MEMBACA MATANGKAN MINDA
MEMBACA merupakan suatu amalan
atau budaya yang sihat. Membaca juga boleh meluaskan ilmu pengetahuan serta
mematangkan minda. Di antara ilmu yang dipelajari, tabiat membaca wajar
ditekankan di dalam segala aspek dan perlu dipupuk terhadap anak-anak semasa di
bangku persekolahan lagi. Tetapi apa yang berlaku hari ini, didapati masih
ramai di kalangan anak-anak mahupun segelintir masyarakat di negara ini
didapati jemu dan malas membaca. Kenapa jadi begini?
Dari kaca mata Islam, menuntut
ilmu adalah wajib bagi setiap muslimin dan muslimat. Tetapi dari konteks ilmuan
pula terutamanya dari aspek pembelajaran dan pendidikan, tidak begitu lengkap
jika tidak disusuli atau disertai dengan tabiat membaca.
Dengan perkataan lain,
berkemungkinan ramai di kalangan masyarakat di negara ini yang belajar,
mendengar ceramah (syarahan), mengikuti forum perbincangan mahupun kuliah ilmu
untuk tujuan memperolehi ilmu yang dimaksudkan. Tetapi ilmu pengetahuan yang
diperolehinya itu belum mencukupi kerana ia hanya meliputi perkara-perkara
tertentu saja. Namun, kekuatan ingatan mindanya akan terus berkembang apabila
disertai dengan amalan membaca.
Di negara kita, kita dapat
saksikan sama ada di bandar-bandar, kampung mahupun pekan, telah banyak gedung
ilmu dan kedai-kedai buku didirikan malah tumbuh satu demi satu dengan harapan
memperkayakan khazanah ilmu itu. Apatah lagi kini, dengan adanya seminar dan
pameran buku-buku di setiap negeri dan daerah bagi memudahkan pembaca
mendapatkan bahan-bahan menarik dan berilmiah supaya tabiat membaca diteruskan
sampai bila-bila. Dari gedung-gedung ilmu, kedai buku dan pameran itu, kita
boleh memperolehi banyak sumber pengetahuan melalui buku-buku, majalah, risalah
serta akhbar. Tetapi sayangnya, sumber-sumber ilmu itu sahaja yang melimpah-ruah namun pembacanya amat
kurang, kurang berminat dan tidak mempedulikannya.
Sementara itu, kita mungkin boleh
berbangga kerana di kalangan masyarakat di negara ini yang gemar membaca
akhbar. Tetapi melalui akhbar-akhbar tersebut, bukan halaman ilmu yang dibacanya.
Sebaliknya ruangan hiburan, fesyen, masakan dan sukan yang sering menjadi
tumpuan. Ada
yang membuat keratan dari akhbar berkenaan lalu ditampal dan dibukukan. Halaman
pengetahuan dan pendidikan diketepikan, dikoyakkan dan dijadikan sebagai alas
pembungkus makanan.
Dalam konteks manfaatnya, membaca
banyak manfaatnya ke atas diri individu itu apabila tabiat membaca dijadikan
sebagai budaya hidup iaitu:
1. Perbualan harian
Seseorang yang gemar membaca,
hanya membicarakan persoalan yang berfaedah seperti ilmu dan pengetahuan yang
perlu dipelajari berbanding dengan seseorang yang berat atau malas membaca.
Mereka hanya membicarakan tentang hal-hal remeh dan tidak masuk akal.
2. Perpustakaan rumah
Individu yang gemarkan buku-buku
dan pembacaan sebagai amalan hidup harian, sebuah perpustakaan akan diwujud dan
dibina di ruang rumahnya sebagai sumber ilmu dan bagi memudahkan untuk rujukan.
3. Perkembangan minda
Dari konteks membaca juga,
perkembangan minda akan menjadi matang apabila tabiat membaca sering dijadikan
sebagai amalan yang berfaedah.
Dengan itu, individu yang
sentiasa membaca dapat melahirkan ilham, cadangan yang bernas serta dapat
memberikan pandangan yang cukup berkesan dan sebagai suatu langkah untuk
menyelesaikan sesuatu masalah.
Dalam hal ini, ketahuilah bahawa,
buku adalah “guru sepanjang zaman”. Dengan membaca dari sumber-sumber yang
berilmiah kita akan memperolehi sesuatu maklumat yang belum kita ketahui sama
ada dari dalam mahupun luar negara. Membacalah, kerana membaca itu memperkayakan
khazanah ilmu dan mematangkan minda.
Buku adalah 'guru sepanjang zaman'.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan