RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 20 Ogos 2016

Hasil Dari Kenaf


HASIL DARI KENAF

PASIR MAS, KELANTAN: Tidak semua tanaman yang kita usahakan itu membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan. Jika hal seumpama ini berlaku, mengusahakan tanaman lain sebagai ganti perlu difikirkan dan diusahakan secepat yang boleh. Ini kerana, jika diteruskan juga, sudahlah hasil yang diperolehi tidak seberapa apatah lagi mengusahakannya ke arah itu tentunya akan timbul rasa jemu dan memenatkan.

Begitulah halnya dengan seorang penanam kenaf, Mahmud Yakub, 70, atau lebih dikenali sebagai Pak Mud dari Kampung Kelar Godel, Kangkong, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim baru-baru ini berkata, sebelum dia mengusahakan tanaman kenaf, terlebih dahulu dia mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan selepas itu padi.

“Lima tahun lalu, sebelum saya mengusahakan tanaman kenaf ini, saya mengusahakan tanaman lada solok dan kacang panjang.

“Kedua-dua sayur-sayuran ini yang beratnya sepikul, saya pasarkan kepada pemborong di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu”, ujarnya.

Pada ketika itu katanya, harga sayur-sayuran tersebut dijual antara RM4 atau RM5 sekilo berbanding kini yang telah semakin meningkat. Katanya, setiap kali dipasarkan di situ, dia memperolehi pendapatan bersih dari sayur itu adalah kira-kira RM500.

Katanya menambah, selepas menanam dan memasarkan sendiri sayur-sayuran itu, dia kemudiannya beralih kepada tanaman padi pula. Katanya, tanaman padi yang diusahakannya bersama dengan tiga orang pembantu itu berjumlah 40 ekar. Ini termasuklah usaha meracun dan membaja.

Menurutnya, kaedah menanam padi kini tidak sebagaimana dulu di mana benih padi perlu disemai dulu. Teknologi kini, benih-benih padi ditabur terus. Selepas benih padi ditabur, kira-kira dalam masa 20 hari, aktiviti meracun (racun rumput) dijalankan. Selepas meracun, dalam kira-kira usia sebulan aktiviti membaja dijalankan.

“Hasil pendapatan bersih ketika mengusahakan tanaman padi dalam tempoh setahun itu saya memperolehi kira-kira RM20,000. Saya mengusahakan tanaman padi ini dalam tempoh tiga tahun saja”, katanya.

Selepas berjaya dalam kedua-dua bidang iaitu tanaman sayur-sayuran dan padi, dia kemudiannya beralih pula kepada tanaman kenaf. Katanya, setakat ini dia telah mengusahakan tanaman kenaf kira-kira tiga musim yang bermula pada tahun 2013.

Menurut Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kenaf atau nama saintifiknya “Hibiscus Cannabinus” adalah sejenis pokok berserat bukan berkayu dan merupakan tanaman jangka pendek. Kenaf tergolong dalam famili “Malvaceae” dan berada di bawah genus “Hibiscus” yang mempunyai persamaan dengan tanaman bendi dan juga kapas. Tanaman ini turut diusahakan di China, Myanmar, dan Indonesia.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) kenaf di Malaysia yang telah bermula pada tahun 2000 oleh MARDI, LGM, MPOB dan UPM. Penanaman kenaf mula diperkenalkan pada tahun 2004 sebagai penanaman pengenalan (familiarization crop). Verifikasi tanaman telah dilaksanakan di negeri Kelantan dan Terengganu di atas tanah BRIS (Beach Ridges Interspersed with Swales) yang sebelum ini diusahakan dengan tanaman tembakau. Tanaman kenaf dikembangkan ke seluruh Malaysia pada tahun 2010.

Tanaman kenaf bagi pengeluaran serat (fiber) dan empulur (core) mula diusahakan secara besar-besaran di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Kata Pak Mud, tanaman kenaf hanya memerlukan hanya kira-kira dua orang pekerja saja untuk tujuan membaja dan mengangkut anak benih kenaf itu.

Apabila ditanya, adakah terdapat perbezaan di antara mengusahakan tanaman sayur-sayuran, padi dan kenaf? Pak Mud menjelaskan, terdapat banyak perbezaan di antara ketiga-tiga tanaman itu. Tetapi baginya lebih beruntung dan paling baik menanam kenaf. Ini kerana, kos untuk menanam kenaf itu ditanggung oleh pihak kerajaan (secara subsidi). Ini termasuklah usaha memugar tanah, baja dan benih kenif adalah subsidi.

Cuma, menurut Pak Mud, bagi setiap pengusaha itu hanya perlu mengeluarkan kos membaja (sekali), upah menebang pokok kenaf dan kos sewa lori. Tidak sebagaimana tanaman padi yang perlu meracun (banyak kali), tetapi dengan mengusahakan tanaman kenaf tidak perlu meracun.

“Pokok kenaf apabila telah mencapai usia tiga bulan telah masuk usia matang, pokok berkenaan sudah boleh dipotong dan dipungut hasilnya”, ujarnya.

Daripada hasil jualan kenaf pada tahun 2013, dia memperolehi RM20,000, tahun 2014 dia memperolehi pendapatan itu sebanyak RM15,000, manakala pada bulan Ogos 2015 dia memperolehi sebanyak RM20,000.

Katanya, cara untuk mengenali pokok kenaf baik dan bermasalah berdasarkan kepada bentuk fizikal kesuburan pokok itu. Cara untuk mengenalinya ketika dalam proses membaja lagi, apabila dilihat batang kenaf itu besar bermakna pokok itu adalah baka baik dan subur, manakala jika dilihat batang kenaf yang kurus dan kecil menandakan pokok berkenaan menghadapi masalah tentang kesuburan.

“Banyak kegunaan kenaf dalam industri hari ini seperti untuk membuat tuala (bayi, wanita), tisu, tilam, bantal, siling, kayu dan papan (kayu kasar, papan dinding). Kegunaan kenaf dianggap “1001 Guna”, ujarnya.

Menurutnya, dalam banyak tanaman, beliau berpendapat lebih baik menanam kenaf daripada menanam tanaman lain yang dianggap memerlukan kos yang lebih, tetapi kenaf tidak. Kenaf, kosnya adalah diberikan subsidi oleh pihak Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) malah siap untuk diangkut, tak perlu penanam sakit kepala, kepada pihak mana untuk dijual dan dengan harga berapa.

Kenaf ini menurutnya, apabila telah matang dalam usia tiga bulan, beliau akan menebang dan memungutnya lalu dibawa ke kilang (kepada pihak) LKTN yang berdekatan. Penanam dan individu yang mengusahakannya pula memperolehi pendapatan bersih kerana pokok itu akan dibeli oleh LKTN.

“Jika tanaman kenaf tiba-tiba tidak menjadi dan bermasalah, pengusahanya tidak akan mengalami sebarang kerugian”, jelasnya. 

Katanya lagi, pihak LKTN yang meminta beliau sebagai pengusaha untuk menanam kenaf dan pihak agensi berkenaan yang akan membeli balik daripada beliau disebabkan ada nilainya di pasaran. Bermakna, beliau sebagai pengusaha dan penanamnya tidak perlu bersusah-payah untuk mencari pasaran.

Justeru, pengalamannya sebagai penanam dan pengusaha kenaf menganggap bahawa tanaman kenaf adalah lebih baik dari tanaman lain. Dia meminta kepada rakan-rakannya supaya berusaha menanam kenaf kerana tanaman ini banyak kelebihannya, bukan sahaja tidak perlu mengeluarkan kos sendiri berbanding tanaman lain, sebaliknya cara mengusahakannya tidak begitu penat malah baja pula diberikan subsidi.

Mahmud Yakub atau Pak Mud.

Pak Mud ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Hanya sebatang pokok kenaf yang kurang subur.


 Inilah pokok kenaf sebagaimana yang dimaksudkan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan