BEGINILAH AKHIRNYA
PASIR MAS, KELANTAN: Memang sedih
juga apabila melihat kaki yang digunakan untuk berjalan terpaksa dipotong
berikutan ditimpa penyakit. Keadaan bertambah sedih apabila dia kematian
isteri, isteri yang sentiasa menjaga makan dan minumnya selama ini. Walau
bagaimanapun, kedua-dua kejadian itu adalah takdir Illahi yang harus
diterimanya dan dia redha dengan kejadian itu.
Itulah yang terjadi kepada salah
seorang warga emas, Ariffin Mat Akid atau Pak Pin, 80, dari Kampung Pangkal
Gerap, Kubang Gadong, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi
Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.
Dia kini berkeadaan cacat setelah
kakinya dipotong. Apabila ditanya sebab kakinya dipotong, adakah bersabit
dengan kencing manis. Pada mulanya, dia menafikannya dan apa yang diketahuinya
ialah kakinya “berair”.
Seingatnya, setelah mengetahui
keadaan kakinya, dia kemudiannya menerima rawatan di sebuah klinik swasta di
Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Katanya, doktor memberitahunya dia terkena
penyakit saraf. Dia berada di klinik itu selama empat hari untuk tujuan
menerima rawatan dan suntikan.
Menceritakan detik-detik dia
terkena penyakit itu, pada awalnya dia dapat berjalan seperti biasa.
Tanda-tanda dia mula terkena penyakit itu apabila dirasakan tubuhnya semakin berat.
Dia cuba
duduk apabila ketika berdiri dia berasa tidak selesa. Tetapi setelah dia dapat
duduk, ketika itulah dia terlalu sukar dan berasakan badannya seperti beban
untuk bangun.
“Ketika pakcik mengalami masalah
kaki, kaki tidak berasa sakit, tetapi tidak selesa kerana berasa seperti ada
cairan yang melekat apabila terpijak ke lantai. Dari hari ke sehari kaki pakcik
semakin banyak keluar air”, katanya ketika menceritakan detik-detik masalah
kakinya.
Menurutnya, disebabkan menerima
rawatan di klinik swasta, beliau dikenakan bayaran berjumlah RM60 (rawatan
pertama) dan diikuti rawatan kedua (RM50) dan rawatan ketiga RM50. Melihat
keadaan kakinya tidak juga sembuh, beliau memberitahu anaknya supaya tidak lagi
menerima rawatan di klinik itu kerana pastinya membazir wang ringgit. Selepas
itu, dia tidak lagi menerima rawatan yang sepatutnya.
Apabila ditanya, kenapa tidak
dirujuk kepada hospital kerajaan. Dia menjelaskan, pihak klinik memang ada bertanya
tentang jarak dari rumahnya dengan pusat rawatan terdekat di kampung berkenaan.
Jika ada, beliau disarankan supaya berulang-alik ke hospital berkenaan bagi
memudah dan mempercepatkan rawatan susulan.
“Pakcik pernah meminum air kelapa
muda, nasi berlaukkan ikan selayang, ayam, daging dan sayur kacang panjang.
“Cuma pakcik agak terkejut jika
benar kata anak pakcik, masalah kaki pakcik disebabkan memakan kacang panjang
yang agak tidak serasi dengan kesihatan pakcik”, ujarnya apabila ditanya
tentang menu makanan yang menjadi penyebab kakinya berkeadaan begitu.
Ketika dia diserang penyakit itu,
dia memang tidak mempunyai sumber kewangan kecuali atas inisiatif anak-anaknya.
Disebabkan hal itulah, dia cuba
mendapatkan bantuan kewangan dari pihak-pihak yang prihatin tentang masalah
kesihatan yang dihadapinya. Kalau tidak sepenuhnya pun, dia bersyukur jika ada
pihak yang sudi membantunya dalam keadaan dirinya seperti itu.
“Pakcik cuba mendapatkan bantuan dan
sumbangan dari pihak ketua kampung. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),
Pasir Mas dimaklumkan tentang masalah pakcik ini. Tetapi pakcik gagal kerana
pihak berkenaan tidak melayani permohonan pakcik”, ujarnya dalam keadaan hampa.
Selepas itu, dia cuba memohon bantuan pihak berkenaan di Pengkalan
Pasir, Pasir Mas tetapi hampa walaupun sudah menunjukkan bukti, surat dan dokumen yang
dikehendaki. Dia turut memohon bantuan dari seorang wakil rakyat, tetapi
permohonannya seolah-olah menyusahkan.
“Tidak ada sikap prihatin dalam
diri wakil rakyat”, kata Ariffin.
Katanya menambah, bukan sahaja
tiada bantuan dari individu dan wakil rakyat, dia juga belum pernah menerima
bantuan wang zakat. Disebabkan sering hampa kerana usaha sering gagal untuk
mendapatkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan, usaha seperti itu terpaksa
dibatalkan kerana tiada pihak yang sudi melihat keadaannya. Hanya Penghulu Zaid
saja yang bermurah hati menghulurkan sumbangan ala kadar.
Dia juga turut dirundung hiba
apabila isteri yang sering menjaga makan, pakai dan keadaannya itu telah pulang
ke rahmatullah. Setelah ditanya tentang keadaan yang menimpanya itu, dia
kemudiannya menangis kerana sebelum ini dia pernah memberitahu kepada arwah
isterinya tentang kehidupannya yang susah dan miskin.
Sementara itu, menurut adik iparnya, Roslina
Hamzah berkata, di peringkat awal abang iparnya berasa sakit perut. Selama
kira-kira tiga hari abang iparnya terpaksa menahan sakit itu. Melihat tiada
tanda-tanda akan sembuh, beliau membawanya ke Klinik Perdana, Lemal, Pasir Mas.
Pihak klinik berkenaan meminta beliau merujuk masalah abang iparnya itu ke Hospital
Raja Zainab II, Kota Bharu apabila keadaannya agak kritikal.
Abang iparnya itu dimasukkan ke
Wad ICU selama sebulan. Pada ketika dimasukkan ke wad berkenaan, abang iparnya
dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kira-kira selepas sebulan, abang iparnya
dibawa pulang ke rumah dan didapati beliau tidak lagi dapat berjalan,
seolah-olah urat dan sarafnya mengalami masalah.
Disebabkan abang iparnya tidak
lagi dapat berjalan dan hanya mampu bergerak secara duduk dari satu tempat ke
satu tempat dalam rumahnya itu. Lebih kurang tempoh antara dua hingga tiga
tahun, tiba-tiba abang iparnya dijangkiti kudis di bahagian kaki. Beliau
mengalami simptom seperti itu dalam tempoh enam bulan.
“Kesihatan tubuhnya baik, cuma
masalah kakinya sahaja. Disebabkan keadaan itulah, terpaksalah abang ipar perlu
dibawa ke hospital. Kemudian kakinya dipotong untuk mengelakkan jangkitan
kuman”, katanya apabila ditanya tentang kesihatan abang iparnya ketika serangan
simptom tersebut.
Ditanya tentang punca kejadian sehingga
abang iparnya berkeadaan seperti itu, dia percaya kejadian itu berlaku
disebabkan banjir kuning pada tahun 2014 apabila kulitnya yang sensitif terkena
air banjir. Apabila terkena air banjir itu bermulanya episod masalah yang
terpaksa dialami oleh abang iparnya. Apatah lagi kekotoran air banjir yang
membawa pelbagai bahan kotor dan enap cemar memudahkan kuman berjangkit melalui
kulit dan saluran darah secara diam.
Dia juga sedia maklum tentang
dakwaan abang iparnya itu sebenarnya menghidap kencing manis, apabila melihat
keadaan kudis itu yang perlu kakinya dipotong. Sebab-sebab lain, mungkin juga
berpunca dari pemakanan sehingga kakinya menjadi bengkak.
Selepas kaki abang iparnya
dipotong, keadaannya agak sempurna. Namun, beliau tidak pasti apakah yang akan
berlaku seterusnya.
Membicarakan tentang bantuan
untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh abang iparnya yang tidak
mempunyai wang saraan sendiri, apatah pula terpaksa menanggung masalah kakinya
dipotong. Katanya, beliau agak hairan kerana bantuan pernah dipohon dengan
pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut prosedur yang diminta.
Pihaknya telah dua kali ke JKM
untuk memohon bantuan tersebut. Dia kurang mengerti di manakah silapnya,
sehingga permohonan abang iparnya itu sama ada ditolak atau tidak, kerana
berita tentang permohonan itu senyap begitu saja.
Bagi yang ingin membantu meringankan beban beliau, hubungi telefonnya: 017-9529570
Ariffin Mat Akid atau Pak Pin.
Pak Pin ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Beginilah keadaan kakinya yang telah dipotong akibat penyakit itu.
Roslina Hamzah, adik ipar Pak Pin.
Roslina Hamzah ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediaman Pak Pin.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan