RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Rabu, 20 April 2016

Ternakan Ikan Patin Maksu


TERNAKAN IKAN PATIN MAKSU

TANAH MERAH, KELANTAN: Menternak ikan lazimnya diusahakan oleh kebanyakan penternak sama ada ikan keli ataupun patin dilakukan secara bersungguh-sungguh dalam usaha untuk mendapatkan pendapatan yang sepatutnya. Namun, tidak kurang juga yang menternaknya sekadar sebagai hiburan ataupun sekadar melepaskan rasa sunyi tinggal bersendirian di rumah.

Hal berkenaan memang diakui sendiri oleh penternak yang dimaksudkan, Zaharah Mat atau Maksu, 75, dari Lorong Selasih, Kampung Chat Rimau, Tanah Merah, Kelantan.

“Maksu ternak ikan patin bukan nak dapat untung, tapi untuk hiburkan hati sambil hilangkan rasa sunyi”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.

Menurut Zaharah, dia mula menternak ikan patin dalam dua buah kolam itu pada tahun 2013 lalu. Pada ketika itu, dia melepaskan benih ikan patin dalam kolam itu berjumlah 2,000 ekor dan setiap sebuah kolam menempatkan kira-kira 1,000 ekor benih ikan patin.

“Modal untuk membeli 2,000 benih ikan patin itu tak banyak, kira-kira RM200 sahaja. Maksu beli dari pengusaha ikan di Danau To’ Uban, Pasir Mas”, ujarnya.

Katanya, kebanyakan ikan patin itu kini sudah dalam peringkat matang dan boleh dipungut untuk dijual. Setakat ini, kira-kira 300 ekor ikan patin yang mencapai tahap matang berusia enam bulan telah dijual kepada penggemar ikan berkenaan. Harga bagi sekilo ikan patin dijualnya dengan harga RM8. Umur ikan patin yang mula dijualnya dipastikan apabila telah berusia 6 bulan yang beratnya kira-kira sekilo.

Membicarakan tentang pasaran ikan patin itu, katanya dia tidak menjual ikan-ikan berkenaan kepada pemborong di luar kampung itu memandangkan jumlah ikan patin yang diternaknya itu adalah tidak seberapa. Kebanyakan pembelinya adalah terdiri daripada pengusaha kedai makan dan individu serta jiran-jiran terdekat dari kampung itu yang sememangnya penggemar ikan patin itu.

“Daging ikan patin ini berwarna kuning kerana Maksu memberikan dedak ikan sebagai makanan ikan-ikan itu. Dedak ikan ini sebenarnya mempengaruhi warna dan kualiti daging ikan itu”, jelasnya.

Katanya, dia tidak memberikan makanan lain kepada ikan-ikan patinnya itu selain “dedak ikan”. Ini kerana, dia tidak begitu gemarkan makanan-makanan yang tidak sesuai dimakan ikan kerana manusia pula yang akan memakan ikan-ikan itu, memadailah dengan memberikan dedak itu adalah lebih baik.

Ditanya, jika sekadar memberikan dedak ikan tentunya tubuh ikan patin tidak akan membesar begitu cepat. Dia mengakui tentang hal itu, dengan hanya memberikan dedak ikan, tubuh ikan tidaklah begitu membesar atau mengembang sebagaimana sesetengah penternak ikan yang memberikan organ dan usus ayam yang menyebabkan tubuh ikan membesar, lembut dan berlemak pula.

Kaedah memberikan dedak ikan ini dibahagikan masa agar supaya dapat berjimat. Katanya, dedak yang diberikan kepada ikan di kedua-dua kolam itu dalam sebulan adalah sebanyak dua guni iaitu 30 kilo bagi setiap satu guni. Manakala harga bagi seguni dedak itu adalah kira-kira RM43.

“Bagi maksu, rasa daging ikan patin yang diberikan dedak ikan lebih sedap, enak dan lemak manis. Malah jiran-jiran Maksu sendiri yang pernah memakan ikan patin tidak menafikan daging ikan patin tidaklah begitu keras jika diberikan dedak ikan, sebagaimana sesetengah dakwaan kononnya memberikan dedak ikan akan menjadikan daging ikan itu agak keras”, katanya.

Zaharah menambah, sesuai dengan dirinya yang tinggal berseorangan di rumah itu, ikan patinlah sebagai penghiburnya. Dia suka melihat ikan yang sentiasa berebut-rebut antara satu sama lain apabila tiba masa beliau memberikan makanan. Kelihatan air dalam kolam itu akan berolak dan kadang-kadang terpercik ke muka untuk menunjukkan ikan-ikan berkenaan sihat menetap dalam kolam seperti itu walaupun airnya tidak pernah bertukar ganti.

“Ketika memungut hasil ketika itu usia ikan-ikan patin itu adalah kira-kira enam bulan. Kini usia ikan patin yang masih ada dalam kolam Maksu ini telah berusia dua tahun.

“Maksu tidak pernah kira atau buat anggaran tentang baki ikan patin itu. Ini kerana, apabila ikan-ikan patin itu telah sampai usia tertentu, ikan-ikan ini akan bertelur dan menetaskan anak”, katanya.

Apabila tentang kelaziman wanita memasak ikan patin, beliau menjelaskan, kebanyakan wanita sepertinya akan memasak ikan patin dengan masakan “asam pedas” kerana masakan ini lebih enak menyelerakan.

Zaharah binti Mat atau Maksu

Zaharah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Inilah kolam yang menempatkan kira-kira 2,000 ekor ikan patin yang kini berbaki 300 ekor.




Ikan patin malu rupanya. Terpaksalah Wartawan RELATIF memanggilnya, lalu timbul di permukaan kolam.

Lorong Selasih, laluan masuk ke kediaman Zaharah Mat.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan