PENAWAR DARI DAUN BETIK
NEGARA kita memang kaya dengan
pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Walaupun kita melihatnya tumbuh secara liar di
dalam belukar, hutan dan di sekeliling rumah kita dan adakalanya kita merasa
menyampah terhadap pokok-pokok itu, tetapi tidak wajarlah kita memusnahkannya
kerana boleh jadi ia bernilai perubatan atau sebagai penawar percuma yang amat berguna kepada kesihatan
kita sendiri.
Apatah lagi dalam banyak
tumbuh-tumbuhan selain pokok herba, ulam-ulaman dan buah-buahan yang ternyata
mempunyai khasiat perubatan atau penawar asli dan segar terhadap kesihatan
manusia, daun-daun dari pokok buah-buahan itu juga turut bernilai dan termasuk
dalam kategori tersebut. Jangan berkata tidak terhadap tumbuh-tumbuhan ini
disebabkan kita tidak tahu fungsi dan peranan daun-daun, batang dan akar
pokok-pokok tersebut kepada kesihatan manusia dan bagaimana kaedah untuk
memanipulasi khasiat mahupun penawar dari bahan-bahan yang dimaksudkan itu.
Salah satu daun yang dapat
dikategorikan sebagai bernilai perubatan dan mempunyai penawar di sebaliknya yang
asalnya dari pokok buah-buahan yang sering kita makan ialah “Daun Betik”.
Sebelum melihat nilai perubatan
dalam daun betik, lihatlah dulu apakah khasiat yang terkandung dalam betik yang
sememangnya menjadi kegemaran sebahagian di kalangan kita.
Betik atau dalam bahasa
Inggerisnya Papaya atau dalam bahasa saintifiknya dikenali
sebagai "Carica papaya" memang kaya dengan kadar
vitamin seperti Karotena (1160 mcg), Vitamin A (193 mcg), Vitamin B1 (0.03 mg),
Vitamin B2 (0.07 mg), Niasin (0.1 mg) dan Vitamin C (71.0 mg).
Betik juga mengandungi kadar
bahan galian seperti Kalium (39 mg), Kalsium (11 mg), Fosforus (7 mg), Natrium
(3 mg) dan Ferum (0.7 mg). Selain itu, betik juga membekalkan kadar zat lain
seperti Karbohidrat (7.1 g), Protein (1.5 g), Serat (0.5 g), Lemak (0.1 g), Abu
(0.1 g), Air (90.7 g) dan Tenaga (35 kcal).
Sementara Betik Eksotika pula
mengandungi kadar Karotena (2431 mcg), Vitamin A (405 mcg), Vitamin B1 (0.08
mg), Vitamin B2 (0.15 mg), Niasin (0.1 mg) serta Vitamin C (69.3 mg).
Manakala bahan-bahan galiannya
pula terdiri dari Kalium (337 mg), Kalsium (31 mg), Fosforus (17 mg), Natrium
(2 mg) dan Ferum (0.6 mg). Sementara kadar khasiat lainnya terdiri dari
Karbohidrat (13.5 g), Protein (1.0 g), Serat (0.5 g), Lemak (0.1 g), Abu (0.5
g), Air (84.4 g) dan Tenaga (59 kcal). (Sumber: Komposisi Zat Makanan Malaysia,
Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988).
Daun dan pucuk betik ini juga
pernah diviralkan dalam media sosial pada tahun 2015 lalu yang mendakwa sebagai
penawar terbaik untuk rawatan penyakit aids. Sama ada benar atau tidak, kurang pasti sama ada kajian
klinikal pernah dibuat atau tidak terhadap pucuk tersebut.
Sementara itu, Penulis
sendiri belum pernah mendengar dari orang-orang tua yang mendakwa pucuk dan
daun betik itu dapat mengubati penyakit aids. Tetapi orang-orang tua dahulu pernah
memberitahu, daun betik pernah digunakan untuk dijadikan sebagai penawar darah
tinggi dan kencing manis.
Lazimnya, apabila seseorang yang
menghidap penyakit darah tinggi, mereka akan segera ke klinik atau hospital
untuk tujuan mendapatkan rawatan penyakit tersebut. Setelah disahkan sebagai
penyakit itu, pesakit akan diberikan ubat untuk meredakan penyakit itu.
Kenapa tidak mencuba daun betik
itu yang boleh diperolehi secara percuma pula. Ambillah satu pelepah daun betik (bacalah Bismillah) ketika memotong
pelepah daun betik itu dari pokoknya. Semasa ingin merebusnya, tanggalkan
pelepah daun itu dan bersihkannya dengan air.
Ketika ingin memasukkannya dalam
periuk (sebaiknya periuk tanah liat) untuk merebusnya, bahagikan daun itu
kepada tiga bahagian. Daun tengah (kelihatannya lebih besar) hendaklah
ditelangkupkan hijau daun dalam bekas itu (bawah sekali), manakala bahagian daun lain
ditelentangkan (hijau daun ke atas) dan rebuslah sehingga ia mengeluarkan bau.
Setelah masak, masukkan ke dalam
gelas dan minumlah ketika ia berkeadaan suam-suam kuku. Sebelum meminumnya,
baca “Bismilah” (tiga kali), "Allah" (tiga kali) dan "Selawat Nabi S.A.W" (tiga
kali) dan tiup ke dalam air rebusan itu. Amalkannya selama dua kali sehari.
Khasiat rebusan daun betik ini akan menyebabkan darah tinggi akan kering terus,
malah anda boleh mengamalkannya pada bila-bila masa.
Justeru, tanamlah pokok
buah-buahan seperti betik di persekitaran dan laman rumah anda yang bukan
buahnya sahaja berguna kepada kesihatan manusia kerana kandungan vitamin,
mineral dan kandungan zat yang lain. Tetapi ingatlah, sebahagian pokok itu sendiri mempunyai pelbagai penawar dan bernilai perubatan apabila dapat merawat penyakit darah tinggi sekalipun pokok itu tidak lagi berbuah dan dianggap tidak berguna.
Daun betik walaupun dari pucuk muda dan tua, sekalipun satu pelepah sudah cukup untuk merawat penyakit darah tinggi.
Setelah daun betik dibersihkan, masukkan ke dalam periuk (sebaiknya gunakan periuk tanah liat).
Apabila merebus, tutup bekas rebusan.
Air rebusan daun betik (berwarna kuning) siap untuk diminum (dua kali sehari) setelah disejukkan atau dalam keadaan suam-suam kuku.
Pokok betik jangan ditebang sekalipun tidak berbuah kerana terdapat beberapa bahagian dari pokok itu yang bernilai perubatan.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan