RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 30 Mei 2016

Kejadian Pukau


KEJADIAN PUKAU

RANTAU PANJANG, KELANTAN: Pukau bukanlah senjata yang panjang-panjang sebagaimana pistol, sebagaimana dialog dan mesej yang ingin disampaikan melalui filem “Nujum Pak Belalang”, arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Sementara "pukau" menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga) DBP, jampi serapah (tangkal dan sebagainya) yang digunakan untuk memabukkan orang atau membuat orang tidur lelap atau hilang akal, tidak dapat berkata (berbuat) apa-apa, bingung, terdiam atau dipukau.

Pukau adalah sejenis ilmu hitam yang diamalkan oleh pengamalnya untuk pelbagai niat dan tujuan seperti mencuri barangan berharga umpamanya barang kemas dan wang tunai tanpa disedari oleh mangsa. Individu yang menjadi mangsa pukau akan menyerahkan segalanya sebagai memuaskan kehendak si tukang pukau sekalipun tubuh badan mangsa.

Sejak kebelakangan ini kejadian pukau semakin menjadi-jadi. Kejadian pukau ini difahamkan pernah berlaku di sebuah kampung dekat Kota Bharu pada tahun 2012 dulu apabila mangsa pukau (seorang wanita) menyerahkan wang tunai berjumlah RM10,000 kepada si tukang pukau (juga seorang wanita) dengan hanya memberikan salam lalu dijawab oleh mangsa dengan salam juga. Mangsa mula menyedari dirinya dipukau apabila wanita si tukang pukau itu berlalu pergi dan telah terlindung dari rumah dan pandangan mangsa.

Kini, setelah empat tahun berlalu, kejadian pukau timbul kembali. Disebabkan pukau ini, mangsa menurut kata-kata si tukang pukau tanpa banyak soal kerana mangsa tidak lagi menyedari dirinya berada di mana, hanya yang didengarinya adalah patah-patah perkataan yang dituturkan oleh si tukang pukau.

Begitulah halnya yang terjadi ke atas mangsa, Hasnah Senik, 70, atau lebih dikenali Mak Noh dari Kampung Rantau Panjang, Rantau Panjang, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.

Menceritakan detik-detik dia dipukau kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, Mak Noh berkata, kejadian itu berlaku pada 7 Mei, 2016 lalu. Ketika kejadian kira-kira jam 12.00 tengah hari itu dia berjalan seorang diri ke kedai untuk membeli barangan keperluan dapur seperti ikan dan lain-lainnya. Setibanya beliau di salah sebuah warung makanan berhampiran dengan Masjid Kubur, dia disapa dengan “salam” oleh seorang lelaki yang berusia kira-kira dalam lingkungan 50-an. 

Tujuan lelaki itu memberikan salam kerana ingin bertanya beliau tentang tempat tinggal Haji Deraman. Dia bertanya balik kerana agak kurang jelas tentang nama Haji Deraman yang dimaksudkan oleh lelaki itu. Kata lelaki itu, Haji Deraman bekas Wakil Rakyat (Tok Wakil). Mengetahui dengan jelas orang yang dimaksudkan, beliau memaklumkan bahawa kalau Haji Deraman bekas Tok Wakil sudah meninggal dunia. Akhirnya lelaki itu akur dan berlalu pergi.

Katanya lagi, selepas beliau melangkah kira-kira tiga langkah, kelihatan pula seorang lelaki yang usianya jauh lebih muda (kira-kira dalam usia 40-an) dari lelaki pertama tadi. Lelaki muda itu pun memberikan salam sebagaimana lelaki yang pertama itu. Lalu dijawab salam itu oleh Mak Noh tanpa menaruh sebarang perasaan curiga.

Apabila lelaki itu berhadapan dengan beliau, lelaki itu menunjukkan kepadanya sejenis batu sebesar hujung jari telunjuk yang bertatahkan emas dengan katanya barangan yang ditunjukkan itu akan diberikan secara “percuma”. Melihatkan batu itu seperti “rupa” emas, dia pun gusar kerana dia tidak mempunyai wang untuk membayarnya. Tetapi lelaki itu memberitahu, dia tidak perlukan “wang ringgit” sebaliknya sekadar “sedekah” kepada beliau.

Katanya, melihatkan bentuk fizikal batu itu, beliau bertanya lelaki itu apakah kegunaan dan keistimewaan batu yang bertatahkan emas itu. Tanpa dapat menjawab persoalannya, lelaki itu meminta beliau untuk bertemu dengan lelaki pertama tadi yang kini berehat di tempat yang teduh dengan mengenakan baju kemeja, seluar slack dan berketayap yang dikatakan berasal dari Pahang. Beliau kemudiannya mengekori lelaki kedua untuk menemui lelaki pertama tadi. Apabila tiba berhampiran dengan lelaki pertama itu, lelaki kedua memintanya supaya berhenti di di situ.

Lelaki muda (lelaki kedua) itu bertanya lelaki pertama kononnya Mak Noh itu ingin bertanya tentang fungsi batu itu. Habis saja pertanyaan lelaki kedua itu, Mak Noh melihat mulut lelaki pertama itu sedang kumat-kamit seperti membaca sesuatu ayat yang tidak didengarinya. Sebentar kemudian, beliau melihat lelaki pertama yang sedang membaca ayat itu tiba-tiba “menghembus” (meniup) ke arahnya.

Lelaki pertama yang selesai membaca ayat itu memberitahunya bahawa, apabila Mak Noh ingin menerima batu itu, beliau perlulah membaca surah “Al-Fatihah” (satu kali) dan selawat Nabi (tiga kali) dan beliau perlu berpaling ke belakang dengan perlu melangkah sebanyak tiga langkah ke hadapan, kemudiannya paling ke belakang (ke arah lelaki) itu kembali. Beliau akur dengan arahan lelaki pertama itu dengan menurut segala kehendaknya sehingga selesai.

Lelaki pertama itu kemudiannya menghulurkan batu yang bertatahkan emas itu kepada Mak Noh sebagaimana yang dijanjikannya. Kemudiannya, lelaki pertama itu meminta lelaki kedua (lelaki muda) itu supaya mencari dua pucuk sampul panjang kosong berwarna coklat. Apabila memperolehi dua pucuk sampul berwarna coklat itu, lelaki pertama tadi meletakkan batu berkenaan di telapak tangannya kemudiannya memasukkannya ke dalam salah satu sampul itu.

Lelaki pertama itu memberitahu beliau bahawa segala gelang yang ada di pergelangan tangannya tidak boleh dipakai olehnya dan beliau perlu menanggalkannya. Beliau memberitahu lelaki itu bahawa gelang yang dipakainya tidak boleh ditanggalkan disebabkan terlalu ketat kerana dipakaikan oleh anaknya supaya tidak tertanggal atau tercicir di jalanan.

Tetapi lelaki itu berkeras lalu lelaki itu cuba menanggalkan gelang di pergelangan tangannya. Akhirnya lelaki itu berjaya menanggalkan gelang itu dari pergelangan tangan Mak Noh. Selepas itu, lelaki itu “menyelak” kain tudung Mak Noh (sedangkan kain tudung itu telah melindungkan seutas rantai leher yang dipakainya) dan lelaki itu turut menanggalkannya juga. Gelang dan seutas rantai leher itu tadi dimasukkan oleh lelaki berkenaan ke dalam salah satu sampul surat itu. Lelaki itu menunjukkan kepadanya bahawa gelang dan rantai beliau telah dimasukkan ke dalam sampul yang dimaksudkan.

Lelaki itu memberitahu Mak Noh bahawa, gelang dan rantai leher yang telah dimasukkan oleh lelaki itu ke dalam salah satu sampul itu, Mak Noh tidak boleh membukanya di situ sebaliknya hendaklah membukanya apabila tiba di rumah. Selepas itu, lelaki berkenaan bertanya, adakah beliau membawa bersama beg kecil, beliau memberitahu lelaki itu bahawa beliau ada membawa beg kecil sebagaimana yang dimaksudkan.

Lelaki itu meminta beliau membuka pula beg kecil yang dibawanya. Dia akur dengan permintaan lelaki itu tanpa banyak bicara dengan membuka beg kecil yang dibawanya bersama. Lelaki itu kemudiannya melipatkan (dua kali lipat) salah satu sampul yang dikatakan diisi dengan gelang dan seutas rantai leher milik beliau lalu dimasukkan ke dalam beg kecil itu. Lelaki itu memintanya supaya tidak membukanya di jalanan sebaliknya membukanya apabila tiba di rumah.

Katanya, beliau kemudiannya beredar dari lokasi kedua-dua lelaki itu lalu menuju ke kedai yang dimaksudkannya untuk membeli peralatan dapur lalu melangkah pulang. Beliau kemudiannya memaklumkan kepada salah seorang adiknya yang bongsu kerana beliau begitu gembira pada hari itu kerana telah menerima barangan berharga dari lelaki yang dimaksudkan itu.

Belum selesai beliau menceritakan kejadian itu kepada adik bongsunya, adiknya bongsunya itu bertanya, ke mana gelang dan rantai lehernya. Beliau memberitahu adik bongsunya bahawa gelang dan rantai leher itu ada dalam sepucuk sampul yang telah dimasukkannya ke dalam sebuah beg kecil, sambil menunjukkan beg berkenaan kepada adik bongsunya.

Adik bongsunya itu meminta beliau menunjukkannya dengan segera. Adik bongsunya itu mengambil sepucuk sampul yang dikatakan mengandungi gelang dan rantai lehernya lalu mencurahkannya ke lantai. Alangkah terkejutnya beliau dan adik bongsunya bahawa, kandungan dalam sampul itu bukanlah gelang dan seutas leher miliknya yang dimasukkan ke dalam sampul itu sebaliknya beberapa skru basikal dan sekeping wang syiling lima puluh sen. Adik bongsunya itu memarahinya bahawa beliau telah terkena “pukau” oleh kedua-dua lelaki itu.

Menurutnya, inilah kali pertama kejadian seumpama itu berlaku terhadapnya dan di kawasan kampung itu. Beliau percaya, kejadian pukau di merata tempat malah berlaku pula di Tumpat, Kelantan bermula dari kampung itu.

Sementara itu menurut seorang peniaga, Wan Sharifah Omar, 54, atau lebih dikenali Wan Sharifah Colek dari kampung yang sama juga berkata, wang tunai RM2,000 yang disimpannya di rumahnya turut hilang. Ketika kejadian jam 2.00 petang itu, beliau ke rumah mertuanya untuk menyerahkan nasi bungkus. Apabila pulang, didapati wang tunainya itu hilang.

Selain itu menurutnya, pintu rumahnya dua kali ditendang oleh seseorang dalam kejadian yang berasingan, ketika dia berseorangan dan ketika bersama suaminya.

Ditanya tentang perasaannya ketika wang tunai miliknya itu dicuri orang, dia ketika itu tidak dapat menggambarkan tentangnya. Macam-macam hal yang timbul dalam fikirannya seolah-olah seperti “orang gila”. Ini kerana, dengan wang tunai itu untuk membayar rumah sewa, membayar bil air dan elektrik. Disebabkan kehilangan wangnya itu menyebabkan dia tidak lagi dapat berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalahnya itu.

Katanya, selepas menyedari wang tunainya itu dicuri, beliau turut menunaikan “solat hajat” sendiri, dilakukan di surau dan masjid. Adayang memaklumkan kepadanya, pastinya wang yang dicuri itu akan dikembalikan semula kepadanya, namun sehingga kini menurutnya, wang tunai itu tidak pernah dikembalikan kepadanya. Setelah kejadian itu, beliau membuat aduan polis dan akhirnya penjenayah dapat ditangkap juga.

Sementara itu, dalam kejadian yang berasingan, susulan tiga hari selepas kejadian Mak Noh dipukau, beliau pula dikunjungi oleh dua lelaki pendakwah (dua beranak) ke kedainya yang bertutur dalam dialek Indonesia untuk membeli “colek” dengan harga RM2. Salah seorang dari lelaki itu menyerahkan wang tunai RM50.

Beliau memberitahu, tiada wang kecil untuk dikembalikan kerana pada ketika itu kedainya baharu dibuka. Menurutnya, lelaki itu mengenakan baju-T dan seluar slack, namun wajahnya menghadap ke arah MyDin Shopping Centre. Apa yang beliau dapat tahu, kehadiran dua lelaki dua beranak berkenaan ke kedainya selepas kejadian di Pasar Raya MyDin mungkin ada kaitan juga.

Menyorot tentang kejadian jenayah di Rantau Panjang menurutnya, bukan sahaja pukau (cara baru menipu untuk mendapatkan barang kemas dan wang tunai) tetapi juga kejadian kehilangan dan kecurian motosikal sering berlaku di kawasan itu.

Kejadian yang berlaku di Rantau Panjang itu menurutnya semakin merebak sejak akhir-akhir ini. Dia sempat juga berpesan kepada suaminya, jika suaminya bekerja dia tidak akan menetap dalam rumahnya itu. 

Hasnah Senik atau Mak Noh.

Mak Noh ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Wan Sharifah Omar atau Wan Sharifah Colek.

Wan Sharifah Omar ketika diwawancara Wartawan RELATIF di Kampung Rantau Panjang.

 Kampung Rantau Panjang tidak sunyi dari aktiviti jenayah termasuk pukau.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 20 Mei 2016

Rumah Dijilat Api


RUMAH DIJILAT API
MACHANG, KELANTAN: Pepatah orang tua-tua ada menyebutkan “api ketika kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan”. Pepatah berkenaan ingin mengingatkan kepada banyak orang bukan sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada golongan remaja dan orang-orang dewasa. Ini kerana, apabila wujudnya kecuaian pastinya diri sendiri yang menanggung akibatnya.

Api sama ada dari pelbagai punca seperti dari mancis, puntung rokok mahupun elektrik pastinya tidak mengenal sesiapa. Apabila api mula menyala, maraklah sudahnya dan akhirnya segala yang disayangi menjadi abu, sekalipun nyawa manusia sendiri.

Atas dasar demikian, penggunaan bekalan elektrik yang dinikmati di rumah perlu diperiksa sentiasa apatah lagi dengan adanya penggunaan kemudahan lain dalam rumah seperti peti sejuk, peti televisyen, seterika, mesin basuh dan peralatan elektrik yang lain. Peralatan elektrik yang rosak perlu dibaiki atau diganti baharu malah pendawaian sendiri di rumah perlu dielakkan kerana jika tersilap sambungan, padah yang menimpa.

Sejak kebelakangan ini, kejadian kebakaran bukan sahaja berlaku di hutan, tetapi banyak kes rumah hangus dijilat api berikutan cuaca panas yang melanda negara. Sementelah pula jika berlakunya “litar pintas”, kejadian kebakaran pasti berlaku. Jika kejadian berlaku ketika penghuni ada di rumah, mungkin kejadian ini dapat diselesaikan tanpa menghanguskan harta benda dan pastinya akan dapat diselamatkan. Tetapi jika sebaliknya, rumah berkenaan hanya tinggal abu. Usaha untuk menyelamatkan harta benda pastinya terhalang disebabkan api semakin marak menyala.

Sebagaimana yang pernah berlaku ke atas penduduk, Shamsuddin Idris, 67, atau lebih dikenali sebagai Rahim dan isterinya, Azizah Yahya, 62, atau dikenali Che Som dari Kampung Kaabah, Machang, Kelantan memang menyayat hati. Kebakaran yang berlaku jam 8.30 pagi pada 8 Mei, 2016 itu telah memusnahkan sebuah rumah kayu dan simen di kampung berkenaan.

Menurut ketua keluarga berkenaan, Shamsuddin Idris (Rahim) memberitahu Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi pada 8 Mei, 2016  lalu. Beliau tidak dapat menceritakan butiran sebenar kejadian kebakaran itu memandangkan pada waktu itu dia tiada di rumah atas urusan kerjanya.

Dia mengetahui rumahnya terbakar ketika pulang dari kerjanya, dia melihat asap berkepul ke udara. Ketika dia tiba di rumahnya, didapati api telah mula merebak ke beberapa bahagian dalam rumahnya.

Katanya, api itu datang dari arah sudut tiang rumahnya yang menyebabkan kebakaran itu merebak. Dia hanya mengesyakki bahawa punca api merebak dari arah belakang peti televisyen miliknya yang bermakna dari permasalahan litas pintas atau elektrik.

“Saya tak pasti punca sebenar api itu merebak. Tapi saya dapat tahu punca api merebak dari arah belakang peti televisyen”.

“Ketika kejadian, keadaan persekitaran menjadi panas, sebagai menandakan api sudah mula merebak. Rumahnya ini berusia lebih 20 tahun yang dibina dalam dari kayu dan simen”, ujarnya.

Rahim menambah, kebanyakan barangan yang ada dalam rumahnya yang berusia lebih 20 tahun itu semuanya musnah dan dia bersama isterinya hanya tinggal sehelai sepinggang. Di antara kenderaan yang musnah adalah sebuah kereta dan empat buah motosikal. Hanya sebuah motosikal saja yang sempat diselamatkan.

Katanya, mungkin disebabkan berita berkenaan begitu pantas tersebar menyebabkan ramai yang turut memberikan bantuan. Pihak yang paling awal yang mengetahui kejadian itu adalah jiran tetangganya sendiri.

Selain itu menurutnya, beberapa wakil rakyat juga datang melawat sambil menghulurkan bantuan. Menurutnya, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Datuk Hj Ahmad Jazlan bin Hj Yaakub turut memberikan bantuan simpati dalam bentuk wang ringgit sebanyak RM5,000 selain dari pihak lain sebanyak RM4,000.

Malah katanya, beliau turut menerima bantuan ala kadar dari beberapa orang jiran tetangga dan penduduk kampung berkenaan, diikuti sumbangan dari pihak istana.

Ditanya tentang rumahnya kini yang telah hangus, beliau berhasrat membina rumah baharu menggantikan rumah yang telah dijilat api itu.

Sementara itu menurut isterinya, Azizah Yahya atau Che Som berkata, ketika kejadian dia pulang dari menoreh getah dan melihat api sedang marak dekat pintu rumah. Walau bagaimanapun, keadaan api itu masih dalam keadaan kecil dan belum marak lagi, hanya asap sahaja yang kelihatan berpusar ke udara.

Katanya, ketika itu dia mengetahui bahawa penduduk kampung termasuk jiran tetangganya telah cuba sedaya upaya untuk memadamkan api itu dengan menyiram air untuk mengelakkan api terus merebak walaupun masih kecil.

Ditanya punca kejadian kebakaran itu, dia tidak menolak punca kejadian adalah api dan asap berkepul dari arah belakang peti televisyen. Melihat keadaan api sudah mula membakar ketika itu, dia cuba menolak kenderaan yang diparkir di hadapan rumah supaya api tidak terus menyambar kenderaan berkenaan, namun apalah tenaga wanitanya tentunya tidak berdaya untuk menolak kenderaan yang terlalu berat apatah lagi berkunci. Dia cuba mencari kunci kereta, yang mungkin penyebab kereta berkenaan terlalu berat, tetapi api sudah mula menyambar di bahagian dapur rumahnya selepas itu.

Apabila ditanya tentang api yang cepat menyambar dan membakar, adakah disebabkan tiupan angin, dia menafikannya. Namun, penyebab segalanya adalah setong gas terletak berhampiran dengan pintu rumahnya dan segelen minyak petrol. Walaupun ada sebuah tong gas dekat pintu, tetapi tong gas itu tidak meletup, sebaliknya gas dari tong didapati keluar menyebabkan api mudah dan cepat menyambar ke dalam rumah. Jadi usahanya untuk mendapatkan kunci motosikal yang ada dekat halaman rumah juga tidak sempat melihat keadaan api ketika itu.

Walau dalam keadaan itu, dia berusaha menuju dalam rumahnya, tetapi apabila masuk ke dalam rumahnya buat kali kedua, wayar elektrik berkenaan jatuh ke lantai rumah. Disebabkan detik-detik itu, dia tidak lagi dapat memberanikan diri memasuki rumahnya melihatkan api sudah semakin membesar.

Keadaan api ketika memakan sebahagian barangan dan papan rumahnya di bahagian atas. Katanya, kepantasan api menyambar bahagian dalam rumahnya adalah kira-kira lima minit apabila beliau yang ketika itu berada dekat kenderaan di laman rumah terpaksa berlari ke bahagian dapur juga tidak sempat disebabkan api begitu pantas.

Katanya, di antara barangan terbakar selain dari dalam rumah seperti sebuah kereta, empat buah motosikal dan hanya sebuah motosikal saja yang sempat diselamatkan, yang lain semuanya habis terbakar termasuk barang kemasnya yang nilainya lebih RM10,000 juga tidak dapat diselamatkan.

Orang terawal yang datang menyelamatkan rumahnya ketika kejadian itu adalah dua pupu suaminya dan jiran-jirannya yang lain.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban pasangan ini, bolehlah menghubungi isterinya di talian: 011-29064273.
  
Shamsuddin Idris atau Rahim.

Rahim ketika diwawancara Wartawan RELATIF di tempat kejadian.

Azizah Yahya atau Che Som.

Che Som ketika diwawancara Wartawan RELATIF di tempat kejadian.

Bergambar kenangan dengan mangsa.



Kediaman hangus dijilat api.

Sebuah kenderaan yang diparkir di laman rumah turut dijilat api.


Motosikal turut rentung dijilat api.

Hanya sebuah motosikal yang terselamat.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Selasa, 10 Mei 2016

Pisang Berbuah Tengah Batang


PISANG BERBUAH TENGAH BATANG

PASIR MAS, KELANTAN: Sejak kebelakangan ini, kejadian aneh yang Allah tunjukkan kepada manusia agak semakin ketara, bukan berlaku semata-mata di sebuah tempat tetapi di banyak tempat. Apakah maksud di sebalik berlaku keanehan itu hanya Allah jua yang mengetahuinya, tetapi kejadian aneh terhadap haiwan, batu, kayu, daun, batang dan buah semakin pelik. Kalau sebelum ini, kita pernah mendengar tentang “pisang bertandan lima”, namun kejadian terbaharu adalah sebatang pokok pisang yang didapati berbuah di tengah batang.

Mungkin secara sedar atau tidak, kejadian aneh dan pelik ada di belakang atau hadapan rumah kita, laluan yang sering kita lalui mahupun di dalam hutan berdekatan dengan perkampungan kita.

Hal inilah sebagaimana yang diceritakan oleh seorang penduduk yang merupakan pemilik pisang berbuah di tengah batang, Rosnani Md. Derus atau Maksu Ani, 54, dari Kampung Cherang Tok Rong, Tendong, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh baru-baru bahawa, dia sendiri tidak mengetahui pokok pisang anehnya itu berbuah di tengah batang kerana sejak menanam beberapa batang pisang di kebunnya itu dia kurang memberikan perhatian terhadapnya.

Katanya, jika dilihat dari segi zahir atau secara imbas pokok pisang anehnya itu hampir sama dengan pokok-pokok pisangnya yang lain. Beliau yang sering melalui kebunnya itu setiap hari itu juga pada mulanya tidak perasan wujudnya keanehan itu kerana dia sekadar ke kebun dan pulang sebagaimana selalunya. Tetapi pada hari berikutnya, dia melihat sesuatu yang agak mengejutkan, tidak disangka dan memang aneh.

“Maksu dapat tahu pada suatu hari dalam bulan April 2016 lalu. Ketika Maksu masuk ke kebun pisang untuk mendapatkan serai lalang.

“Ketika dalam kebun itu, Maksu mendongak ke atas untuk melihat buah kuini. Dengan tidak disangka mata Maksu tersilau ke arah pokok dan buah pisang itu.

“Dengan tidak semena-mena terkeluar dari mulut Maksu, comelnya buah pisang ini. Jadi, sejak itulah Maksu mengetahui pokok pisang itu berbuah di tengah batang”, jelas Maksu Ani.

Katanya menambah, setelah mengetahui buahnya agak cantik, dia mula memanggil-manggil anaknya di rumah kerana jarak kebun pisangnya dengan rumahnya adalah agak hampir saja yang hanya dipisahkan sebatang jalan kampung.

Setelah anaknya datang, anaknya merakam foto pokok dan buah pisang itu untuk diabadikan dalam album kenangan. Setelah berjaya merakam foto pokok dan buah pisang itu, anaknya memasukkannya ke dalam media sosial, facebook.

Apabila ditanya, di mana beliau memperolehi benih pisang itu. Katanya, benih pokok pisangnya itu diperolehi dari Kampung Cherang Tok Rong itu juga. Tetapi dia tidak pasti, dari banyak pokok pisang lain yang turut ditanamnya, sebatang pokok pisang itu didapati berbuah di tengah batang.

Maksu Ani menambah, dia tidak membeli anak pokok pisang dari mana-mana individu sama ada dari penjual atau daripada jirannya, sebaliknya bakanya diperolehi daripada baka asal pokok pisang miliknya sendiri. Dengan kata lain, apabila salah sebatang pokok pisangnya mati tentunya sebelum pokok pisang asal itu mati, pokok pisang itu akan mengeluarkan anak secara "bertunas" (benihnya). Dari anak benih pokok pisang itulah dia menjaganya sebagaimana pokok pisang yang lain.

“Kini pokok pisang itu berusia kira-kira tujuh bulan. Kalau dilihat kira-kira 11 biji dalam satu tandan.

“Walau bagaimanapun, pokok pisang aneh itu telah berbuah buat kali kedua dan merupakan pokok dari anak kedua. Ketika kali pertama berbuah, buahnya ketika itu di bahagian atas, tetapi apabila berbuah kali kedua ini tumbuh di tengah batang pula”, jelas Maksu Ani.

Ditanya tentang boleh atau tidak dimakan pisang anehnya itu, dia menjelaskan, walaupun pisangnya dianggap aneh, namun pisangnya boleh dimakan sebagaimana pisang yang lain juga kerana keadaannya sama dengan lain-lain pisang. Sesuatu yang agak aneh yang sepatutnya tumbuh di bahagian atas (dekat pelepah), tetapi pokok pisang anehnya itu berbuah di tengah batang.

“Kebanyakan jiran-jiran dan penduduk Kampung Cherang Tok Rong ketika itu tidak mengetahui berita tentang keanehan pisang itu. Mereka mengetahuinya apabila melihat akhbar. Sejak itu, berita berkenaan tersebar luas.

“Pihak terawal yang mengetahui berita tentang keanehan pokok pisang itu adalah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Pihak mereka datang melihat sambil merakam foto pokok pisang tersebut”, ujar Maksu Ani.

Apabila ditanya, adakah pokok pisang itu patah yang menyebabkan tumbuhnya buah di tengah batang, dia menafikannya. Dia menjelaskan, pokok pisang itu tumbuh sempurna, tidak patah atau cacat. Cuma tandannya tumbuh di tengah batang itulah yang menyebabkan pokok pisang itu berbeza dengan pokok pisang yang lain.

“Maksu Ani hanya menggunakan baja bakar saja bukannya baja kimia untuk menanam pokok pisang itu. Cara menanam pun adalah sama dengan pokok pisang lain”, katanya.

Katanya menambah, sesuatu yang agak berbeza antara pokok pisang berbuah di tengah batang dengan pokok pisang yang lain adalah bentuk fizikalnya agak rendah dan kecil. Ini disebabkan pokok pisang berkenaan kekurangan bekalan air, apatah lagi keadaan musim kemarau sekarang akan menyebabkan tanah menjadi kering yang memungkinkan aliran air dan baja tidak diperolehi dengan sempurna.

Rosnani Md. Deris atau Maksu Ani.

Maksu Ani ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Maksu Ani bersama pokok pisang miliknya.

Bergambar kenangan bersama suami di kediamannya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 1 Mei 2016

Tok Ayah Tukang Urut


TOK AYAH TUKANG URUT

PASIR MAS, KELANTAN: Menceburi bidang tukang urut dan rawatan tradisional sekaligus bukanlah suatu perkara mudah. Ini kerana, kedua-dua bidang ini memerlukan kemahiran dan ilmu yang mencukupi, jika tidak pengamalnya akan dianggap janggal atau hanya mementingkan bayaran dan imbuhan. Namun, keperluan kepada tukang urut juga perlu dilihat dalam aspek tertentu, kerana pandangan manusia memang tidak sama.

Sesetengahnya berpendapat, memadailah dengan memakan ubat atau pil segala yang melibatkan masalah urat saraf pastinya akan sembuh. Tetapi, dari pandangan pihak lain pula adalah sebaliknya, mereka lebih suka diurut kerana apabila urat saraf terseliuh adalah lebih tepat jika ia dibelai menurut kaedah dan turutan tertentu.

Begitu halnya dengan rawatan tradisional. Tiada penawar yang boleh digunakan jika individu itu diganggu oleh makhluk lain yang tidak kelihatan pada pandangan mata sama ada disakat makhluk halus, gangguan di jalanan dan sebagainya. Jadi, adalah munasabah pengamal rawatan tradisional mengambil alih tugas itu kerana merekalah yang lebih arif di bidang berkenaan.

Sebagaimana yang dicetuskan oleh Tukang Urut dan Perawat Tradisional, Che Rosli bin Mat, 51, atau lebih mesra dengan panggilan Tok Ayah dari Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, Kelantan tidak menolak, pengamal rawatan tradisional dan tukang urut perlu di zaman moden walaupun teknologi hari ini telah mengambil alih tugas-tugas itu. Dalam konteks tertentu, pengamal tradisional dan tukang urut masih diperlukan kerana itulah kesinambungan ilmu orang-orang tua zaman lampau.

“Saya menceburi bidang mengurut sejak lebih 20 tahun lalu. Saya mengurut berdasarkan kepada masalah yang dialami oleh pesakit.

“Misalnya masalah terseliuh urat, masalah pinggang atau saraf membengkak dan sebagainya.

“Bahkan saya juga bersedia membantu mangsa dengan kaedah rawatan tradisional jika mangsa disakat atau diganggu makhluk halus atau apa-apa yang bersabit dengannya sama ada mangsa terkena “santau”, jika diminta pesakit, saya akan ikhtiarkan menurut ilmu yang saya perolehi”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.

Membicarakan tentang bidang urutan, lazimnya yang pernah diurutnya adalah beberapa kes nahas yang menyebabkan urat terseliuh, dia akan berusaha mengurutnya supaya urat-urat yang bermasalah dapat diperbetulkan dan pesakit sihat sepenuhnya.

Ditanya tentang masalah “senjata” dan “tenaga batin lelaki” lelaki yang didapati agak berkurangan, katanya, dia akan cuba sebaik mungkin, kerana dia hanya berikhtiar sahaja, hanya Allah sahaja yang menyembuhkannya.

Bercakap tentang ilmu mengurut, beliau memperolehi ilmu mengurut misalnya dari bapa angkatnya yang juga seorang tukang urut, dari bapa angkatnya itulah dia belajar serba sedikit tentang cara dan kaedah mengurut dengan betul dan supaya pesakit tidak akan berasa sakit apabila diurut.

Tambahnya, cara belajar itu berdasarkan ayat-ayat suci Al-Quran, bapa angkatnya akan meminta beliau mengamalkan dari ayat-ayat tersebut dengan menggunakan “air tawar” sebagai “penawar” dengan pengisian doa dan sebagainya. Air tawar ini akan diberikan kepada pesakit untuk diminum dan dengan kaedah begini seolah-olah beliau berserah kepada Allah supaya pesakit dapat disembuhkan.

Ditanya tentang soal mengurut dan merawat pesakit secara tradisional disebabkan minat atau bagaiman, beliau menjelaskan, hal mengurut adalah hal biasa yang dilakukannya sejak dulu. Namun, berhubung dengan hal rawatan tradisional seperti merawat gangguan makhluk halus ini agak terlalu sukar untuk dipulihkan. Jadi, beliau perlu lihat keadaan pesakit itu sendiri baharulah beliau dapat tahu kaedah yang perlu dilakukannya. Dalam soal ini, memanglah minat menjadi hal utama, jika tidak dia tidak menceburinya kerana bidang berkenaan memang terlalu sukar.

Ditanya pula tentang jumlah pesakit atau mangsa yang pernah dirawat dan diurutnya sejak beliau berkecimpung di kedua-dua bidang rawatan berkenaan, dia menjelaskan, setakat ini sudah lebih 50 orang yang pernah datang mengurut dengannya. Manakala tidak sampai 50 mangsa yang pernah dirawatnya secara tradisional.

“Sebenarnyam saya tidak membuat kiraan jumlah pesakit yang datang. Hanya yang saya tahu, lebih 50 orang yang pernah saya urut.

“Manakala tidak sampai 50 pesakit yang pernah menerima rawatan tradisional yang melibatkan gangguan makhluk halus”, jelasnya.

Menurut Tok Ayah, kebanyakan yang datang berurut dengannya datang dari Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Puteh selain dari Pasir Mas dan penduduk tempatan yang mengetahuinya secara lisan. Tetapi ramai yang tidak mengetahui tukang urut sepertinya ada di Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas.

Sementara dalam konteks maklumbalas yang pernah diterima dari beberapa pesakit yang ditemui, mereka mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan urutan yang telah diberikan oleh Tok Ayah. Tok Ayah menjelaskan, beliau hanya berikhtiar sekadar termampu, tetapi yang menyembuh dan memberikan kesempurnaan kesihatan adalah Allah S.W.T.

“Penerimaan maklumbalas itu menunjukkan urutan dan rawatan yang saya berikan didapati sembuh sepenuhnya dengan izin Allah.

“Ini menggambarkan bantuan yang saya berikan menjadi dan bukan sekadar cakap-cakap saja. Jika tidak, pastinya pesakit akan datang lagi untuk mendapatkan rawatan ulangan”, ujarnya.

Ditanya tentang bayaran dan upah selepas selesai melaksanakan urutan dan rawatan bagi seseorang pesakit, Tok Ayah menjelaskan, dia tidak memaksa atau meletakkan harga bagi mana-mana mangsa atau pesakit untuk memberikan upah. Pesakit boleh menilai sendiri atas ikhlas pesakit itu sendiri kerana dia sekadar membantu sahaja. Jika pesakit itu tidak mampu dari segi kewangan, dia tidaklah terlalu menekan dalam soal bayaran kerana matlamatnya ialah ingin menolong pesakit atau mangsa yang memerlukan bantuan dan pertolongannya.

Untuk urusan urut dan rawatan tradisional, hubungi Che Rosli Mat atau Tok Ayah di talian:
017-9408586

Che Rosli Mat atau Tok Ayah.

Tok Ayah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di laman rumahnya.


Tok Ayah sedang menunjukkan kaedah mengurut.

Laluan ke kediamannya perlu melalui parit dan saliran.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH