TOLONGLAH MAKCIK
PASIR MAS, KELANTAN: Kesedihan
disebabkan kematian orang yang tersayang tidak dapat dihitung dengan kata-kata.
Tidak mungkin dapat dileraikan dengan tangisan kerana apabila diingatkan
kembali, air mata pastinya bercucuran. Begitulah yang terpaksa dihadapi oleh Tuan Zainab Tuan Deraman atau Makcik Nab, 80, dari Kampung Apa-apa, Bunut
Susu, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh
dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.
Katanya, beliau berasal dari
Kampung Perol, Pasir Mas. Beliau berpindah ke Kampung Apa-apa itu setelah
mendirikan rumahtangga dengan arwah suaminya. Suaminya yang berasal dari
kampung berkenaan kembali menemui Illahi kira-kira 30 tahun lalu ketika berusia
50 tahun dan kini dia menetap di rumah pusaka arwah suaminya sehingga sekarang.
Tambahnya, ketika melayari
bahtera hidup berumahtangga, beliau hanya dikurniakan seorang anak sahaja.
Namun, beberapa ketika kemudian, anaknya pula dijemput Illahi yang ketika itu
berusia 50 tahun dan kini hanya dia seorang saja yang masih menghuni di rumah
arwah suaminya. Walaupun telah mempunyai cucu, namun cucunya tinggal di rumah
sendiri.
Ditanya tentang makanan harian,
beliau hanya berharap kepada pemberian orang ramai untuk sesuap makanan. Beliau
ada menerima bantuan dari pihak kerajaan sebanyak RM100 sebulan. Sementara
sumbangan dan bantuan zakat hanya dihulurkan oleh kebanyakan orang-orang
kampung itu yang bersimpati dengan dirinya yang hidup seorang diri. Dia juga
tidak pernah menerima bantuan dalam bentuk makanan seperti beras, gula dan
sebagainya dari mana-mana pihak walaupun dari jiran-jirannya sendiri sedangkan
itulah barangan keperluan yang amat diperlukannya.
Katanya lagi, selama tiga bulan
dia tidak menuntut wang pemberian pihak kerajaan berjumlah RM100 itu, kalau
diikutkan memanglah tidak mencukupi. Namun, dia tidak berbuat demikian bukan
kerana bantuan itu terlalu rendah dan dianggap “kedekut”, namun hakikatnya dia
sebenarnya berharapkan kepada cucunya untuk menuntut wang tersebut, tetapi
cucunya tidak berbuat demikian. Sehingga hari ini, dia tidak pernah menikmati
wang bantuan berkenaan itu dan beliau hanya bergantung kepada pemberian orang
ramai semata-mata.
Ditanya tentang bantuan zakat
dari pihak majlis agama Islam negeri, setakat ini tiada bantuan seumpama itu.
Dia sememangnya berasa agak sedih juga berikutan dengan keadaannya itu, tiada
pihak yang berkemampuan untuk cuba
membantunya.
“Makcik hanya dapat bantuan dari
orang-orang kampung, bantuan wang zakat makcik tak pernah terima. Sedih juga,
apabila makcik dalam keadaan ini, tiada pihak yang ambil peduli”, katanya
dengan nada sedih.
Apabila ditanya tentang bekalan
elektrik ke rumahnya itu menurutnya, pada asalnya bekalan elektrik memang
disalurkan ke rumah pusakanya itu dan dia sebelum ini pernah menikmati
kemudahan itu. Tetapi disebabkan tidak mampu membayar bil elektrik selama tiga
bulan, bekalan tersebut kemudiannya dipotong.
Beliau juga menyingkap dirinya
yang bertemu jodoh semasa hayat suaminya. Katanya, suatu ketika suaminya hanya
sekadar santai-santai di Kampung Perol. Sejak pertemuan itu katanya, terbitlah
rasa cinta sehingga membawa mereka ke jinjang pelamin. Setelah mendirikan
rumahtangga, beliau kemudiannya dibawa oleh arwah suaminya menetap di rumah
pusaka yang didudukinya sekarang.
Ditanya tentang perasaannya dalam
keadaan yang dihadapinya sekarang. Menurutnya, beliau memang sedih kerana bukan
sahaja disebabkan kematian suami dan anaknya yang seorang itu. Tetapi bantuan
dan sumbangan pihak-pihak tertentu juga tidak diperolehi sebagaimana yang
sepatutnya, jadi, bagaimana beliau akan menjalani kehidupan sebagaimana orang
lain?
Kadang-kadang katanya, apabila
malam menjelang dia sentiasa berfikir tentang keadaan dirinya yang seperti
disisihkan oleh masyarakat dan kerajaan kerana membiarkan insan sepertinya
berkeadaan begitu tanpa diberikan perhatian, pertolongan dan bantuan. Mungkin menurutnya, itu semua adalah dugaan
hidup dan sebagai takdir Illahi terhadapnya.
“Makcik tidak pasti bagaimana
akan menghabiskan hayat jika berkeadaan begini. Cuma makcik masih beruntung
berikutan ada juga penduduk kampung yang sering bertandang, bertanya khabar dan
menghulurkan bantuan sekadar termampu”, ujar Makcik Nab lagi.
Katanya, pada ketikanya kesedihan
yang mencengkam jiwanya kadang-kadang terubat juga apabila tibanya hari raya.
Ini kerana, ada juga kanak-kanak yang datang menjenguknya sambil beraya dengan
beliau. Malah ketika itu, beliau banyak menerima buah tangan yang disedekah dan
disumbangkan oleh penduduk-penduduk kampung itu.
Justeru, beliau bersyukur apabila
tiada gangguan penyakit yang dialaminya walaupun usianya kini telah separuh
abad. Sesuatu yang menjadi masalahnya adalah beliau tidak begitu berselera
untuk menjamah makanan, itulah yang merunsingkannya ketika ini. Kadang-kadang
cucunya sendiri menghulurkan makanan, namun disebabkan dia tidak berselera,
apabila cukup tiga hari makanan itu terpaksa dibuang kerana makanan itu tidak
lagi boleh dimakan.
Tuan Zainab Tuan Deraman atau Makcik Nab.
Makcik Nab ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Merenung masa depan yang belum menentu.
Inilah rumah pusaka arwah suami yang masih didudukinya sehingga kini.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan