SEKADAR YANG ADA
BACHOK, KELANTAN: Persoalan
kemiskinan wujud di mana-mana, baik di negara maju mahupun di negara membangun.
Hanya yang membezakannya, adalah bagaimana bentuk kemiskinan yang dialami oleh
negara masing-masing itu ditangani. Begitu juga di negara kita, soal penduduk
miskin itu tetap ada, cuma golongan miskin, daif dan golongan tidak berumah tidak
memaklumkannya kepada pihak tertentu, jadi ada pihak yang menganggap negara
kita adalah miskin sifar.
Apabila dibuat bancian dan kajian
baharulah kita menyedari, masih lagi wujud golongan miskin yang memerlukan
pembelaan, bantuan dan sumbangan yang sewajarnya sama ada dari pihak kerajaan,
badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat setempat mahupun golongan berada. Dalam
konteks ini juga, kita melihat ada golongan miskin yang terus tersisih jika
tiada bantuan mahupun sikap ambil peduli di kalangan masyarakat mahupun dari
agensi kerajaan sendiri, apatah lagi wakil-wakil rakyat setempat yang tidak
mempedulikan hal mereka.
Lazimnya, segelintir di kalangan
penduduk miskin akan berasa malu untuk menyuarakan masalah mereka, walaupun hakikatnya
mereka telah lama menanggung beban berkenaan. Jadi, adalah wajar wakil rakyat
yang menetap di kawasan terlibat turut memainkan peranan untuk turun padang melihat masalah
mereka. Jika tidak, si miskin akan terus berkeadaan seperti itu.
Dalam hubungan ini, Wartawan
RELATIF, Azmi Mohd. Salleh sempat meninjau
masalah sebuah keluarga enam beranak yang hanya menumpang di atas tanah rizab
kubur atas ihsan Ketua Kampung. Beliau yang dimaksudkan, Che Sepiah Che Soh
atau Che Bunga, 58, dan suaminya, Ismail Abdullah, 90, bersama anak-anak dan cucunya
yang menetap di Kampung Sador, Tawang, Bachok, Kelantan.
“Makcik sudah lama tinggal di
kampung ini. Tanah ini adalah rizab kubur milik Tok Penghulu.
“Syukurlah Tok Penghulu tidak
mengenakan sebarang sewa ke atas kami, jika tidak dengan apa yang harus makcik
bayar”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF.
Katanya menambah, kalau bercakap
soal harta, bukan setakat tidak memiliki tanah tetapi keluarganya tidak
memiliki harta yang lain. Kediamannya kini dibina di atas keringat, lelah dan
susah-payah keluargannya sendiri di situ. Itupun di atas jasa baik seorang
Ketua Kampung yang sanggup memberikan kebenaran kepada dirinya dan keluarganya menetap
di atas tanah itu. Jika tidak, dia dan keluarganya tidak lagi berada di kampung
itu.
“Makcik tinggal di sini atas
belas ihsan Tok Penghulu. Kalau suatu masa nanti, Tok Penghulu memerlukan tanah
ini untuk sesuatu tujuan dan makcik diarahkan keluar, terpaksa makcik akan keluar dari tanah ini” ujarnya dengan nada sedih.
Menurut ceritanya, pada awalnya
dia dan keluarganya itu patut tinggal di kampung lain, namun disebabkan terlalu
jauh, beliau tidak berapa setuju. Katanya, tanah tempat dia menetap sekarang
adalah tanah milik Tok Penghulu sejak tahun 1980-an lagi.
Apabila diminta menceritakan
bantuan yang pernah diterimanya ketika menetap di kampung itu, setakat ini
bantuan yang pernah diterima oleh beliau adalah dari pihak Majlis Agama Islam
dan Adat Istadat Melayu Kelantan (MAIK). Manakala pihak Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) menghulurkan bantuan kira-kira RM120 sebulan, sementara
suaminya memperolehi RM350. Katanya, disebabkan memperolehi sebanyak itu dia
hanya sekadar menerimanya dan bersyukur dari tidak memperolehinya langsung.
“Dengan bantuan dan sumbangan
itulah makcik dan keluarga menguruskan perbelanjaan harian secara
berjimat-cermat”, ujarnya.
Ditanya tentang bantuan
berkenaan, adakah cukup atau sebaliknya, beliau menjelaskan kalau diikutkan
memanglah tidak memadai, tetapi disebabkan beliau hanya menerimanya dalam
jumlah sebanyak itu, beliau redha terhadapnya. Apatah lagi, beliau yang sejak
dulu hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan ternyata beliau amat malu
untuk memintanya lagi.
Selain dari bantuan pihak MAIK
dan JKM, beliau juga ada menerima sedikit bantuan dari penduduk kampung yang
dianggap berada yang sanggup menghulurkan sumbangan apabila melihat keadaannya
dan keluarganya.
Dia sehabis daya untuk
berjimat-cermat dan tiada dalam kamus hatinya untuk berbelanja boros setelah
menerima bantuan dan sumbangan berkenaan. Ini kerana, beliau ingin menikmati
makanan sebagaimana orang lain, dia tidak mampu. Katanya, jika ada ulam dan
misalnya pucuk ubi, dia akan rebus pucuk ubi dan makan dengan budu saja.
“Kalau nak ikutkan, makcik suka
nikmati sebagaimana orang lain, tetapi disebabkan hanya ini yang mampu, makcik
akur dengan ketentuan-Nya”, jelasnya.
Dalam konsep jimat-cermat yang
diamalkan oleh beliau, jika ada lebihan wang belanja, dia akan membeli ikan
secara berjimat yang biasanya RM2 atau RM3 (seekor atau dua ekor ikan)
disebabkan ikan sekarang ini terlalu mahal. Jika tiada lebihan, dia tidak akan
membelinya, sekadar nasi dengan ulam dan rebusan pucuk ubi itu saja.
Tambah Che Bunga, setakat ini dia
tidak pernah merasa enaknya daging kalau digoreng, disinggan atau dibakar
kerana kos terhadapnya agak mahal. Kalau tekak berasa ingin merasa hidangan
itu, terpaksalah ditahannya saja, memandangkan wang yang ingin dibelanjakan
tidak mencukupi.
Katanya, dia dan keluarganya
hanya makan dua kali sehari saja untuk tujuan jimatkan beras yang kini hampir
kehabisan. Dia tidak mampu membeli beras secara kampit sama ada 5 kg atau 10
kg, tetapi hanya mampu membeli beras timbang dalam jumlah 1 kg atau 2 kg saja
setiap kali membelinya, beras itupun dijimatkan juga.
Manakala minum teh (air manis)
hanya sekali sehari saja dan tidak lebih dari itu, malah kadang-kadang ia
digantikan dengan air masak saja. Ditanya adakah pernah berasa ingin menikmati
air milo, beliau menjelaskan, hal itu memang ada, namun melihatkan keadaan
keluarganya dia tidak mampu berbuat demikian, malah terpaksa ditahan juga
keinginannya itu.
Apabila ditanya tentang
perasaannya yang bukan sahaja tidak memiliki harta, namun tidak mempunyai tanah
sebagaimana orang lain yang begitu selesa memiliki harta, rumah dan tanah
sendiri, dia menjelaskan, dia tidak dapat menggambarkan tentang hakikat itu.
Mungkinkah dia hanya mampu menumpang semata-mata tidaklah beliau ketahui.
Menurutnya, disebabkan tinggal di
atas tanah milik orang terpaksalah beliau bekerja sendiri untuk mencari
pendapatan tambahan dengan mencari dan memetik pokok nipah untuk dijual di
pasar. Dengan hasil jualan pokok nipah itulah dia memperolehi sedikit pendapatan
tambahan yang tidak seberapa (lazimnya yang diperolehinya sekitar RM3 dari
jualannya). Beliau terpaksa melakukan kerja-kerja tambahan berkenaan berikutan
suaminya tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja disebabkan faktor usia dan
kesihatan yang tidak menentu.
“Daripada duduk di rumah yang
tentunya tidak dapat apa-apa, lebih baik makcuk usahakan kerja sekadar mampu.
Takkan nak tunggu bantuan sebulan sekali, sebab dalam tempoh itu tentunya wang
belanja akan habis”, ujarnya.
Membicarakan tentang suasana hari
raya Aidilfitri pula, katanya dia tidak dapat menikmati suasana hari raya yang
meriah sebagaimana keluarga-keluarga yang lain melihat kepada keadaan beliau
dan keluarganya itu. Selepas menunaikan solat hari raya, dia dan keluarganya hanya
tinggal di rumah itu sebagaimana di hari-hari yang lain juga kerana tidak
berkemampuan seperti yang lain.
Apabila diminta menceritakan
kehidupan penduduk Kampung Sador itu, menurutnya, kebanyakan penduduk di
kampung berkenaan adalah pekerja kampung seperti buruh kasar (tukang rumah).
Apabila ditanya tentang menyadat kelapa untuk diambil niranya dan memetik
kelapa kerana melihatkan banyaknya kelapa di kampung itu, beliau menjelaskan,
dewasa ini tiada lagi kerja menyadat dan memetik kelapa di kampung itu kerana
upahnya tidak seberapa (agak kecil).
Katanya, jika suaminya menghadapi
masalah kesihatan pihak hospital akan membawanya ke hospital. Pihak ambulan
akan memberikan perhatian berkenaan dengan segera apabila dimaklumkan.
Dalam hal ini, dia tidak pernah
ke hospital bersendirian kerana masalah tambang kenderan yang agak mahal
membantutkan keluarganya untuk berbuat demikian. Justeru, dengan bantuan pihak
ambulan akan memudahkan suaminya menerima rawatan yang sepatutnya.
Ditanya tentang tambang kenderaan
persendirian, tambang seorang ke hospital di Bachok adalah RM10 (pergi/balik).
Dengan jumlah wang tunai RM10 itu dia sudah jimat untuk membeli beras dari
tambang kenderaan yang agak mahal.
Ditanya pula tentang pengwujudan
Klinik 1Malaysia, beliau menjelaskan dia tidak pernah bertandang ke klinik
berkenaan yang letaknya di Jalan Panji, Kota Bharu yang jaraknya agak jauh dari
kediamannya sekarang. Sepatutnya, klinik ini diwujudkan hampir dengan kebanyakan
penduduk di Kampung Sador itu.
Katanya, dia hanya berharapkan
bantuan cucunya yang lelaki dalam melakukan kerja-kerja berat memandangkan
kebanyakan anak dan cucunya yang lain adalah perempuan.
Jika ingin
menyumbang, datang sendiri ke Kampung Sador, Tawang, Bachok, Kelantan atau
menghubungi cucunya, Mohd. Khairul Azhar di talian: 012-9925132
Che Sepiah Che Soh atau Che Bunga.
Che Bunga ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Keluarga ini begitu teruja dan gembira dengan kehadiran kami. Kelihatan cucu lelaki, Mohd. Khairul Azhar yang menjadi harapannya.
Keadaan rumah Che Bunga (atas) dan kediaman anak dan cucunya (bawah).
Inilah daun nipah yang diusahakan oleh Che Bunga untuk menambah pendapatan beliau dan suaminya.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan