RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Selasa, 10 Mei 2016

Pisang Berbuah Tengah Batang


PISANG BERBUAH TENGAH BATANG

PASIR MAS, KELANTAN: Sejak kebelakangan ini, kejadian aneh yang Allah tunjukkan kepada manusia agak semakin ketara, bukan berlaku semata-mata di sebuah tempat tetapi di banyak tempat. Apakah maksud di sebalik berlaku keanehan itu hanya Allah jua yang mengetahuinya, tetapi kejadian aneh terhadap haiwan, batu, kayu, daun, batang dan buah semakin pelik. Kalau sebelum ini, kita pernah mendengar tentang “pisang bertandan lima”, namun kejadian terbaharu adalah sebatang pokok pisang yang didapati berbuah di tengah batang.

Mungkin secara sedar atau tidak, kejadian aneh dan pelik ada di belakang atau hadapan rumah kita, laluan yang sering kita lalui mahupun di dalam hutan berdekatan dengan perkampungan kita.

Hal inilah sebagaimana yang diceritakan oleh seorang penduduk yang merupakan pemilik pisang berbuah di tengah batang, Rosnani Md. Derus atau Maksu Ani, 54, dari Kampung Cherang Tok Rong, Tendong, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh baru-baru bahawa, dia sendiri tidak mengetahui pokok pisang anehnya itu berbuah di tengah batang kerana sejak menanam beberapa batang pisang di kebunnya itu dia kurang memberikan perhatian terhadapnya.

Katanya, jika dilihat dari segi zahir atau secara imbas pokok pisang anehnya itu hampir sama dengan pokok-pokok pisangnya yang lain. Beliau yang sering melalui kebunnya itu setiap hari itu juga pada mulanya tidak perasan wujudnya keanehan itu kerana dia sekadar ke kebun dan pulang sebagaimana selalunya. Tetapi pada hari berikutnya, dia melihat sesuatu yang agak mengejutkan, tidak disangka dan memang aneh.

“Maksu dapat tahu pada suatu hari dalam bulan April 2016 lalu. Ketika Maksu masuk ke kebun pisang untuk mendapatkan serai lalang.

“Ketika dalam kebun itu, Maksu mendongak ke atas untuk melihat buah kuini. Dengan tidak disangka mata Maksu tersilau ke arah pokok dan buah pisang itu.

“Dengan tidak semena-mena terkeluar dari mulut Maksu, comelnya buah pisang ini. Jadi, sejak itulah Maksu mengetahui pokok pisang itu berbuah di tengah batang”, jelas Maksu Ani.

Katanya menambah, setelah mengetahui buahnya agak cantik, dia mula memanggil-manggil anaknya di rumah kerana jarak kebun pisangnya dengan rumahnya adalah agak hampir saja yang hanya dipisahkan sebatang jalan kampung.

Setelah anaknya datang, anaknya merakam foto pokok dan buah pisang itu untuk diabadikan dalam album kenangan. Setelah berjaya merakam foto pokok dan buah pisang itu, anaknya memasukkannya ke dalam media sosial, facebook.

Apabila ditanya, di mana beliau memperolehi benih pisang itu. Katanya, benih pokok pisangnya itu diperolehi dari Kampung Cherang Tok Rong itu juga. Tetapi dia tidak pasti, dari banyak pokok pisang lain yang turut ditanamnya, sebatang pokok pisang itu didapati berbuah di tengah batang.

Maksu Ani menambah, dia tidak membeli anak pokok pisang dari mana-mana individu sama ada dari penjual atau daripada jirannya, sebaliknya bakanya diperolehi daripada baka asal pokok pisang miliknya sendiri. Dengan kata lain, apabila salah sebatang pokok pisangnya mati tentunya sebelum pokok pisang asal itu mati, pokok pisang itu akan mengeluarkan anak secara "bertunas" (benihnya). Dari anak benih pokok pisang itulah dia menjaganya sebagaimana pokok pisang yang lain.

“Kini pokok pisang itu berusia kira-kira tujuh bulan. Kalau dilihat kira-kira 11 biji dalam satu tandan.

“Walau bagaimanapun, pokok pisang aneh itu telah berbuah buat kali kedua dan merupakan pokok dari anak kedua. Ketika kali pertama berbuah, buahnya ketika itu di bahagian atas, tetapi apabila berbuah kali kedua ini tumbuh di tengah batang pula”, jelas Maksu Ani.

Ditanya tentang boleh atau tidak dimakan pisang anehnya itu, dia menjelaskan, walaupun pisangnya dianggap aneh, namun pisangnya boleh dimakan sebagaimana pisang yang lain juga kerana keadaannya sama dengan lain-lain pisang. Sesuatu yang agak aneh yang sepatutnya tumbuh di bahagian atas (dekat pelepah), tetapi pokok pisang anehnya itu berbuah di tengah batang.

“Kebanyakan jiran-jiran dan penduduk Kampung Cherang Tok Rong ketika itu tidak mengetahui berita tentang keanehan pisang itu. Mereka mengetahuinya apabila melihat akhbar. Sejak itu, berita berkenaan tersebar luas.

“Pihak terawal yang mengetahui berita tentang keanehan pokok pisang itu adalah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Pihak mereka datang melihat sambil merakam foto pokok pisang tersebut”, ujar Maksu Ani.

Apabila ditanya, adakah pokok pisang itu patah yang menyebabkan tumbuhnya buah di tengah batang, dia menafikannya. Dia menjelaskan, pokok pisang itu tumbuh sempurna, tidak patah atau cacat. Cuma tandannya tumbuh di tengah batang itulah yang menyebabkan pokok pisang itu berbeza dengan pokok pisang yang lain.

“Maksu Ani hanya menggunakan baja bakar saja bukannya baja kimia untuk menanam pokok pisang itu. Cara menanam pun adalah sama dengan pokok pisang lain”, katanya.

Katanya menambah, sesuatu yang agak berbeza antara pokok pisang berbuah di tengah batang dengan pokok pisang yang lain adalah bentuk fizikalnya agak rendah dan kecil. Ini disebabkan pokok pisang berkenaan kekurangan bekalan air, apatah lagi keadaan musim kemarau sekarang akan menyebabkan tanah menjadi kering yang memungkinkan aliran air dan baja tidak diperolehi dengan sempurna.

Rosnani Md. Deris atau Maksu Ani.

Maksu Ani ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.


Maksu Ani bersama pokok pisang miliknya.

Bergambar kenangan bersama suami di kediamannya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan