RUMAH DIJILAT API
MACHANG, KELANTAN: Pepatah orang
tua-tua ada menyebutkan “api ketika kecil menjadi kawan, apabila besar
menjadi lawan”. Pepatah berkenaan ingin mengingatkan kepada banyak orang bukan
sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada golongan remaja dan orang-orang
dewasa. Ini kerana, apabila wujudnya kecuaian pastinya diri sendiri yang
menanggung akibatnya.
Api sama ada dari pelbagai punca
seperti dari mancis, puntung rokok mahupun elektrik pastinya tidak mengenal
sesiapa. Apabila api mula menyala, maraklah sudahnya dan akhirnya segala yang
disayangi menjadi abu, sekalipun nyawa manusia sendiri.
Atas dasar demikian, penggunaan
bekalan elektrik yang dinikmati di rumah perlu diperiksa sentiasa apatah lagi
dengan adanya penggunaan kemudahan lain dalam rumah seperti peti sejuk, peti
televisyen, seterika, mesin basuh dan peralatan elektrik yang lain. Peralatan
elektrik yang rosak perlu dibaiki atau diganti baharu malah pendawaian sendiri
di rumah perlu dielakkan kerana jika tersilap sambungan, padah yang menimpa.
Sejak kebelakangan ini, kejadian
kebakaran bukan sahaja berlaku di hutan, tetapi banyak kes rumah hangus dijilat
api berikutan cuaca panas yang melanda negara. Sementelah pula jika berlakunya
“litar pintas”, kejadian kebakaran pasti berlaku. Jika kejadian berlaku ketika
penghuni ada di rumah, mungkin kejadian ini dapat diselesaikan tanpa
menghanguskan harta benda dan pastinya akan dapat diselamatkan. Tetapi jika
sebaliknya, rumah berkenaan hanya tinggal abu. Usaha untuk menyelamatkan harta
benda pastinya terhalang disebabkan api semakin marak menyala.
Sebagaimana yang pernah berlaku
ke atas penduduk, Shamsuddin Idris, 67, atau lebih dikenali sebagai Rahim dan
isterinya, Azizah Yahya, 62, atau dikenali Che Som dari Kampung Kaabah,
Machang, Kelantan memang menyayat hati. Kebakaran yang berlaku jam 8.30 pagi
pada 8 Mei, 2016 itu telah memusnahkan sebuah rumah kayu dan simen di kampung
berkenaan.
Menurut ketua keluarga berkenaan,
Shamsuddin Idris (Rahim) memberitahu Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi pada
8 Mei, 2016 lalu. Beliau tidak dapat
menceritakan butiran sebenar kejadian kebakaran itu memandangkan pada waktu itu
dia tiada di rumah atas urusan kerjanya.
Dia mengetahui rumahnya terbakar
ketika pulang dari kerjanya, dia melihat asap berkepul ke udara. Ketika dia
tiba di rumahnya, didapati api telah mula merebak ke beberapa bahagian dalam
rumahnya.
Katanya, api itu datang dari arah
sudut tiang rumahnya yang menyebabkan kebakaran itu merebak. Dia hanya
mengesyakki bahawa punca api merebak dari arah belakang peti televisyen miliknya
yang bermakna dari permasalahan litas pintas atau elektrik.
“Saya tak pasti punca sebenar api
itu merebak. Tapi saya dapat tahu punca api merebak dari arah belakang peti
televisyen”.
“Ketika kejadian, keadaan
persekitaran menjadi panas, sebagai menandakan api sudah mula merebak. Rumahnya
ini berusia lebih 20 tahun yang dibina dalam dari kayu dan simen”, ujarnya.
Rahim menambah, kebanyakan
barangan yang ada dalam rumahnya yang berusia lebih 20 tahun itu semuanya
musnah dan dia bersama isterinya hanya tinggal sehelai sepinggang. Di antara
kenderaan yang musnah adalah sebuah kereta dan empat buah motosikal. Hanya
sebuah motosikal saja yang sempat diselamatkan.
Katanya, mungkin disebabkan
berita berkenaan begitu pantas tersebar menyebabkan ramai yang turut memberikan
bantuan. Pihak yang paling awal yang mengetahui kejadian itu adalah jiran
tetangganya sendiri.
Selain itu menurutnya, beberapa
wakil rakyat juga datang melawat sambil menghulurkan bantuan. Menurutnya,
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Datuk Hj Ahmad Jazlan bin Hj Yaakub turut memberikan
bantuan simpati dalam bentuk wang ringgit sebanyak RM5,000 selain dari pihak
lain sebanyak RM4,000.
Malah katanya, beliau turut
menerima bantuan ala kadar dari beberapa orang jiran tetangga dan penduduk
kampung berkenaan, diikuti sumbangan dari pihak istana.
Ditanya tentang rumahnya kini
yang telah hangus, beliau berhasrat membina rumah baharu menggantikan rumah
yang telah dijilat api itu.
Sementara itu menurut isterinya,
Azizah Yahya atau Che Som berkata, ketika kejadian dia pulang dari menoreh
getah dan melihat api sedang marak dekat pintu rumah. Walau bagaimanapun,
keadaan api itu masih dalam keadaan kecil dan belum marak lagi, hanya asap
sahaja yang kelihatan berpusar ke udara.
Katanya, ketika itu dia
mengetahui bahawa penduduk kampung termasuk jiran tetangganya telah cuba
sedaya upaya untuk memadamkan api itu dengan menyiram air untuk mengelakkan api
terus merebak walaupun masih kecil.
Ditanya punca kejadian kebakaran
itu, dia tidak menolak punca kejadian adalah api dan asap berkepul dari arah
belakang peti televisyen. Melihat keadaan api sudah mula membakar ketika itu,
dia cuba
menolak kenderaan yang diparkir di hadapan rumah supaya api tidak terus
menyambar kenderaan berkenaan, namun apalah tenaga wanitanya tentunya tidak berdaya
untuk menolak kenderaan yang terlalu berat apatah lagi berkunci. Dia cuba mencari
kunci kereta, yang mungkin penyebab kereta berkenaan terlalu berat, tetapi api
sudah mula menyambar di bahagian dapur rumahnya selepas itu.
Apabila ditanya tentang api yang
cepat menyambar dan membakar, adakah disebabkan tiupan angin, dia menafikannya.
Namun, penyebab segalanya adalah setong gas terletak berhampiran dengan pintu
rumahnya dan segelen minyak petrol. Walaupun ada sebuah tong gas dekat pintu,
tetapi tong gas itu tidak meletup, sebaliknya gas dari tong didapati keluar
menyebabkan api mudah dan cepat menyambar ke dalam rumah. Jadi usahanya untuk
mendapatkan kunci motosikal yang ada dekat halaman rumah juga tidak sempat
melihat keadaan api ketika itu.
Walau dalam keadaan itu, dia berusaha
menuju dalam rumahnya, tetapi apabila masuk ke dalam rumahnya buat kali kedua, wayar
elektrik berkenaan jatuh ke lantai rumah. Disebabkan detik-detik itu, dia tidak
lagi dapat memberanikan diri memasuki rumahnya melihatkan api sudah semakin
membesar.
Keadaan api ketika memakan sebahagian
barangan dan papan rumahnya di bahagian atas. Katanya, kepantasan api menyambar
bahagian dalam rumahnya adalah kira-kira lima
minit apabila beliau yang ketika itu berada dekat kenderaan di laman rumah terpaksa
berlari ke bahagian dapur juga tidak sempat disebabkan api begitu pantas.
Katanya, di antara barangan
terbakar selain dari dalam rumah seperti sebuah kereta, empat buah motosikal
dan hanya sebuah motosikal saja yang sempat diselamatkan, yang lain semuanya
habis terbakar termasuk barang kemasnya yang nilainya lebih RM10,000 juga tidak
dapat diselamatkan.
Orang terawal yang datang
menyelamatkan rumahnya ketika kejadian itu adalah dua pupu suaminya dan
jiran-jirannya yang lain.
Bagi yang ingin
membantu meringankan beban pasangan ini, bolehlah menghubungi isterinya di
talian: 011-29064273.
Shamsuddin Idris atau Rahim.
Rahim ketika diwawancara Wartawan RELATIF di tempat kejadian.
Azizah Yahya atau Che Som.
Che Som ketika diwawancara Wartawan RELATIF di tempat kejadian.
Bergambar kenangan dengan mangsa.
Kediaman hangus dijilat api.
Sebuah kenderaan yang diparkir di laman rumah turut dijilat api.
Motosikal turut rentung dijilat api.
Hanya sebuah motosikal yang terselamat.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan