KG. MATA AIR
(MACHANG)
MACHANG, KELANTAN: Lazimnya,
kebanyakan kampung pada masa dulu diberikan nama berdasarkan kepada keadaan
atau sesuatu tempat, berdasarkan peristiwa, ataupun bersabitkan dengan objek
seperti kayu, pokok, batu, air dan sebagainya. Misalnya penggunaan istilah
“air” untuk menamakan sesebuah kampung seperti Kampung Air Dingin (Tumpat) dan Kampung
Air Ralik (Jeli). Tetapi terdapat juga nama kampung berdasarkan kepada mata air
seperti Kampung Mata Air, Machang.
Pada masa dulu perkataan “air”
dieja sebagai “ayer”. Pada ketika itu nama kampung berkenaan ialah Kampung Mata
Ayer yang letaknya di Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Kini, perkataan dan
istilah “ayer” itu telah ditukar kepada “air” sebagai merealisasikan penggunaan
ejaan baku
baru.
Menceritakan serba sedikit
tentang sejarah dan asal usul Kampung Mata Air ini, Wartawan RELATIF, Azmi
Mohd. Salleh sempat menemui seorang warga
emas yang merupakan penduduk asal kampung berkenaan, Mamat bin Daud, 86, atau
lebih mesra dengan panggilan Paksu Mat.
“Asal nama Kampung Mata Air
adalah dari pancutan mata air. Mata air ini wujud sejak dulu lagi. Paksu pun
tidak pasti air itu mengalir dari mana.
“Paksu ada dengar orang
bercerita, air itu mengalir dari bukit dan bukannya mata air asal dari bumi”,
jelasnya tentang asal usul mata air itu sehingga dinamakan Kampung Mata Air.
Katanya lagi, aliran mata air itu
tidak ada kaitan dengan sistem perparitan, tetapi hakikat menurutnya tidak ada
sistem perparitan di kawasan itu. Air mata air itu adalah sejak azali lagi dan
bukan buatan manusia.
Ditanya, siapakah yang bekerja
keras menamakan kampung berkenaan menjadi Kampung Mata Air. Menurutnya, orang
yang terlibat menamakan kampung adalah Tok Sepupunya, Pak Ngah Soh yang berasal
dari Kampung Pulau Seratus, Tumpat.
Tambahnya, Tok Sepupunya datang
ke kampung berkenaan yang pada ketika itu masih dipenuhi hutan tebal. Ketika
kedatangannya ketika itu, pernah berlaku kejadian ribut yang agak kuat dan
apabila ditanya tahun berapakah kejadian itu, dia tidak dapat mengingatinya
kerana peristiwa itu sudah agak lama berlaku. Menurutnya, Pak Ngah Soh yang bertanggungjawab
meneroka sehingga Kampung Mata Air wujud.
Kesusahan dan kesukaran meneroka
kampung berkenaan menurut Paksu Mat diceritakan oleh Pak Ngah Soh kepadanya.
Katanya, Pak Ngah Soh datang meneroka Kampung Mata Air hanya menggunakan batang
karak api (unggunan api) sekadar sebagai menyuluh supaya suasana sekitar
berkeadaan terang dan kalau ada haiwan buas tentunya akan lari melihat ungunan
api itu.
Namun, menurut Paksu Mat, bukan Pak
Ngah Soh saja yang meneroka kampung itu tetapi turut sama adalah seramai 12
orang kesemuanya yang menjadi orang hebat untuk meneroka dan merasmikan nama
kampung pada ketika itu.
Persekitaran Kg. Mata Air pada
masa dulu berkeadaan hutan tebal lagi. Ketika kampung berkenaan dibuka dan
diteroka, lazimnya setiap peneroka akan membina bangsal (rumah penginapan
sementara) untuk dijadikan tempat berteduh dalam hutan tersebut.
“Bangsal sebagaimana yang paksu
maksudkan adalah berdekatan dengan Balai Polis yang ada sekarang” jelas Paksu
Mat.
Menceritakan tentang gambaran dan
keadaan pancuran mata air ketika itu dia menjelaskan, pada masa dulu, pancutan
mata air agak cantik dan ramai di kalangan penduduk kampung sama ada lelaki dan
wanita, remaja dan orang dewasa akan mandi- manda di situ kerana airnya bersih bukan
sahaja sesuai untuk mencuci pakaian, mandi-manda tetapi juga boleh diminum
terus.
Walau bagaimanapun, selepas itu pancuran
mata air itu berkenaan terbiar dipenuhi semak-samun. Namun, mata air itu tetap
wujud apabila disambungkan dengan batang buluh, mata air itu terus mengalir ke
alur dan sungai berdekatan.
“Mata air tersebut tidak pernah kering
walaupun di musim kemarau panjang sementelah pula apabila musim hujan, aliran
mata air semakin melimpah dan terus mengalir ke sungai”, tambah Paksu Mat.
Selain itu, keadaan pancutan mata
air itu pada masa dulu agak tinggi berbanding dengan sekarang. Tetapi
disebabkan dibiarkan dan terbiar tidak dijaga menyebabkan mata air berkeadaan
seperti itu. Apatah lagi, sebahagian tebing mata air itu telahpun runtuh
menjadikan kawasan berkenaan berkeadaan sempit tidak sebagaimana dulu.
Ditanya, tiadakah usaha untuk
menjadikan sebuah kolam menarik di kawasan itu. Katanya, pada suatu masa sudah
ada pihak dari Kuala Lumpur
yang ingin membeli kawasan itu untuk dijadikan air mineral, namun Paksu Mat
menolak hasrat tersebut kerana bimbang bakal mendatangkan masalah kepada remaja-remaja
dan penduduk di kampung terbabit.
“Jumlah penduduk kampung ini pada
masa sekarang tidak lebih dari seribu orang”, jelasnya apabila ditanya tentang
jumlah penduduk Kampung Mata Air terkini.
Membicarakan tentang kehidupan
dan mata pencarian penduduk Kampung Mata Air pada masa itu adalah menanam padi
dan bercucuk-tanam. Tetapi kini, kebanyakan penduduk kampung berkenaan bertukar
kepada tanaman getah pula walaupun sebahagiannya masih lagi mengamalkan
pertanian kampung yang lain.
Selain itu menurut Paksu Mat, di
antara amalan menanam padi dengan menoreh getah, menanam padi memberikan
pulangan pendapatan yang lebih kepada setiap petani dan keluarga. Ini kerana,
dengan menanam padi setiap keluarga dapat menikmati hasil beras dengan tidak
perlu membeli. Sementara, jika berlaku lebihan beras, hasil berkenaan boleh
dijual untuk menambah pendapatan keluarga. Namun, kebanyakan penduduk Kampung
Mata Air tidak pernah menjualnya selain sebagai makanan ruji untuk keluarga.
“Tanaman getah tidak membuahkan
hasil, hanya padi juga yang memberikan pulangan dan semua keluarga dapat
menikmatinya sebagai makanan atau untuk dijual.
“Tanaman lain seperti kelapa dan
pisang masih lagi diamalkan oleh kebanyakan penduduk Kampung Mata Air ini”,
jelasnya.
Ditanya tentang kakitangan
pejabat sama ada kerajaan dan swasta di Kampung Mata Air, beliau menjelaskan
tiada kakitangan yang dimaksudkan di kampung berkenaan. Berbanding di zaman
British ramai di kalangan penduduk kampung berkenaan sebagai pekerja pejabat ketika
Malaya di bawah British. Tetapi kehidupan
penduduk di Kampung Mata Air sekarang adalah dalam kategori pekerja kampung
sahaja.
Tentang pembinaan sekolah pula
menurutnya, ketika zaman beliau, sekolah pada masa itu masih belum wujud
berbanding dengan sekarang. Katanya, arwah Cikgu Mat yang berasal dari Perak
yang telah membuka sekolah di Pulai Chondong, dapatlah anak-anak kampung
berdekatan menuntut ilmu di sekolah itu.
Sementara Tok Penggawa Mahmud,
ketika zaman beliau jawatan Penggawa mula diwujudkan di kampung itu. Pada
ketika itu, Tok Penggawa dikenali sebagai “Tok Kuan”. Jawatan Tok Penggawa ini mula
diperkenalkan adalah ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu yang
memansuhkan Tok Kuan selepas itu.
Mamat bin Daud atau Paksu Mat.
Paksu Mat ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Wartawan RELATIF dibawa oleh anak sulong Paksu Mat, Mohd Zainuddin (Din) ke tempat mata air itu.
Wartawan RELATIF ditunjukkan suatu tempat lagi wujudnya mata air di Kampung Mata Air.
Bergambar kenangan.
Papan tanda Kampung Mata Air, dulunya Kampung Mata Ayer.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan