RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Rabu, 10 Ogos 2016

Ternakan Ikan Keli Jak


TERNAKAN IKAN KELI JAK

TANAH MERAH, KELANTAN: Antara ikan yang diternak dalam kolam, ikan keli paling ramai penggemarnya. Berpunca dari hal inilah yang menyebabkan pengusaha dan penternak ikan keli muncul di beberapa tempat dalam jumlah yang ramai. Apatah lagi, ikan keli tidak cerewet, mudah diternak, tahan dengan keadaan sistem pengairan dan kualiti air yang keruh atau berkelodak, sementelah pula bahan makanan ikan berkenaan juga mudah diperolehi. Manakala bagi sesetengah penggemar ikan keli pula mendakwa, ikan keli enak dimakan walaupun dimasak dalam pelbagai cara.

Di Kelantan misalnya, pengusaha dan penternak ikan keli begitu teruja apabila ikan keli yang diternak dalam kolam membesar begitu cepat, sementelah pula hasilnya akan diperolehi dengan cepat. Salah seorang penternak yang dimaksudkan, Zainuddin Awang atau Jak, 46, dari Kampung Cita Jaya, Batu 6, Tanah Merah, Kelantan.

“Saya memulakan projek menternak ikan keli dalam kolam ini pada 22 Ogos, 2015. Sepatutnya sudah lama mengusahakannya, tetapi akibat masalah modal, terpaksalah ditangguhkan”, jelasnya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim. 

Katanya, modal yang diperlukan untuk projek ini kena lihat kepada anak ikan (segar) itu. Lazimnya, benih ikan segar ini dijual dengan harga RM0-05 sen (seekor). Manakala dedak ikan cap katak boleh dibeli dengan harga RM3 sekilo, sementara bagi satu beg pula berharga RM60 lebih. Makanan ini dapat bertahan hanya dalam tempoh dua minggu sahaja dan selepas kehabisan beliau perlu membelinya lagi.

Walau bagaimanapun, untuk menjimatkan perbelanjaan membeli makanan ikan yang agak terlalu mahal itu, beliau mula memberikan perut dan usus ayam. Perut dan usus ayam ini bukanlah terus diberi makan kepada ikan itu dengan cara mentah, sebaliknya beliau akan merebusnya terlebih dahulu. Perut dan usus ayam ini pula diberi makan kepada ikan-ikan keli di kolamnya itu sebanyak dua kali sehari.

Menurut Jak, dia mendapatkan benih (anak ikan keli) itu dengan membelinya daripada pihak Jabatan Perikanan Machang. Modal yang perlu dikeluarkannya untuk mendapatkan benih ikan itu adalah kira-kira RM1,000 disebabkan beliau menternak ikan dalam sebuah kolam yang menampung jumlah yang banyak.

Menurutnya, pada permulaannya dia melepaskan benih ikan keli dalam kolam yang telah disediakannya itu kira-kira 11,000 ekor dan setakat ini dia telah berjaya menjual ikan-ikan kelinya itu kira-kira dalam 60 kg. Katanya, kerap kali juga dia menjual ikan kelinya itu yang belum sampai tempoh untuk dipungut dari kolam, tetapi disebabkan permintaan ikan keli itu yang terlalu ramai, beliau akur dengan keadaan itu. Hakikatnya, jangka masa sesuai atau tempoh matang ikan-ikan keli boleh dipungut dari kolam apabila mencapai usia 3 bulan.

Menurut Jak lagi, penggunaan air bagi kolam ikan kelinya tidak perlu dirawat memandangkan air yang ada dalam kolam ikannya itu adalah air yang sentiasa mengalir dan bukannya air yang sering bertakung. Katanya, jika air yang tidak mengalir sebagaimana yang lazim digunakan oleh kebanyakan pengusaha ternakan ikan, apabila air dalam kolam itu tidak mengalir, kira-kira sebulan sekali air itu perlu sentiasa ditukar.

Tetapi air dalam kolam ikan miliknya sentiasa mengalir iaitu air masuk dan air keluar. Justeru, air dalam kolamnya itu adalah air bersih yang sentiasa berganti. Bahkan menurutnya, keistimewaan ternakan ikan dalam air bersih dan sentiasa mengalir ini akan menjadikan ikan yang diternak itu sentiasa bersih dan tidak berbau, ikan menjadi segar dan cepat membesar.

“Kolam kami tidak sebagaimana kebanyakan kolam yang bertakung airnya. Kolam kami kami bersih kerana airnya sentiasa mengalir. Apabila air sentiasa mengalir, ikan yang diternak pun segar”, ujarnya.

Keluasan kolam ikannya itu mencecah 30 kaki panjang dan 30 kaki lebar. Manakala kedalaman kolamnya pula di antara tiga dan empat kaki saja iaitu antara paras pinggang dan paras dada. Kedalaman kolam seumpama ini menurutnya adalah paling sesuai untuk spesis ikan keli. Ini kerana, ikan keli tidak menggemari kolam atau air yang terlalu dalam.

Apabila ditanya tentang masalah ikan-ikan keli yang diternak dalam kolam mendapat penyakit, katanya, setakat ini masalah seperti itu belum berlaku di kolamnya. Ini kerana, apabila air yang digunakan di dalam kolamnya itu adalah air yang sentiasa mengalir akan menyebabkan ikan-ikan yang diternaknya akan sentiasa segar. Ikan keli mudah mendapat penyakit apabila air yang digunakan di dalam kolam adalah air yang tidak mengalir.

“Cuma, pernah tiga kali ikan keli yang diternak dalam kolam itu mendapat gangguan dari haiwan luar seperti biawak.

“Sejak itu, kami mula membuat pagar bermula dari kawasan rumah ini hingga ke kawasan kolam itu untuk mencegah kemasukan haiwan pemangsa terjun ke dalam kolam”, katanya.

Katanya menambah, kemungkinan juga selepas ini apabila benih-benih ikan keli ditambah menjadi 50,000 bagi setiap kolam, beliau bercadang untuk memasang pukat yang melingkari ketiga-tiga kolamnya itu untuk tujuan menghalang haiwan lain selain biawak yang akan menjadikan ikan kelinya sebagai mangsa dan makanan.

Membicarakan tentang pasaran ikan keli itu, setakat ini pelanggan yang sering menempah ikan keli segar darinya adalah terdiri daripada kedai-kedai makan dan restoran serta peniaga di pasar tani. Pelanggan tetap yang membeli ikan keli dengannya ialah pemilik restoran iaitu Warung Kak Ani, Machang di mana pihaknya akan menempah kira-kira 15 kilo ikan keli setiap hari.

Pernah juga pihak kantin Sek. Kg. Bechah Laut yang menghubunginya untuk menempah ikan keli darinya. Selebihnya dijual kepada orang-orang kampung yang terdiri daripada penggemar ikan keli.

“Setakat ini belum pernah pihak hotel yang membuat tempahan dan pada awalnya kami tidak bercadang ke tahap itu disebabkan jumlah ikan yang ada di kolam kami masih belum mencukupi”, katanya apabila ditanya tentang tempahan pihak hotel.

Walaupun menurutnya, jika diizinkan Allah, beliau juga bertekad ingin memperbesarkan saiz kolam dengan menternak ikan keli itu dalam jumlah yang agak besar yang khusus untuk dijual kepada pihak hotel jika ada tempahan dari pihak berkenaan.

“Pada ketika ini, kami telah menyediakan tiga buah kolam di mana sebuah kolam boleh memuatkan ikan keli dalam jumlah 50,000 ekor ikan”, ujar Jak lagi.

Berhubung dengan tempoh matang ikan keli pula, tempoh matang ikan-ikan berkenaan boleh dipungut dari kolam apabila ikan itu berusia tiga bulan. Namun, ada juga penternak yang telah memungut hasil ketika usia ikan tidak sampai tempohnya iaitu dalam usia dua bulan, dua bulan lebih atau sebulan lebih, berdasarkan kepada saiz ikan itu.

“Tetapi jika ikan-ikan keli itu dikeluarkan agak lewat dari kolam ketika usia ikan menjangkau empat bulan, akan menyebabkan daging ikan-ikan itu tidak lagi enak dimakan disebabkan rasanya agak keras”, jelasnya.

Harga ikan keli yang dijualnya berdasarkan kepada kiraan kilo. Bagi ikan keli yang segar dan tidak diproses dijual dengan harga RM4 sekilo. Manakala ikan keli yang telah “dibersihkan” (dibuang sengat/duri dan isi perut) dijualnya dengan harga RM6 sekilo.

Katanya, jika ikan keli yang dipasarkannya itu belum lagi mencapai tenpoh matang, lazimnya jumlahnya kira-kira enam (6) ekor bagi sekilo, kadang-kadang antara empat (4) dan lima (5) ekor sekilo. Tetapi apabila ikan-ikan keli yang dijualnya telah mencapai tempoh matang yang baharu dipungut dari kolam, beratnya sekilo hanya kira-kira tiga (3) ekor ikan saja.

Bagi setiap tempahan yang dibuat, jika jaraknya agak dekat dia akan menghantarnya sendiri. Namun, bagi pelanggan tetapnya seperti Warung Kak Ani dari Machang itu yang sudah biasa baginya, beliau akan membawa tempahan itu kepada pelanggannya itu. Malah sekiranya tempahan itu jauh dan kebetulan pula beliau ada hal yang ingin diselesaikan di kawasan tempahan, beliau akan lakukannya “sambil menyelam, sambil minum air” bagi kemudahan pelanggannya.

Zainuddin Awang atau Jak boleh dihubungi di talian: 014-8385159

Zainuddin Awang atau Jak.

Jak ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.






Inilah kolam ikan keli miliknya.

Kawasan rumah Jak.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan