RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 30 April 2016

Hobi Jual Burung


HOBI JUAL BURUNG

PASIR MAS, KELANTAN: Burung bukan saja haiwan peliharaan yang menjadi minat di kalangan sesetengah manusia sama ada untuk dijadikan hiasan dalam rumah, mendengar suara dan melihat keletah burung itu malah ada juga yang meminati burung itu atas dasar sesuatu peraduan dan pertandingan, sama ada pertandingan suara burung dan burung cantik.

Begitu halnya kejadian burung sebagai penyeri alam, walaupun ia sejenis haiwan yang boleh terbang ke mana saja, namun di kalangan manusia, kecantikan sesuatu jenis burung itu juga turut menjadi tarikan peminat burung malah mereka sanggup mengeluarkan belanja yang mahal semata-mata untuk memiliki burung yang cantik apatah lagi terdapat juga di kalangan manusia yang hobinya menjual burung.

Sebagaimana minat dan hobinya menjual burung, Muslimin Abd. Ghani atau Mie, 45, dari Kampung Wakaf Merah, Tendong, Pasir Mas, Kelantan mengakui bahawa beliau amat terlalu minat terhadap haiwan-haiwan jinak sejak asal lagi (zaman remaja) yang meneruskan cita-cita dan hobinya itu diterjemahkannya sebagaimana sekarang ini sebagai “penjual burung”

Muslimin yang ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh berkata, kedai burungnya itu mula beroperasi secara rasmi sejak dua tahun lepas (tahun 2013).

“Walau nampak kecil, tetapi modal permulaan untuk membuka kedai burung seperti sekarang ini memerlukan kos yang agak besar iaitu kira-kira RM10,000.

“Modal ini termasuklah untuk membeli peralatan berkaitan seperti makanan burung, peralatan asas lain (sarang burung), bekas lain dan sebagainya”, ujarnya.

Lazim menurut Muslimin, kebanyakan pembeli burung akan datang ke kedainya untuk membeli burung yang diminati. Burung di kedainya itu bukan sahaja turut dibeli oleh peminat burung tempatan tetapi ada juga dari luar Kelantan seperti dari Perak dan lain-lain tempat. Biasanya burung yang dibeli sebagai hiasan di rumah dan ada juga yang memasuki pertandingan.

Katanya, di antara burung yang dijual di kedainya seperti ketitir, merpati, serindit dan lain-lain lagi. Haiwan lain seperti itik, angsa, arnab yang mudah diletakkan di dalam sangkar turut dijual kerana kebanyakan peminat yang pelbagai ragam tidak semestinya datang ke kedainya semata-mata untuk membeli burung, namun ada juga yang membeli haiwan lain. Justeru, terpaksalah beliau mempelbagaikan jualan haiwan bukan sahaja meliputi burung tetapi juga haiwan-haiwan ternak dan haiwan ternak.

Katanya, burung yang dijual di hadapan kedainya itu adalah burung biasa (kecil) yang dijual dengan harga sekitar antara RM50 hingga RM70. Manakala burung-burung yang diletakkan di bahagian dalam kedainya itu, harganya mencecah di antara RM200 hingga RM300. Bagi peminat tegar, pastinya akan memilih burung yang agak baik, cantik, sempurna yang harganya agak mahal dari burung biasa.

“Berat makanan burung bagi satu kampit adalah seberat 20 kg. Saya menjual makanan burung bagi sekilo adalah kira-kira RM2.

“Permintaan terhadap makanan burung agak menggalakkan kerana kebanyakan penduduk di Kelantan memelihara burung sebagai hobi mereka di masa lapang.

“Kebanyakan makanan burung didatangkan dari kilang seperti dedak dan makanan yang diproses dari jagung” ujar Muslimin lagi.

Makanan burung itu tidak terhadap kepada spesis burung semata-mata, namun makanan seumpama itu amat sesuai diberikan kepada ayam ternakan kerana cara buatannya agak sama iaitu dedak dan dibuat dari jagung yang dikisar.

Membicarakan tentang pelanggan pula ada dua kategori. Lazimnya, pelanggan tetap melebihi 30 orang. Pelanggan seperti ini menurutnya begitu peka dengan bentuk fizikal sesuatu jenus burung itu. Mereka ini dianggap peminat tegar burung kerana itu juga sebahagian dari hobi mereka. Manakala bagi pelanggan lain pula katanya, dalam sebulan kira-kira 70 pelanggan akan datang ke kedainya sama ada untuk mendapatkan burung yang diminati mahupun untuk membeli makanan.

“Sejak awal pembabitan saya dengan menjual burung sehingga hari ini, secara puratanya melebihi 2,000 orang. Saya tidak membuat penjumlahan sebenar tetapi sekadar apa yang saya lihat pembeli-pembeli itu datang ke kedai ini”, katanya.

Kebanyakan pelanggannya adalah terdiri daripada jiran-jirannya malah penduduk sekitar Kampung Wakaf Merah yang merupakan peminat tegar burung. Lazimnya, kebanyakan pembeli burung sekarang dia akan melihat burung baharu berbanding burung yang telah lama terperap dalam sangkar di kedainya.

Apabila diketahui burung baharu telah sampai di kedainya, ramailah pembeli burung akan datang untuk memilih dan membeli burung menurut citarasa peminat-peminat berkenaan. Burung paling tersohor tercatat dalam senarai pembeli burung yang paling ramai burung ketitir.

Kebanyakan peminat burung ketitir suka kepada burung yang baharu sampai mereka akan berpandukan kepada suara ketitir itu, biasanya jika suaranya menarik mereka akan membelinya berbanding dengan burung ketitir lama. Keadaan ini menurutnya, mungkin ada di antaranya yang memasuki pertandingan burung ketitir atau sesetengah di kalangan pembeli itu yang minat kepada suara burung ketitir itu semata-mata sebagai hobi di masa lapang.

Selain pembeli tempatan, terdapat ramai juga pembeli dari luar Kampung Wakaf Merah itu seperti dari Kota Bharu, Terengganu dan Perak. Katanya, kebanyakan pembeli burung dari luar kampungnya mengetahui beliau adalah penjual burung melalui perbualan lisan (mulut ke mulut) di kalangan rakan-rakan mereka sendiri. Apabila seorang rakan mereka menjadi pembeli, pembeli berkenaan akan memaklumkannya kepada rakan-rakannya yang lain pula.

Ditanya pula tentang promosi burung yang ada di kedainya, katanya, dia tidak pernah mempromosikan jualan burung ke mana-mana media sama ada media cetak, elektronik mahupun media sosial dan blog, tetapi sekadar menjualnya secara terbuka. Sesiapa yang berminat dan peminat burung pastinya akan mengetahui mana-mana tempat yang paling murah, burung yang menarik dan puas hati apabila membelinya.

Kepada peminat burung, Muslimin Abd. Ghani (Mie) boleh dihubungi di talian:
017-9325627

Muslimin Abd. Ghani atau Mie.

 Muslimin ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kedai burung miliknya.

Salah seorang pekerjanya sentiasa memberikan perhatian terutamanya makan dan minum burung-burung yang ada dalam sangkar itu.


 



Sebahagian burung dan haiwan peliharaan lain turut dijual di kedainya.



Bukan hurung sahaja, pelbagai jenis dan corak sarang burung turut dijual.



Antara makanan burung dan haiwan peliharaan lain.


Pekerjanya sibuk melayani pelanggan yang membeli makanan burung.

Gambar kenangan di hadapan kedai burungnya.

Inilah wajah kedai burungnya yang beroperasi sejak tahun 2013.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan