BAHANA POKEMON GO
DEMAM Pokemon Go sudah bermula
apabila permainan berkenaan yang dibangunkan oleh Syarikat Niantic dan Nintendo Co. Ltd di
Amerika Syarikat sudah melanda Malaysia sejak 6 Ogos, 2016 lalu dan aplikasi
permainan siber itu boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing
bermula tarikh itu.
Walaupun permainan ini dianggap
baharu di Malaysia, namun
terdapat beberapa negara yang telah mengharamkannya seperti Arab Saudi dan Iran
kerana boleh mengancam keselamatan dan sehingga meragut nyawa.
Di Malaysia, pada awalnya hanya
Wilayah Persekutuan saja yang mengharamkan aplikasi permainan Pokemon Go. Kini,
diikuti pula Jakim dan lima negeri seperti Sarawak, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang menyokong
diharamkan. Sementara enam negeri lagi terdiri dari Negeri Sembilan, Kelantan,
Perlis, Pahang, Selangor dan Sabah masih belum
memberikan kata putus tentangnya.
Namun, dari konteks anak muda bertanggapan
mereka begitu teruja dengan kehadiran aplikasi realiti ini sebagai permainan
yang menghiburkan dan boleh menghilangkan tekanan. Apatah lagi, dengan
kehadiran permainan seperti ini, kemungkinan selepas ini akan wujud bentuk
perniagaan baharu atau dikenali juga “bisnes online” yang dimuat naik ke media
sosial. Mungkin juga permainan ini boleh dimanfaatkan sebilangan anak muda yang
masih belum mendapat sebarang kerja, dengan wujudnya permainan seumpama ini,
akan hilanglah rasa kebosanan itu. Bahkan amat beruntung juga bagi yang mahir
dengan Teknologi Maklumat (IT), kerana permainan ini menggunakan teknologi berkenaan.
Kaedah permainan ini adalah untuk
menangkap watak raksasa Pokemon maya di dunia sebenar melalui penggunaan kamera
telefon pintar masing-masing di beberapa lokasi dengan bantuan teknologi sistem
kedudukan global (GPS).
Mungkin bagi segelintir anak muda
yang mendakwa permainan seumpama ini boleh menggembirakan mereka kerana amat
berbeza dengan permainan lain yang dimuat turun sebelum ini. Namun, kita lihat
pula dari sudut lain, adakah ia boleh meragut nyawa penggunanya sendiri selain mengancam
keselamatan jika mereka terlalu leka dengan permainan itu?
Ini kerana, watak Pokemon yang
kadang-kadang muncul di kawasan laluan yang sibuk, jika pemainnya berada dalam
keadaan lalai kerena menumpukan kepada permainan tersebut, mereka tentunya
terdedah kepada bahaya dilanggar kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Jika
mereka berada di kawasan jambatan, mereka tentunya turut terdedah kepada bahaya
sama ada terjatuh atau terpaksa terjun dari jambatan itu semata-mata untuk mengejar
dan untuk menangkap watak Pokemon tersebut.
Sesuatu yang patut difikirkan
tentang permainan itu tentang bahayanya kepada keselamatan negara berikutan ia
dibangunkan teknologi GPS. Jika pemainnya memasuki premis yang menyimpan
pelbagai maklumat dan data rahsia seperti balai polis, bank dan sebagainya, GPS
akan mengesan dan mengakses tempat permainan itu. Dibimbangkan data yang
dirahsiakan dan disembunyikan selama ini mudah diakses atau mudah dilihat pihak
lain secara tidak sedar yang hanya berpunca dari permainan.
Dalam soal ini, kita tidak tahu apakah
tujuan atau matlamat permainan seperti ini dibangunkan dengan teknologi GPS sedangkan
jika dibandingkan dengan permainan lain yang tidak menggunakan sistem
berkenaan. Apakah ia bertujuan untuk mendapat maklumat sulit yang selama ini
tersimpan secara rahsia? Justeru, dengan membangunkan aplikasi ini, akan lebih
memudahkan sistem yang rahsia dan sulit itu diperolehi.
Apa yang perlu dibimbangkan
penggunaan sistem ini ke dalam aplikasi permainan sebagai suatu muslihat negara-negara
tertentu untuk “mengintip” kerahsiaan negara lain secara sulit, sembunyi dan
tanpa disedari oleh banyak pihak. Jika keselamatan seumpama ini diabaikan, kita
bimbang negara akan berada dalam kancah bahaya dan ia perlu ditangani dengan
cara yang bijaksana.
Kita juga ingin memperingatkan
bahawa, jika permainan ini tidak diberikan perhatian atau kawalan tentang
penggunaannya, dibimbangkan suatu masa nanti, sistem ini boleh mewujudkan
“perang” maya ke dalam dunia realiti yang bukan sahaja boleh dilakukan oleh
negara-negara yang mempunyai kuasa teknologi tinggi dari jarak jauh menggunakan
sistem global (GPS) itu, tetapi perang sebenar boleh diwujudkan oleh pemain itu
sendiri.
Memang kita boleh berkata “tidak”
atau mungkin juga ada pihak-pihak yang menganggapkannya sebagai “mengarut”,
tetapi sikap berhati-hati itu perlu ada sebelum kejadian sebenar berlaku. Ini
kerana, apabila dikatakan “teknologi”, teknologi boleh dimanfaatkan secara
berhemah dan tidak. Tetapi jika ia disalah gunakan, hancurlah dunia itu.