REZEKI TANAM SAYUR
RANTAU PANJANG, KELANTAN: Menanam
sayur-sayuran memang boleh menambah rezeki untuk perbelanjaan keluarga jika
diusahakannya secara bersungguh-sungguh malah sentiasa mengamalkan penjimatan
dalam berbelanja. Lihatlah apa yang dilakukan oleh orang-orang tua dahulu sama
ada lelaki dan wanita, suatu kerja yang hanya dapat mereka lakukan ketika itu
untuk memperolehi pendapatan mudah adalah dengan cara menanam sayur.
Sementelah pula, sayur-sayuran
yang ditanam sendiri apatah lagi tidak menggunakan bahan-bahan moden walaupun
dikatakan lebih menambah hasil yang tidak disangka, tetapi amalan menanam
sayur-sayuran secara tradisional atau lebih dikenali menanam sayur secara
kampung lebih baik dari kaedah moden.
Cuma, menanam sayur dalam kaedah
ini akan lebih memenatkan bermula semasa menanam, membaja dan menyiram. Paling
menarik dan memberikan banyak kepuasan setelah berpenat lelah mengusahakannya,
apabila sayur-sayuran berkenaan tumbuh subur sama ada sayur buah mahupun sayur
daun.
Salah seorang penduduk yang masih
mengamalkan tanaman sayur-sayuran melalui kaedah tradisi sehingga hari ini,
Siti Mariam Deraman, 58, atau Kak Yam dari Kampung Tasik, Rantau Panjang,
Kelantan. Beliau yang mengusahakannya sejak berusia 20 tahun begitu teruja
setiap kali melihat sayur-sayuran yang ditanamnya itu mengeluarkan hasilnya.
“Kak mengusahakan tanaman sayur
ini sejak berusia 20 tahun lagi sehingga hari ini, semata-mata untuk makanan
dan menambah pendapatan keluarga”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF,
Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di hadapan kediamannya.
Katanya, dia mengusahakan tanaman
itu secara sendiri tanpa bantuan ahli keluarganya berikutan keluasan tanah
untuk tanaman itu tidaklah besar sangat. Dia berbuat demikian adalah
semata-mata untuk makanan sekeluarga di samping dapat berjimat selain untuk menambah
pendapatan keluarga. Dari hasil jualan sayur-sayuran itu dia akan membeli
keperluan dapur pula secara berjimat.
Di antara sayur-sayur yang beliau
tanam seperti lada, petola segi, terung, kacang botor, serai, kunyit dan nenas.
Kesemua tanaman ini agak subur dan sebenarnya selain sebagai makanan sendiri,
dia juga akan menjualnya di pasar-pasar kerana permintaan terhadapnya agak
memberangsangkan.
Menurutnya, sebelum beliau
menanam sayur-sayuran yang bakal diperolehi hasilnya nanti, dia akan memilih
benih sayur-sayuran itu yang mudah diperolehi. Biasanya dia akan mengirimkan
untuk membeli benih-benih sayur itu kepada seseorang yang sering berulang-alik
ke Golok (Thailand) kerana harga benih sayur di sana
lebih murah.
Peringkat awal untuk menanam
sayur adalah perlu merumput, memugal dan menggembur tanah menjadi tanah peroi
untuk memudahkan aktiviti menanam benih-benih sayur itu. Setelah selesai semua
sehingga kepada peringkat menanam, dia akan membaja dan menyiramnya setiap hari
supaya benih-benih sayur yang disemai itu memperolehi bekalan kelembapan yang
secukupnya.
Ditanya tentang baja yang sering
digunakannya sewaktu menyemai benih sayur-sayuran itu, dia hanya menggunakan
baja asli (baja ori) dari najis lembu yang ternyata diperolehi dengan mudah. Baja asli ini
tidak perlu mengeluarkan modal untuk mendapatkannya, kerana najis lembu
berlambak di mana-mana malah amat subur pula jika digunakan kepada sebarang
jenis tanaman termasuk sayur-sayuran.
Namun, selepas beberapa tempoh
tertentu, baharulah dia menggunakan baja kimia pula yang dibelinya di
kedai-kedai baja secara ala kadar sebanyak sekilo.
“Selepas menanam, sayur-sayuran
boleh dipungut dalam tempoh 40 hari. Biasalah ketika ini, sayur-sayuran yang
baharu dipetik masih muda dan enak dimakan.
“Tetapi jika dipetik agak lewat,
sayur-sayuran berkenaan tidak lagi dianggap segar dan berkualiti kerana ia
telah menjadi tua dan keras”, katanya.
Misalnya kacang bendi, biasanya
cepat tua dan perlu dikutip secepat yang mungkin apabila cukup tempoh matang
untuk dipungut. Lazim yang dilakukannya tentang kacang bendi, dia akan selang
selikan memungut hasil kacang itu selama sehari dan bukannya dikutip setiap
hari. Hal ini termasuklah sayur-sayuran berdaun yang terpaksa dikutip dan
diselang selikan kutipannya.
Menurut Kak Yam, dia menjual
hasil dari kebun itu (sayur-sayuran) itu ke pasar-pasar biasa dan kadang-kadang
pihak kedai runcit pun membeli darinya untuk dijual kepada pelanggan yang malas
pergi ke pasar.
Lazim menurutnya, sayur-sayuran
yang siap dipungut dari kebun, beliau akan timbang terlebih dahulu di rumah
untuk sukatan (berapa kilo yang perlu) diperuntukkan sebelum dibawa ke
pasar-pasar itu.
Katanya, dia menjual dan
meletakkan harga sayur-sayurannya untuk jualan menurut harga pasaran. Biasanya
dia akan meletakkan harga setiap sayur-sayuran bagi sekilo adalah berharga RM5
atau RM6. Harga ini didasarkan jika harga sayur-sayuran di pasaran telah naik
harga.
Kak Yam juga menambah, setakat
ini dia tidak memperuntukkan tanaman sayur-sayuran itu untuk dijual secara
borong kepada pembeli, memandangkan keluasan kebun tanaman yang diusahakannya
itu tidaklah seberapa sangat dan hanya sesuai untuk makanannya sekeluarga
selain untuk dijual sebagai menambah pendapatan keluarga saja.
“Kak tidak pernah menjual borong
memandangkan keluasan kebun sayur-sayuran tidak sampai kepada tahap itu. Hanya
untuk makanan sekeluarga dan dijual, sebagai menambah pendapatan keluarga”
katanya apabila ditimbulkan tentang jualan borong.
Pada masa dulu, ramai juga
pembeli sayur yang datang ke rumah semata-mata untuk membeli sayur-sayurnya,
namun memandangkan beliau melihat jualan sayur di pasar-pasar berdekatan dengan
kediaman lebih mudah, dia meneruskan tradisi itu sehingga hari ini. Katanya,
setelah memperolehi pendapatan dari jualan sayur itu, dia akan membeli
keperluan dapur pula seperti ikan dan sebagainya.
Menurut Kak Yam, memang kebiasaan
bagi setiap orang kampung termasuk dirinya yang berminat sebagai penanam sayur.
Menanam sayur menurutnya bukan sahaja jimat sebagai makanan sekeluarga, tetapi
jika ada lebihan dari sayur-sayuran yang ditanam itu boleh juga dijual dan
secara langsung atau tidak boleh menambah pendapatan keluarga.
Tambahnya, dia dapat tahu juga,
jika berbakti kepada tanah tentunya akan ada rezeki yang tidak disangka kerana
rezeki berbudi kepada tanah akan diperolehi di sebaliknya pula. Disebabkan hal
itulah, dia dia cuba
berbakti kepada tanah semata-mata untuk mendapatkan rezeki halal bukannya hanya
terperap di rumah semata-mata.
Apabila ditanya tentang pembeli
sayur yang sentiasa berurusan dengannya, dia hanya menyatakan, setiap hari dia
akan memperolehi pendapatan dari jualan sayur-sayurannya itu di antara RM20 dan
RM30 sehari, satu angka yang dianggapnya boleh bernafas untuk menampung
perbelanjaan keluarga.
Pembeli sayurnya itu hanya
penduduk tempatan yang memang mengetahui beliau sebagai penanam sayur yang
rajin walaupun orang lain tidak sanggup melakukannya ketika kemarau panjang,
namun beliau terus mengusahakannya semata-mata untuk mencari perbelanjaan dapur
dan membantu meringankan beban perbelanjaannya selama ini.
Siti Mariam Deraman atau Kak Yam.
Kak Yam ketika diwawancara Wartawan RELATIF.
Petola segi.
Kacang botor.
Kangkung.
Serai wangi.
Daun kunyit.
Cili yang habis dikutip dan dijual.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan