RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 30 Oktober 2016

Tolonglah Makcik


TOLONGLAH MAKCIK

PASIR MAS, KELANTAN: Kesedihan disebabkan kematian orang yang tersayang tidak dapat dihitung dengan kata-kata. Tidak mungkin dapat dileraikan dengan tangisan kerana apabila diingatkan kembali, air mata pastinya bercucuran. Begitulah yang terpaksa dihadapi oleh Tuan Zainab Tuan Deraman atau Makcik Nab, 80, dari Kampung Apa-apa, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.

Katanya, beliau berasal dari Kampung Perol, Pasir Mas. Beliau berpindah ke Kampung Apa-apa itu setelah mendirikan rumahtangga dengan arwah suaminya. Suaminya yang berasal dari kampung berkenaan kembali menemui Illahi kira-kira 30 tahun lalu ketika berusia 50 tahun dan kini dia menetap di rumah pusaka arwah suaminya sehingga sekarang.

Tambahnya, ketika melayari bahtera hidup berumahtangga, beliau hanya dikurniakan seorang anak sahaja. Namun, beberapa ketika kemudian, anaknya pula dijemput Illahi yang ketika itu berusia 50 tahun dan kini hanya dia seorang saja yang masih menghuni di rumah arwah suaminya. Walaupun telah mempunyai cucu, namun cucunya tinggal di rumah sendiri.

Ditanya tentang makanan harian, beliau hanya berharap kepada pemberian orang ramai untuk sesuap makanan. Beliau ada menerima bantuan dari pihak kerajaan sebanyak RM100 sebulan. Sementara sumbangan dan bantuan zakat hanya dihulurkan oleh kebanyakan orang-orang kampung itu yang bersimpati dengan dirinya yang hidup seorang diri. Dia juga tidak pernah menerima bantuan dalam bentuk makanan seperti beras, gula dan sebagainya dari mana-mana pihak walaupun dari jiran-jirannya sendiri sedangkan itulah barangan keperluan yang amat diperlukannya.

Katanya lagi, selama tiga bulan dia tidak menuntut wang pemberian pihak kerajaan berjumlah RM100 itu, kalau diikutkan memanglah tidak mencukupi. Namun, dia tidak berbuat demikian bukan kerana bantuan itu terlalu rendah dan dianggap “kedekut”, namun hakikatnya dia sebenarnya berharapkan kepada cucunya untuk menuntut wang tersebut, tetapi cucunya tidak berbuat demikian. Sehingga hari ini, dia tidak pernah menikmati wang bantuan berkenaan itu dan beliau hanya bergantung kepada pemberian orang ramai semata-mata.

Ditanya tentang bantuan zakat dari pihak majlis agama Islam negeri, setakat ini tiada bantuan seumpama itu. Dia sememangnya berasa agak sedih juga berikutan dengan keadaannya itu, tiada pihak yang berkemampuan untuk cuba membantunya.

“Makcik hanya dapat bantuan dari orang-orang kampung, bantuan wang zakat makcik tak pernah terima. Sedih juga, apabila makcik dalam keadaan ini, tiada pihak yang ambil peduli”, katanya dengan nada sedih.

Apabila ditanya tentang bekalan elektrik ke rumahnya itu menurutnya, pada asalnya bekalan elektrik memang disalurkan ke rumah pusakanya itu dan dia sebelum ini pernah menikmati kemudahan itu. Tetapi disebabkan tidak mampu membayar bil elektrik selama tiga bulan, bekalan tersebut kemudiannya dipotong.

Beliau juga menyingkap dirinya yang bertemu jodoh semasa hayat suaminya. Katanya, suatu ketika suaminya hanya sekadar santai-santai di Kampung Perol. Sejak pertemuan itu katanya, terbitlah rasa cinta sehingga membawa mereka ke jinjang pelamin. Setelah mendirikan rumahtangga, beliau kemudiannya dibawa oleh arwah suaminya menetap di rumah pusaka yang didudukinya sekarang.

Ditanya tentang perasaannya dalam keadaan yang dihadapinya sekarang. Menurutnya, beliau memang sedih kerana bukan sahaja disebabkan kematian suami dan anaknya yang seorang itu. Tetapi bantuan dan sumbangan pihak-pihak tertentu juga tidak diperolehi sebagaimana yang sepatutnya, jadi, bagaimana beliau akan menjalani kehidupan sebagaimana orang lain?

Kadang-kadang katanya, apabila malam menjelang dia sentiasa berfikir tentang keadaan dirinya yang seperti disisihkan oleh masyarakat dan kerajaan kerana membiarkan insan sepertinya berkeadaan begitu tanpa diberikan perhatian, pertolongan dan bantuan.  Mungkin menurutnya, itu semua adalah dugaan hidup dan sebagai takdir Illahi terhadapnya.

“Makcik tidak pasti bagaimana akan menghabiskan hayat jika berkeadaan begini. Cuma makcik masih beruntung berikutan ada juga penduduk kampung yang sering bertandang, bertanya khabar dan menghulurkan bantuan sekadar termampu”, ujar Makcik Nab lagi.

Katanya, pada ketikanya kesedihan yang mencengkam jiwanya kadang-kadang terubat juga apabila tibanya hari raya. Ini kerana, ada juga kanak-kanak yang datang menjenguknya sambil beraya dengan beliau. Malah ketika itu, beliau banyak menerima buah tangan yang disedekah dan disumbangkan oleh penduduk-penduduk kampung itu.

Justeru, beliau bersyukur apabila tiada gangguan penyakit yang dialaminya walaupun usianya kini telah separuh abad. Sesuatu yang menjadi masalahnya adalah beliau tidak begitu berselera untuk menjamah makanan, itulah yang merunsingkannya ketika ini. Kadang-kadang cucunya sendiri menghulurkan makanan, namun disebabkan dia tidak berselera, apabila cukup tiga hari makanan itu terpaksa dibuang kerana makanan itu tidak lagi boleh dimakan.

Tuan Zainab Tuan Deraman atau Makcik Nab.

Makcik Nab ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.

Merenung masa depan yang belum menentu.

Inilah rumah pusaka arwah suami yang masih didudukinya sehingga kini.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Khamis, 20 Oktober 2016

Pelancaran Buku Hashim Latiff



PELANCARAN BUKU HASHIM LATIFF

KOTA BHARU, KELANTAN: Menurut agenda, majlis bermula jam 10.30 pagi, dengan ketibaan tetamu jemputan dan VIP. Detik 11.00 pagi majlis pelancaran pun berlangsung dengan ucapan alu-aluan Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Hajah Che Zainab Omar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada pegawai-pegawai DBP dan penganjur Pesta Buku dan Karnival Jualan 2016, Kor Kadet Konstable Kelantan dan Jabatan Pendidikan Kelantan. Ini katanya, tanpa penglibatan kedua-dua penganjur berkenaan program yang dirancangkan tidak akan terlaksana.

Menurutnya, pihaknya telah membuat undangan untuk majlis berkenaan, nampaknya ramai pelajar-pelajar yang hadir di pesta buka berkenaan dan beliau difahamkan, kira-kira 37 buah sekolah dari seluruh Kelantan yang menyertai pesta buku selama tiga hari itu.

“Kedatangan peserta pada hari ini telah menentukan tahap kecernaan yang menyintai ilmu di kalangan masyarakat Kota Bharu khususnya dan di seluruh Kelantan amnya”, ujar Hajah Che Zainab Omar.

Beliau juga turut menyentuh sedikit biodata penulis yang diraikan, Hashim Latiff yang bukan sahaja seorang penulis tetapi beliau difahamkan Hashim Latiff mempunyai dua bakat terpendam iaitu menulis dan melukis. Dia sendiri pernah melihat kesemua lukisan yang dicernakan oleh Hashim Latiff yang pada perkiraannya dianggap bagus, namun beliau terlupa untuk membawanya dan dipertontonkan dalam majlis berkenaan.

Jelasnya, langkah yang dimulakan oleh Hashim Latiff menjadi inspirasi kepada penulis muda kerana idea yang dicetuskan oleh beliau itu amat prolifik disebabkan selalu menghasilkan karya yang terbaik. Beliau juga ingin mengucapkan tahniah kepada Hashim Latiff kerana telah berjaya menulis lima novel remaja yang akan dilancar dan dibicarakan dalam majlis itu nanti iaitu Rahsia Tasik Berangan, Ukiran Kasih Ibu, Aku Bukan Kaki Bangku, Budi Tanpa Sempadan serta Pendekar Sufi.

Beliau difahamkan juga penghasilan novel oleh Hashim Latiff sebagai menyahut seruan, saranan dan program yang dirancang oleh bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan pada tahun 2014 itu.

Sementara itu, Bekas Ketua Pengarah DBP, Tokoh Budayawan Kelantan merangkap Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A. Aziz Deraman yang turut berucap, merasmi, pelancaran buku dan gimik pelancaran turut memuji dan mengucapkan tahniah kepada penulis novel remaja yang dirai, Hashim Latiff itu. Beliau turut menyarankan kepada para remaja terutamanya pelajar-pelajar yang turut serta sempena pesta buku pada hari itu patut membelinya kerana kandungan yang digarapkan dalam lima buku berkenaan adalah yang terbaik.

“Ada beberapa perkara yang saya lihat dalam kelima-lima buku seperti Pendekar Sufi yang disebut oleh penulis tentang Kejohanan Silat Sedunia.

“Kebetulannya, saya ketika itu sebagai Pengerusi Penganjur Kejohanan Silat Sedunia 1987. Dalam kejohanan ini, kira-kira 27 buah negara turut serta yang diadakan buat pertama kali”, katanya.

Menurutnya, silat adalah salah satu seni mempertahankan diri yang unggul di dunia. Buku ini penulis ingin menceritakan tentang seni dan budayanya sekali. Manakala buku berjudul Rahsia Tasik Berangan menceritakan bagaimana berlakunya konflik dalam satu komuniti. Tetapi di dalam komuniti itu turut disebut tentang anak-anak yang terpelajar kerana sentiasa ke sekolah dan mereka berusaha mencari buku-buku untuk dibaca. Dalam buku ini juga menurutnya disebut beberapa aspek sosio-curteral psikologi berhubung dengan semangat patriotik anak-anak muda.

“Dalam buku ini juga terdapat unsur-unsur budaya yang menarik terutamanya dalam loghat Kelantan.

“Sementara dalam buku Budi Tanpa Sempadan, penulis cuba mewujudkan rentas budaya berhubung dengan kisah seorang gadis Vietnam”, ujarnya.

Dia juga turut mencadangkan kepada pihak sekolah, apabila tibanya kelas akhir tahun yang tidak ada aktiviti, guru-guru perlu menerapkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar mereka dengan buku-buku berkenaan. Beliau meminta supaya membaca dalam seminggu, seorang satu judul dan meminta pelajar yang pernah membacanya supaya memperdengarkannya tentang pengalaman mereka membaca buku-buku tersebut.

“Gerakkan budaya membaca di kalangan mereka sesuai dengan ayat-ayat yang digarapkan dalam Al-Quran surah Al-‘Alaq. Bacalah..bacalah”, ujarnya lagi.

Beliau turut juga menyebut tentang penulis yang berjaya menterjemahkan suatu tuntutan, membaca dan menulis. Kalau kita tidak membaca, kita tidak mempunyai ilmu dan bagaimana pula mahu menulis? Kalau tidak membaca dan menulis tentunya kita akan kembali kepada zaman buta huruf yang ilmunya tidak tersebar. Jadi, pentingnya membaca.

Datuk A. Aziz Deraman turut juga menyentuh tentang flora, fauna dan samudera bahasa Melayu dengan kegilaan bahasa Inggeris yang tidak meletakkan persepsi dengan betul. Ada 5,000 perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa Inggeris. Misalnya buah cupu, buah durian dan buah seto tidak ada di London. Tetapi mereka mengenalinya apabila ada pengimpot dan pedagang yang membawanya ke negara itu.

Justeru, beliau masih berharap kepada khalayak supaya menggerakkan budaya membaca. Di rumah-rumah, patut disediakan rak khutub khanah (perpustakaan) untuk meletakkan buku-buku penulis dari Kelantan misalnya Norhisham Mustapha, banyak buku-buku tentang syair, puisi dan novel-novel yang baik. Pertama, bab menguasai bahasa, itu yang paling penting. Dengan membaca karya-karya sastera akan menjadikan idea dan bahasa kita akan bertambah. 

Selepas ucapan, majlis disusuli dengan pelancaran buku dan gimik pelancaran yang disempurnakan oleh Datuk A. Aziz Deraman. Majlis berakhir dengan Bicara Karya oleh Editor Buku DBP, Puan Nelawati Ngadul.

Beberapa penulis dan penyair Kelantan turut hadir pada hari tersebut terdiri daripada Haji Norhisham Mustafa, Darma Mohamad, Abdullah Awang, Anuar Bakri, Rossem, Abdul Razak Mahmud, M.Husdaini Mamat serta Azmi Mohd. Salleh.

Ucapan alu-aluan oleh Pengarah DBP Wilayah Timur, Hajah Che Zainab Omar.

Ucapan perasmian dan pelancaran buku oleh Tokoh Budayawan Kelantan dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A. Aziz Deraman.

Gimik Pelancaran disempurnakan oleh Datuk A. Aziz Deraman.

Bicara Karya bersama Editor Buku DBP, Puan Nelawati Ngadul sebagai akhir majlis.

Tetamu kehormat.




Tokoh penulis dan penyair juga turut hadir untuk menyerikan majlis.




Pesta Buku dan Karnival Jualan 2016.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 10 Oktober 2016

Mat Pelatih Beruk


MAT PELATIH BERUK

BACHOK, KELANTAN: Melatih haiwan yang separa jinak bukannya senang walaupun melihatnya nampak mudah. Namun, bagi yang betul-betul berminat perkara yang sukar dapat dilakukan dan akhirnya menemui kejayaan. Bercakap tentang haiwan separa jinak seperti beruk yang adakalanya mempunyai perangai tertentu, namun apabila haiwan berkenaan serasi dengan tuannya, dengan mudah saja ia dilatih.

Begitu halnya dengan pengalaman yang ingin dikongsi oleh Mohd bin Bulat, 61, atau Mat dari Kampung Kemayan, Tawang, Bachok, Kelantan. Dia sebenarnya sukakan haiwan itu, sebab itulah dia membelanya. Tetapi dia bukan sekadar membelanya sebaliknya dia melatih haiwan itu sehingga mahir dalam tugas sebagai haiwan pemetik buah kelapa.

“Pada awalnya saya suka sangat pelihara haiwan itu. Tetapi lama-kelamaan saya menjadi minat melatihnya pula”, katanya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbaharin di kediamannnya.

Katanya, sebelum haiwan banyak bulu itu digunakan sebagai haiwan yang sentiasa berkhidmat kepadanya sebagai tukang petik buah kelapa, tindakan awalnya terhadap haiwannya itu adalah melatihnya sehingga haiwan itu betul-betul terlatih dan mahir untuk memetik dan menurunkan buah kelapa.

Menurutnya, walaupun haiwan itu sudah biasa dengan memanjat, namun perlu juga dilatih kerana umumnya mengetahui, beruk hanya memanjatnya saja dan kalau diminta memetik buah kelapa pun dengan cara dan naluri haiwan itu semata-mata. Apabila dikatakan naluri haiwan, boleh jadi buah yang dipetik itu baik dan mungkin juga rosak.

Bagi sesetengah pelatih mungkin agak berbeza, begitu juga dengan caranya. Namun, baginya, peringkat pertama beliau melatih beruk itu adalah dengan memegang tangan beruk itu dia sudah tahu beruk itu boleh berkhidmat kepadanya atau tidak. Selepas itu, dia akan meminta beruk itu memegang buah kelapa itu pula supaya sarafnya dapat merasai bagaimana bentuk buah kelapa itu. Dengan cara demikian juga, dia akan mengetahui sikap dan sifat beruk itu apabila memanjat pokok, beruk itu rajin bekerja atau haiwan pemalas.

“Saya mememelihara beruk ini kerana minat. Dalam masa yang sama, saya melatih beruk itu peringkat demi peringkat sehingga mahir”, katanya.

Mat menambah, bermula melatih beruk sehingga beruk yang dilatihnya itu mahir melakukan kerja-kerja sebagai pemetik buah kelapa adalah kira-kira sejak 10 tahun dulu. Dia bukan saja melatih beruknya sendiri untuk tujuannya itu tetapi turut melatih beruk-beruk yang dibawa oleh orang lain untuk tujuan yang sama iaitu untuk memetik buah kelapa.

Apabila ingin melatih beruk orang lain, dia akan menambat haiwan itu di beberapa pokok kelapa di hadapan laman rumahnya iaitu sebatang pokok kelapa bagi seekor beruk lalu dibina tempat untuk beruk itu berlindung dari hujan dan panas.

Menceritakan pengalamannya, secara jujurnya, dia tidak pernah pernah belajar dari mana-mana guru sehingga dia boleh melakukannya seperti sekarang. Tetapi apabila dia melihat seekor beruk itu, dia mampu melakukannya. Apabila dia melatih beruk itu, beruk akan faham apa yang dimahukannya. Misalnya, apabila dia bertutur dan memberitahu beruk yang dilatihnya, beruk itu faham walaupun dituturkan dalam dialek Kelantan.

Katanya, untuk melatih beruk supaya cepat menyesuaikan diri dan akhirnya pandai adalah beruk yang berusia dua (2) tahun. Dalam usia dua tahun itu, bentuk tubuh beruk sudah agak besar, tetapi jika masih kecil walaupun usia seperti itu akan menyebabkan perkembangan otak beruk agak lambat dan tentunya beruk juga agak lambat pandai.

Apabila ditanya, kenapa perlu diajar dan dilatih beruk ketika usia dua tahun tetapi tidak usia lain? Beliau menjelaskan, usia dua tahun adalah umur yang sesuai bagi seekor beruk untuk dilatih. Kalau dilatih usia lebih dari itu, tentulah mengalami keadaan sukar untuk beruk itu menerima latihan dan pemahaman suara dari pelatih atau tuannya.

“Perumpamaan seperti manusia, apabila diajar di peringkat telah berusia, tentulah sukar menerima, begitu halnya dengan beruk”, kata Mat lagi.

Menurutnya, apabila seseorang pelatih telah melatih haiwan itu dengan menunjukkan cara dan kemahuan kita sebagai pelatihnya, tentulah beruk akan menurutnya.

Ditanya tentang bagaimana beliau melatih beruk untuk memetik buah, beliau menjelaskan, kita akan beritahu begini dan begitu dengan cara bertutur dan menggerakkan tangan, beruk sudah dapat memahami kehendak pelatih.

Lazim menurutnya, di peringkat latihan iaitu dalam usia dua tahun, beruk apabila diminta untuk memetik buah kelapa masih tidak mampu. Tetapi beruk akan menjadi luar biasa dan mahir sepenuhnya apabila telah mencecah usia tiga (3) atau empat (4) tahun.

Tambah Mat, untuk melatih haiwan itu, makanan yang cukup perlu disediakan menurut masa-masa tertentu. Misalnya makanan yang digemari beruk yang setiap pagi perlu disediakannya ialah air susu dan sedikit nasi. Untuk makanan tengah hari pula, beliau akan menyediakannya nasi biasa saja dan minumannya adalah air susu itu tadi.

Manusia kadang-kadang buat perangai. Begitu halnya dengan beruk. Bukanlah untuk membandingkan antara manusia dan haiwan itu. Tetapi itulah hakikat haiwan, ada yang sakit, ada yang sentiasa terlebih sihat dan ada juga yang suka menimbulkan masalah dan buat perangai.

Dalam masa beruk dilatih untuk menjadikan beruk terlatih dan mahir untuk memungut buah kelapa, memang ada tabiat dan perangai beruk. Katanya, ada beruk yang pernah dilatihnya sebelum ini, apabila melihat ayam bersembang berdekatan haiwan itu, beruk itu akan menangkap ayam itu lalu dimamah tetapi dibiarkan menjadi bangkai di situ.

“Kira-kira dua ekor ayam telah menjadi mangsa beruk buat perangai setakat ini”, ujar Mat lagi.

Bagi sesetengah pelatih beruk menyatakan, beruk yang suka menjadikan ayam sebagai mangsa tidak boleh dibela terlalu lama. Namun menurutnya, haiwan itu tidak makan ayam yang ditangkapnya, sebaliknya sebagai tabiatnya suka berbuat begitu. Bangkai ayam yang menjadi mangsa beruk itu hanya terdampar di tempat itu malah tidak pun diusik selepas itu.

Menurutnya, beruk yang ingin dilatih perlu disedikan tempat berteduh yang dikira dapat melindungi haiwan itu dari tempias hujan, ribut dan panas. Begitu juga dengan beliau, turut menyediakan tempat haiwan itu berteduh sebagai rumah dan tempat berlindung. Dia tidak akan memindahkan ke tempat lain, kerana apabila musim hujan, beruk-beruk itu boleh memasuki ke dalam tong yang disediakannya di setiap batang pokok kelapa sebagai tempat beruk berlindung di dalamnya.

“Namun, ada juga jenis beruk yang tidak begitu selesa tinggal dalam tong. Beruk itu akan bertempik, tetapi beruk itu perlu menyukai keadaan itu”, ujar Mat.

Walau bagaimanapun, apabila kita telah meletakkan tong plastik sebagai rumah dan tempat pelindung haiwan itu, beruk akan selamat dari tempias hujan. Hanya pada mula-mulanya saja setiap beruk akan mengalami situasi seperti itu, lama-kelamaan haiwan itu akan dapat menyesuaikan diri.

Menceritakan tentang penyakit yang dialami haiwan itu, beruk juga turut ditimpa penyakit. Kebanyakan beruk yang pernah dilatihnya sebelum ini sehingga sekarang belum lagi mengalami masalah diserang penyakit kronik. Namun katanya, dia pernah mendengar ada kes beruk juga diserang strok sebagaimana yang dialami oleh manusia.

Di samping itu, ditanya tentang sesetengah beruk bertempik dengan lain-lain bunyi. Beliau menjelaskan, memang ada sesetengah beruk yang bertempik, sebagai petanda dia tidak menggemari (memarahi) manusia mendekati beruk-beruk itu, apatah lagi apabila manusia yang buat pertama kali muncul berdekatannya dengan haiwan tersebut.

Mohd bin Bulat atau Mat.

Mat ketika diwawancara Wartawan RELATIF di laman kediamannya.





Beruk yang mahir akan mengetahui melalui renjatan tali.


Buah-buah kelapa yang berjaya digugurkan.

Di sinilah haiwan itu ditambat dan berteduh.

 
Bergambar kenangan dengan keluarganya.

Kampung Kemayan memang banyak pokok kelapa yang tumbuh subur.

 Papan tanda arah ke Kampung Kemayan, Tawang, Bachok.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Sabtu, 1 Oktober 2016

Membaca Matangkan Minda


MEMBACA MATANGKAN MINDA

MEMBACA merupakan suatu amalan atau budaya yang sihat. Membaca juga boleh meluaskan ilmu pengetahuan serta mematangkan minda. Di antara ilmu yang dipelajari, tabiat membaca wajar ditekankan di dalam segala aspek dan perlu dipupuk terhadap anak-anak semasa di bangku persekolahan lagi. Tetapi apa yang berlaku hari ini, didapati masih ramai di kalangan anak-anak mahupun segelintir masyarakat di negara ini didapati jemu dan malas membaca. Kenapa jadi begini?

Dari kaca mata Islam, menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslimin dan muslimat. Tetapi dari konteks ilmuan pula terutamanya dari aspek pembelajaran dan pendidikan, tidak begitu lengkap jika tidak disusuli atau disertai dengan tabiat membaca.

Dengan perkataan lain, berkemungkinan ramai di kalangan masyarakat di negara ini yang belajar, mendengar ceramah (syarahan), mengikuti forum perbincangan mahupun kuliah ilmu untuk tujuan memperolehi ilmu yang dimaksudkan. Tetapi ilmu pengetahuan yang diperolehinya itu belum mencukupi kerana ia hanya meliputi perkara-perkara tertentu saja. Namun, kekuatan ingatan mindanya akan terus berkembang apabila disertai dengan amalan membaca.

Di negara kita, kita dapat saksikan sama ada di bandar-bandar, kampung mahupun pekan, telah banyak gedung ilmu dan kedai-kedai buku didirikan malah tumbuh satu demi satu dengan harapan memperkayakan khazanah ilmu itu. Apatah lagi kini, dengan adanya seminar dan pameran buku-buku di setiap negeri dan daerah bagi memudahkan pembaca mendapatkan bahan-bahan menarik dan berilmiah supaya tabiat membaca diteruskan sampai bila-bila. Dari gedung-gedung ilmu, kedai buku dan pameran itu, kita boleh memperolehi banyak sumber pengetahuan melalui buku-buku, majalah, risalah serta akhbar. Tetapi sayangnya, sumber-sumber ilmu itu sahaja  yang melimpah-ruah namun pembacanya amat kurang, kurang berminat dan tidak mempedulikannya.

Sementara itu, kita mungkin boleh berbangga kerana di kalangan masyarakat di negara ini yang gemar membaca akhbar. Tetapi melalui akhbar-akhbar tersebut, bukan halaman ilmu yang dibacanya. Sebaliknya ruangan hiburan, fesyen, masakan dan sukan yang sering menjadi tumpuan. Ada yang membuat keratan dari akhbar berkenaan lalu ditampal dan dibukukan. Halaman pengetahuan dan pendidikan diketepikan, dikoyakkan dan dijadikan sebagai alas pembungkus makanan.

Dalam konteks manfaatnya, membaca banyak manfaatnya ke atas diri individu itu apabila tabiat membaca dijadikan sebagai budaya hidup iaitu:

1. Perbualan harian

Seseorang yang gemar membaca, hanya membicarakan persoalan yang berfaedah seperti ilmu dan pengetahuan yang perlu dipelajari berbanding dengan seseorang yang berat atau malas membaca. Mereka hanya membicarakan tentang hal-hal remeh dan tidak masuk akal.

2. Perpustakaan rumah

Individu yang gemarkan buku-buku dan pembacaan sebagai amalan hidup harian, sebuah perpustakaan akan diwujud dan dibina di ruang rumahnya sebagai sumber ilmu dan bagi memudahkan untuk rujukan.

3. Perkembangan minda

Dari konteks membaca juga, perkembangan minda akan menjadi matang apabila tabiat membaca sering dijadikan sebagai amalan yang berfaedah.

Dengan itu, individu yang sentiasa membaca dapat melahirkan ilham, cadangan yang bernas serta dapat memberikan pandangan yang cukup berkesan dan sebagai suatu langkah untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Dalam hal ini, ketahuilah bahawa, buku adalah “guru sepanjang zaman”. Dengan membaca dari sumber-sumber yang berilmiah kita akan memperolehi sesuatu maklumat yang belum kita ketahui sama ada dari dalam mahupun luar negara. Membacalah, kerana membaca itu memperkayakan khazanah ilmu dan mematangkan minda.




Buku adalah 'guru sepanjang zaman'.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH