RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 30 April 2016

Hobi Jual Burung


HOBI JUAL BURUNG

PASIR MAS, KELANTAN: Burung bukan saja haiwan peliharaan yang menjadi minat di kalangan sesetengah manusia sama ada untuk dijadikan hiasan dalam rumah, mendengar suara dan melihat keletah burung itu malah ada juga yang meminati burung itu atas dasar sesuatu peraduan dan pertandingan, sama ada pertandingan suara burung dan burung cantik.

Begitu halnya kejadian burung sebagai penyeri alam, walaupun ia sejenis haiwan yang boleh terbang ke mana saja, namun di kalangan manusia, kecantikan sesuatu jenis burung itu juga turut menjadi tarikan peminat burung malah mereka sanggup mengeluarkan belanja yang mahal semata-mata untuk memiliki burung yang cantik apatah lagi terdapat juga di kalangan manusia yang hobinya menjual burung.

Sebagaimana minat dan hobinya menjual burung, Muslimin Abd. Ghani atau Mie, 45, dari Kampung Wakaf Merah, Tendong, Pasir Mas, Kelantan mengakui bahawa beliau amat terlalu minat terhadap haiwan-haiwan jinak sejak asal lagi (zaman remaja) yang meneruskan cita-cita dan hobinya itu diterjemahkannya sebagaimana sekarang ini sebagai “penjual burung”

Muslimin yang ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh berkata, kedai burungnya itu mula beroperasi secara rasmi sejak dua tahun lepas (tahun 2013).

“Walau nampak kecil, tetapi modal permulaan untuk membuka kedai burung seperti sekarang ini memerlukan kos yang agak besar iaitu kira-kira RM10,000.

“Modal ini termasuklah untuk membeli peralatan berkaitan seperti makanan burung, peralatan asas lain (sarang burung), bekas lain dan sebagainya”, ujarnya.

Lazim menurut Muslimin, kebanyakan pembeli burung akan datang ke kedainya untuk membeli burung yang diminati. Burung di kedainya itu bukan sahaja turut dibeli oleh peminat burung tempatan tetapi ada juga dari luar Kelantan seperti dari Perak dan lain-lain tempat. Biasanya burung yang dibeli sebagai hiasan di rumah dan ada juga yang memasuki pertandingan.

Katanya, di antara burung yang dijual di kedainya seperti ketitir, merpati, serindit dan lain-lain lagi. Haiwan lain seperti itik, angsa, arnab yang mudah diletakkan di dalam sangkar turut dijual kerana kebanyakan peminat yang pelbagai ragam tidak semestinya datang ke kedainya semata-mata untuk membeli burung, namun ada juga yang membeli haiwan lain. Justeru, terpaksalah beliau mempelbagaikan jualan haiwan bukan sahaja meliputi burung tetapi juga haiwan-haiwan ternak dan haiwan ternak.

Katanya, burung yang dijual di hadapan kedainya itu adalah burung biasa (kecil) yang dijual dengan harga sekitar antara RM50 hingga RM70. Manakala burung-burung yang diletakkan di bahagian dalam kedainya itu, harganya mencecah di antara RM200 hingga RM300. Bagi peminat tegar, pastinya akan memilih burung yang agak baik, cantik, sempurna yang harganya agak mahal dari burung biasa.

“Berat makanan burung bagi satu kampit adalah seberat 20 kg. Saya menjual makanan burung bagi sekilo adalah kira-kira RM2.

“Permintaan terhadap makanan burung agak menggalakkan kerana kebanyakan penduduk di Kelantan memelihara burung sebagai hobi mereka di masa lapang.

“Kebanyakan makanan burung didatangkan dari kilang seperti dedak dan makanan yang diproses dari jagung” ujar Muslimin lagi.

Makanan burung itu tidak terhadap kepada spesis burung semata-mata, namun makanan seumpama itu amat sesuai diberikan kepada ayam ternakan kerana cara buatannya agak sama iaitu dedak dan dibuat dari jagung yang dikisar.

Membicarakan tentang pelanggan pula ada dua kategori. Lazimnya, pelanggan tetap melebihi 30 orang. Pelanggan seperti ini menurutnya begitu peka dengan bentuk fizikal sesuatu jenus burung itu. Mereka ini dianggap peminat tegar burung kerana itu juga sebahagian dari hobi mereka. Manakala bagi pelanggan lain pula katanya, dalam sebulan kira-kira 70 pelanggan akan datang ke kedainya sama ada untuk mendapatkan burung yang diminati mahupun untuk membeli makanan.

“Sejak awal pembabitan saya dengan menjual burung sehingga hari ini, secara puratanya melebihi 2,000 orang. Saya tidak membuat penjumlahan sebenar tetapi sekadar apa yang saya lihat pembeli-pembeli itu datang ke kedai ini”, katanya.

Kebanyakan pelanggannya adalah terdiri daripada jiran-jirannya malah penduduk sekitar Kampung Wakaf Merah yang merupakan peminat tegar burung. Lazimnya, kebanyakan pembeli burung sekarang dia akan melihat burung baharu berbanding burung yang telah lama terperap dalam sangkar di kedainya.

Apabila diketahui burung baharu telah sampai di kedainya, ramailah pembeli burung akan datang untuk memilih dan membeli burung menurut citarasa peminat-peminat berkenaan. Burung paling tersohor tercatat dalam senarai pembeli burung yang paling ramai burung ketitir.

Kebanyakan peminat burung ketitir suka kepada burung yang baharu sampai mereka akan berpandukan kepada suara ketitir itu, biasanya jika suaranya menarik mereka akan membelinya berbanding dengan burung ketitir lama. Keadaan ini menurutnya, mungkin ada di antaranya yang memasuki pertandingan burung ketitir atau sesetengah di kalangan pembeli itu yang minat kepada suara burung ketitir itu semata-mata sebagai hobi di masa lapang.

Selain pembeli tempatan, terdapat ramai juga pembeli dari luar Kampung Wakaf Merah itu seperti dari Kota Bharu, Terengganu dan Perak. Katanya, kebanyakan pembeli burung dari luar kampungnya mengetahui beliau adalah penjual burung melalui perbualan lisan (mulut ke mulut) di kalangan rakan-rakan mereka sendiri. Apabila seorang rakan mereka menjadi pembeli, pembeli berkenaan akan memaklumkannya kepada rakan-rakannya yang lain pula.

Ditanya pula tentang promosi burung yang ada di kedainya, katanya, dia tidak pernah mempromosikan jualan burung ke mana-mana media sama ada media cetak, elektronik mahupun media sosial dan blog, tetapi sekadar menjualnya secara terbuka. Sesiapa yang berminat dan peminat burung pastinya akan mengetahui mana-mana tempat yang paling murah, burung yang menarik dan puas hati apabila membelinya.

Kepada peminat burung, Muslimin Abd. Ghani (Mie) boleh dihubungi di talian:
017-9325627

Muslimin Abd. Ghani atau Mie.

 Muslimin ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kedai burung miliknya.

Salah seorang pekerjanya sentiasa memberikan perhatian terutamanya makan dan minum burung-burung yang ada dalam sangkar itu.


 



Sebahagian burung dan haiwan peliharaan lain turut dijual di kedainya.



Bukan hurung sahaja, pelbagai jenis dan corak sarang burung turut dijual.



Antara makanan burung dan haiwan peliharaan lain.


Pekerjanya sibuk melayani pelanggan yang membeli makanan burung.

Gambar kenangan di hadapan kedai burungnya.

Inilah wajah kedai burungnya yang beroperasi sejak tahun 2013.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 20 April 2016

Ternakan Ikan Patin Maksu


TERNAKAN IKAN PATIN MAKSU

TANAH MERAH, KELANTAN: Menternak ikan lazimnya diusahakan oleh kebanyakan penternak sama ada ikan keli ataupun patin dilakukan secara bersungguh-sungguh dalam usaha untuk mendapatkan pendapatan yang sepatutnya. Namun, tidak kurang juga yang menternaknya sekadar sebagai hiburan ataupun sekadar melepaskan rasa sunyi tinggal bersendirian di rumah.

Hal berkenaan memang diakui sendiri oleh penternak yang dimaksudkan, Zaharah Mat atau Maksu, 75, dari Lorong Selasih, Kampung Chat Rimau, Tanah Merah, Kelantan.

“Maksu ternak ikan patin bukan nak dapat untung, tapi untuk hiburkan hati sambil hilangkan rasa sunyi”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.

Menurut Zaharah, dia mula menternak ikan patin dalam dua buah kolam itu pada tahun 2013 lalu. Pada ketika itu, dia melepaskan benih ikan patin dalam kolam itu berjumlah 2,000 ekor dan setiap sebuah kolam menempatkan kira-kira 1,000 ekor benih ikan patin.

“Modal untuk membeli 2,000 benih ikan patin itu tak banyak, kira-kira RM200 sahaja. Maksu beli dari pengusaha ikan di Danau To’ Uban, Pasir Mas”, ujarnya.

Katanya, kebanyakan ikan patin itu kini sudah dalam peringkat matang dan boleh dipungut untuk dijual. Setakat ini, kira-kira 300 ekor ikan patin yang mencapai tahap matang berusia enam bulan telah dijual kepada penggemar ikan berkenaan. Harga bagi sekilo ikan patin dijualnya dengan harga RM8. Umur ikan patin yang mula dijualnya dipastikan apabila telah berusia 6 bulan yang beratnya kira-kira sekilo.

Membicarakan tentang pasaran ikan patin itu, katanya dia tidak menjual ikan-ikan berkenaan kepada pemborong di luar kampung itu memandangkan jumlah ikan patin yang diternaknya itu adalah tidak seberapa. Kebanyakan pembelinya adalah terdiri daripada pengusaha kedai makan dan individu serta jiran-jiran terdekat dari kampung itu yang sememangnya penggemar ikan patin itu.

“Daging ikan patin ini berwarna kuning kerana Maksu memberikan dedak ikan sebagai makanan ikan-ikan itu. Dedak ikan ini sebenarnya mempengaruhi warna dan kualiti daging ikan itu”, jelasnya.

Katanya, dia tidak memberikan makanan lain kepada ikan-ikan patinnya itu selain “dedak ikan”. Ini kerana, dia tidak begitu gemarkan makanan-makanan yang tidak sesuai dimakan ikan kerana manusia pula yang akan memakan ikan-ikan itu, memadailah dengan memberikan dedak itu adalah lebih baik.

Ditanya, jika sekadar memberikan dedak ikan tentunya tubuh ikan patin tidak akan membesar begitu cepat. Dia mengakui tentang hal itu, dengan hanya memberikan dedak ikan, tubuh ikan tidaklah begitu membesar atau mengembang sebagaimana sesetengah penternak ikan yang memberikan organ dan usus ayam yang menyebabkan tubuh ikan membesar, lembut dan berlemak pula.

Kaedah memberikan dedak ikan ini dibahagikan masa agar supaya dapat berjimat. Katanya, dedak yang diberikan kepada ikan di kedua-dua kolam itu dalam sebulan adalah sebanyak dua guni iaitu 30 kilo bagi setiap satu guni. Manakala harga bagi seguni dedak itu adalah kira-kira RM43.

“Bagi maksu, rasa daging ikan patin yang diberikan dedak ikan lebih sedap, enak dan lemak manis. Malah jiran-jiran Maksu sendiri yang pernah memakan ikan patin tidak menafikan daging ikan patin tidaklah begitu keras jika diberikan dedak ikan, sebagaimana sesetengah dakwaan kononnya memberikan dedak ikan akan menjadikan daging ikan itu agak keras”, katanya.

Zaharah menambah, sesuai dengan dirinya yang tinggal berseorangan di rumah itu, ikan patinlah sebagai penghiburnya. Dia suka melihat ikan yang sentiasa berebut-rebut antara satu sama lain apabila tiba masa beliau memberikan makanan. Kelihatan air dalam kolam itu akan berolak dan kadang-kadang terpercik ke muka untuk menunjukkan ikan-ikan berkenaan sihat menetap dalam kolam seperti itu walaupun airnya tidak pernah bertukar ganti.

“Ketika memungut hasil ketika itu usia ikan-ikan patin itu adalah kira-kira enam bulan. Kini usia ikan patin yang masih ada dalam kolam Maksu ini telah berusia dua tahun.

“Maksu tidak pernah kira atau buat anggaran tentang baki ikan patin itu. Ini kerana, apabila ikan-ikan patin itu telah sampai usia tertentu, ikan-ikan ini akan bertelur dan menetaskan anak”, katanya.

Apabila tentang kelaziman wanita memasak ikan patin, beliau menjelaskan, kebanyakan wanita sepertinya akan memasak ikan patin dengan masakan “asam pedas” kerana masakan ini lebih enak menyelerakan.

Zaharah binti Mat atau Maksu

Zaharah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah kolam yang menempatkan kira-kira 2,000 ekor ikan patin yang kini berbaki 300 ekor.




Ikan patin malu rupanya. Terpaksalah Wartawan RELATIF memanggilnya, lalu timbul di permukaan kolam.

Lorong Selasih, laluan masuk ke kediaman Zaharah Mat.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 10 April 2016

Kg. Mata Air (Machang)


KG. MATA AIR
(MACHANG)

MACHANG, KELANTAN: Lazimnya, kebanyakan kampung pada masa dulu diberikan nama berdasarkan kepada keadaan atau sesuatu tempat, berdasarkan peristiwa, ataupun bersabitkan dengan objek seperti kayu, pokok, batu, air dan sebagainya. Misalnya penggunaan istilah “air” untuk menamakan sesebuah kampung seperti Kampung Air Dingin (Tumpat) dan Kampung Air Ralik (Jeli). Tetapi terdapat juga nama kampung berdasarkan kepada mata air seperti Kampung Mata Air, Machang.

Pada masa dulu perkataan “air” dieja sebagai “ayer”. Pada ketika itu nama kampung berkenaan ialah Kampung Mata Ayer yang letaknya di Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Kini, perkataan dan istilah “ayer” itu telah ditukar kepada “air” sebagai merealisasikan penggunaan ejaan baku baru.

Menceritakan serba sedikit tentang sejarah dan asal usul Kampung Mata Air ini, Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh sempat menemui seorang warga emas yang merupakan penduduk asal kampung berkenaan, Mamat bin Daud, 86, atau lebih mesra dengan panggilan Paksu Mat.

“Asal nama Kampung Mata Air adalah dari pancutan mata air. Mata air ini wujud sejak dulu lagi. Paksu pun tidak pasti air itu mengalir dari mana.

“Paksu ada dengar orang bercerita, air itu mengalir dari bukit dan bukannya mata air asal dari bumi”, jelasnya tentang asal usul mata air itu sehingga dinamakan Kampung Mata Air.

Katanya lagi, aliran mata air itu tidak ada kaitan dengan sistem perparitan, tetapi hakikat menurutnya tidak ada sistem perparitan di kawasan itu. Air mata air itu adalah sejak azali lagi dan bukan buatan manusia.

Ditanya, siapakah yang bekerja keras menamakan kampung berkenaan menjadi Kampung Mata Air. Menurutnya, orang yang terlibat menamakan kampung adalah Tok Sepupunya, Pak Ngah Soh yang berasal dari Kampung Pulau Seratus, Tumpat.

Tambahnya, Tok Sepupunya datang ke kampung berkenaan yang pada ketika itu masih dipenuhi hutan tebal. Ketika kedatangannya ketika itu, pernah berlaku kejadian ribut yang agak kuat dan apabila ditanya tahun berapakah kejadian itu, dia tidak dapat mengingatinya kerana peristiwa itu sudah agak lama berlaku. Menurutnya, Pak Ngah Soh yang bertanggungjawab meneroka sehingga Kampung Mata Air wujud.

Kesusahan dan kesukaran meneroka kampung berkenaan menurut Paksu Mat diceritakan oleh Pak Ngah Soh kepadanya. Katanya, Pak Ngah Soh datang meneroka Kampung Mata Air hanya menggunakan batang karak api (unggunan api) sekadar sebagai menyuluh supaya suasana sekitar berkeadaan terang dan kalau ada haiwan buas tentunya akan lari melihat ungunan api itu.

Namun, menurut Paksu Mat, bukan Pak Ngah Soh saja yang meneroka kampung itu tetapi turut sama adalah seramai 12 orang kesemuanya yang menjadi orang hebat untuk meneroka dan merasmikan nama kampung pada ketika itu.

Persekitaran Kg. Mata Air pada masa dulu berkeadaan hutan tebal lagi. Ketika kampung berkenaan dibuka dan diteroka, lazimnya setiap peneroka akan membina bangsal (rumah penginapan sementara) untuk dijadikan tempat berteduh dalam hutan tersebut.

“Bangsal sebagaimana yang paksu maksudkan adalah berdekatan dengan Balai Polis yang ada sekarang” jelas Paksu Mat.

Menceritakan tentang gambaran dan keadaan pancuran mata air ketika itu dia menjelaskan, pada masa dulu, pancutan mata air agak cantik dan ramai di kalangan penduduk kampung sama ada lelaki dan wanita, remaja dan orang dewasa akan mandi- manda di situ kerana airnya bersih bukan sahaja sesuai untuk mencuci pakaian, mandi-manda tetapi juga boleh diminum terus.

Walau bagaimanapun, selepas itu pancuran mata air itu berkenaan terbiar dipenuhi semak-samun. Namun, mata air itu tetap wujud apabila disambungkan dengan batang buluh, mata air itu terus mengalir ke alur dan sungai berdekatan.

“Mata air tersebut tidak pernah kering walaupun di musim kemarau panjang sementelah pula apabila musim hujan, aliran mata air semakin melimpah dan terus mengalir ke sungai”, tambah Paksu Mat.

Selain itu, keadaan pancutan mata air itu pada masa dulu agak tinggi berbanding dengan sekarang. Tetapi disebabkan dibiarkan dan terbiar tidak dijaga menyebabkan mata air berkeadaan seperti itu. Apatah lagi, sebahagian tebing mata air itu telahpun runtuh menjadikan kawasan berkenaan berkeadaan sempit tidak sebagaimana dulu.

Ditanya, tiadakah usaha untuk menjadikan sebuah kolam menarik di kawasan itu. Katanya, pada suatu masa sudah ada pihak dari Kuala Lumpur yang ingin membeli kawasan itu untuk dijadikan air mineral, namun Paksu Mat menolak hasrat tersebut kerana bimbang bakal mendatangkan masalah kepada remaja-remaja dan penduduk di kampung terbabit.

“Jumlah penduduk kampung ini pada masa sekarang tidak lebih dari seribu orang”, jelasnya apabila ditanya tentang jumlah penduduk Kampung Mata Air terkini.

Membicarakan tentang kehidupan dan mata pencarian penduduk Kampung Mata Air pada masa itu adalah menanam padi dan bercucuk-tanam. Tetapi kini, kebanyakan penduduk kampung berkenaan bertukar kepada tanaman getah pula walaupun sebahagiannya masih lagi mengamalkan pertanian kampung yang lain.

Selain itu menurut Paksu Mat, di antara amalan menanam padi dengan menoreh getah, menanam padi memberikan pulangan pendapatan yang lebih kepada setiap petani dan keluarga. Ini kerana, dengan menanam padi setiap keluarga dapat menikmati hasil beras dengan tidak perlu membeli. Sementara, jika berlaku lebihan beras, hasil berkenaan boleh dijual untuk menambah pendapatan keluarga. Namun, kebanyakan penduduk Kampung Mata Air tidak pernah menjualnya selain sebagai makanan ruji untuk keluarga.

“Tanaman getah tidak membuahkan hasil, hanya padi juga yang memberikan pulangan dan semua keluarga dapat menikmatinya sebagai makanan atau untuk dijual.

“Tanaman lain seperti kelapa dan pisang masih lagi diamalkan oleh kebanyakan penduduk Kampung Mata Air ini”, jelasnya.

Ditanya tentang kakitangan pejabat sama ada kerajaan dan swasta di Kampung Mata Air, beliau menjelaskan tiada kakitangan yang dimaksudkan di kampung berkenaan. Berbanding di zaman British ramai di kalangan penduduk kampung berkenaan sebagai pekerja pejabat ketika Malaya di bawah British. Tetapi kehidupan penduduk di Kampung Mata Air sekarang adalah dalam kategori pekerja kampung sahaja.

Tentang pembinaan sekolah pula menurutnya, ketika zaman beliau, sekolah pada masa itu masih belum wujud berbanding dengan sekarang. Katanya, arwah Cikgu Mat yang berasal dari Perak yang telah membuka sekolah di Pulai Chondong, dapatlah anak-anak kampung berdekatan menuntut ilmu di sekolah itu.

Sementara Tok Penggawa Mahmud, ketika zaman beliau jawatan Penggawa mula diwujudkan di kampung itu. Pada ketika itu, Tok Penggawa dikenali sebagai “Tok Kuan”. Jawatan Tok Penggawa ini mula diperkenalkan adalah ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu yang memansuhkan Tok Kuan selepas itu.

Mamat bin Daud atau Paksu Mat.

Paksu Mat ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Wartawan RELATIF dibawa oleh anak sulong Paksu Mat, Mohd Zainuddin (Din) ke tempat mata air itu.


Mohd. Zainuddin (Din) menunjukkan mata air yang dimaksudkan.


Inilah mata air yang dimaksudkan.


Wartawan RELATIF ditunjukkan suatu tempat lagi wujudnya mata air di Kampung Mata Air.

Bergambar kenangan. 

Papan tanda Kampung Mata Air, dulunya Kampung Mata Ayer.

 Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 1 April 2016

Rezeki Dari Tanah


REZEKI DARI TANAH

KOTA BHARU, KELANTAN: Orang yang berjasa dan sentiasa berbakti kepada tanah dengan cara bercucuk-tanam pastinya akan mendapat rahmat, berkat dan rezeki yang terbaik atas hasil usaha yang dilakukannya. Ini kerana, untuk menabur bakti kepada tanah bukanlah sesuatu yang mudah bahkan memerlukan tenaga yang sebaiknya, usaha, minat dan penuh sabar. Mungkin ketika permulaan mengusahakannya, pastinya akan berasa kepenatan, namun lama-kelamaan kepenatan itu akan terubat jua apabila memperolehi hasilnya.

Seorang petani yang merupakan pesara tentera, Zakaria bin Ahmad atau lebih dikenali Abe Ya, 64, yang menetap di Kampung Kuala Kemubu, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan sejak 1994 ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh berkata, keluasan tanah yang diusahakannya dengan pelbagai jenis tanaman seperti pisang, kelapa,  tebu, durian, nenas, cili, ubi dan serai itu adalah berkeluasan 27 ekar yang dipawahkan untuk tanaman padi pada permulaannya sememangnya tidak berjaya.

“Kos yang dikeluarkan untuk tanaman padi agak terlalu banyak, namun perolehan pendapatan agak mengecewakan. Saya hanya dapat RM64 dalam tempoh empat bulan.

“Jadi tanaman padi terpaksa dihentikan. Saya berpendapat, mungkin tanah ini tidak sesuai untuk tanaman padi sehingga berkeadaan begitu. Setelah tanaman padi dihentikan, saya mulakan dengan tanaman pisang pula”, ujar Zakaria yang mempunyai 11 anak dan 7 menantu itu.

Ditanya tentang minatnya menanam, dia menjelaskan, disebabkan tanaman padi tidak membuahkan hasil yang barangkali berpunca dari masalah kesesuaian tanah, jadi dia melihat tanah itu agak terbiar tanpa dikerjakan. Jadi, jika menanam sendiri tentunya dia tidak lagi mengeluarkan perbelanjaan semata-mata sedangkan tanaman itu boleh diusahakan. Bahkan menurutnya, jika saudara-mara bertandang ke rumahnya nanti tidaklah mereka pulang dengan tangan kosong, setidak-tidaknya membawa balik buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai buah tangan.

Membicarakan tentang modal pula menurutnya, selepas beliau bersara dari angkatan tentera pada tahun 1993, dia mula menanam kira-kira 10 batang pisang. Ini pun menurutnya setelah meminta buah pandangan dari jiran-jirannya dan orang-orang kampung dan di kalangan penanam-penanam yang berjaya di kampungnya itu. Jadi, menurutnya, modal untuk membeli pokok pisang pada ketika itu adalah kira-kira RM100 saja. Setelah tanaman pisang hidup dengan subur, dia cuba pula dengan tanaman-tanaman lain pula.

Menurut Zakaria, setakat ini jumlah tanaman pisang adalah kira-kira 200 pokok yang asalnya adalah 10 pokok saja disebabkan sering bercambah dan bertunas, kini menjadi 200 pokok. Namun, apabila bah kuning pada bulan Disember 2014 lalu, kira-kira 100 pokok pisangnya mati.

Manakala tebu pula beliau membeli di Kok Lanas, begitu dengan nenas yang dibelinya di kedai dan ditanamnya sehingga kelihatan subur walaupun tanahnya agak keras dan berpasir.

Kesemua tanaman ini ada yang bersilih ganti seperti pisang dan pada ketikanya perlu ditanam baharu. Manakala tebu pula, setelah dipotong, tanaman ini terus bercambah walaupun dalam keadaan musim kemarau.

Zakaria menambah, tanah tempat beliau menanam pelbagai jenis tanaman seperti pisang, tebu, nenas, cili, ubi dan sebagainya memang agak sesuai dengan tanaman berkenaan kecuali padi. Sementara salah seorang jirannya dari luar Kelantan yang turut menyewa rumah dan tanah di situ pula menanam jagung dan didapatinya jagung itu hidup subur jika melihat keadaan tanah seperti itu.

Ketika ditanya tentang perolehan hasil, dia tidak membuat anggaran hasil yang diperolehi tentang tanaman yang telah beliau usahakan. Tetapi dari apa yang diperolehinya dalam tempoh hitung panjang dalam sebulan, dia memperolehi RM100 sebulan dan ini tentunya memberikan pulangan yang baik berbanding dengan padi.

Setelah hasil tanaman diperolehi, selain untuk dijual, beliau turut menghulurkan hasil dari tanah itu kepada kaum kerabatnya yang datang ke kediamannya. Menurutnya, dengan perolehan hasil itu dia berasa lega kerana dengan izin Allah semuanya dianggap menjadi.

Zakaria menambah, ketika permulaan bercucuk-tanam, beliau menggunakan baja kimia berikutan pemberian subsidi daripada pihak Kada yang memperuntukkan kepada pekebun kecil dan penanam sayur kira-kira dua beg dalam tempoh setahun sekali.

Walau bagaimanapun, dia juga turut dibantu oleh kaum kerabatnya yang pernah menanam padi yang turut memberikan baja padi kepadanya, baja tersebut juga sesuai dengan tanam-tanaman sayur-sayuran.

Selain penggunaan baja kimia, dia tidak mengenepikan penggunaan baja tradisional iaitu “baja bakar” yang sememangnya amat subur dan sesuai untuk segala jenis tanam-tanaman yang juga tidak membahayakan alam sekitar.

Zakaria bin Ahmad atau Abe Ya.

Abe Ya ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Tebu, salah satu tanaman kegemaran Abe Ya.


Cili, tanaman yang mudah hidup subur.


Tanaman terawal ditanam oleh Abe Ya.

Nenas.

Serai.

Ubi.


Kelapa.


Kediaman Abe Ya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com
 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH