RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Jumaat, 10 Jun 2016

Ternakan Puyuh Paksu


TERNAKAN PUYUH PAKSU

PASIR MAS, KELANTAN: Tidak ramai yang menternak puyuh secara komersial, namun yang sering ditemui adalah ternakan puyuh secara kecil-kecilan yang sekadar sebagai hidangan untuk keluarga semata-mata. Namun, dalam sukarnya mencari penternak dan pengedar puyuh di Kelantan yang dilakukan secara komersial, terdapat seorang penternak yang dianggap berjaya apabila puyuh yang diternaknya itu sering kehabisan bekalan kerana memenuhi tempahan yang tidak menang tangan. Ini menunjukkan, ternakan puyuh komersial menjanjikan pendapatan yang lebih baik bagi kalangan pengusaha yang berminat dengannya.

Seorang Pengusaha Ternakan Puyuh yang dimaksudkan, Ismail Sulaiman, 65, atau beliau lebih selesa dipanggil Paksu dari Kampung Tempoyak, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan berkata, beliau menternak puyuh itu sejak 18 tahun lalu dengan mendapat bimbingan dan seliaan daripada pihak Felcra.

“Ketika Paksu mula-mula menternak puyuh ini, kira-kira 4,000 ekor benih puyuh telah dimasukkan dalam rumah puyuh ini dengan usianya kira-kira 22 hari”, jelasnya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh berhampiran dengan kediamannya.

Katanya, untuk membesarkan puyuh ini dia terpaksa mengenakan “umpan”. Maksud umpan adalah makanan yang perlu kepada puyuh (peringkat bayi). Makanan ini dalam bentuk “dedak”. Usia burung puyuh yang diternaknya dalam dalam rumah berkenaan dalam usia 22 hari dan ada telah berusia dua bulan.

“Puyuh pada peringkat bayi (berusia 22 hari) dan puyuh yang berusia dua bulan (puyuh matang) memerlukan makanan kira-kira dua (2) beg sehari. Manakala harga bagi satu beg ialah RM50”, tambah Paksu apabila ditanya tentang makanan puyuh-puyuh berkenaan.

Membicarakan tentang puyuh yang mati akibat serangan penyakit pula, setakat pengalamannya menternak puyuh kira-kira 18 tahun lalu, amat jarang berlaku hal yang sedemikian. Namun, hanya terdapat kira-kira dua atau tiga ekor saja yang mati yang berpunca dari puyuh itu sendiri yang hidup bersesak-sesak.

“Setakat ini tak pernah Paksu alami puyuh yang yang mengalami serangan kutu sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada puyuh itu. Namun katanya, jika berlaku hal yang sedemikian, persediaan rawatan sentiasa diberikan perhatian”, katanya.

Menurutnya, selain makanan seperti “dedak” perlu disediakan kepada burung puyuh tersebut untuk mencerdas puyuh itu, penyediaan air minum juga tidak diabaikan dan sentiasa diberikan perhatian. Lazim yang dilakukannya ialah, persediaan air minum disediakan di sebelah pagi saja.

Tambahnya, sebelum air dimasukkan ke dalam bekas minuman, bekas itu perlu disuci terlebih dahulu kerana, bukan saja kotoran dari najis puyuh, pasir dan baki air yang sedia ada pastinya tercemar.

Baginya, tidak wajarlah bekas air itu tidak dicuci atau hanya menambah air yang sedia ada kerana bekas pastinya akan kotor atau bercampur dengan kotoran dari muncung puyuh itu yang meminum air yang dibekalkan dalam bekasnya.

Kata Paksu lagi, puyuh akan mula bertelur apabila telah matang dalam usia dua bulan. Tempoh puyuh mampu bertelur apabila berusia satu tahun. Hanya sebiji sehari telur dihasilkan bagi setiap ekor puyuh, itu lazim bagi puyuh yang betul-betul sihat, cukup makanan dan persekitarannya yang perlu sentiasa dijaga. Ini bermakna, dalam sebulan kira-kira 30 atau 31 biji puyuh dapat menghasilkan telur yang betul-betul sihat.

Ditanya tentang tempoh matang boleh disembelih bagi puyuh-puyuh berkenaan, beliau menjelaskan, apabila puyuh berkenaan telah berusia kira-kira 22 hari, puyuh berkenaan boleh disembelih untuk diambil dagingnya. Ini kerana, daging puyuh ketika usia ini agak enak dan lembut. Bahkan menurutnya, tidak diambil kira sama ada puyuh telur atau puyuh daging boleh disembelih apabila telah cukup matangnya kerana kedua-duanya adalah sama saja.

Menurutnya, beliau memasarkan sendiri kebanyakan puyuh yang diternaknya itu dan akan dihantar berdasarkan kepada permintaan dan tempahan dari beberapa buah restoran di Kota Bharu, kedai-kedai yang menempahnya. Selain itu, beliau juga menghantar kepada beberapa pasar tani seperti pasar tani di Kuala Krai, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Wakaf Baharu.

Katanya, dia memasarkan sendiri daging puyuh ke beberapa pasar tani itu kira-kira 30 kg dengan harga pasaran bagi sekilo RM18 (dikira harga borong). Tetapi jika harga runcit, beliau menjualnya dengan harga RM19.

Dalam tempoh masa 18 tahun sebagai penternak puyuh, dialah sebagai pengedar utama puyuh dan daging puyuh ke serata tempat berdasarkan tempahan yang dibuat kepadanya.

Menurutnya, selain untuk bekalan tempatan dan keluar darah, terdapat juga pembeli dari luar yang pernah datang mendapatkan bekalan puyuh darinya dengan harga yang sama iaitu harga borong RM18 dan harga runcit RM19. Beliau tidak boleh meletakkan harga tersebut menurut sewenang-wenangnya, beliau sebagai pengedar perlu mengikut standard pasaran semasa.

Katanya, jika kehabisan bekalan puyuh, beliau boleh memperolehinya mengikut masa yang ditetapkan dari pihak-pihak tertentu berdasarkan kepada pusingan bekalan itu. Tentang hal ini, beliau tidak perlu berfikir dan beliau tidak pernah pening kepala berfikir bagaimana untuk mendapatkan bekalan baharu.

Sepanjang pengalamannya mengedar burung puyuh, dia tidak pernah menghadapi masalah tentang bekalan dan sambutan terhadapnya agak menggalakkan. Ini kerana, masyarakat hari ini tidak terbatas bukan sahaja menggemari ayam dan daging, namun puyuh memang sering kehabisan bekalan disebabkan citarasa masyarakat hari ini yang pelbagai, apatah lagi daging puyuh memang enak dan lazat.

Beliau sebagai pengedar puyuh yang utama di Kelantan memang mengenali setiap pelanggannya yang sering menempah darinya dan beliau bersyukur dengan usaha yang dilakukannya tanpa menghiraukan penat lelahnya selama ini memang berbaloi.

“Kalau ditanya, mana lebih baik antara ayam dan puyuh, saya memilih daging puyuh labih baik dan enak dimakan”, ujar Paksu.

Malahan setahunya, puyuh juga mempunyai khasiat merawat penyakit yang dialami manusia seperti penyakit lelah dan sebagainya. Ini ternyata, puyuh mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding ayam.

Ismail Sulaiman atau Paksu boleh dihubungi di talian: 012-9374828

Ismail Sulaiman atau Paksu.

Paksu ketika diwawancara Wartawan RELATIF di hadapan reban puyuh miliknya.


Paksu bersyukur dengan apa yang dilakukannya sekarang.


Contoh puyuh montel, sihat dan matang untuk disembelih dan dijual.





Usia puyuh ini telah matang.


Puyuh yang masih kecil (bayi) dilingkungi besi bagi mengelakkannya keluar.

Contoh telur puyuh dalam peringkat subur. Yang lain sudah dijual.


Makanan atau dedak puyuh.



Sejumlah kampit makanan dan dedak puyuh.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan