RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Selasa, 30 Ogos 2016

Bahana Pokemon Go


BAHANA POKEMON GO

DEMAM Pokemon Go sudah bermula apabila permainan berkenaan yang dibangunkan oleh Syarikat Niantic dan Nintendo Co. Ltd di Amerika Syarikat sudah melanda Malaysia sejak 6 Ogos, 2016 lalu dan aplikasi permainan siber itu boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing bermula tarikh itu.

Walaupun permainan ini dianggap baharu di Malaysia, namun terdapat beberapa negara yang telah mengharamkannya seperti Arab Saudi dan Iran kerana boleh mengancam keselamatan dan sehingga meragut nyawa.

Di Malaysia, pada awalnya hanya Wilayah Persekutuan saja yang mengharamkan aplikasi permainan Pokemon Go. Kini, diikuti pula Jakim dan lima negeri seperti Sarawak, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang menyokong diharamkan. Sementara enam negeri lagi terdiri dari Negeri Sembilan, Kelantan, Perlis, Pahang, Selangor dan Sabah masih belum memberikan kata putus tentangnya.

Namun, dari konteks anak muda bertanggapan mereka begitu teruja dengan kehadiran aplikasi realiti ini sebagai permainan yang menghiburkan dan boleh menghilangkan tekanan. Apatah lagi, dengan kehadiran permainan seperti ini, kemungkinan selepas ini akan wujud bentuk perniagaan baharu atau dikenali juga “bisnes online” yang dimuat naik ke media sosial. Mungkin juga permainan ini boleh dimanfaatkan sebilangan anak muda yang masih belum mendapat sebarang kerja, dengan wujudnya permainan seumpama ini, akan hilanglah rasa kebosanan itu. Bahkan amat beruntung juga bagi yang mahir dengan Teknologi Maklumat (IT), kerana permainan ini menggunakan teknologi berkenaan.

Kaedah permainan ini adalah untuk menangkap watak raksasa Pokemon maya di dunia sebenar melalui penggunaan kamera telefon pintar masing-masing di beberapa lokasi dengan bantuan teknologi sistem kedudukan global (GPS).

Mungkin bagi segelintir anak muda yang mendakwa permainan seumpama ini boleh menggembirakan mereka kerana amat berbeza dengan permainan lain yang dimuat turun sebelum ini. Namun, kita lihat pula dari sudut lain, adakah ia boleh meragut nyawa penggunanya sendiri selain mengancam keselamatan jika mereka terlalu leka dengan permainan itu?

Ini kerana, watak Pokemon yang kadang-kadang muncul di kawasan laluan yang sibuk, jika pemainnya berada dalam keadaan lalai kerena menumpukan kepada permainan tersebut, mereka tentunya terdedah kepada bahaya dilanggar kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Jika mereka berada di kawasan jambatan, mereka tentunya turut terdedah kepada bahaya sama ada terjatuh atau terpaksa terjun dari jambatan itu semata-mata untuk mengejar dan untuk menangkap watak Pokemon tersebut.

Sesuatu yang patut difikirkan tentang permainan itu tentang bahayanya kepada keselamatan negara berikutan ia dibangunkan teknologi GPS. Jika pemainnya memasuki premis yang menyimpan pelbagai maklumat dan data rahsia seperti balai polis, bank dan sebagainya, GPS akan mengesan dan mengakses tempat permainan itu. Dibimbangkan data yang dirahsiakan dan disembunyikan selama ini mudah diakses atau mudah dilihat pihak lain secara tidak sedar yang hanya berpunca dari permainan.

Dalam soal ini, kita tidak tahu apakah tujuan atau matlamat permainan seperti ini dibangunkan dengan teknologi GPS sedangkan jika dibandingkan dengan permainan lain yang tidak menggunakan sistem berkenaan. Apakah ia bertujuan untuk mendapat maklumat sulit yang selama ini tersimpan secara rahsia? Justeru, dengan membangunkan aplikasi ini, akan lebih memudahkan sistem yang rahsia dan sulit itu diperolehi.

Apa yang perlu dibimbangkan penggunaan sistem ini ke dalam aplikasi permainan sebagai suatu muslihat negara-negara tertentu untuk “mengintip” kerahsiaan negara lain secara sulit, sembunyi dan tanpa disedari oleh banyak pihak. Jika keselamatan seumpama ini diabaikan, kita bimbang negara akan berada dalam kancah bahaya dan ia perlu ditangani dengan cara yang bijaksana.

Kita juga ingin memperingatkan bahawa, jika permainan ini tidak diberikan perhatian atau kawalan tentang penggunaannya, dibimbangkan suatu masa nanti, sistem ini boleh mewujudkan “perang” maya ke dalam dunia realiti yang bukan sahaja boleh dilakukan oleh negara-negara yang mempunyai kuasa teknologi tinggi dari jarak jauh menggunakan sistem global (GPS) itu, tetapi perang sebenar boleh diwujudkan oleh pemain itu sendiri.

Memang kita boleh berkata “tidak” atau mungkin juga ada pihak-pihak yang menganggapkannya sebagai “mengarut”, tetapi sikap berhati-hati itu perlu ada sebelum kejadian sebenar berlaku. Ini kerana, apabila dikatakan “teknologi”, teknologi boleh dimanfaatkan secara berhemah dan tidak. Tetapi jika ia disalah gunakan, hancurlah dunia itu.

Dalam hal ini, pihak kerajaan mahupun pihak-pihak yang mempunyai data sulit perlu sentiasa berwaspada kerana apabila seseorang itu mula bermain, mereka tidak akan menutupnya kecuali berjaya menangkap watak-watak itu. Justeru, untuk menjadikan pemainnya dianggap berjaya, dia perlu melakukan apa saja sebagaimana yang wujud dalam watak maya itu, sekalipun terpaksa memasuki premis orang tanpa kebenaran.


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Sumber Foto:
www.forbes.com
 www.pokemongo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan