap tuannya, apabila diarahkan beruk itu turun kerana kerja-kerja memetik buah kelapa telah selesai, beruk itu enggan turun, apabila disanggah talinya, beruk itu terus ingin memetik buah kelapa itu lagi. Ini adalah jenis haiwan (beruk) yang terlalu rajin.

Beruk tidak dinilai perlu dilatih sama ada beruk jantan atau betina. Kerana jantina tidak boleh dijadikan alasan menjadikan beruk itu sesuai atau tidak untuk berkhidmat kepada tuannya. Misalnya, dia sendiri banyak melatih beruk betina berbanding beruk jantan.

Ditanya apakah usia yang sesuai bagi beruk untuk bekerja memetik buah kelapa. Katanya, jika beruk itu berusia tiga tahun sudah membolehkan haiwan itu memanjat dan bekerja untuk memetik buah kelapa.

Lazimnya beliau sebagai pelatih beruk, kebanyakan tuan asal beruk itu akan datang tinggal dan dia sebagai pelatih akan melatih beruk itu sehingga mahir dan apabila didapati mahir, biasanya dalam tempoh dua minggu, beliau akan menghubungi tuannya untuk menyerahkan haiwan itu kepada tuannya masing-masing. Kadang-kadang dalam tempoh seminggu pun, haiwan itu akan dimaklumkan kepada tuannya untuk datang mengambilnya kerana sudah pandai buat kerja.

Katanya, upah yang diperolehinya sebagai pelatih haiwan itu adalah kira-kira RM200 bagi seekor beruk. Pendapatan upah yang diperolehinya itu adalah menanggung makan haiwan itu yang ditambat di hadapan rumahnya itu sebagai penginapan haiwan tersebut.

“Setakat ini, kira-kira 50 ekor beruk yang berjaya Pakcu latih dan kesemua haiwan itu menjadi mahir berkat sabar melihat sifat seekor beruk yang kadang-kadang memerlukan kesabaran seorang pelatih”, ujar Pakcu Noor.    

Katanya menambah, semenjak mengetahui beliau begitu mahir melatih haiwan itu dari beberapa orang pernah dilakukannya, semakin banyak pula haiwan itu dibawakan ke rumahnya untuk dilatih. Kadang-kadang katanya, dalam sehari terdapat kira-kira dua hingga tiga beruk yang dibawa oleh tuan beruk yang meminta beliau melatihnya. Namun, kadang-kadang dia terpaksa menolaknya kerana tidak mungkin dapat memberikan perhatian terhadap haiwan itu secara serentak.

“Sekarang ini, disebabkan terlalu banyak haiwan itu yang perlu dilatih, tiba-tiba Pakcu berasa mula menjadi jemu tidak sebagaimana dulu”, katanya.

“Setakat pengalaman melatih beberapa ekor beruk itu, Pakcu sering perhatikan, apabila tiba waktu malam, kesemua haiwan itu sunyi, mungkin alah pada waktu malam. Tetapi apabila tiba waktu siang hari, haiwan itu terus membuat bising”, ujarnya sambil ketawa.

Pernah terjadi suatu hari, dia membongkok untuk membuang ranting kayu yang patah dan gugur di halaman rumahnya, apabila haiwan itu melihat gelagatnya itu, haiwan itu tiba-tiba bertempik dengan kuat kononnya bagi pandangan haiwan itu seolah-olah beliau akan membelasah beruk terbabit.

Ditanya tentang sesetengah beruk yang menangkap dan memakan haiwan ternakan seperti ayam. Beliau menjelaskan, beruk seperti itu ada tanda tertentu, kelihatannya berceloreng di bahagian hadapan (mukanya iaitu bahagian hidung haiwan itu). Selain itu, muka haiwan berkenaan yang berkeadaan kering. Kalaulah ada tanda-tanda seperti ini, haiwan berkenaan tidak boleh dipercayai kerana ternakan seperti ayam dan kucing peliharaan akan menjadi mangsa.

Sementara, bagi beruk yang boleh dilatih, rajin dan mudah menurut kata tuan ialah kita perlu melihat kepada ekornya. Kalau ekornya pendek, jarinya pendek, mukanya pendek serta tubuhnya pendek, haiwan yang mempunyai tanda-tanda ini mudah dilatih dan rajin berkhidmat kepada tuannya. Sebaliknya, jika haiwan berkenaan berlawanan, tentunya menyusahkan pelatih dan tuannya nanti, apatah lagi pemalas pula.

Apabila ditanya pula tentang sifat sesetengah beruk yang apabila memanjat pokok kelapa, beruk berkenaan makan di atas pokok itu. Beliau menjelaskan, itu berdasarkan ajaran pelatih dan tuannya sendiri. Jika beruk berkenaan bersifat berkenaan, tuannya sendiri tidak pernah memarahi sebaliknya membiarkannya, tentunya menjadi tabiat beruk itu akan sentiasa melakukannya kerana tiada larangan (menjadi bebas).

Pakcu Noor menambah, lazim menurutnya, beruk hanya mengenali pokok dan buah kelapa semata-mata tetapi apabila disuakan dengan pokok lain, beruk tidak mengetahui dan memahaminya. Melihatkan keadaan itu, untuk memahirkan beruk itu mengenali pokok yang diminta untuk dipanjat, kita perlu letak dan gantung buah petai itu di pokok. Apabila beruk itu melihat buah petai itu, beruk akan dapat mengenali buah apa.

“Dalam hal, setelah beruk itu mengetahui buah-buahan, bukan sahaja petai, jering dan kerdas pun beruk akan mula kenal dan faham, buah apa yang ingin dipetik”, katanya.

Apabila ditanya tentang sesetengah tuan beruk yang sering memberikan upah sebiji buah kelapa setelah beruk itu menyelesaikan kerja-kerjanya memetik buah kelapa. Beliau menjelaskan, sebenarnya beruk tidak perlu diberikan upah sebagaimana yang dimaksudkan. Tetapi berdasarkan kepada tabiat tuan yang buat begitu, terpaksalah setiap kali selesai kerja, beruk perlu diberikan upah makanan sebagai sifat mengasihani haiwan yang penat bekerja.

Katanya, jika melihat kepada beruk yang rajin, lazimnya apabila diminta untuk memetik buah kelapa, dalam masa sekejap sahaja 400 biji buah kelapa dapat digugurkan. Tetapi bagi beruk pemalas pula, paling banyak adalah antara 20 hingga 30 biji haiwan itu terus mendiamkan diri dan tidak lagi memberikan khidmat kepada tuannya. Beza antara beruk jantan pemalas dan beruk jantan yang rajin.

Selain itu katanya, beruk betina juga jika dilatih bersungguh-sungguh, beruk ini juga berjaya memetik buah kelapa dan paling tidak sehingga 300 biji kelapa dapat dipetik. Buktinya, ketika beliau mempelajari kaedah melatih beruk di rumah gurunya, Awang Ishak di Kampung Cabang Tiga Berangan, Tumpat gurunya pernah memberitahu seekor beruk betina itu mampu menggugurkan sehingga 300 biji buah kelapa jika terdapat banyak buah kelapa yang perlu dipetik.

“Pakcu membeli beruk itu dengan harga RM500 dan menjualnya dengan harga lebih RM1,000 kerana kampung ini tiada buah kelapa untuk dipetik.

“Kebanyakan buah kelapa yang dapat digugurkan adalah sekitar 100 biji saja berbanding di tempat-tempat atau kawasan pokok kelapa yang banyak. Jadi, tidak perlulah khidmat beruk itu lagi”, ujarnya.

Katanya, tiada tuan atau pemilik beruk yang memelihara beruk untuk tujuan memetik buah kelapa di Kampung Machang Gochoh. Tetapi terdapat seorang pemilik beruk betina di kampung berjiran yang memelihara beruk untuk tujuan berkenaan bernama Jusoh yang menetap berdekatan dengan sungai di kampung bersebelahan.

Katanya, beruk juga perlu diberikan makanan dan air yang sceukupnya. Makanan haiwan itu tidaklah mahal sekadar antara telur yang digaulkan dengan nasi. Tujuannya adalah untuk mencergaskan haiwan itu. 

Mohd. Noor bin Daud atau Pakcu Mohd. Noor.

Pakcu Noor ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.





Antara haiwan (beruk) yang dalam proses dilatih, ditambat di hadapan rumahnya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan