RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 30 Mei 2016

Kejadian Pukau


KEJADIAN PUKAU

RANTAU PANJANG, KELANTAN: Pukau bukanlah senjata yang panjang-panjang sebagaimana pistol, sebagaimana dialog dan mesej yang ingin disampaikan melalui filem “Nujum Pak Belalang”, arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Sementara "pukau" menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga) DBP, jampi serapah (tangkal dan sebagainya) yang digunakan untuk memabukkan orang atau membuat orang tidur lelap atau hilang akal, tidak dapat berkata (berbuat) apa-apa, bingung, terdiam atau dipukau.

Pukau adalah sejenis ilmu hitam yang diamalkan oleh pengamalnya untuk pelbagai niat dan tujuan seperti mencuri barangan berharga umpamanya barang kemas dan wang tunai tanpa disedari oleh mangsa. Individu yang menjadi mangsa pukau akan menyerahkan segalanya sebagai memuaskan kehendak si tukang pukau sekalipun tubuh badan mangsa.

Sejak kebelakangan ini kejadian pukau semakin menjadi-jadi. Kejadian pukau ini difahamkan pernah berlaku di sebuah kampung dekat Kota Bharu pada tahun 2012 dulu apabila mangsa pukau (seorang wanita) menyerahkan wang tunai berjumlah RM10,000 kepada si tukang pukau (juga seorang wanita) dengan hanya memberikan salam lalu dijawab oleh mangsa dengan salam juga. Mangsa mula menyedari dirinya dipukau apabila wanita si tukang pukau itu berlalu pergi dan telah terlindung dari rumah dan pandangan mangsa.

Kini, setelah empat tahun berlalu, kejadian pukau timbul kembali. Disebabkan pukau ini, mangsa menurut kata-kata si tukang pukau tanpa banyak soal kerana mangsa tidak lagi menyedari dirinya berada di mana, hanya yang didengarinya adalah patah-patah perkataan yang dituturkan oleh si tukang pukau.

Begitulah halnya yang terjadi ke atas mangsa, Hasnah Senik, 70, atau lebih dikenali Mak Noh dari Kampung Rantau Panjang, Rantau Panjang, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.

Menceritakan detik-detik dia dipukau kira-kira jam 12.00 tengah hari itu, Mak Noh berkata, kejadian itu berlaku pada 7 Mei, 2016 lalu. Ketika kejadian kira-kira jam 12.00 tengah hari itu dia berjalan seorang diri ke kedai untuk membeli barangan keperluan dapur seperti ikan dan lain-lainnya. Setibanya beliau di salah sebuah warung makanan berhampiran dengan Masjid Kubur, dia disapa dengan “salam” oleh seorang lelaki yang berusia kira-kira dalam lingkungan 50-an. 

Tujuan lelaki itu memberikan salam kerana ingin bertanya beliau tentang tempat tinggal Haji Deraman. Dia bertanya balik kerana agak kurang jelas tentang nama Haji Deraman yang dimaksudkan oleh lelaki itu. Kata lelaki itu, Haji Deraman bekas Wakil Rakyat (Tok Wakil). Mengetahui dengan jelas orang yang dimaksudkan, beliau memaklumkan bahawa kalau Haji Deraman bekas Tok Wakil sudah meninggal dunia. Akhirnya lelaki itu akur dan berlalu pergi.

Katanya lagi, selepas beliau melangkah kira-kira tiga langkah, kelihatan pula seorang lelaki yang usianya jauh lebih muda (kira-kira dalam usia 40-an) dari lelaki pertama tadi. Lelaki muda itu pun memberikan salam sebagaimana lelaki yang pertama itu. Lalu dijawab salam itu oleh Mak Noh tanpa menaruh sebarang perasaan curiga.

Apabila lelaki itu berhadapan dengan beliau, lelaki itu menunjukkan kepadanya sejenis batu sebesar hujung jari telunjuk yang bertatahkan emas dengan katanya barangan yang ditunjukkan itu akan diberikan secara “percuma”. Melihatkan batu itu seperti “rupa” emas, dia pun gusar kerana dia tidak mempunyai wang untuk membayarnya. Tetapi lelaki itu memberitahu, dia tidak perlukan “wang ringgit” sebaliknya sekadar “sedekah” kepada beliau.

Katanya, melihatkan bentuk fizikal batu itu, beliau bertanya lelaki itu apakah kegunaan dan keistimewaan batu yang bertatahkan emas itu. Tanpa dapat menjawab persoalannya, lelaki itu meminta beliau untuk bertemu dengan lelaki pertama tadi yang kini berehat di tempat yang teduh dengan mengenakan baju kemeja, seluar slack dan berketayap yang dikatakan berasal dari Pahang. Beliau kemudiannya mengekori lelaki kedua untuk menemui lelaki pertama tadi. Apabila tiba berhampiran dengan lelaki pertama itu, lelaki kedua memintanya supaya berhenti di di situ.

Lelaki muda (lelaki kedua) itu bertanya lelaki pertama kononnya Mak Noh itu ingin bertanya tentang fungsi batu itu. Habis saja pertanyaan lelaki kedua itu, Mak Noh melihat mulut lelaki pertama itu sedang kumat-kamit seperti membaca sesuatu ayat yang tidak didengarinya. Sebentar kemudian, beliau melihat lelaki pertama yang sedang membaca ayat itu tiba-tiba “menghembus” (meniup) ke arahnya.

Lelaki pertama yang selesai membaca ayat itu memberitahunya bahawa, apabila Mak Noh ingin menerima batu itu, beliau perlulah membaca surah “Al-Fatihah” (satu kali) dan selawat Nabi (tiga kali) dan beliau perlu berpaling ke belakang dengan perlu melangkah sebanyak tiga langkah ke hadapan, kemudiannya paling ke belakang (ke arah lelaki) itu kembali. Beliau akur dengan arahan lelaki pertama itu dengan menurut segala kehendaknya sehingga selesai.

Lelaki pertama itu kemudiannya menghulurkan batu yang bertatahkan emas itu kepada Mak Noh sebagaimana yang dijanjikannya. Kemudiannya, lelaki pertama itu meminta lelaki kedua (lelaki muda) itu supaya mencari dua pucuk sampul panjang kosong berwarna coklat. Apabila memperolehi dua pucuk sampul berwarna coklat itu, lelaki pertama tadi meletakkan batu berkenaan di telapak tangannya kemudiannya memasukkannya ke dalam salah satu sampul itu.

Lelaki pertama itu memberitahu beliau bahawa segala gelang yang ada di pergelangan tangannya tidak boleh dipakai olehnya dan beliau perlu menanggalkannya. Beliau memberitahu lelaki itu bahawa gelang yang dipakainya tidak boleh ditanggalkan disebabkan terlalu ketat kerana dipakaikan oleh anaknya supaya tidak tertanggal atau tercicir di jalanan.

Tetapi lelaki itu berkeras lalu lelaki itu cuba menanggalkan gelang di pergelangan tangannya. Akhirnya lelaki itu berjaya menanggalkan gelang itu dari pergelangan tangan Mak Noh. Selepas itu, lelaki itu “menyelak” kain tudung Mak Noh (sedangkan kain tudung itu telah melindungkan seutas rantai leher yang dipakainya) dan lelaki itu turut menanggalkannya juga. Gelang dan seutas rantai leher itu tadi dimasukkan oleh lelaki berkenaan ke dalam salah satu sampul surat itu. Lelaki itu menunjukkan kepadanya bahawa gelang dan rantai beliau telah dimasukkan ke dalam sampul yang dimaksudkan.

Lelaki itu memberitahu Mak Noh bahawa, gelang dan rantai leher yang telah dimasukkan oleh lelaki itu ke dalam salah satu sampul itu, Mak Noh tidak boleh membukanya di situ sebaliknya hendaklah membukanya apabila tiba di rumah. Selepas itu, lelaki berkenaan bertanya, adakah beliau membawa bersama beg kecil, beliau memberitahu lelaki itu bahawa beliau ada membawa beg kecil sebagaimana yang dimaksudkan.

Lelaki itu meminta beliau membuka pula beg kecil yang dibawanya. Dia akur dengan permintaan lelaki itu tanpa banyak bicara dengan membuka beg kecil yang dibawanya bersama. Lelaki itu kemudiannya melipatkan (dua kali lipat) salah satu sampul yang dikatakan diisi dengan gelang dan seutas rantai leher milik beliau lalu dimasukkan ke dalam beg kecil itu. Lelaki itu memintanya supaya tidak membukanya di jalanan sebaliknya membukanya apabila tiba di rumah.

Katanya, beliau kemudiannya beredar dari lokasi kedua-dua lelaki itu lalu menuju ke kedai yang dimaksudkannya untuk membeli peralatan dapur lalu melangkah pulang. Beliau kemudiannya memaklumkan kepada salah seorang adiknya yang bongsu kerana beliau begitu gembira pada hari itu kerana telah menerima barangan berharga dari lelaki yang dimaksudkan itu.

Belum selesai beliau menceritakan kejadian itu kepada adik bongsunya, adiknya bongsunya itu bertanya, ke mana gelang dan rantai lehernya. Beliau memberitahu adik bongsunya bahawa gelang dan rantai leher itu ada dalam sepucuk sampul yang telah dimasukkannya ke dalam sebuah beg kecil, sambil menunjukkan beg berkenaan kepada adik bongsunya.

Adik bongsunya itu meminta beliau menunjukkannya dengan segera. Adik bongsunya itu mengambil sepucuk sampul yang dikatakan mengandungi gelang dan rantai lehernya lalu mencurahkannya ke lantai. Alangkah terkejutnya beliau dan adik bongsunya bahawa, kandungan dalam sampul itu bukanlah gelang dan seutas leher miliknya yang dimasukkan ke dalam sampul itu sebaliknya beberapa skru basikal dan sekeping wang syiling lima puluh sen. Adik bongsunya itu memarahinya bahawa beliau telah terkena “pukau” oleh kedua-dua lelaki itu.

Menurutnya, inilah kali pertama kejadian seumpama itu berlaku terhadapnya dan di kawasan kampung itu. Beliau percaya, kejadian pukau di merata tempat malah berlaku pula di Tumpat, Kelantan bermula dari kampung itu.

Sementara itu menurut seorang peniaga, Wan Sharifah Omar, 54, atau lebih dikenali Wan Sharifah Colek dari kampung yang sama juga berkata, wang tunai RM2,000 yang disimpannya di rumahnya turut hilang. Ketika kejadian jam 2.00 petang itu, beliau ke rumah mertuanya untuk menyerahkan nasi bungkus. Apabila pulang, didapati wang tunainya itu hilang.

Selain itu menurutnya, pintu rumahnya dua kali ditendang oleh seseorang dalam kejadian yang berasingan, ketika dia berseorangan dan ketika bersama suaminya.

Ditanya tentang perasaannya ketika wang tunai miliknya itu dicuri orang, dia ketika itu tidak dapat menggambarkan tentangnya. Macam-macam hal yang timbul dalam fikirannya seolah-olah seperti “orang gila”. Ini kerana, dengan wang tunai itu untuk membayar rumah sewa, membayar bil air dan elektrik. Disebabkan kehilangan wangnya itu menyebabkan dia tidak lagi dapat berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalahnya itu.

Katanya, selepas menyedari wang tunainya itu dicuri, beliau turut menunaikan “solat hajat” sendiri, dilakukan di surau dan masjid. Adayang memaklumkan kepadanya, pastinya wang yang dicuri itu akan dikembalikan semula kepadanya, namun sehingga kini menurutnya, wang tunai itu tidak pernah dikembalikan kepadanya. Setelah kejadian itu, beliau membuat aduan polis dan akhirnya penjenayah dapat ditangkap juga.

Sementara itu, dalam kejadian yang berasingan, susulan tiga hari selepas kejadian Mak Noh dipukau, beliau pula dikunjungi oleh dua lelaki pendakwah (dua beranak) ke kedainya yang bertutur dalam dialek Indonesia untuk membeli “colek” dengan harga RM2. Salah seorang dari lelaki itu menyerahkan wang tunai RM50.

Beliau memberitahu, tiada wang kecil untuk dikembalikan kerana pada ketika itu kedainya baharu dibuka. Menurutnya, lelaki itu mengenakan baju-T dan seluar slack, namun wajahnya menghadap ke arah MyDin Shopping Centre. Apa yang beliau dapat tahu, kehadiran dua lelaki dua beranak berkenaan ke kedainya selepas kejadian di Pasar Raya MyDin mungkin ada kaitan juga.

Menyorot tentang kejadian jenayah di Rantau Panjang menurutnya, bukan sahaja pukau (cara baru menipu untuk mendapatkan barang kemas dan wang tunai) tetapi juga kejadian kehilangan dan kecurian motosikal sering berlaku di kawasan itu.

Kejadian yang berlaku di Rantau Panjang itu menurutnya semakin merebak sejak akhir-akhir ini. Dia sempat juga berpesan kepada suaminya, jika suaminya bekerja dia tidak akan menetap dalam rumahnya itu. 

Hasnah Senik atau Mak Noh.

Mak Noh ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Wan Sharifah Omar atau Wan Sharifah Colek.

Wan Sharifah Omar ketika diwawancara Wartawan RELATIF di Kampung Rantau Panjang.

 Kampung Rantau Panjang tidak sunyi dari aktiviti jenayah termasuk pukau.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan