RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 10 September 2016

Abe Ki Tukang Besi


ABE KI TUKANG BESI

KOTA BHARU, KELANTAN: Pertukangan besi adalah salah satu cabang seni. Ini kerana, bukan mudah untuk menghasilkan barangan senjata seperti parang, golok, pedang, keris dan sebagainya jika tiada seni untuk menghasilkannya. Bidang ini juga menjanjikan pendapatan yang baik jika dilakukan menurut seni, tekun dan bersungguh-sungguh terhadapnya.

Selain itu, terdapat tukang besi di negeri Kelantan yang menceburi bidang lain tetapi begitu minat terhadap pertukangan besi. Disebabkan terlalu minat terhadapnya, sehingga memberikan kepuasan terhadap seseorang tukang itu sendiri malah terdapat juga yang masih dalam peringkat pelajar, tetapi disebabkan minat terhadapnya menyebabkan beliau menimba ilmu dari tukang atau pandai besi yang mahir.

Begitu halnya dengan seorang tukang besi yang dimaksudkan, Mohamad Zaki Ahmad, 48, atau lebih dikenali sebagai Abe Ki Salor dari Kampung Gertak Lembu, Salor, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim.

“Sebelum saya menceburi bidang bidang pertukangan besi, saya adalah pekerja sebuah kilang di Kuala Lumpur. Setelah berhenti sebagai pekerja kilang pada tahun 2000, ketika itulah saya terus menyambung kerja sebagai tukang besi”, katanya kepada Wartawan RELATIF.

Apabila ditanya tentang modal sehingga beliau boleh menubuhkan bengkel pertukangan besi sendiri di rumahnya itu, beliau menjelaskan, dia sememangnya terlalu minat kepada kerja-kerja sebagai tukang besi ketika beliau sebagai pekerja kilang lagi. Atas dasar itu, apabila beliau mendapat bonus sebagai pekerja kilang, ketika itulah dia mula membeli barangan keperluan yang akan digunakan seperti pemotong besi, drill dan lain-lainnya. Katanya, apabila dapat membeli barangan yang dimaksudkan, dia menyimpannya di bawah katil kerana pada suatu masa nanti dia akan menyambung tugas itu apabila tiba masanya.

Bahkan menurutnya, ketika dia mempunyai kesempatan masa, dia mula bertukang secara giliran antara dua tugas itu. Katanya, tidak selesai jika bekerja seperti itu, dia perlukan masa dan tumpuan sepenuhnya kepada pertukangan besi. Dengan itu, selepas berhenti sebagai pekerja kilang pada tahun 2000 itu, dia menumpukan kepada pertukangan besi sepenuh masa.

Menceritakan tentang ilmu sebagai tukang besi, arwah atuknya bernama Pak Da Awang dari Kampung Pendek, Kota Bharu asalnya adalah seorang tukang kimpal besi yang tersohor juga. Namun, dia tidak menimba ilmu dari atuknya itu kerana ketika atuknya meninggal, beliau ketika itu baharu berusia dua (2) tahun.

Menurutnya, disebabkan minatnya terlalu mendalam untuk menjadi seorang tukang besi, dia kemudiannya menimba ilmu dari seorang tukang besi di Bunut Susu, Pasir Mas, sedangkan pada masa yang sama dia juga seorang penuntut di Politeknik.

Katanya, beliau melihat kebanyakan bidang utama yang diceburi di Bunut Susu ketika itu adalah tukang besi. Walaupun pada masa itu minatnya terhadap tukang besi adalah sekadar minat, tetapi tumpuan utamanya juga adalah sebagai seorang pelajar. Jadi, jika ada peluang beliau akan ke Bunut Susu, Pasir Mas sambil melihat tukang-tukang besi di situ menyiapkan naskhah masing-masing. Katanya, beliau juga agak terhibur dan terpanggil berikutan di Bunut Susu pada masa itu semuanya tukang-tukang besi yang agak mahir dan tersohor.

Setelah menamatkan pengajian, dia tidak mendapat sebarang kerja. Tetapi pada ketika itu, telah mula timbul dalam benaknya untuk berkecimpung dalam bidang tukang besi yang diminatinya selama ini. Pada ketika itulah beliau menemui asal usul dan turun temurun (ilmu) daripada arwah atuknya. Setelah mendapatkan ilmu peninggalan arwah atuknya, dia mula bertekad untuk meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh arwah atuknya.

“Setelah saya memperolehi asas dalam pertukangan, saya mula belajar ilmu melarik kayu. Kebetulan pula, bapa saya mempunyai seorang warga Siam bernama Udom Kamkong yang mahir dalam kaedah melarik kayu.

“Dengan warga Siam itulah saya mula mempelajari beberapa kaedah berkenaan sehingga mahir sepenuhnya”, katanya.

Setelah mahir dalam bidang melarik kayu, dia membiasakan diri pula untuk mempelajari pertukangan besi sehingga mahir dengan hanya melihat tukang-tukang besi berkenaan menyiapkan kerja-kerja berkenaan.

Apabila ditanya tentang hasil awal pertukangan besi yang pernah dilakukannya, beliau menjelaskannya, pada awalnya itu banyak barangan besi yang dihasilkannya rosak dan banyak barangan yang dihasilkannya patah disebabkan beliau tidak begitu mahir berhubung dengannya kerana agak terlalu awal untuk menyatakan beliau boleh menghasilkannya.

Katanya menambah, kebanyakan barangan yang dihasilkannya rosak, selama seminggu itu beliau tidak memperolehi sebarang upah. Tetapi disebabkan beliau terlalu minat dengan pertukangan besi itu, beliau menganggapkan “alah bisa tegal biasa”. Lama-kelamaan beliau mula mahir untuk menghasilkan barangan berkenaan menurut kemahuannya.

Disebabkan beliau melakukannya seorang diri, tentunya barangan besi yang dapat disiapkan agak lambat. Walaupun agak lambat untuk menyiapkannya, namun kejayaan beliau menghasilkan barangan tradisional seperti golok, sadat, pedang dan tongkat dari kayu boleh dibanggakan walaupun sebelum ini kebanyakannya telah rosak.

Sebenarnya, dia melakukan perlu menyiapkan dua kerja iaitu sebagai tukang besi dan melarik kayu (membelah kayu) untuk menghasilkan sarung golok itu. Beliau terpaksa menyiapkannya agak lambat di mana beliau dapat menghasilkan kira-kira sebilah pedang yang ditempah dalam tempoh seminggu, sementara bagi sebilah golok pula kadang-kadang dalam tempoh sehari atau dua dia sudah dapat menyiapkan golok itu. Namun katanya, jika bertukang atas kapasiti mood baik, dia akan dapat menyiapkan lebih dari dijangkakan.

Abe Ki menambah, disebabkan beliau menghasilkan barangan tempahan agak lambat, beliau menerima pelanggan juga agak terhad iaitu seorang pelanggan setiap bulan. Jadi, bergantung kepada barangan yang dapat disiapkan. Maknanya, beliau tidak dapat menghasilkan barangan berkenaan mengikut masa-masa tertentu. Jika barangan dapat disiapkan sebanyak dua bilah dalam tempoh seminggu, walaupun ada di kalangan pelanggan mahukan lebih dari itu, dia tidak mampu untuk menghasilkannya. Jika dibuat secara tergesa-gesa, barangan yang dapat disiapkan tentunya tidak berkualiti.

“Saya pernah diberitahu supaya mengiklankannya melalui internet. Namun, saya menolaknya disebabkan tidak mampu untuk menyiapkan barangan sebagaimana yang diharapkan”, katanya.

Sebagai tukang besi juga dia perlu mendapatkan barang mentah (besi) untuk menghasilkan senjata itu menurut tempahan. Jika menerima tempahan pelanggan, dia akan melihat di tempat besi buruk untuk mendapatkan barangan yang dimaksudkan seperti “spring gana” sama ada besi jenis tebal atau nipis. Katanya, pelanggan tidak perlu membawa besi sendiri jika ingin menempah sesuatu barangan, kerana dia akan menguruskannya sendiri.

"Saya tidak dapat memberikan keputusan tentang kualiti barangan yang dihasilkan, kerana dalam keadaan sekarang ni saya masih dalam peringkat bertatih (belajar)”, apabila ditanya kualiti barangan yang telah dihasilkannya.

Katanya, beliau pernah dengar ada tukang-tukang besi yang dapat menghasilkan barangan berkenaan termasuk sarungnya sekali sebanyak empat bilah sehari, pada masa itu dia cuba menafikannya kerana tidak mempercayainya. Tetapi, hakikatnya memang betul kerana kalau menurut skilnya tukang-tukang besi yang mahir pasti dapat menyiapkannya dalam masa yang singkat. Tetapi menurut persepsinya sebagai tukang besi yang masih bertatih, dia tidak semampu itu untuk menyiapkannya dalam tempoh singkat.

Walau bagaimanapun, dia turut mengakui bahawa, bagi tukang-tukang besi yang ternyata mahir di bidang berkenaan memang tidak dinafikan mampu menyiapkan tempahan barangan besi berserta sarungnya sekali sebanyak empat bilah dalam tempoh sehari sahaja. Namun, dia belum lagi sampai kepada tahap itu. Ini berikutan, dia bekerja atas dasar ada mood, jika tidak dia terpaksa memberhentikan kerja-kerjanya dengan serta-merta.

Menyiapkan kerja-kerja seni seperti bertukang ini menurutnya adalah berdasarkan keadaan kehendak tubuh. Jika bekerja di bawah mood, barangan yang dihasilkan akan lebih bermutu. Tetapi jika dilakukan secara tergesa-gesa atau di bawah tekanan supaya menyiapkannya dengan cepat, barangan yang dihasilkan pastinya tidak berkualiti dan akan melebihi tempoh siap.

Bercakap tentang harga pula berdasarkan kepada barangan yang ditempah iaitu bergantung kepada kehendak pembeli. Lazimnya, jika barangan kecil ia menjual dengan harga RM100 ke bawah. Manakala jika tempahan seperti pedang, harganya pula agak lebih sikit disebabkan keperluan barangan seperti tembaga terlalu sukar dan mahal.

Tentang modal pula katanya, modal untuk menghasilkan barangan yang ditempah bergantung kepada tempahan. Jika tempahan banyak, modalnya lebih dari kebiasaan.

Justeru katanya, kebanyakan pengimpal besi yang menggunakan mesin hidraulik, modal yang diperlukan adalah kira-kira RM20,000. Tetapi bagi beliau masih belum sampai tahap itu kerana menyiapkan tempahan secara “tradisional” bergantung kepada mood kerja. Kalau sebelum ini (semasa dia) tiada pengalaman membuat tempahan kayu (membelah) untuk menyiapkan sarungnya terpaksa mengupah orang lain. Tetapi kini, dia menyiapkannya sendiri.

Mohamad Zaki Ahmad atau Abe Ki Salor.

Abe Ki ketika diwawancara Wartawan RELATIF di bengkel besi miliknya.







Di antara peralatan yang digunakannya sebagai tukang besi.



Sebahagian alat dan senjata yang telah berjaya dibuatnya.

Salah seorang pelanggannya datang menempah ketika program wawancara di bengkelnya.

Inilah bengkel besi miliknya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum. saya mencari rawatan di sekitar Pasir Mas.sebelum ini saya ada terambil rokok dan makanan pemberian jiran, selepas itu saya terasa sakit dan banyak gangguan berlaku dibahagian dada,perut dan muka.
    Ini email saya : tubuhsatu@gmail.com
    Semoga Allah membalas kebaikkan tuan dengan kebaikkan yang banyak.

    BalasPadam