RELATIF: Majalah Maya Terbaik . Berita . Rencana . Wawancara . Foto . Paparan Eksklusif . Sebuah Karya Ilmiah dan Akademik . Berita dan Rencana Mencakupi Pelbagai Bidang . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 20 Oktober 2016

Pelancaran Buku Hashim Latiff



PELANCARAN BUKU HASHIM LATIFF

KOTA BHARU, KELANTAN: Menurut agenda, majlis bermula jam 10.30 pagi, dengan ketibaan tetamu jemputan dan VIP. Detik 11.00 pagi majlis pelancaran pun berlangsung dengan ucapan alu-aluan Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Hajah Che Zainab Omar. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada pegawai-pegawai DBP dan penganjur Pesta Buku dan Karnival Jualan 2016, Kor Kadet Konstable Kelantan dan Jabatan Pendidikan Kelantan. Ini katanya, tanpa penglibatan kedua-dua penganjur berkenaan program yang dirancangkan tidak akan terlaksana.

Menurutnya, pihaknya telah membuat undangan untuk majlis berkenaan, nampaknya ramai pelajar-pelajar yang hadir di pesta buka berkenaan dan beliau difahamkan, kira-kira 37 buah sekolah dari seluruh Kelantan yang menyertai pesta buku selama tiga hari itu.

“Kedatangan peserta pada hari ini telah menentukan tahap kecernaan yang menyintai ilmu di kalangan masyarakat Kota Bharu khususnya dan di seluruh Kelantan amnya”, ujar Hajah Che Zainab Omar.

Beliau juga turut menyentuh sedikit biodata penulis yang diraikan, Hashim Latiff yang bukan sahaja seorang penulis tetapi beliau difahamkan Hashim Latiff mempunyai dua bakat terpendam iaitu menulis dan melukis. Dia sendiri pernah melihat kesemua lukisan yang dicernakan oleh Hashim Latiff yang pada perkiraannya dianggap bagus, namun beliau terlupa untuk membawanya dan dipertontonkan dalam majlis berkenaan.

Jelasnya, langkah yang dimulakan oleh Hashim Latiff menjadi inspirasi kepada penulis muda kerana idea yang dicetuskan oleh beliau itu amat prolifik disebabkan selalu menghasilkan karya yang terbaik. Beliau juga ingin mengucapkan tahniah kepada Hashim Latiff kerana telah berjaya menulis lima novel remaja yang akan dilancar dan dibicarakan dalam majlis itu nanti iaitu Rahsia Tasik Berangan, Ukiran Kasih Ibu, Aku Bukan Kaki Bangku, Budi Tanpa Sempadan serta Pendekar Sufi.

Beliau difahamkan juga penghasilan novel oleh Hashim Latiff sebagai menyahut seruan, saranan dan program yang dirancang oleh bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan pada tahun 2014 itu.

Sementara itu, Bekas Ketua Pengarah DBP, Tokoh Budayawan Kelantan merangkap Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A. Aziz Deraman yang turut berucap, merasmi, pelancaran buku dan gimik pelancaran turut memuji dan mengucapkan tahniah kepada penulis novel remaja yang dirai, Hashim Latiff itu. Beliau turut menyarankan kepada para remaja terutamanya pelajar-pelajar yang turut serta sempena pesta buku pada hari itu patut membelinya kerana kandungan yang digarapkan dalam lima buku berkenaan adalah yang terbaik.

“Ada beberapa perkara yang saya lihat dalam kelima-lima buku seperti Pendekar Sufi yang disebut oleh penulis tentang Kejohanan Silat Sedunia.

“Kebetulannya, saya ketika itu sebagai Pengerusi Penganjur Kejohanan Silat Sedunia 1987. Dalam kejohanan ini, kira-kira 27 buah negara turut serta yang diadakan buat pertama kali”, katanya.

Menurutnya, silat adalah salah satu seni mempertahankan diri yang unggul di dunia. Buku ini penulis ingin menceritakan tentang seni dan budayanya sekali. Manakala buku berjudul Rahsia Tasik Berangan menceritakan bagaimana berlakunya konflik dalam satu komuniti. Tetapi di dalam komuniti itu turut disebut tentang anak-anak yang terpelajar kerana sentiasa ke sekolah dan mereka berusaha mencari buku-buku untuk dibaca. Dalam buku ini juga menurutnya disebut beberapa aspek sosio-curteral psikologi berhubung dengan semangat patriotik anak-anak muda.

“Dalam buku ini juga terdapat unsur-unsur budaya yang menarik terutamanya dalam loghat Kelantan.

“Sementara dalam buku Budi Tanpa Sempadan, penulis cuba mewujudkan rentas budaya berhubung dengan kisah seorang gadis Vietnam”, ujarnya.

Dia juga turut mencadangkan kepada pihak sekolah, apabila tibanya kelas akhir tahun yang tidak ada aktiviti, guru-guru perlu menerapkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar mereka dengan buku-buku berkenaan. Beliau meminta supaya membaca dalam seminggu, seorang satu judul dan meminta pelajar yang pernah membacanya supaya memperdengarkannya tentang pengalaman mereka membaca buku-buku tersebut.

“Gerakkan budaya membaca di kalangan mereka sesuai dengan ayat-ayat yang digarapkan dalam Al-Quran surah Al-‘Alaq. Bacalah..bacalah”, ujarnya lagi.

Beliau turut juga menyebut tentang penulis yang berjaya menterjemahkan suatu tuntutan, membaca dan menulis. Kalau kita tidak membaca, kita tidak mempunyai ilmu dan bagaimana pula mahu menulis? Kalau tidak membaca dan menulis tentunya kita akan kembali kepada zaman buta huruf yang ilmunya tidak tersebar. Jadi, pentingnya membaca.

Datuk A. Aziz Deraman turut juga menyentuh tentang flora, fauna dan samudera bahasa Melayu dengan kegilaan bahasa Inggeris yang tidak meletakkan persepsi dengan betul. Ada 5,000 perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa Inggeris. Misalnya buah cupu, buah durian dan buah seto tidak ada di London. Tetapi mereka mengenalinya apabila ada pengimpot dan pedagang yang membawanya ke negara itu.

Justeru, beliau masih berharap kepada khalayak supaya menggerakkan budaya membaca. Di rumah-rumah, patut disediakan rak khutub khanah (perpustakaan) untuk meletakkan buku-buku penulis dari Kelantan misalnya Norhisham Mustapha, banyak buku-buku tentang syair, puisi dan novel-novel yang baik. Pertama, bab menguasai bahasa, itu yang paling penting. Dengan membaca karya-karya sastera akan menjadikan idea dan bahasa kita akan bertambah. 

Selepas ucapan, majlis disusuli dengan pelancaran buku dan gimik pelancaran yang disempurnakan oleh Datuk A. Aziz Deraman. Majlis berakhir dengan Bicara Karya oleh Editor Buku DBP, Puan Nelawati Ngadul.

Beberapa penulis dan penyair Kelantan turut hadir pada hari tersebut terdiri daripada Haji Norhisham Mustafa, Darma Mohamad, Abdullah Awang, Anuar Bakri, Rossem, Abdul Razak Mahmud, M.Husdaini Mamat serta Azmi Mohd. Salleh.

Ucapan alu-aluan oleh Pengarah DBP Wilayah Timur, Hajah Che Zainab Omar.

Ucapan perasmian dan pelancaran buku oleh Tokoh Budayawan Kelantan dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A. Aziz Deraman.

Gimik Pelancaran disempurnakan oleh Datuk A. Aziz Deraman.

Bicara Karya bersama Editor Buku DBP, Puan Nelawati Ngadul sebagai akhir majlis.

Tetamu kehormat.




Tokoh penulis dan penyair juga turut hadir untuk menyerikan majlis.




Pesta Buku dan Karnival Jualan 2016.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan