TOK AYAH TUKANG URUT
PASIR MAS, KELANTAN: Menceburi
bidang tukang urut dan rawatan tradisional sekaligus bukanlah suatu perkara
mudah. Ini kerana, kedua-dua bidang ini memerlukan kemahiran dan ilmu yang
mencukupi, jika tidak pengamalnya akan dianggap janggal atau hanya mementingkan
bayaran dan imbuhan. Namun, keperluan kepada tukang urut juga perlu dilihat
dalam aspek tertentu, kerana pandangan manusia memang tidak sama.
Sesetengahnya berpendapat,
memadailah dengan memakan ubat atau pil segala yang melibatkan masalah urat
saraf pastinya akan sembuh. Tetapi, dari pandangan pihak lain pula adalah
sebaliknya, mereka lebih suka diurut kerana apabila urat saraf terseliuh adalah
lebih tepat jika ia dibelai menurut kaedah dan turutan tertentu.
Begitu halnya dengan rawatan
tradisional. Tiada penawar yang boleh digunakan jika individu itu diganggu oleh
makhluk lain yang tidak kelihatan pada pandangan mata sama ada disakat makhluk
halus, gangguan di jalanan dan sebagainya. Jadi, adalah munasabah pengamal
rawatan tradisional mengambil alih tugas itu kerana merekalah yang lebih arif
di bidang berkenaan.
Sebagaimana yang dicetuskan oleh
Tukang Urut dan Perawat Tradisional, Che Rosli bin Mat, 51, atau lebih mesra
dengan panggilan Tok Ayah dari Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, Kelantan tidak
menolak, pengamal rawatan tradisional dan tukang urut perlu di zaman moden
walaupun teknologi hari ini telah mengambil alih tugas-tugas itu. Dalam konteks
tertentu, pengamal tradisional dan tukang urut masih diperlukan kerana itulah
kesinambungan ilmu orang-orang tua zaman lampau.
“Saya menceburi bidang mengurut
sejak lebih 20 tahun lalu. Saya mengurut berdasarkan kepada masalah yang
dialami oleh pesakit.
“Misalnya masalah terseliuh urat,
masalah pinggang atau saraf membengkak dan sebagainya.
“Bahkan saya juga bersedia
membantu mangsa dengan kaedah rawatan tradisional jika mangsa disakat atau
diganggu makhluk halus atau apa-apa yang bersabit dengannya sama ada mangsa
terkena “santau”, jika diminta pesakit, saya akan ikhtiarkan menurut ilmu yang
saya perolehi”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.
Membicarakan tentang bidang
urutan, lazimnya yang pernah diurutnya adalah beberapa kes nahas yang
menyebabkan urat terseliuh, dia akan berusaha mengurutnya supaya urat-urat yang
bermasalah dapat diperbetulkan dan pesakit sihat sepenuhnya.
Ditanya tentang masalah “senjata”
dan “tenaga batin lelaki” lelaki yang didapati agak berkurangan, katanya, dia
akan cuba sebaik mungkin, kerana dia hanya berikhtiar sahaja, hanya Allah
sahaja yang menyembuhkannya.
Bercakap tentang ilmu mengurut,
beliau memperolehi ilmu mengurut misalnya dari bapa angkatnya yang juga seorang
tukang urut, dari bapa angkatnya itulah dia belajar serba sedikit tentang cara
dan kaedah mengurut dengan betul dan supaya pesakit tidak akan berasa sakit
apabila diurut.
Tambahnya, cara belajar itu
berdasarkan ayat-ayat suci Al-Quran, bapa angkatnya akan meminta beliau
mengamalkan dari ayat-ayat tersebut dengan menggunakan “air tawar” sebagai
“penawar” dengan pengisian doa dan sebagainya. Air tawar ini akan diberikan
kepada pesakit untuk diminum dan dengan kaedah begini seolah-olah beliau
berserah kepada Allah supaya pesakit dapat disembuhkan.
Ditanya tentang soal mengurut dan
merawat pesakit secara tradisional disebabkan minat atau bagaiman, beliau
menjelaskan, hal mengurut adalah hal biasa yang dilakukannya sejak dulu. Namun,
berhubung dengan hal rawatan tradisional seperti merawat gangguan makhluk halus
ini agak terlalu sukar untuk dipulihkan. Jadi, beliau perlu lihat keadaan
pesakit itu sendiri baharulah beliau dapat tahu kaedah yang perlu dilakukannya.
Dalam soal ini, memanglah minat menjadi hal utama, jika tidak dia tidak
menceburinya kerana bidang berkenaan memang terlalu sukar.
Ditanya pula tentang jumlah
pesakit atau mangsa yang pernah dirawat dan diurutnya sejak beliau berkecimpung
di kedua-dua bidang rawatan berkenaan, dia menjelaskan, setakat ini sudah lebih
50 orang yang pernah datang mengurut dengannya. Manakala tidak sampai 50 mangsa
yang pernah dirawatnya secara tradisional.
“Sebenarnyam saya tidak membuat
kiraan jumlah pesakit yang datang. Hanya yang saya tahu, lebih 50 orang yang
pernah saya urut.
“Manakala tidak sampai 50 pesakit
yang pernah menerima rawatan tradisional yang melibatkan gangguan makhluk
halus”, jelasnya.
Menurut Tok Ayah, kebanyakan yang
datang berurut dengannya datang dari Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Puteh
selain dari Pasir Mas dan penduduk tempatan yang mengetahuinya secara lisan.
Tetapi ramai yang tidak mengetahui tukang urut sepertinya ada di Kampung Gaung,
Tendong, Pasir Mas.
Sementara dalam konteks
maklumbalas yang pernah diterima dari beberapa pesakit yang ditemui, mereka
mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan urutan yang telah diberikan oleh
Tok Ayah. Tok Ayah menjelaskan, beliau hanya berikhtiar sekadar termampu,
tetapi yang menyembuh dan memberikan kesempurnaan kesihatan adalah Allah S.W.T.
“Penerimaan maklumbalas itu
menunjukkan urutan dan rawatan yang saya berikan didapati sembuh sepenuhnya
dengan izin Allah.
“Ini menggambarkan bantuan yang
saya berikan menjadi dan bukan sekadar cakap-cakap saja. Jika tidak, pastinya
pesakit akan datang lagi untuk mendapatkan rawatan ulangan”, ujarnya.
Ditanya tentang bayaran dan upah
selepas selesai melaksanakan urutan dan rawatan bagi seseorang pesakit, Tok
Ayah menjelaskan, dia tidak memaksa atau meletakkan harga bagi mana-mana mangsa
atau pesakit untuk memberikan upah. Pesakit boleh menilai sendiri atas ikhlas
pesakit itu sendiri kerana dia sekadar membantu sahaja. Jika pesakit itu tidak
mampu dari segi kewangan, dia tidaklah terlalu menekan dalam soal bayaran
kerana matlamatnya ialah ingin menolong pesakit atau mangsa yang memerlukan
bantuan dan pertolongannya.
Untuk urusan urut dan rawatan tradisional, hubungi Che Rosli Mat atau Tok Ayah di talian:
017-9408586
Che Rosli Mat atau Tok Ayah.
Tok Ayah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di laman rumahnya.
Tok Ayah sedang menunjukkan kaedah mengurut.
Laluan ke kediamannya perlu melalui parit dan saliran.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan