BANTUAN MODAL NIAGA
TANAH MERAH, KELANTAN: Wakil
rakyat adalah pemimpin sesuatu parti politik yang dipilih oleh rakyat setelah
berjaya membentuk kerajaan. Apabila pemimpin berkenaan sebagai wakil mereka,
adalah wajar wakil rakyat memainkan peranan yang sesuai dengan keadaan dan
keperluan semasa. Sebagai wakil rakyat juga, mereka perlu bersikap adil dan
saksama dalam apa jua tindakan. Mereka perlu utamakan kepentingan rakyat dan
tidak wajar hanya mengutamakan diri sendiri atau parti semata-mata.
Sebagai wakil rakyat juga mereka
perlu melihat dan selalu meninjau masalah dan keperluan rakyat dan tidak wajar
menjadikan rakyat terabai atau diabaikan sehingga ada di kalangan mereka yang
hidup melarat, daif dan dalam kemiskinan. Ada
di kalangan rakyat yang tidak mempunyai kerja, tidak dapat makan, tiada tempat
tinggal (rumah) dan terbiar tanpa dipedulikan. Wakil rakyatlah tempat mereka
mengadu. Tetapi jika wakil rakyat itu hanya pentingkan diri sendiri dan
kelompok di bawahnya saja, maka rakyat yang lain pastinya terbiar, tersisih dan
seperti dipinggirkan.
Derita rakyat sebenarnya akan
mencapai tahap yang tidak dapat digambarkan jika pemimpin yang mereka pilih
hanya pentingkan diri sendiri tetapi membiarkan rakyat dalam derita. Apabila
disebutkan “rakyat” tentulah mereka memerlukan pembelaan dalam segenap segi.
Disebabkan rakyat itu agak ramai
apatah lagi dalam situasi sekarang, mungkin ada di kalangan rakyat yang patut
diberikan tumpuan dan pembelaan turut terabai atau terlepas pandang. Jadi, ada
rakyat yang hidup di bandar atau di kawasan yang selalu dilihat akan sentiasa
mendapat peluang pembelaan. Namun, bagaimana pula jika rakyat berkenaan yang
tinggal jauh ke pedalaman, menyebabkan mereka seperti disisihkan. Apatah lagi,
jika rakyat itu saja yang memperolehi kemudahan dan pembelaan, sedangkan ada
rakyat lain yang sebaliknya?
Wartawan RELATIF, Azmi Mohd.
Salleh sempat meninjau keadaan seperti ini
apabila ada di kalangan rakyat yang seperti tersisih akibat tiada perhatian
daripada pihak wakil rakyat mereka. Salah seorang yang dimaksudkan, Latifah
Ismail, 52, dari Kampung Batu 5 Dalam, Jalan Jedok, Tanah Merah, Kelantan yang
merasakan diri dan keluarganya seperti disisihkan oleh wakil rakyat dan
pemimpin-pemimpin yang lain.
Beliau yang menetap di kampung
itu dari zaman ibunya sebagai peneroka tanah sejak sebelum merdeka lagi.
Disebabkan menetap terlalu lama di kampung itu dia sudah kenal hati budi
penduduk yang lain dalam kampung berkenaan. Dia tidak pernah rasa kecil hati
dengan jiran-jirannya yang lain, namun disebabkan sikap segelintir pemimpin
politik yang dikatakan berat sebelah menyebabkan dia dan keluarganya berasa
terpinggir dan seperti dipinggirkan.
Maksudnya, apabila
penduduk-penduduk lain di kampung itu mendapat bantuan atau peruntukan seperti
membaiki dan membaik pulih rumah dan sebagainya, tetapi beliau tidak pernah
menikmatinya sebagaimana yang lain.
Katanya, tidak wajarlah orang
yang sama memperolehi segala bantuan dan kemudahan daripada pihak kerajaan
sedangkan ada lagi rakyat yang perlukan hal yang sama. Kalau wakil rakyat itu
bersikap adil, bantulah rakyat menurut giliran.
“Kalau boleh biarlah ikut
giliran, jika hari ini dia dapat, untuk bantuan seterusnya orang lain. Tetapi
jika diberikan kepada orang sama, memang tidak patut”, ujarnya ketika ditemui
di kediamannya itu.
Menurut Latifah, di antara bentuk
bantuan terkini yang diberikan oleh kebanyakan parti dan pemimpin terbabit
seperti zink, rumah atau bantuan untuk membaiki rumah rosak. Sesuatu yang
mendukacitakannya ialah, apabila bantuan itu diperolehi keluarga yang
memperolehinya itu akan mendiamkannya dari pengetahuan keluarga lain termasuk
dirinya. Setakat ini, beliau belum pernah menerima bantuan dari mana-mana pihak
walaupun bantuan tersebut amat diperlukan oleh keluarganya sebagaimana
penduduk-penduduk yang lain.
“Ada penduduk tertentu yang dapat bantuan,
mereka mendiamkan saja dengan tidak memaklumkannya kepada orang lain. Jadi,
orang lain tidak tahu yang ketika itu ada bantuan bagi yang layak”, ujarnya.
Apabila ditanya, adakah beliau
pernah menemui wakil rakyat untuk memaklumkan hal berkenaan. Katanya, dia tidak
pernah berbuat begitu kerana rakyat sepertinya yang dianggap tidak tersohor
tentulah pihak lain pun tidak mengenali beliau dan keluarganya. Katanya, wakil
rakyat pernah beberapa kali melalui laluan di kampungnya itu tetapi hanya
menemui penduduk yang lain bukan datang ke rumahnya.
Menurutnya, bukan saja Wakil
Rakyat yang tidak pernah menjenguk beliau sebagai penduduk jati kampung itu,
Ketua Kampung juga seperti berat kaki untuk melihat keadaan keluarganya dan
apakah yang diperlukan oleh beliau dan keluarganya.
Dalam pada itu, adiknya yang
telah disahkan oleh pihak doktor apabila disahkan sebagai pesakit kanser, pihak
terbabit juga enggan datang melihat keadaan keluarganya berbanding dengan
keluarga yang lain. Hanya sekadar bertanya khabar dari jauh sedangkan melihat
dari dekat tidak pernah.
Katanya, kalau sesetengah
keluarga lain menerima banyak bantuan berupa zink, rumah dan membaik pulih
keadaan rumah yang kurang, daif dan rosak, namun dia hanya memerlukan modal
untuk perniagaan saja. Ini kerana, jika tiada modal dia tidak boleh
mengembangkan perniagaan runcit sebagaimana yang ada sekarang. Banyak kali juga
pembeli yang datang, namun barangan yang diperlukan tiada di kedainya
disebabkan ketiadaan modal tersebut.
Beliau pernah mendaftar talian
“e-kasih” pada bulan Februari 2015 berhubung dengan bantuan modal perniagaan,
namun sehingga hari ini dia tidak pernah menerima jawapan tentangnya sama ada
permohonannya berjaya atau gagal, pihak terbabit memberikan perhatian atau
mengabaikannya.
Berhubung dengan hal ini, pihak
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak pernah datang melawat dan melihat
keadaannya. Dia memohon bantuan modal dengan pihak berkenaan kerana amat perlu,
jika tidak tentunya dia tidak bersungguh-sungguh. Dia sememangnya berharap agar
permohonan berkenaan diluluskan kerana melihat kepada bidang yang diceburinya
itu kini semakin maju, namun disebabkan masalah modal yang membantutkan
segalanya.
Katanya, banyak perkara perlu
diberikan perhatian dan perlu dibangunkan di kampung berkenaan, salah satunya
ialah di kampung berkenaan ketiadaan stesen minyak. Keperluan minyak kenderaan
amat diperlukan memandangkan, kebanyakan penduduk akan keluar ke stesen minyak
yang letaknya agak jauh dari kampung itu, apatah lagi jika kenderaan mereka
kehabisan minyak, masalah itu pastinya merumitkan.
Tambah beliau lagi, keadaan dan
mutu jalan yang kurang memuaskan selain keadaan jalan yang agak sempit juga
perlukan perhatian pihak terbabit.
Justeru, jika ingin melihat
rakyat selesa, cukup dengan segala kemudahan, rakyat perlu diberikan perhatian
sewajarnya. Jika tidak, masalah yang menghantui rakyat tidak akan selesai dan
wakil rakyat hanya dengan dirinya sendiri, kononnya rakyat di bawahnya sudah
selesa sedangkan jika dilihat dari dekat adalah sebaliknya.
Latifah Ismail.
Latifah Ismail ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kedai runcit miliknya.
Tonton Video:
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan