PAKNIK NAWI PANDAI BESI
TANAH MERAH, KELANTAN: Menjadi
seorang tukang yang mahir khususnya tukang besi sehingga kepada peringkat
“pandai besi” bukannya mudah, namun tidak mustahil dapat dilakukan jika
meminati di bidang berkenaan diikuti dengan usaha yang berterusan ke arah itu. Namanya
besi, sejenis bahan yang agak keras yang perlu dimasak dengan api yang paling
panas seperti api “biru”. Namun, teknologi moden dewasa ini yang menggunakan
kaedah “hidraulik” memudahkan seseorang tukang besi menyiapkan kerja dengan
cepat dan pantas.
Namun, berapa keratkah
orang-orang Melayu yang mengusahakan sebagai tukang besi dapat membeli
peralatan hidraulik yang bernilai RM12,000 itu? Mahu tidak mahu, pengusaha
Melayu terpaksa melakukan kerja sebagai tukang besi secara kecil-kecilan
bermodalkan peralatan “manual” atau yang dibuat sendiri yang kadang-kadang
memerlukan kudrat dan tenaga seorang lelaki, namun untuk mengharapkan peralatan
manual itu segala kerja tentunya memerlukan masa beberapa hari untuk disiapkan.
Walau bagaimanapun itulah hakikatnya,
tukang-tukang besi Melayu tetap meneruskan legasi nenek moyang dari Cik Siti
Wan Kembang bermodalkan sumber kewangan yang rendah sebagai tukang besi
semata-mata meneruskan kesinambungan tukang-tukang besi terdahulu yang telah
kembali mengadap Illahi.
Walau bagaimanapun, masih ramai
lagi tukang-tukang besi yang meneruskan kesinambungan itu untuk mencari sesuap
makanan atau mencari rezeki di bidang itu walaupun kini terdapat di kalangan
mereka yang telahpun berusia sedekad. Tiada pihak yang cuba celik mata untuk melihat
keadaan mereka yang masih meneruskan kecenderungan generasi terdahulu di bidang
tukang besi. Mereka sewajarnya dibantu dalam banyak segi, kerana dengan watak
merekalah nama Kelantan begitu gah di luar Kelantan bukan sahaja ke Kuala Lumpur, Johor tetapi juga sehingga menaikkan nama ke
Thailand, Indonesia dan Singapura.
Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, salah seorang tukang besi yang
telah berusia sedekad tetapi masih meneruskan di bidang berkenaan semata-mata
minat dan melihat dengan membuat senjata tradisional Melayu sebenarnya ada
unsur kesenian yang jarang dilihat oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi bagi
pengusaha kecil-kecilan yang dimaksudkan, Nawi bin Hassan atau lebih dikenali
sebagai Paknik Nawi, 62, dari Kampung Belimbing, Tanah Merah, Kelantan begitu
teruja setiap kali dapat menyiapkan bilah-bilah senjata yang dimaksudkan.
Katanya sejarah bermulanya beliau
melibatkan diri sebagai tukang besi pada tahun 2013 lalu. Ditanya tentang minat
menempa senjata, beliau menjelaskan, dia berminat dalam bidang berkenaan sejak
kecil lagi. Beliau melihat beberapa foto orang-orang terdahulu yang
menghasilkan senjata tradisional Melayu yang bernilai kesenian, bagaimana ilham
dan kemampuan orang-orang tua (pakar senjata) ketika itu yang berjaya membuat
lubang pada sarung golok dan sarung keris dan sebagainya.
Ketika itulah Paknik Nawi
terfikir tentang kehebatan pakar-pakar dan tukang besi di kalangan orang-orang
Melayu zaman itu. Berbeza dengan tukang besi pada hari ini yang juga telah
menggunakan peralatan moden (menggunakan mesin), tentunya tukang besi pada
zaman itu melalui laluan sukar untuk menghasilkan sesuatu produk senjata Melayu
yang hebat dan bernilai seni.
Menurutnya, sejak kecil lagi dia
sememangnya berminat dengan bidang berkenaan, namun apabila memasuki tentera,
terpaksalah beliau meninggalkan bidang berkenaan kerana menumpukan kepada
bidang tugasnya itu. Katanya menambah, ketika dia cuba tinggalkan bidang berkenaan
kerana menumpukan kepada tugasnya, ketika itu minat terhadap tukang besi datang
secara tiba-tiba. Walau bagaimanapun menurutnya, ketika mempunyai ruang masa,
dia meneruskan sebagai tukang besi kerana menganggapkannya sebagai darah
dagingnya di bidang itu.
Pernah juga menurutnya,
rakan-rakannya dan beberapa pegawai dalam tentera yang memintanya menghasilkan
senjata yang diinginkan, beliau tetap menyiapkan sebagaimana yang diminta.
Menurutnya, selepas bersara dari
tentera dia bekerja sebagai tukang rumah. Katanya, ketika bekerja sebagai
tukang rumah dia melihat konsep membina rumah juga bernilai seni, namun
disebabkan faktor usia, dia tidak dapat meneruskan kerja-kerja tersebut kerana
penggunaan kayu, batu dan simen untuk menyiapkan rumah itu yang agak berat.
Jadi, jika dia meneruskannya sebagai tukang rumah tentunya dia akan menghadapi
masalah dengan kesihatannya nanti.
Paknik Nawi berkata, disebabkan
ketiadaan kerja yang perlu dilakukannya apatah lagi perbelanjaan harian untuk
makan minum keluarga perlu dicari, ketika itulah terlintas di fikirannya
bahawa, bekerja sebagai tukang besi juga ada sumber rezeki yang terbaik sebagai
mata pencariannya.
Di awal penglibatannya sebagai
tukang besi, dia tidaklah semampu untuk melakukan sebagai tukang-tukang besi
yang lain kerana belum mempunyai pengalaman sebagaimana hari ini. Ketika itu
katanya, apabila ada tempahan dia akan menyerahkan kepada tukang besi Kemboja
untuk disiapkan. Sebab untuk melibatkan diri sebagai tukang besi, perlukan ilmu
sedangkan pada ketika itu hanya minatnya saja yang ada sedangkan ilmu yang
berkaitan dengannya tiada. Semuanya beliau bergantung harap kepada pihak tukang
besi Kemboja yang serba sedikit dapat dicedok dari pihak berkenaan.
“Di awal penglibatan sebagai
tukang besi, kira-kira tiga atau empat bilah senjata yang rosak kerana tiada
pengalaman untuk sepuh besi itu.
“Kalau berjaya menyiapkan senjata
yang dimaksudkan, pastinya Paknik memperolehi RM30 sehari. Tetapi jika beri
upah kepada pihak tukang besi Kemboja, hanya dapat RM5 saja”, jelasnya.
Menurut Paknik Nawi, kebanyakan
peralatan senjata tradisional Melayu dapat disiapkan setelah bertahun-tahun
mencuba dan membuatnya dan ketika itu dia telah memperolehi pengalaman hasil
usahanya sendiri.
Menceritakan tentang bidangnya
itu, dia sebenarnya tidak pernah mendapat dorongan, tunjukajar mahupun menuntut
ilmu berkaitan dengan tukang tukang besi dari mana-mana guru untuk menghasilkan
senjata tradisional Melayu itu. Kesemuanya dibuatnya sendiri menurut apa yang
difikirkannya patut.
Ketika zaman kanak-kanaknya (usia
10 hingga 12 tahun), disebabkan terlalu minat kepada golok, beliau mendapatkan
besi nipis, asah sehingga tajam, dengan mata (besi) panjang, lalu beliau
mengambil buluh untuk dibuat ulu. Sementara zaman dia telah semakin berusia,
fikiran semakin matang, dia boleh mencorakkan sendiri bentuk senjata itu.
Bahkan katanya, kesemua peralatan untuk menghasilkan senjata itu dibuatnya
sendiri.
Misalnya pengalamannya menebuk
ulu hanya memerlukan masa sekitar 20 hingga 30 minit sahaja. Masalah menjadi
lambat adalah ketika membentuk kayu berukuran “24” di mana kayu berkenaan
uratnya agak songsang. Kalau dilakukan dengan parang tentunya kayu berkenaan
akan pecah.
Dia menghasilkan senjata
tradisional Melayu itu kerana melihat di sebaliknya yang bernilai kesenian.
Sejak itulah dia menghasilkannya dengan melihat senjata tradisional Melayu yang
dihasilkan oleh tukang-tukang besi lalu dia cuba menerapkan (menggabungkan)
kesenian dalam senjata yang pernah dilihatnya itu melalui ilhamnya pula yang
didapati lebih kemas dan menarik. Jadi menurutnya, apabila menggabungkan
kesenian orang lain menurut keseniannya sendiri tentunya senjata yang
dihasilkannya itu akan berbeza dan dia berpuas hati dengan apa yang dibuat dan
dihasilkannya.
Kebanyakan senjata tradisional
Melayu dapat disiapkan pada masanya adalah hasil tempahan orang ramai di
kalangan peminat senjata berkenaan. Bahkan kebanyakan tempahan itu dihantar
melalui anaknya ke Semenyih, Kajang dan Ampang dan ada juga yang dihantar
kepada kakitangan pejabat di Cyberjaya. Antara tempahan yang pernah diterimanya
adalah terdiri daripada sekitar Tanah Merah, Bachok dan pihak jurulatih PLKN
pernah menempahnya melebihi 20 bilah.
Setakat ini menurutnya, lebih 200
tempahan telah diterimanya dan berjaya disiapkan. Hasil penilaian pihak yang
menempah menganggapkan beliau sememangnya pandai besi yang kaya dengan kesenian
tersendiri.
“Lazimnya, tempahan diterima
hanya sebilah sehari. Berbanding dengan tempat lain yang telah mengusahakannya
sehingga 20 tahun. Kalau ikutkan, Paknik hanya baharu berkecimpung sebagai
tukang besi sambilan sebab itulah hanya segelintir yang kenal”, katanya apabila
ditanya tentang tempahan tersebut.
Membicarakan tentang bekalan besi
pula, beliau memperolehi bekalan besi dengan membelinya di kedai besi buruk.
Lazimnya, beliau hanya membeli besi jenis “spring kereta” sahaja kerana besi
lain yang agak keras tentunya peralatan manual tidak mampu untuk dicanai
kecuali menggunakan peralatan hidraulik.
Membicarakan tentang harganya
pula, bagi sebilah senjata berukuran kira-kira (8 seinci), dia menjualnya
dengan harga RM80. Harga ini termasuk mata dan sarung. Jika mata saja,
dijualnya dengan harga RM35. Bagi sarung senjata dia meletakkan harga RM8
(untuk seinci). Namun, jika penempah itu datang sendiri ke rumahnya, memang
agak tidak tergamak meletakkan harga pasaran, sebaliknya dia akan meletakkan
harga standard sebanyak RM50 saja.
Katanya, berbanding dengan
pengusaha lain yang menjualnya dengan harga RM1,000 bagi setiap bilah. Namun,
bagi beliau di Kelantan ini, siapakah yang sanggup membeli dengan harga RM1,000
itu. Bagi beliau pula, beliau mampu mengusahakan senjata dalam konsep yang
mampu dibeli oleh orang ramai, untuk menjualnya melebihi dari kemampuan orang
ramai tentu orang ramai tidak akan membelinya.
“Masa yang diperlukan untuk
menyiapkan sarung golok yang kecil (jika satu sarung saja) memerlukan masa dua
hari.
“Sebaliknya jika lebih dari tiga
batang memerlukan masa selama tiga hari (bermakna sebatang sehari).
“Manakala untuk menyiapkan mata
golok itu pula memerlukan masa hanya dalam dua jam saja”, katanya.
Justeru, menjadi tukang besi
tidaklah mudah dan dianggap terlalu senang jika berminat menceburi bidang itu
apatah lagi sudah mempunyai ilmu tentangnya. Namun, tidaklah dianggap terlalu
sukar jika sudah mula bertatih berkecimpung, cuma memerlukan ketekunan untuk
terlibat secara langsung dengan bidang itu baharulah memperolehi kemahiran yang
sepenuhnya.
Untuk pertanyaan dan tempahan, sila hubungi Paknik Nawi di talian: 019-9651795
Nawi bin Hassan atau Paknik Nawi.
Paknik Nawi ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.
Papan tanda Kampung Belimbing, Tanah Merah.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 04 - http://siartv-04.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=YLVAHVxuo8s
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN