RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 10 Oktober 2016

Mat Pelatih Beruk


MAT PELATIH BERUK

BACHOK, KELANTAN: Melatih haiwan yang separa jinak bukannya senang walaupun melihatnya nampak mudah. Namun, bagi yang betul-betul berminat perkara yang sukar dapat dilakukan dan akhirnya menemui kejayaan. Bercakap tentang haiwan separa jinak seperti beruk yang adakalanya mempunyai perangai tertentu, namun apabila haiwan berkenaan serasi dengan tuannya, dengan mudah saja ia dilatih.

Begitu halnya dengan pengalaman yang ingin dikongsi oleh Mohd bin Bulat, 61, atau Mat dari Kampung Kemayan, Tawang, Bachok, Kelantan. Dia sebenarnya sukakan haiwan itu, sebab itulah dia membelanya. Tetapi dia bukan sekadar membelanya sebaliknya dia melatih haiwan itu sehingga mahir dalam tugas sebagai haiwan pemetik buah kelapa.

“Pada awalnya saya suka sangat pelihara haiwan itu. Tetapi lama-kelamaan saya menjadi minat melatihnya pula”, katanya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbaharin di kediamannnya.

Katanya, sebelum haiwan banyak bulu itu digunakan sebagai haiwan yang sentiasa berkhidmat kepadanya sebagai tukang petik buah kelapa, tindakan awalnya terhadap haiwannya itu adalah melatihnya sehingga haiwan itu betul-betul terlatih dan mahir untuk memetik dan menurunkan buah kelapa.

Menurutnya, walaupun haiwan itu sudah biasa dengan memanjat, namun perlu juga dilatih kerana umumnya mengetahui, beruk hanya memanjatnya saja dan kalau diminta memetik buah kelapa pun dengan cara dan naluri haiwan itu semata-mata. Apabila dikatakan naluri haiwan, boleh jadi buah yang dipetik itu baik dan mungkin juga rosak.

Bagi sesetengah pelatih mungkin agak berbeza, begitu juga dengan caranya. Namun, baginya, peringkat pertama beliau melatih beruk itu adalah dengan memegang tangan beruk itu dia sudah tahu beruk itu boleh berkhidmat kepadanya atau tidak. Selepas itu, dia akan meminta beruk itu memegang buah kelapa itu pula supaya sarafnya dapat merasai bagaimana bentuk buah kelapa itu. Dengan cara demikian juga, dia akan mengetahui sikap dan sifat beruk itu apabila memanjat pokok, beruk itu rajin bekerja atau haiwan pemalas.

“Saya mememelihara beruk ini kerana minat. Dalam masa yang sama, saya melatih beruk itu peringkat demi peringkat sehingga mahir”, katanya.

Mat menambah, bermula melatih beruk sehingga beruk yang dilatihnya itu mahir melakukan kerja-kerja sebagai pemetik buah kelapa adalah kira-kira sejak 10 tahun dulu. Dia bukan saja melatih beruknya sendiri untuk tujuannya itu tetapi turut melatih beruk-beruk yang dibawa oleh orang lain untuk tujuan yang sama iaitu untuk memetik buah kelapa.

Apabila ingin melatih beruk orang lain, dia akan menambat haiwan itu di beberapa pokok kelapa di hadapan laman rumahnya iaitu sebatang pokok kelapa bagi seekor beruk lalu dibina tempat untuk beruk itu berlindung dari hujan dan panas.

Menceritakan pengalamannya, secara jujurnya, dia tidak pernah pernah belajar dari mana-mana guru sehingga dia boleh melakukannya seperti sekarang. Tetapi apabila dia melihat seekor beruk itu, dia mampu melakukannya. Apabila dia melatih beruk itu, beruk akan faham apa yang dimahukannya. Misalnya, apabila dia bertutur dan memberitahu beruk yang dilatihnya, beruk itu faham walaupun dituturkan dalam dialek Kelantan.

Katanya, untuk melatih beruk supaya cepat menyesuaikan diri dan akhirnya pandai adalah beruk yang berusia dua (2) tahun. Dalam usia dua tahun itu, bentuk tubuh beruk sudah agak besar, tetapi jika masih kecil walaupun usia seperti itu akan menyebabkan perkembangan otak beruk agak lambat dan tentunya beruk juga agak lambat pandai.

Apabila ditanya, kenapa perlu diajar dan dilatih beruk ketika usia dua tahun tetapi tidak usia lain? Beliau menjelaskan, usia dua tahun adalah umur yang sesuai bagi seekor beruk untuk dilatih. Kalau dilatih usia lebih dari itu, tentulah mengalami keadaan sukar untuk beruk itu menerima latihan dan pemahaman suara dari pelatih atau tuannya.

“Perumpamaan seperti manusia, apabila diajar di peringkat telah berusia, tentulah sukar menerima, begitu halnya dengan beruk”, kata Mat lagi.

Menurutnya, apabila seseorang pelatih telah melatih haiwan itu dengan menunjukkan cara dan kemahuan kita sebagai pelatihnya, tentulah beruk akan menurutnya.

Ditanya tentang bagaimana beliau melatih beruk untuk memetik buah, beliau menjelaskan, kita akan beritahu begini dan begitu dengan cara bertutur dan menggerakkan tangan, beruk sudah dapat memahami kehendak pelatih.

Lazim menurutnya, di peringkat latihan iaitu dalam usia dua tahun, beruk apabila diminta untuk memetik buah kelapa masih tidak mampu. Tetapi beruk akan menjadi luar biasa dan mahir sepenuhnya apabila telah mencecah usia tiga (3) atau empat (4) tahun.

Tambah Mat, untuk melatih haiwan itu, makanan yang cukup perlu disediakan menurut masa-masa tertentu. Misalnya makanan yang digemari beruk yang setiap pagi perlu disediakannya ialah air susu dan sedikit nasi. Untuk makanan tengah hari pula, beliau akan menyediakannya nasi biasa saja dan minumannya adalah air susu itu tadi.

Manusia kadang-kadang buat perangai. Begitu halnya dengan beruk. Bukanlah untuk membandingkan antara manusia dan haiwan itu. Tetapi itulah hakikat haiwan, ada yang sakit, ada yang sentiasa terlebih sihat dan ada juga yang suka menimbulkan masalah dan buat perangai.

Dalam masa beruk dilatih untuk menjadikan beruk terlatih dan mahir untuk memungut buah kelapa, memang ada tabiat dan perangai beruk. Katanya, ada beruk yang pernah dilatihnya sebelum ini, apabila melihat ayam bersembang berdekatan haiwan itu, beruk itu akan menangkap ayam itu lalu dimamah tetapi dibiarkan menjadi bangkai di situ.

“Kira-kira dua ekor ayam telah menjadi mangsa beruk buat perangai setakat ini”, ujar Mat lagi.

Bagi sesetengah pelatih beruk menyatakan, beruk yang suka menjadikan ayam sebagai mangsa tidak boleh dibela terlalu lama. Namun menurutnya, haiwan itu tidak makan ayam yang ditangkapnya, sebaliknya sebagai tabiatnya suka berbuat begitu. Bangkai ayam yang menjadi mangsa beruk itu hanya terdampar di tempat itu malah tidak pun diusik selepas itu.

Menurutnya, beruk yang ingin dilatih perlu disedikan tempat berteduh yang dikira dapat melindungi haiwan itu dari tempias hujan, ribut dan panas. Begitu juga dengan beliau, turut menyediakan tempat haiwan itu berteduh sebagai rumah dan tempat berlindung. Dia tidak akan memindahkan ke tempat lain, kerana apabila musim hujan, beruk-beruk itu boleh memasuki ke dalam tong yang disediakannya di setiap batang pokok kelapa sebagai tempat beruk berlindung di dalamnya.

“Namun, ada juga jenis beruk yang tidak begitu selesa tinggal dalam tong. Beruk itu akan bertempik, tetapi beruk itu perlu menyukai keadaan itu”, ujar Mat.

Walau bagaimanapun, apabila kita telah meletakkan tong plastik sebagai rumah dan tempat pelindung haiwan itu, beruk akan selamat dari tempias hujan. Hanya pada mula-mulanya saja setiap beruk akan mengalami situasi seperti itu, lama-kelamaan haiwan itu akan dapat menyesuaikan diri.

Menceritakan tentang penyakit yang dialami haiwan itu, beruk juga turut ditimpa penyakit. Kebanyakan beruk yang pernah dilatihnya sebelum ini sehingga sekarang belum lagi mengalami masalah diserang penyakit kronik. Namun katanya, dia pernah mendengar ada kes beruk juga diserang strok sebagaimana yang dialami oleh manusia.

Di samping itu, ditanya tentang sesetengah beruk bertempik dengan lain-lain bunyi. Beliau menjelaskan, memang ada sesetengah beruk yang bertempik, sebagai petanda dia tidak menggemari (memarahi) manusia mendekati beruk-beruk itu, apatah lagi apabila manusia yang buat pertama kali muncul berdekatannya dengan haiwan tersebut.

Mohd bin Bulat atau Mat.

Mat ketika diwawancara Wartawan RELATIF di laman kediamannya.





Beruk yang mahir akan mengetahui melalui renjatan tali.


Buah-buah kelapa yang berjaya digugurkan.

Di sinilah haiwan itu ditambat dan berteduh.

 
Bergambar kenangan dengan keluarganya.

Kampung Kemayan memang banyak pokok kelapa yang tumbuh subur.

 Papan tanda arah ke Kampung Kemayan, Tawang, Bachok.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan