REZEKI DARI TANAH
KOTA BHARU, KELANTAN: Orang yang
berjasa dan sentiasa berbakti kepada tanah dengan cara bercucuk-tanam pastinya
akan mendapat rahmat, berkat dan rezeki yang terbaik atas hasil usaha yang
dilakukannya. Ini kerana, untuk menabur bakti kepada tanah bukanlah sesuatu
yang mudah bahkan memerlukan tenaga yang sebaiknya, usaha, minat dan penuh
sabar. Mungkin ketika permulaan mengusahakannya, pastinya akan berasa
kepenatan, namun lama-kelamaan kepenatan itu akan terubat jua apabila memperolehi
hasilnya.
Seorang petani yang merupakan pesara
tentera, Zakaria bin Ahmad atau lebih dikenali Abe Ya, 64, yang menetap di Kampung
Kuala Kemubu, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan sejak 1994 ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh berkata, keluasan
tanah yang diusahakannya dengan pelbagai jenis tanaman seperti pisang,
kelapa, tebu, durian, nenas, cili, ubi
dan serai itu adalah berkeluasan 27 ekar yang dipawahkan untuk tanaman padi
pada permulaannya sememangnya tidak berjaya.
“Kos
yang dikeluarkan untuk tanaman padi agak terlalu banyak, namun perolehan
pendapatan agak mengecewakan. Saya hanya dapat RM64 dalam tempoh empat bulan.
“Jadi tanaman padi terpaksa
dihentikan. Saya berpendapat, mungkin tanah ini tidak sesuai untuk tanaman padi
sehingga berkeadaan begitu. Setelah tanaman padi dihentikan, saya mulakan
dengan tanaman pisang pula”, ujar Zakaria yang mempunyai 11 anak dan 7 menantu
itu.
Ditanya tentang minatnya menanam,
dia menjelaskan, disebabkan tanaman padi tidak membuahkan hasil yang barangkali
berpunca dari masalah kesesuaian tanah, jadi dia melihat tanah itu agak terbiar
tanpa dikerjakan. Jadi, jika menanam sendiri tentunya dia tidak lagi
mengeluarkan perbelanjaan semata-mata sedangkan tanaman itu boleh diusahakan.
Bahkan menurutnya, jika saudara-mara bertandang ke rumahnya nanti tidaklah
mereka pulang dengan tangan kosong, setidak-tidaknya membawa balik buah-buahan
dan sayur-sayuran sebagai buah tangan.
Membicarakan tentang modal pula
menurutnya, selepas beliau bersara dari angkatan tentera pada tahun 1993, dia
mula menanam kira-kira 10 batang pisang. Ini pun menurutnya setelah meminta
buah pandangan dari jiran-jirannya dan orang-orang kampung dan di kalangan
penanam-penanam yang berjaya di kampungnya itu. Jadi, menurutnya, modal untuk
membeli pokok pisang pada ketika itu adalah kira-kira RM100 saja. Setelah
tanaman pisang hidup dengan subur, dia cuba pula dengan tanaman-tanaman
lain pula.
Menurut Zakaria, setakat ini
jumlah tanaman pisang adalah kira-kira 200 pokok yang asalnya adalah 10 pokok
saja disebabkan sering bercambah dan bertunas, kini menjadi 200 pokok. Namun, apabila
bah kuning pada bulan Disember 2014 lalu, kira-kira 100 pokok pisangnya mati.
Manakala tebu pula beliau membeli
di Kok Lanas, begitu dengan nenas yang dibelinya di kedai dan ditanamnya
sehingga kelihatan subur walaupun tanahnya agak keras dan berpasir.
Kesemua tanaman ini ada yang
bersilih ganti seperti pisang dan pada ketikanya perlu ditanam baharu. Manakala
tebu pula, setelah dipotong, tanaman ini terus bercambah walaupun dalam keadaan
musim kemarau.
Zakaria menambah, tanah tempat
beliau menanam pelbagai jenis tanaman seperti pisang, tebu, nenas, cili, ubi
dan sebagainya memang agak sesuai dengan tanaman berkenaan kecuali padi. Sementara
salah seorang jirannya dari luar Kelantan yang turut menyewa rumah dan tanah di
situ pula menanam jagung dan didapatinya jagung itu hidup subur jika melihat
keadaan tanah seperti itu.
Ketika ditanya tentang perolehan
hasil, dia tidak membuat anggaran hasil yang diperolehi tentang tanaman yang
telah beliau usahakan. Tetapi dari apa yang diperolehinya dalam tempoh hitung
panjang dalam sebulan, dia memperolehi RM100 sebulan dan ini tentunya memberikan
pulangan yang baik berbanding dengan padi.
Setelah hasil tanaman diperolehi,
selain untuk dijual, beliau turut menghulurkan hasil dari tanah itu kepada kaum
kerabatnya yang datang ke kediamannya. Menurutnya, dengan perolehan hasil itu
dia berasa lega kerana dengan izin Allah semuanya dianggap menjadi.
Zakaria menambah, ketika
permulaan bercucuk-tanam, beliau menggunakan baja kimia berikutan pemberian subsidi
daripada pihak Kada yang memperuntukkan kepada pekebun kecil dan penanam sayur kira-kira
dua beg dalam tempoh setahun sekali.
Walau bagaimanapun, dia juga
turut dibantu oleh kaum kerabatnya yang pernah menanam padi yang turut
memberikan baja padi kepadanya, baja tersebut juga sesuai dengan tanam-tanaman
sayur-sayuran.
Selain penggunaan baja kimia, dia
tidak mengenepikan penggunaan baja tradisional iaitu “baja bakar” yang
sememangnya amat subur dan sesuai untuk segala jenis tanam-tanaman yang juga
tidak membahayakan alam sekitar.
Zakaria bin Ahmad atau Abe Ya.
Abe Ya ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Kelapa.
Kediaman Abe Ya.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan